Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Nafsu mesti dikawal bukan dituruti

Posted by epondok di Mei 7, 2018


Oleh Dr Mohd Farid Mohd Shahran

 

MANUSIA dikurniakan dengan tiga bentuk jiwa yang dapat menjadikan kehidupan di dunia bersifat dinamik tetapi pada masa sama, menghalanya kepada keadaan dan kesudahan yang baik. Ikuti perbincangan Dr Mohd Farid Mohd Shahran dalam Rancangan Suluh Budi.

Antara tanda kekuasaan dan keesaan Allah SWT ialah kesempurnaan-Nya dalam penciptaan setiap kejadian di langit dan bumi serta apa yang ada antara kedua-duanya.

Semua itu tidak diciptakan dengan sia-sia kecuali mempunyai tujuan dan kebaikan. Allah SWT berfirman, yang bermaksud: “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi serta silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda bagi orang berakal, (iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka,” (Surah Ali-Imran, ayat 190 dan 191)

Mengambil contoh kejadian batu, ia diciptakan dengan sifat keras dan dapat digunakan dalam membuat binaan kukuh seperti jalan dan bangunan.

Contoh lain pula, pokok dijadikan unik dengan keutuhan dan boleh dibentuk, sekali gus dapat dimanfaatkan menjadi pelbagai kelebihan seperti papan.

Semua kejadian ada manfaat

Ringkasnya semua kejadian membantu manusia memperoleh kebaikan dan manfaat dalam meneruskan kehidupan dengan sempurna.

Merenung hakikat setiap kejadian tidak diciptakan sia-sia, kita perlu mencari makna dan peranan keberadaannya sebagai insan di dunia.

Allah SWT mengangkat darjatnya berbanding makhluk lain seperti disebut dalam firman-Nya: “Sesungguhnya kami menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.” (Surah At-Tin, ayat 4)

Hal itu ditegaskan Dr Mohd Farid Mohd Shahran dalam Rancangan Suluh Budi, iaitu istimewanya kejadian manusia adalah kerana aspek kerohaniannya.

Tiga bentuk jiwa rohani yang disebut ialah jiwa tumbuhan, kehaiwanan dan roh atau aqli.

Jiwa tumbuhan bererti ia memerlukan makan, tumbuh dan hidup seperti sifat manusia. Sifat kedua, iaitu jiwa kehaiwanan yang bermakna ia mampu bergerak dan mempunyai keinginan seperti nafsu syahwat serta sifat takut.

Bahagian ketiga adalah jiwa aqli dan qalbu. Bentuk jiwa ini penting diberikan perhatian khusus dalam mendidik jiwa manusia untuk kekal berakhlak dengan sifat terpuji dan menjadikannya istimewa berbanding makhluk lain.

Allah SWT memberikan hawa nafsu kepada manusia dalam tiga jiwa itu adalah supaya kehidupan manusia menjadi dinamik.

Nafsu seperti keinginan makan, seksual dan emosi akan membawa kepada cita-cita dan keinginan untuk mencapai matlamat hidupnya serta seharusnya mendorong agar berusaha bersungguh-sungguh dalam melakukan pekerjaan.

Namun nafsu perlu dikendalikan dan dikawal bukan dituruti sepenuhnya seperti binatang yang tidak mampu mengendalikan nafsu.

Ia perlu diguna dan dikawal bagi tujuan betul dan baik. Semua nafsu dalam diri secara fitrah ini jika dijaga dan ditadbir dengan sifat sabar, iltizam dan istiqamah, bakal melahirkan manusia berakhlak mulia. Menjelaskan lagi mengenai peradaban cemerlang, Mohd Farid menerangkan ulama sejak dahulu menyebut perkara yang membezakan keistimewaan manusia dengan makhluk lain adalah sifatnya yang berakal. Manusia berakal akan mengenal diri dan sentiasa meletakkan sesuatu perkara di tempat betul dan adil. Mereka tidak akan mudah terpesong dan tidak akan terjerumus ke lembah ekstremisme dalam apa juga perkara.

Sebaliknya jika potensi itu tidak digunakan, mereka akan mendapat penghinaan dan status yang tidak bernilai di hadapan Allah SWT.

Padah manusia yang lalai

Antara akibat kelalaian manusia adalah mereka diumpamakan Allah SWT sebagai serupa dengan binatang atau makhluk lain yang lebih rendah. Ini dapat difahami daripada firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakan daripada jin dan manusia; mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakan untuk memahami (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai. (Surah Al-A’raaf, ayat 179)

Kebanyakan manusia yang lalai diancam dengan azab neraka Jahanam disebabkan akal dan perasaan mereka tidak digunakan untuk memahami keesaan serta kebesaran Allah SWT dan meninggalkan perintah serta peranan sebagai khalifah.

Manusia yang dihina sebagai lebih rendah darjat daripada binatang adalah yang menjadi hamba kepada hawa nafsu kerana tidak mampu menggunakan kelebihan akal dan hati, seterusnya menjadikan mereka golongan berakhlak buruk.

Justeru penting untuk kita peka dalam mengemudi hawa nafsu agar tidak tergolong dari kalangan mereka berakhlak buruk dan hina di sisi Allah SWT.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: