Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 9 Mei 2018

Jaminan syurga pertingkat iman Sahabat

Posted by epondok di Mei 9, 2018

Oleh Mohd Faiz Othman

 

SATU perkara yang sangat menggembirakan Saidina Abdullah ibn Salam RA, adalah ketika beliau disebutkan sebagai salah seorang ahli syurga.

Saat kali pertama bertemu dengan Rasulullah SAW, beliau mendengar tiga perkara yang disebutkan oleh Baginda, yang meletakkan seseorang itu tergolong dalam kalangan ahli syurga.

Sejak mendengarkan kata-kata itu, beliau berusaha agar sentiasa menekuni dengan tiga perkara berkenaan. Beliau sentiasa melazimi Baginda Nabi SAW, hingga setiap tingkah laku dan adab hariannya, mengikut apa yang diajarkan oleh Nabi SAW.

Menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin, Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany meneruskan kisah mengenai Abdullah ini.

Satu hari, Qais ibn ‘Abbad RA meriwayatkan kisah yang sangat menarik: “Aku duduk bersama pada majlis ilmu di Masjid Nabawi. Pada majlis itu, terdapat lelaki tua yang menyampaikan ilmu dengan ucapan yang sangat menggembirakan dan menenangkan. Beliau bercakap mengenai hadis dan memberi kesan dalam jiwa.”

Abdullah ahli syurga

“Apabila lelaki berkenaan beredar, orang ramai berkata: Sesiapa yang ingin melihat seorang lelaki daripada ahli syurga, maka lihatlah pada orang ini. Qais kemudian bertanya mengenai identiti tokoh terbabit. Orang ramai pun menjawab: Beliau ialah Abdullah ibn Salam.”

Bagi mengetahui mengapa orang ramai menggelarnya dengan ahli syurga, Qais pun menuruti Abdullah selepas beliau keluar dari Masjid Nabawi.

Qais mengikutinya sehingga tiba di sempadan Kota Madinah dan melihat Saidina Abdullah masuk ke rumahnya.

Kemudian Qais meminta izin untuk masuk ke rumah Abdullah. Lalu Abdullah bertanya: “Apakah hajat tuan ke mari?” Qais kemudian berkata: “Aku mendengar orang bercakap mengenai tuan, seorang ahli syurga.”

Abdullah menjawab: “Allah SWT mengenali siapa yang menjadi ahli syurga.” Qais kemudian menyatakan hasratnya bertanya mengapa Abdullah dikenali sebagai ahli syurga.

Kisah mimpi Abdullah

Abdullah kemudian memulakan cerita: “Wahai anakku, ketika aku tidur pada satu malam pada zaman Rasulullah SAW, aku mimpi seorang lelaki datang kepadaku dan berkata: Bangunlah. Lalu aku bangun dan beredar meninggalkan tempat tidur. Lelaki itu memegang tanganku dan membawaku ke suatu jalan.

“Apabila aku melalui jalan itu, aku melihat simpang di sebelah kiri. Lelaki berkenaan berkata: Teruskanlah perjalananmu, janganlah engkau singgah atau masuk membelok ke simpang itu.

“Aku meneruskan perjalanan. Tiba-tiba aku melihat satu jalan yang sangat cerah dan luas serta indah di arah kanan. Wahai orang muda, laluilah jalan ini. Maka, aku melaluinya dan melihat keindahan di sekeliling sehingga aku sampai di tengah-tengah satu taman yang sangat cantik, tenteram dan menghijau pandangannya.

“Ketika aku berada di situ, terdapat satu tiang tinggi di tengah taman itu. Di puncak tiang, terdapat satu gelung daripada emas. Maka lelaki berkenaan berkata: Wahai orang muda, dakilah tiang ini.

“Aku katakan tidak mampu untuk mendaki. Tiba-tiba datang kepadaku seorang pembantu dan dia mengangkatku sedikit demi sedikit sehingga akhirnya aku sampai ke puncak tiang, lalu kedua-dua tanganku memegang erat gelung emas berkenaan. Aku berada dalam keadaan sedemikian sehinggalah aku terjaga pada waktu pagi.”

Keesokan harinya, Abdullah terus pergi bertemu dengan Rasulullah SAW dan menceritakan mimpi itu. Selepas mendengarkan kisah mimpinya, Rasulullah SAW berkata: “Adapun jalan yang engkau lihat di sebelah kirimu, itu jalan penghuni neraka. Maka, engkau tidak melaluinya. Jalan yang luas dan indah yang engkau lihat pula, ialah jalan penghuni syurga. Taman yang engkau masuk yang penuh dengan kehijauan, taman itu ialah Islam dan keindahannya. Tiang yang tegak tinggi di tengah-tengah taman, itulah tiang agama, iaitu solat. Gelung emas yang engkau berpegang padanya, itulah iman dan yakin kepada Allah SWT.”

Baginda Nabi SAW meneruskan sabda: “Engkau akan berkekalan berpegang dengan ketauhidan tersebut sampai engkau meninggal dunia.”

Advertisements

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »