Bagi mengelak rugi dan sekali lagi terlepas peluang keemasan yang kini terbentang di hadapan mata, masyarakat Islam diajak mengisi Ramadan dengan aktiviti ibadah dan bermanfaat.

Dalam masa sama berusaha sedaya upaya untuk berpuasa de­ngan sempurna sebagaimana diperintahkan. Ini dapat dilakukan dengan berpuasa dalam erti kata yang sebenar bukan sekadar tidak makan dan minum di siang hari.

Untuk itu tingkatan puasa khusus perlu diusahakan selain menjaga seluruh pancaindera daripada berbuat nista. Malah aurat perlu dijaga, kewajipan solat lima waktu perlu dipenuhi selain menjaga diri daripada melakukan perkara mazmumah. Ini penting bagi melayakkan seseorang memperoleh ganjaran puasa yang sempurna setelah bersusah payah melakukannya.

Kaum Muslimin turut diajak untuk berusaha menunaikan solat sunat tarawih pada setiap malam. Walaupun hukumnya sunat namun solat adalah mekanisme perhubungan terbaik antara makhluk dan khalik sehingga menjadikan setiap hamba dekat dengan Tuhan-Nya. Selain itu, dengan menghadirkan diri ke masjid dan surau berdekatan dapat juga mempertautkan hubungan sesama jiran tetangga dan anggota masyarakat yang kemungkinan kurang dilakukan sebelum Ramadan.

Dalam pada itu, solat wajib usah pula diabaikan. Ambil ke­sempatan bulan mubarak ini untuk solat secara berjemaah yang pahalanya juga berlipat kali ganda di sisi-Nya. Disebutkan dalam riwayat yang bertaraf lemah/daif amalan fardu yang dilakukan di bulan Ramadan gandakan pahalanya sehingga 70 kali ganda. Semoga dengan mula berjinak-jinak solat berjemaah ketika Ramadan akan terbiasa untuk melakukannya sepanjang tahun.

Lebih daripada itu, setiap Muslim perlu berusaha untuk mendapat anugerah beribadah pada malam al-Qadr. Dengan ganjaran penghapusan dosa dan pahala lebih baik daripada 1,000 bulan ia tidak sepatutnya diabaikan. Malah setiap Muslim perlu bersiap sedia sejak awal Ramadan bagi bertemu lailatulqadar yang dikuatkan oleh Nabi SAW berlaku pada malam ganjil 10 hari terakhir.

Terdapat ulama seperti Imam al-Ghazali yang menjangkakan lailatulqadar berlaku pada malam 21 Ramadan jika dikira permulaan puasa pada hari Khamis. Namun perlu difahami lailatulqadar masih kekal rahsia Allah SWT untuk menguji sejauh mana keimanan dan keyakinan hamba-Nya sehingga dianugerahkan ke­lebihan berlipat kali ganda.

Ambillah juga peluang untuk menyediakan juadah berbuka puasa. Selain terlibat menginfakkan harta di jalan Allah SWT, usa­ha mulia ini mampu menyemai sifat mahmudah seperti tolong-menolong dalam meringankan kesusahan orang lain. Diriwayatkan juga betapa orang yang menyediakan juadah untuk berbuka puasa akan diberikan ganjaran pahala puasa orang tersebut dan tidak berkurang sedikit pun daripadanya. Ini juga tanda seseorang bersyukur dengan nikmat rezeki pemberian Ilahi sehingga mudah-mudahan bertambah banyak keberkatannya di dunia dan akhirat.

Ramadan dan doa juga tidak dapat dipisahkan. Malah dikatakan Ramadan adalah bulan makbul doa. Justeru para Muslimin perlu melipatgandakan usaha memohon dan berharap kepada Allah SWT akan segala hajat dunia dan akhirat diperkenankan oleh-Nya. Kesempatan ini juga boleh digunakan untuk memohon agar saudara seIslam yang tertindas seperti di Palestin, Rohingya dan negara-negara yang diuji musibah peperangan, kebuluran dan kemiskinan dibantu oleh-Nya. Ambillah juga kesempatan berdoa semoga dikurniakan lagi nikmat berpuasa pada Ramadan tahun-tahun mendatang lalu sentiasa beroleh segala kurnia Ramadan yang tidak ternilai.

Oleh sebab anugerah Ramadan yang besar dan tidak terhingga banyaknya terdapat golongan yang berharap agar Ramadan sepanjang tahun. Namun, hikmah Allah SWT menjadikan Ramadan hanya sebulan boleh jadi untuk menguji siapa dalam kalangan hambanya yang benar-benar beriman dan mengharap keampunan Nya. Maka benarlah sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan sambil berharap ganjaran daripada-Nya diampunkan dosa-dosa lalu. (Riwayat Muslim)

Perlu juga diingatkan jika pahala puasa seseorang dilipat-gandakan dan hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja begitu juga kata ulama balasan dan seksa bagi orang yang tidak berpuasa juga dilipat-gandakan dan hanya diketahui oleh Allah SWT. Lebih buruk daripada itu, terdapat riwayat yang menyebutkan ramai golongan yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya kecuali rasa lapar dan dahaga.

Justeru, nikmat panjang umur sehingga dapat berpuasa lagi pada Ramadan kali ini usah dibiarkan berlalu begitu sahaja. Inilah masa terbaik untuk seseorang berusaha mendidik nafsu dan jiwa masing-masing agar Ramadan yang berlalu meninggalkan seribu pengajaran dan iktibar buat semua.

Amatlah rugi apabila seseorang terpilih bertemu Ramadan tetapi tidak berhasil meraih sebesar-besar kurnia-Nya. Bertambah buruk apabila kemungkinan ini adalah Ramadan yang terakhir dalam diari kehidupan seseorang sehingga terpaksa menanggung derita penyesalan buat selama-lamanya.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON