Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Pendeta Yahudi tunggu kemunculan Nabi

Posted by epondok di Mei 11, 2018


Oleh Faiz Othman

 

NABI Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang ingin melihat seorang lelaki ahli syurga, maka lihatlah Abdullah ibn Salam.” (Riwayat Muslim)

Saidina Abdullah ibn Salam terkenal dengan sifatnya yang baik, bertakwa, jujur dan istiqamah dalam kebenaran. Sebelum memeluk Islam, sebagai pendeta beliau menyampaikan nasihat, beribadah, menguruskan ladang dan ternakan, merenung serta mengkaji isi kandungan kitab Taurat.

Setiap kali membaca kitab Taurat, beliau akan termenung panjang tatkala membaca berita akan muncul nabi akhir zaman di Makkah bagi menyempurnakan risalah kenabian Nabi terdahulu. Beliau meneliti sifat nabi itu yang disebut di dalam Taurat.

Dicatatnya tanda kenabian itu satu persatu. Kebimbangan beliau bertukar gembira tatkala membaca Nabi itu akan berhijrah ke Yathrib, tinggal di sana sebagai nabi yang memimpin ummah. Beliau berharap dipanjangkan usia supaya dapat bertemu dengan nabi.

Husin berkata, “Ketika kamu mendengar cerita Nabi itu, aku sentiasa mencari ruang dan peluang untuk mendekatinya. Aku mula mengkaji nama dan keturunan, sifat Baginda serta apa yang dibawa olehnya. Aku mengambil tahu kedudukan dalam kaumnya, hingga tidak satu pun berita Baginda yang tidak aku ketahui. Aku kemudian membandingkan dengan maklumat yang aku dapat di dalam Taurat. Apakah benar yang dinyatakan menyamai dengan diri Baginda. Aku sembunyikan hal itu daripada pengetahuan kaum Yahudi.”

Menanti kemunculan nabi

Tiba berita mengenai penghijrahan Nabi SAW ke Yathrib, ketika itu Baginda singgah di Quba’ selama empat hari. Ramai masyarakat Madinah berkumpul dan menyambut Baginda SAW.

Husin berkata, “Aku ketika itu berada di atas pohon kurma sedang memetik buah-buah kurma dan ibu saudaraku Khalidah binti al-Haris duduk di bawah pohon berkenan. Mendengar berita kemunculan Nabi SAW, aku segera mengucapkan Allahu Akbar.”

Ibu saudaraku bertanya: “Apa yang engkau sebutkan itu? Demi Allah, andai kata perkataan yang engkau dengar daripada Musa bin Imran, pasti engkau tidak akan lakukan sedemikian.

Husin kemudian menjawab: “Demi Allah, ibu saudaraku, sesungguhnya dia adalah saudara kepada Musa bin Imran dan dia adalah orang yang membawa agama yang sama seperti Musa bin Imran. Dia diutuskan oleh Allah SWT sebagaimana Allah utuskan Musa bin Imran.

Maka, ibu saudaranya menyebut: “Jika begitu, apa lagi yang engkau tunggu. Pergi dan lihat sendiri apakah benar dia adalah nabi yang dinyatakan di dalam Taurat dan Injil.”

Husin turun lalu menuju ke Quba’. Beliau masuk dan mencelah-celah di lautan manusia yang hadir menyambut Nabi SAW. Perkara pertama yang beliau dengar daripada lidah Baginda ialah, “Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, sediakanlah makanan dan solat pada malam hari dalam keadaan orang ramai tidur. Kalian akan masuk syurga dengan selamat.”

Mendengarkan kata-kata itu, menjadikan beliau bertambah semangat untuk mendekati Baginda SAW. Apabila beliau menghampiri Nabi SAW, beliau melafazkan kalimah syahadah. Dalam lautan manusia, Baginda SAW berpaling ke arah Husin saat mendengarkan kalimah itu.

Ajak pendeta Yahudi beriman

Baginda bertanyakan namanya lalu beliau mengatakan Husin bin Salam. Lantas Baginda SAW menjawab: “Tidak, bahkan awak Abdullah ibn Salam. Abdullah menjawab: Baik Rasulullah, mulai hari ini, namaku Abdullah ibn Salam. Demi Tuhan yang mengutuskan engkau dengan kebenaran, aku tidak akan suka namaku dipanggil selain daripada nama ini.”

Hari berlalu dan beliau bertemu dengan Rasulullah SAW supaya Baginda dapat berdakwah kepada pembesar Yahudi dan bertanya mengenai kedudukan Abdullah kepada pembesar agama Yahudi.

Saat Rasulullah SAW berdakwah kepada pembesar Yahudi, Abdullah bersembunyi di sebalik kamar di belakang Baginda. Pembesar Yahudi berhujah mengenai kebenaran Baginda SAW dalam menyampaikan risalah Allah SWT dan Baginda tidak mampu berdebat lagi dengan mereka.

Baginda SAW kemudian bertanya: “Apa pandangan kalian mengenai Husin bin Salam? Mereka bersungguh-sungguh memuji Husin bin Salam dan mengatakan beliau penghulu mereka serta mengatakan seorang pendeta terhormat dalam kalangan mereka.

Kata Baginda: “Apa pandangan kalian kalau Husin memeluk Islam? Mereka menolak kemungkinan itu.

Maka saat itu, keluar Abdullah daripada tempat persembunyiannya dan berkata: Wahai seluruh pembesar Yahudi, berimanlah dengan Allah, terimalah apa yang didatangkan kepada kalian oleh Muhammad SAW. Benar, Muhammad adalah Nabi kalian semua.

Demi Allah, kalian mengetahuinya. Benar Muhammad adalah utusan Allah SWT dan kalian dapati namanya termaktub di dalam kitab kalian serta sifat kenabiannya tidak lagi asing kepada kalian.

Sesungguhnya aku, Abdullah bin Salam bersaksi bahawa Baginda SAW adalah utusan Allah. Aku juga menyeru kalian beriman dengannya.”

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: