Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 5 Mei 2018

Pilih pemimpin martabatkan Islam

Posted by epondok di Mei 5, 2018

Oleh Zambri Hashim

 

Apabila kita meneliti ayat al-Quran, kita menemui hubungan pemimpin dan pengikut tidak hanya berakhir di dunia, sebaliknya berlanjutan sampai ke akhirat. Ia menggambarkan tanggungjawab berat pemimpin dan pengikut yang melantik pemimpin.

Pemimpin akan dinilai ke arah manakah hala tuju pengikut yang dibawanya, manakala pengikut akan dinilai terhadap keputusannya mengangkat pemimpinnya kerana dalam ia menyerahkan kuasa kepada pemimpinnya untuk membuat polisi dan keputusan.

Jika pemimpin berjaya membawa pengikut kepada tauhid dan memperkasakannya, maka ia nikmat tetapi jika pemimpin membawa mereka kepada syirik serta menolak tauhid, maka keterikatan mereka akan berlanjutan sehingga menemui Allah dalam keadaan saling salah-menyalah antara satu sama lain. Namun segala-segala sudah terlambat.

Sekadar membawa contoh dialog yang dicatatkan dalam al-Quran yang menggambarkan betapa seriusnya hubungan pemimpin dan pengikut pada akhirat nanti.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan (ingatlah perkara yang berlaku) ketika orang kafir dan menderhaka berbantah-bantah dalam neraka, iaitu orang yang lemah (pengikut) berkata kepada pemimpinnya yang sombong dan takbur: ‘Sesungguhnya kami menjadi pengikut kamu, maka dapatkah kamu menolak dari kami sebahagian azab neraka ini?’ Orang sombong angkuh itu menjawab: ‘Sebenarnya kita semua menderita bersama-sama dalam neraka (tidak ada jalan untuk kita melepaskan diri), kerana sesungguhnya Allah menetapkan hukuman-Nya antara sekalian hamba-Nya.’ Dan berkatalah pula orang yang ada dalam neraka kepada malaikat penjaga neraka Jahanam: ‘Mohonlah kepada Tuhan kamu, supaya Dia meringankan sedikit azab seksa dari kami, barang sehari.’ Malaikat penjaga neraka menjawab: ‘Bukankah kamu didatangi rasul kamu dengan membawa keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)?’ Mereka menjawab: ‘Ya, sudah datang.’ Malaikat itu berkata: ‘Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri. Dan doa permohonan orang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja.” (Ghafir: 47-50)

Firman Allah lagi: “Dan mereka berkata lagi: ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami mematuhi kehendak ketua dan orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat sebesar-besarnya!” (Al-Ahzab: 68-69)

Pada ketika itu, sudah terlambat penyesalan dan percubaan untuk memberikan alasan terpedaya serta terkeliru sudah tidak ada nilainya lagi.

Firman Allah SWT: “Dan mereka sekalian tetap akan berhimpun menghadap Allah (untuk dihisab pada Hari Kiamat); kemudian orang yang lemah (yang menjadi pengikut) kepada orang yang sombong takbur itu akan berkata kepada mereka (yang menjadi pemimpinnya): ‘Sesungguhnya kami menjadi pengikut kamu; maka adakah kamu dapat menolak daripada kami sedikit dari azab Allah?’ Mereka menjawab: ‘Kalaulah Allah menunjukkan jalan selamat kepada kami, tentulah kami tunjukkan jalan itu kepada kamu. (Sekarang) sama saja kepada kita, sama ada kita gelisah dan mengeluh atau kita bersabar, tiadalah sebarang jalan bagi kita untuk melepaskan diri (dari azab itu).” (Ibrahim: 21)

Maka peluang untuk menjadi pemimpin mahupun peluang untuk memilih pemimpin ialah tanggungjawab besar di hadapan Allah SWT. Pada musim pilihan raya sekarang, di samping menilai manifesto bakal calon yang menawarkan diri untuk dilantik menjadi pemimpin, antara kayu pengukur penting yang wajib diambil kira ialah sejauh mana bakal pemimpin kita di dunia ini bakal memimpin kita dengan selamat mengetuk pintu syurga di akhirat.

Di dalam konteks negara kita Malaysia, kita mahukan pemimpin yang serius memartabatkan Islam supaya terus kukuh sebagai cara hidup di tanah air ini bukannya pemimpin yang mengorbankan Islam demi meraih sokongan walaupun terpaksa bertolak-ansur dengan prinsip asas Islam.

Jika ini difahami rakyat Malaysia, kita akan menemui setiap pihak cuba bersaing menawarkan pemimpin berkualiti tinggi dan sangat komited dengan Islam. Ketika itu kita akan memilih yang terbaik di kalangan yang baik-baik, bukannya terpaksa memilih yang kurang mudarat daripada yang mudarat-mudarat belaka.

Penulis adalah Timbalan Mufti Perak

Advertisements

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »