Semua jawapan itu ada lompongnya. Apa guna berharta jika badan sakit. Apa guna waktu lapang jika tidak berisi dengan amalan berguna. Apa guna keluarga bahagia dan sihat badan jika hidup dikekang susah. Lama kelamaan kebahagiaan dan kesihatan pasti hilang kerana kekurangan zat serta vitamin.

Begitulah mata manusia, kantanya hanya nampak yang zahir tetapi rabun yang batin. Dalam bicara al-Quran kegembiraan banyak merujuk kepada ‘kegembiraan selepas mati’ kerana hidup selepas mati adalah hidup yang sebenar.

Antara orang yang beroleh kebahagiaan selepas mati adalah para wali Allah. Apabila menyebut perihal wali Allah, pasti sesetengah orang beranggapan mereka ‘wajib’ dibekalkan keajaiban luar biasa. Seolah-olah hanya itu sahaja rukun para wali.

SIAPA WALI ALLAH?

Takrif mudah bagi para wali adalah manusia yang benar-benar bertuhankan Allah. Menurut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Para wali tidak semestinya dikurniakan keajaiban yang pelik dan melopongkan mulut. Keajaiban itu boleh juga muncul dengan bantuan syaitan yang menggunakannya sebagai alat memesongkan jiwa manusia. Parameter mudah tanda kewalian adalah kepatuhannya kepada arahan Allah dan Rasulullah SAW sebagaimana kata-kata Imam Syafie ini:

“Jika kamu lihat seorang lelaki berjalan atas air atau terbang di udara, maka jangan terpedaya dengan kelebihan itu sehinggalah kamu menilai dirinya mengikut neraca al-Quran dan Sunah (Tafsir Ibn Kathir).

Al-Quran turut memberikan takrif mudah bagi para wali yang beroleh bahagia dunia dan akhirat:

“Ketahuilah! Sesungguhnya para wali Allah, tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali Allah itu ialah) orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertakwa. Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada janji Allah yang demikian itulah kejayaan yang besar,” (Yunus [10:62-64]).

Seolah-olah ayat ini mentakrifkan semua orang beriman adalah para wali Allah. Bukankah keturunan atau anak yang soleh juga termasuk antara keajaiban kurniaan Allah? Bukankah legasi ilmu yang ditinggalkan para ulama juga termasuk dalam keajaiban kurniaan Allah? Ayuh! Luaskan ufuk minda anda dan jangan hanya terlorong dalam takrif ajaib yang sempit.

DEFINISI KEGEMBIRAAN

Maksud kegembiraan para wali Allah muncul dalam banyak rupa dan fasa:

1. Fasa Duniawi:

  • Hidup yang aman sentosa kerana benar-benar mematuhi kehendak Allah. Sifirnya mudah, jika kita memenuhi segala hak Allah maka hidup akan diberkati-Nya. Segala tindak tanduk kita serba kena dan indah:

“Sesiapa yang beramal soleh, baik lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan,” (Al-Nahl [16:97]).

  • Kegembiraan mereka dalam ayat di atas juga merujuk kepada mimpi yang benar kerana kadangkala orang beriman berasa gembira setelah bermimpi melihat petanda kemenangan mereka dalam perjuangan atau mimpi melihat Rasulullah SAW. Tafsir kegembiraan orang beriman sebagai mimpi yang benar dijelaskan sebuah hadis:

“Ubadah bin al-Samit melaporkan beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang makna ayat (Untuk mereka sahajalah kebahagiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat [Yunus:64]). Rasulullah bersabda: “ia adalah mimpi benar yang dialami oleh seorang yang beriman atau mimpi yang diperlihatkan padanya,” – Sunan Tirmizi, Sunan Ibn Majah dan Musnad Ahmad.

2. Fasa Kematian:

  • Sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada dunia

“(Orang beriman adalah) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan mereka bersih suci (daripada kufur syirik dan maksiat), sambil malaikat itu berkata kepada mereka: “selamat sejahtera kepada kamu; masuklah ke dalam syurga disebabkan amal baik yang telah kamu kerjakan,” (al-Nahl[16:32]).

  • Kegembiraan ini disokong oleh sabda Rasulullah SAW:

“Rasulullah bersabda, sesiapa yang suka bertemu Allah, Dia juga suka bertemunya. Sesiapa yang tidak suka bertemu Allah, maka Allah juga benci bertemunya. Aisyah atau sebahagian isteri Rasulullah bertanya: (Mana mungkin begitu kerana) kami memang tidak sukakan kematian. Rasulullah menjawab: Bukan begitu maksudnya, akan tetapi (maksudnya) “orang beriman ketika hampir mati diberi khabar gembira dengan keredaan Allah dan kemuliannya.” Maka tiada apa yang paling disukai melainkan apa (yang disediakan) di hadapannya (daripada segala nikmat syurga), maka dia pun sangat suka bertemu Allah dan Allah juga suka bertemunya…….,” – Sahih Bukhari.

3. Fasa Akhirat:

  • Sebelum melangkah masuk ke pintu syurga dia disapa mesra oleh para malaikat:

“Sesungguhnya orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (daripada berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, “dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.” “Kamilah penolong kamu dalam kehidupan dunia dan pada hari akhirat; dan kamu akan beroleh – pada hari akhirat – apa yang diingini oleh nafsu kamu, serta kamu akan beroleh – pada hari itu – apa yang kamu cita-citakan mendapatnya. “(Pemberian yang serba mewah itu) sebagai sambutan penghormatan daripada Allah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani!” (Fussilat [41:30-32]).

Sungguh beruntung orang yang mendapat kegembiraan dalam tiga fasa ini. Walaupun tampak begitu eksklusif, namun ia mampu dicapai dan menjadi realiti jika usaha digerakkan sedaya mungkin.

Usah mengalah sebelum berjuang. Para wali Allah dan orang soleh yang terlebih dahulu meninggalkan kita dalam sejarah umat Islam bukanlah ‘manusia super berkuasa ajaib’ sehingga mampu mencapai intipati kegembiraan sebenar. Mereka diberikan tulang empat kerat yang sama dengan kita cuma mereka bermujahadah secara lebih demi memenuhi petunjuk prestasi utama orang beriman sebagaimana ditetapkan Allah. Jika mereka mampu, kita juga pasti boleh. Insya-Allah!