Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Mei 2018

Keistimewaan ibadah puasa dalam Islam

Posted by epondok di Mei 30, 2018

Mohd. Radzi Mohd. Zin

 

BERPUASA selain terbukti baik untuk kesihatan, ia juga adalah ibadah yang mempunyai keistimewaan ter­sendiri. Terutamanya dalam bab ganjaran pahala yang diberi oleh Allah SWT. Biarpun solat, sebagai ibadat utama orang Islam, pahalanya sudah ditentukan iaitu 27 kali ganda jika dilakukan secara berjemaah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Solat berjemaah lebih afdal daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda. (Riwayat Bukhari).

Puasa pula ganjarannya amat hebat. Allah SWT menjanjikan bonus yang amat lumayan sebagaimana yang diterangkan di dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya 10 kali ganda serupa dengannya hingga 700 kali ganda, Allah SWT berfirman: Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa, lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi.(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ibadat puasa membawa bersamanya rasa ihsan iaitu keyakinan bahawa Allah SWT itu Maha Melihat apa yang kita lakukan. Memang benar orang yang berpuasa dalam erti kata menahan diri daripada makan dan minum. Namun, dalam masa yang sama mereka juga mempunyai kelengkapan, kecukupan dan kemampuan makan dan minum yang boleh dinikmati pada bila-bila masa.

Pendek kata, jika tidak boleh makan secara terang-terangan, perbuatan itu boleh dilakukan secara sembunyi. Siapa pun tidak akan tahu, sama ada individu itu berpuasa atau tidak. Ini kerana mereka berada pada bulan yang mana semua orang Islam ber­puasa pada adatnya. Puasa tidak seperti solat yang boleh diketahui buat atau tidaknya dengan melihat perbuatan tersebut apatah lagi solat itu ibadat bersifat zahir. Namun dalam konteks puasa hanya Allah SWT dan dia sahaja mengetahui.

Selain itu, puasa juga menjadi kaffarah bagi kesilapan-kesilapan yang kita lakukan. Antaranya:

1.Kaffarah merosakkan puasa kerana berjimak pada siang hari Ramadan yang mana individu terbabit wajib menqada puasa­nya dan wajib memberi makan 60 fakir miskin. Jika tidak mampu hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut.

2. Kaffarah zihar iaitu memberi makan 60 fakir miskin, jika tidak mampu hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut.

3. Jika berlaku pelanggaran dalam larangan ihram untuk ke­semua aspek atas (kecuali aspek hubungan suami isteri) maka damnya iaitu sama ada menyembelih seekor kambing, memberi makan enam fakir miskin setiap seorang dua cupak atau berpuasa tiga hari.

4. Bagi dam kerana tidak berniat di miqat pula ialah menyembelih seekor kambing atau kibasy. Boleh juga 1/7 bahagian daripada unta atau lembu. Jika tidak berkuasa hendaklah seseorang itu berpuasa 10 hari iaitu tiga hari di Mekah dan tujuh hari apabila kembali ke tanah air. Jika tidak berkuasa hendaklah keluarkan 10 cupak makanan asasi bagi 10 hari untuk dibahagikan kepada fakir miskin.

Matlamat puasa bukan sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi fokusnya adalah untuk melemahkan nafsu yang keji dan seterusnya mendam­pingi Allah SWT. Oleh itu kita hendaklah mengawal diri daripada melakukan perkara yang keji semasa berpuasa. Perangi nafsu dan berjuanglah menjaga semua disiplin dalam Ramadan selain makan, minum, seks, jagalah lidah, mata, telinga, anggota lain daripada perbuatan yang sia-sia. Sebab itu, Rasulullah SAW menasihatkan para pemuda yang tidak mampu berkahwin agar berpuasa untuk menghalang daripada syahwatnya.

Kata pepatah Arab: “Nafsumu jika engkau tidak menyibukkan­nya dengan kebenaran, nescaya dia akan menyibukkan dirimu dengan kebatilan.” Hendaklah kita sibukkan diri dengan program dan aktiviti yang bermanfaat. Masa yang terbiar kosong akan menggalakkan hawa nafsu menyibukkan dirinya dengan perkara yang melalaikan dan merosakkan. Akibat kejahatannya itu, ramai manusia yang diperdaya dan bertuhankan hawa nafsu.

Ini dinukilkan oleh Allah menerusi firman-Nya: Apakah engkau tidak perhatikan orang-orang yang mengambil hawa nafsu menjadi Tuhan, lalu dia dibiarkan sesat oleh Allah berdasarkan ilmu-Nya. (al-Jaasiyah: 23)

 

Advertisements

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Sedekah di bulan Ramadhan buat Pondok Kelantan

Posted by epondok di Mei 29, 2018

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Matahari tegak di atas Kaabah petang ini, peluang semak arah kiblat

Posted by epondok di Mei 28, 2018

Oleh Hazirah Che Sab

Fenomena Istiwa Matahari dengan Kaabah

Fenomena istiwa Matahari di Kaabah

Zamihan memberi penerangan kaedah yang digunakan untuk mencari arah kiblat.

Kaedah melihat matahari terbenam tidak tepat

SUDAH semestinya umat Islam perlu menghadap Kaabah yang menjadi kiblat apabila mendirikan solat dan ketika dikebumikan selepas meninggal dunia.

Walaupun dengan kedudukan Kaabah di Makkah menjangkau ratusan ribu kilometer, menetapkan arah kiblat sebenarnya tidak menjadi persoalan kerana ilmuwan Islam benar-benar menguasai ilmu falak untuk menyelesaikan masalah itu sekadar berpandukan kedudukan cakerawala seperti bintang dan matahari.

Bagaimanapun, kekurangan orang Islam yang benar-benar memahami ilmu falak ketika ini menimbulkan persoalan bagaimana untuk menentukan arah kiblat yang tepat.

Ini kerana, ada umat Islam masih menggunakan kaedah menentukan kiblat berpandukan arah matahari terbenam, sedangkan cara itu tidak tepat dan salah di sisi Islam kerana hanya dua hari dalam setahun arah kiblat boleh berpandukan kepada arah matahari terbenam.

Menyedari kesilapan itu, sewajarnya umat Islam di seluruh dunia tidak lagi menentukan jadual atau takwim solat, waktu berbuka puasa dan hari raya berpandukan kaedah matahari terbenam. Malaysia sudah tidak lagi menggunakan kaedah ini, sebaliknya berpandukan ilmu falak syarie seperti yang ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Arah kiblat menggunakan matahari boleh diukur dua kali setahun.

Dengan kepesatan teknologi, perkara sebegini tidak sepatutnya menjadi masalah sehingga membawa kepada timbulnya pertelingkahan kerana sudah ada pelbagai peralatan canggih yang boleh digunakan untuk menentukan arah kiblat.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Falak, Bahagian Penyelidikan Jakim, Che Alias Che Ismail, berkata penentuan arah kiblat yang tepat amat penting terutama dalam pembinaan masjid atau surau bagi memastikan ia tidak tersasar.

Beliau menegaskan, ketepatan arah kiblat bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana biarpun cuma satu darjah terpesong ia bersamaan kira-kira 125 kilometer tersasar dari arah Kaabah.

Bagaimanapun, muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan memutuskan had berpaling yang dibenarkan tidak melebihi tiga darjah dan ia tidak perlu difatwakan tetapi boleh dijadikan garis panduan dalam pembinaan masjid dan surau baru.

Che Alias menunjukkan cara untuk mencari kiblat dengan menggunakan Ushikata.

Katanya, dua alat digunakan untuk menentukan arah kiblat iaitu kompas Ushikata dan Teodolite tetapi ia juga berpandukan kepada keadaan tertentu seperti diletakkan di tanah rata untuk mendapatkan ukuran tepat.

“Peralatan itu selalunya digunakan untuk menentu arah kiblat untuk tujuan pembinaan masjid atau surau. Bagi orang perseorangan atau ingin menentukan arah kiblat di rumah, cara tradisional masih boleh digunakan.

“Setiap tahun, ada dua keadaan yang boleh digunakan umat Islam menentukan arah kiblat iaitu ketika matahari berada betul-betul di atas Kaabah. Ia berlaku pada 28 Mei jam 5.16 petang dan sekali lagi pada 17 Julai jam 5.28 petang.

“Caranya dengan meletakkan tiang atau sesuatu yang lurus di tanah lapang pada waktu berkenaan dan perhatikan bayang objek itu. Oleh kerana di Malaysia ia berlaku pada waktu petang, arah kiblat diukur dari hujung bayang hingga ke pangkal tiang ,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin, berkata falak ialah disiplin ilmu astronomi Islam yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu falak takwim membabitkan pengiraan hari, bulan bagi menentukan puasa dan hari raya.

“Kedua ialah falak waktu solat iaitu menentukan masuknya waktu solat berdasarkan kedudukan matahari dan ketiga, yang paling besar dan penting falak penentuan arah kiblat.

“Arah kiblat diukur menggunakan kompas Ushikata atau Teodolite. Caranya tidak banyak berbeza tetapi penggunaan Teodolite lebih tepat kerana kadang-kadang bacaan kompas dipengaruhi unsur lain seperti besi dan sebagainya,” katanya.

Zamihan berkata, cara tradisi masih boleh digunakan untuk menentukan arah kiblat dengan berpandukan arah matahari yang membabitkan dua hitungan.

“Pertama, berdasarkan kedudukan matahari di atas Kaabah yang berlaku pada Mei dan Julai setiap tahun. Seluruh dunia boleh menyemak kedudukan kiblat berdasarkan fenomena itu.

“Cara kedua ialah dengan menghitung waktu matahari setiap hari. Kaedah kedua banyak risiko kerana kedudukan matahari berubah setiap hari terutama di kalangan mereka yang tidak mahir dalam ilmu falak. Cuma pakar falak yang dapat berbuat demikian kerana ia membabitkan kaedah separa hitungan,” katanya.

Beliau berkata, masalah yang timbul sekarang ialah umat Islam tidak menguasai ilmu falak sepenuhnya dan pada masa sama masih tidak terlatih menggunakan teknologi moden.

“Justeru, ILIM berperanan melatih pegawai Islam untuk menggunakan alat ukur ini dengan mahir dan menjemput pakar dari universiti tempatan bagi tujuan itu,” katanya.

Penentuan arah kiblat boleh dicari dari pelbagai sudut dalam kehidupan serba canggih ini dan ia bergantung kepada ‘mahu atau tidak’ berusaha mencari ketepatan yang menjadi syarat sah solat, seterusnya membentuk peribadi menjadi Muslim sejati.

Rujuk Jabatan Mufti untuk panduan

SELANGOR mendahului negeri lain dalam memastikan setiap bangunan mengandungi surau atau ruang solat yang bakal didirikan mempunyai arah kiblat betul menerusi jalinan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kontraktor.

Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Selangor, Rizal Ramli, berkata pihaknya mengambil tindakan pencegahan dengan mencadangkan kepada PBT di seluruh negeri supaya meletakkan syarat tambahan kepada sebarang pelan pembangunan dirujuk terlebih dulu kepada jabatan mufti untuk mendapatkan arah kiblat yang tepat sebelum kerja pembinaan dijalankan.

“Langkah ini bertujuan mencegah kesilapan dalam menentukan arah kiblat. Dalam hal ini, PBT akan merujuk kepada Jabatan Mufti untuk mendapatkan arah kiblat yang tepat. Kita tidak mewajibkan pembinaan bangunan menghadap kiblat, memadai surau atau ruang solat mempunyai arah kiblat yang betul.

“Ia meliputi bangunan perumahan, pejabat, kilang, kompleks beli belah, stesen minyak, hotel, hospital dan pelbagai lagi. Namun bangunan masjid dan surau keseluruhannya perlu menghadap kiblat,” katanya.

Beliau menegaskan langkah itu mendapat sambutan baik dan kontraktor sendiri yang memahami keperluan itu, malah ada kontraktor yang mengunjungi pejabat mufti dengan membawa pelan bangunan untuk dirujuk bagi mendapatkan arah kiblat yang tepat.

Rizal berkata, Selangor juga mengambil inisiatif membuat ketetapan supaya semua tanah perkuburan di seluruh negeri mempunyai replika tanda arah kiblat bagi memudahkan urusan penggalian kubur.

“Dengan adanya replika itu, ia memudahkan kerja penggali kubur dan memastikan tidak timbul lagi sebarang kekeliruan mengenai arah kiblat.

“Bagi memudahkan orang ramai, jabatan mufti melancarkan permohonan menentukan arah kiblat secara online yang boleh didapati di laman web http://www.muftiselangor.gov.my. Maklum balas yang diterima amat menggalakkan dan sehingga September lalu, 45 permohonan diterima.

“Khidmat diberikan secara percuma dan ia dilakukan dalam tempoh tidak lebih 12 hari dari tarikh permohonan diterima. Ia bertujuan memberikan kemudahan kepada orang ramai,” katanya sambil setakat ini tiada aduan diterima mengenai arah kiblat salah di Selangor.

Beliau berkata, pihaknya selalu menerima permohonan daripada ahli jawatankuasa masjid dan surau yang meminta mereka menyemak semula arah kiblat dan selepas mendapatkan arah yang tepat, jemaah akan mengikut arah baru dengan sekadar mengubah permaidani atau sejadah.

INFO: Cara mengukur arah kiblat

  • Hanya boleh menggunakan kaedah matahari terbenam pada 28 Mei jam 5.16 petang dan 16 Julai jam 5.28 petang setiap tahun
  • Dirikan objek lurus seperti tiang di tanah lapang dan rata
  • Pastikan ia tegak dan lurus. Bagi menyemak ketegakan tiang, letakkan tali yang diikat pemberat pada hujung tiang
  • Tempat yang dipilih tidak terlindung sinaran matahari
  • Semakan perlu dibuat tepat mengikut waktu yang ditetapkan Sirim seperti waktu televisyen dan radio. Oleh kerana fenomena itu berlaku pada waktu petang di Malaysia, bayang tiang akan jatuh ke arah timur. Dengan itu, arah kiblat ialah yang menghadap barat.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Bersegera rebut anugerah Ramadan

Posted by epondok di Mei 28, 2018

TANPA disedari hari-hari Ramadan berlalu begitu pantas. Jika ketibaan Ramadan tidak dipedulikan, boleh jadi sekali lagi golongan yang lalai dan lengah termasuk dalam kalangan mereka yang rugi kerana gagal beroleh ganjaran berlipat kali ganda yang ditawarkan pada bulan ini. Boleh jadi golongan inilah juga yang gagal beroleh ganjaran takwa yang menjadi perisai untuk mengharungi bulan-bulan berikutnya dalam lingkungan rahmat dan keredaan-Nya.

Bagi mengelak rugi dan sekali lagi terlepas peluang keemasan yang kini terbentang di hadapan mata, masyarakat Islam diajak mengisi Ramadan dengan aktiviti ibadah dan bermanfaat.

Dalam masa sama berusaha sedaya upaya untuk berpuasa de­ngan sempurna sebagaimana diperintahkan. Ini dapat dilakukan dengan berpuasa dalam erti kata yang sebenar bukan sekadar tidak makan dan minum di siang hari.

Untuk itu tingkatan puasa khusus perlu diusahakan selain menjaga seluruh pancaindera daripada berbuat nista. Malah aurat perlu dijaga, kewajipan solat lima waktu perlu dipenuhi selain menjaga diri daripada melakukan perkara mazmumah. Ini penting bagi melayakkan seseorang memperoleh ganjaran puasa yang sempurna setelah bersusah payah melakukannya.

Kaum Muslimin turut diajak untuk berusaha menunaikan solat sunat tarawih pada setiap malam. Walaupun hukumnya sunat namun solat adalah mekanisme perhubungan terbaik antara makhluk dan khalik sehingga menjadikan setiap hamba dekat dengan Tuhan-Nya. Selain itu, dengan menghadirkan diri ke masjid dan surau berdekatan dapat juga mempertautkan hubungan sesama jiran tetangga dan anggota masyarakat yang kemungkinan kurang dilakukan sebelum Ramadan.

Dalam pada itu, solat wajib usah pula diabaikan. Ambil ke­sempatan bulan mubarak ini untuk solat secara berjemaah yang pahalanya juga berlipat kali ganda di sisi-Nya. Disebutkan dalam riwayat yang bertaraf lemah/daif amalan fardu yang dilakukan di bulan Ramadan gandakan pahalanya sehingga 70 kali ganda. Semoga dengan mula berjinak-jinak solat berjemaah ketika Ramadan akan terbiasa untuk melakukannya sepanjang tahun.

Lebih daripada itu, setiap Muslim perlu berusaha untuk mendapat anugerah beribadah pada malam al-Qadr. Dengan ganjaran penghapusan dosa dan pahala lebih baik daripada 1,000 bulan ia tidak sepatutnya diabaikan. Malah setiap Muslim perlu bersiap sedia sejak awal Ramadan bagi bertemu lailatulqadar yang dikuatkan oleh Nabi SAW berlaku pada malam ganjil 10 hari terakhir.

Terdapat ulama seperti Imam al-Ghazali yang menjangkakan lailatulqadar berlaku pada malam 21 Ramadan jika dikira permulaan puasa pada hari Khamis. Namun perlu difahami lailatulqadar masih kekal rahsia Allah SWT untuk menguji sejauh mana keimanan dan keyakinan hamba-Nya sehingga dianugerahkan ke­lebihan berlipat kali ganda.

Ambillah juga peluang untuk menyediakan juadah berbuka puasa. Selain terlibat menginfakkan harta di jalan Allah SWT, usa­ha mulia ini mampu menyemai sifat mahmudah seperti tolong-menolong dalam meringankan kesusahan orang lain. Diriwayatkan juga betapa orang yang menyediakan juadah untuk berbuka puasa akan diberikan ganjaran pahala puasa orang tersebut dan tidak berkurang sedikit pun daripadanya. Ini juga tanda seseorang bersyukur dengan nikmat rezeki pemberian Ilahi sehingga mudah-mudahan bertambah banyak keberkatannya di dunia dan akhirat.

Ramadan dan doa juga tidak dapat dipisahkan. Malah dikatakan Ramadan adalah bulan makbul doa. Justeru para Muslimin perlu melipatgandakan usaha memohon dan berharap kepada Allah SWT akan segala hajat dunia dan akhirat diperkenankan oleh-Nya. Kesempatan ini juga boleh digunakan untuk memohon agar saudara seIslam yang tertindas seperti di Palestin, Rohingya dan negara-negara yang diuji musibah peperangan, kebuluran dan kemiskinan dibantu oleh-Nya. Ambillah juga kesempatan berdoa semoga dikurniakan lagi nikmat berpuasa pada Ramadan tahun-tahun mendatang lalu sentiasa beroleh segala kurnia Ramadan yang tidak ternilai.

Oleh sebab anugerah Ramadan yang besar dan tidak terhingga banyaknya terdapat golongan yang berharap agar Ramadan sepanjang tahun. Namun, hikmah Allah SWT menjadikan Ramadan hanya sebulan boleh jadi untuk menguji siapa dalam kalangan hambanya yang benar-benar beriman dan mengharap keampunan Nya. Maka benarlah sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan sambil berharap ganjaran daripada-Nya diampunkan dosa-dosa lalu. (Riwayat Muslim)

Perlu juga diingatkan jika pahala puasa seseorang dilipat-gandakan dan hanya diketahui oleh Allah SWT sahaja begitu juga kata ulama balasan dan seksa bagi orang yang tidak berpuasa juga dilipat-gandakan dan hanya diketahui oleh Allah SWT. Lebih buruk daripada itu, terdapat riwayat yang menyebutkan ramai golongan yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripada puasanya kecuali rasa lapar dan dahaga.

Justeru, nikmat panjang umur sehingga dapat berpuasa lagi pada Ramadan kali ini usah dibiarkan berlalu begitu sahaja. Inilah masa terbaik untuk seseorang berusaha mendidik nafsu dan jiwa masing-masing agar Ramadan yang berlalu meninggalkan seribu pengajaran dan iktibar buat semua.

Amatlah rugi apabila seseorang terpilih bertemu Ramadan tetapi tidak berhasil meraih sebesar-besar kurnia-Nya. Bertambah buruk apabila kemungkinan ini adalah Ramadan yang terakhir dalam diari kehidupan seseorang sehingga terpaksa menanggung derita penyesalan buat selama-lamanya.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Puasa membolehkan umat bermuhasabah

Posted by epondok di Mei 28, 2018

SIYAM atau puasa seperti yang diungkapkan oleh al-Quran membimbing manusia kepada jiwa takwa. Jiwa takwa di sisi Allah SWT adalah suatu kemuliaan. Keadilan Allah mengukur kehebatan insan bukan kepada warna kulit, pangkat, kuasa, kekayaan dan harta tetapi ukuran itu adalah kepada rijal atau manusia yang muttaqeen.

Takwa dalam bahasa mudah dihubungkan sebagai takutkan Allah (‘ittaqillah). Dalam bahasa syaraknya adalah kegentaran terhadap balasan Allah yang amat pedih. Di hari pembalasan nanti seluruh apa yang dilakukan dalam hidup ini akan dihisab.

Orang berjiwa muttaqeen semasa hidupnya akan sentiasa mendukung sesuatu yang makruf dan menjauhkan diri daripada kemungkaran.

Siyam adalah latihan rohaniah supaya kawalan diri sentiasa dijadikan pedoman.

Pengalaman berlapar dan dahaga di samping dapat mengawal hawa nafsu, hikmahnya adalah mencetuskan keinsafan mengenai hakikat lapar dan miskin. Lalu pe­ngalaman siyam menjadikan ahli ibadah orang yang sedar bahawa sifat pemurah dan tidak bakhil menyebabkan rasa peduli terhadap yang lain dirasai sama.

Siyam juga mencetuskan binaan jiwa tawaduk iaitu asas kepatuhan yang tinggi menginsafi kita ini hamba Allah dengan mengekang sifat sombong dan takbur yang menyalahi maksud solat yang kita lakukan seperti tarawih, qiam dan tahajjud yang melatih diri menjadi ibadullah dan ibadurrahman.

Siyam juga melatih diri supaya sabar dengan ujian dan kerenah nafsu. Mengawal dan menjinakkan nafsu supaya menjadi nafsul mutmainnah atau nafsu berjiwa tenang adalah amat penting kerana ia adalah bawaan diri yang fitrah. Kalau kekal dengan nafsul amarah yang tinggi ia tidak mengembalikan insan kepada fitrah.

Sekiranya ini terjadi jalan hidup yang dituju hasil siyam dan ibadah yang lain adalah kembali kepada iman dan takwa. Memang asal jadinya manusia adalah dalam keadaan fitrah.

Siyam dan ibadah lain diibaratkan sebagai madrasah rohiyyah melakukan tazkiah an-nafs atau penyucian dan pembersihan jiwa supaya jiwa yang kotor, hasad dan dengki, bengis dan berprasangka buruk kembali semula kepada diri secara fitrah.

Inilah yang menjadi maksud sebenar me­nga­pa siyam diwajibkan kepada orang-orang beriman supaya jalur muttaqeen menjadi sumber ikutan yang terbaik. Beza orang yang muttaqeen dengan orang yang tidak muttaqeen amat nyata.

Yang satu patuh, akur, taat dan tunduk kepada suruhan Allah dan yang satu lagi sentiasa dalam keingkaran dengan memiliki sifat-sifat mazmumah iaitu perangai-perangai yang terkeji.

Mengembalikan diri kepada fitrah adalah maksud utama untuk menjadi insan soleh dan solehah.

Sebab itu Aidilfitri yang bakal dirayakan nanti membayangkan tamatnya proses madrasah rohhiyyah selama sebulan. Ia adalah hari kemenangan yang merintis transformasi diri insan supaya kembali ke fitrah.

Darinya kita lakukan ziarah sesama kerabat dan ke­luarga mohon maaf yang tersilap dan terlanjur.

Kita temui teman dan kawan, sahabat dan taulan mengenai perbuatan masa lalu yang melukakan hati mereka.

Diziarahi anak yatim, golongan daif dan miskin, kelompok yang terbiar dan mereka yang tidak bernasib supaya makna Aidilfitri itu dirasakan sama.

Bayangkan golongan-golongan seperti ini yang sudah kehilangan suami atau isteri, yang sudah tiada kedua ibu bapanya, yang tua dan uzur akan merasakan sesuatu yang bernilai sekiranya diziarahi. Inilah asas ukhuwah yang dituntut agama kerana ia adalah tuntutan yang fitrah.

Kembalinya insan kepada fitrah memang sesuatu yang amat dituntut oleh Islam. Islam pada hakikatnya bukanlah sekadar suatu ritual atau memberi fokus kepada ibadah yang sifatnya khususiah semata tetapi kehebatan orang yang kembali kepada fitrah ialah perubahan watak dan peribadinya.

Perubahan ini amat besar ertinya dalam Islam. Al-Quran dalam surah al-Asr – Illallazi na’amanu waamilussalihat – orang yang beriman itu melakukan amal soleh adalah gambaran terbaik bagaimana keindahan Islam itu terlihat pada amalan dan perbuatan.

Justeru warga Madrasah Ramadan seharusnya memperkasa pembangunan dirinya supaya tidak saja perubahan dalaman berlaku tetapi juga perubahan pemikiran terjadi. Tarbiah Ramadan harus banyak membawa diri insan merenung ke dalam diri tentang betapa pentingnya kita kembali kepada kehidupan yang fitrah.

Jiwa muttaqeen yang dibina memberi erti seolah-olah kita ini dilahirkan semula.

Kalau pada masa-masa lalu banyak kesilapan yang dilakukan, abainya kita terhadap solat dan amalan-amalan yang fardu, serakahnya perangai kita terhadap pasangan dan anak-anak, sombongnya kita pada jiran dan kerabat, bongkaknya kita terhadap pangkat dan kedudukan, kita merasakan dunia ini segala-gala, Aidilfitri memberikan kita sempadan melakukan perubahan.

Membangun jiwa muttaqeen menjadi prasyarat untuk kita menyambut hari kemenangan di mana sebulan berpuasa memberi makna yang amat bererti kepada kita dan hari depan yang bakal dilalui.

Kemungkaran yang berlaku di masa lalu membawa kita ke jalan taubat supaya barakah dari Allah dapat dirasai.

DATUK DR. SIDEK BABA

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Mukmin lalai zalimi diri sendiri

Posted by epondok di Mei 26, 2018

Nik Hasnah Ismail

 

Kematian bukan saja menjadi antara tanda akhir zaman, bahkan peringatan supaya orang beriman sentiasa bersedia menghadapinya. Ikuti rancangan Islam Itu Indah yang menampilkan Ustaz Firdaus Subhi dalam menyorot ancaman orang beriman yang lalai dan menzalimi sendiri.

Mati atau meninggal dunia pasti akan berlaku kepada sesiapa sahaja yang bernyawa. Setiap makhluk akan merasai mati, bahkan Allah SWT menyebut kematian adalah perkara pasti cuma bila waktunya adalah rahsia-Nya. Dalam al-Quran Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga, maka sungguh dia beruntung. Kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan memperdayakan.” (Ali Imran: 185)

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Firdaus Subhi, berkata Mukmin yang beriman kepada Allah SWT hendaklah menguruskan kehidupan sebaik mungkin kerana setiap satu dilakukan akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Ketakwaan terhadap perintah Tuhan akan menatijahkan keberkatan dan kasih sayang-Nya yang akhirnya mendapat ganjaran di akhirat kelak.

Antara petanda akan berlakunya kiamat ialah kematian mengejut orang alim, selain tanda seperti kematian disebabkan kemalangan, kesakitan pelik dan pelbagai perkara di luar batasan pemikiran manusia. Oleh itu, Mukmin hendaklah sentiasa bersedia dan beriman kepada Allah SWT kerana tidak seorang pun akan tahu waktunya akan berakhir.

Oleh demikian Mukmin diingatkan agar tidak melakukan kezaliman ke atas diri sendiri dengan melakukan maksiat dan ingkar perintah Allah SWT. Begitu juga setiap perbuatan dan amalan di dunia hendaklah berdasarkan pedoman al-Quran serta sunah supaya dengan kedua-dua panduan ini akan menyelamatkan manusia ketika pembalasan Allah di akhirat nanti.

Ulama Sheikh at-Tantawi mendefinisikan mereka yang dikategorikan menzalimi diri sendiri sebagai Mukmin melakukan kejahatan melebihi kebaikan. Meninggalkan perkara wajib diperintah Allah SWT dan melakukan perkara diharamkan-Nya sungguhpun mengucap kalimah syahadah tetapi pada masa sama mengingkari perintah Tuhan. Mereka akan mendiami neraka jahanam di akhirat nanti.

Adapun neraka jahanam dimaksudkan ialah Neraka Jahim, iaitu yang diperuntukkan kepada orang beriman kepada Allah SWT tetapi tidak cukup amalannya. Mereka dari kalangan orang menzalimi diri sendiri yang akan mendapat pembalasan neraka daripada Allah SWT. Setelah menerima pembalasan di neraka barulah mereka dibersihkan di dalam telaga Kausar sebelum dimasukkan ke syurga.

Dunia ialah tempat bercucuk-tanam dan melakukan amalan bagi mengutip ganjaran pahala di akhirat. Seandainya matlamat Mukmin adalah untuk mengejar akhirat pastinya dunia menjadi ladang untuk membina sebanyak mungkin pahala. Malanglah bagi Mukmin jika di tangannya terdapat kunci kejahatan yang akan menjerumuskannya ke neraka jahanam.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesiapa beramal soleh daripada kalangan lelaki atau wanita sedangkan dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan baik dan sesungguhnya kami akan membalas mereka dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka kerjakan.” (An-Nahl: 97)

Oleh itu, mukmin hendaklah berlumba-lumba memburu pahala dan membuat kebaikan kerana kelompok manusia yang menafkahkan dirinya untuk kebaikan pastinya akan mendapat ganjaran syurga Allah SWT. Justeru, setiap mukmin wajib sentiasa bermuhasabah diri, menuntut ilmu dengan mereka yang fakih dan sentiasa mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah. Ini kerana hidup cukup singkat untuk dihabiskan dengan perkara sia-sia.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Batasan kebebasan pastikan bahagia

Posted by epondok di Mei 24, 2018

Oleh Mazlina Ismail

 

Idea mengenai kebebasan sering mendapat tempat dalam perbincangan orang awam dan masyarakat berdasarkan interpretasi masing-masing. Ikuti perbincangan Kebebasan Dalam Beragama menerusi rancangan Suluh Budi, Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (SYARAK) Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr Mohd Farid Mohd Shahran terhadap baik buruknya idea kebebasan mutlak

Mutakhir ini, dunia sering berbicara mengenai kebebasan. Namun sekiranya ditanya definisi kebebasan, setiap individu akan memberikan makna kebebasan mengikut intepretasi masing-masing. Prof Adler Mortimer melalui bukunya The Idea of Freedom yang mengkaji pandangan ahli falsafah dan pemikir besar dahulu hingga kini, pada akhir tulisannnya memberi kesimpulan nilai kebebasan tidak ada bersifat mutlak kerana kehidupan ini dibataskan pelbagai konteks dan lingkungannya.

Tokoh Islam masa kini Sheikh Hamza Yusuf juga pernah menyebut idea yang mengkehendaki kebebasan mutlak sejak akhir-akhir ini yang bermula dari Barat ialah idea baharu dalam sejarah kemanusiaan yang juga sebenarnya satu aliran ekstrim atau pelampau.

Secara asasnya setiap aspek dalam kehidupan mempunyai batas dan sempadan. Bermula dari rumah dengan kita meletakkan batasan membabitkan ruang antara anak-anak dan ibu bapa, sempadan juga dibuat antara jiran tetangga serta di tempat kerja dan tempat atau perkara lain baik dari sudut batasan fizikal, ruang, adab dan perbuatan.

Dalam Islam, masyarakatnya ditegakkan di atas asas kebebasan, kedamaian dan kesejahteraan sejagat. Namun kebebasan bukan sahaja melihat kepada kepentingan adanya batasan dalam perbuatan dan amalan terhadap diri dan orang lain, bahkan batasan perlu ada dalam pemikiran. Memahami perkara yang membataskan dan sebaliknya penting dalam Islam kerana kebebasan pemikiran ini juga jika tidak dikawal dengan ilmu, akan membawa kepada penyelewengan ideologi yang akhirnya menatijahkan kesan negatif kepada masyarakat dan umat Islam khususnya.

Cara bermuamalah dengan orang kafir

Membincangkan Kebebasan Dalam Beragama menerusi rancangan Suluh Budi, Pengarah Pusat SYARAK IKIM, Dr Mohd Farid Mohd Shahran, berkata Islam menurut sumber utamanya, iaitu al-Quran menyebut firman Allah SWT bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya sudah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa tidak percayakan taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 256)

Ayat ini menjelaskan dalam Islam, tidak ada paksaan dalam beragama kerana melalui al-Quran, Allah SWT menjelaskan yang mana petunjuk dan yang mana kesesatan. Sunnah Rasulullah SAW juga mengajar cara bermuamalah dengan orang kafir, iaitu melalui dakwah Islamiah dan hujah yang baik.

Walaupun orang Islam tidak dibenarkan memaksa, adalah menjadi kewajipan ke atas setiap mereka untuk menyeru dan mengajak manusia kepada Islam, agama yang membawa kesejahteraan kepada manusia.

Walaupun begitu, kebebasan menerusi hukum dan aturan turut diletakkan ke atas Muslim yang bertujuan mencegah mereka daripada perbuatan menyimpang dari agama. Ini menunjukkan Islam tidak membiarkan begitu saja orang yang sudah memeluk agama suci ini dengan kehendak dan kemahuannya sendiri tanpa panduan benar.

Justeru, adalah wajar pengikutnya untuk mematuhi setiap perintah dan larangan yang ditentukan oleh al-Quran dan hadis. Antaranya perintah mendirikan solat, puasa, zakat dan haji serta melarang mereka daripada meminum minuman keras, judi, zina dan mencuri serta keburukan lain. Bahkan Islam meletakkan menghukum orang yang melanggar perintah Allah dengan hukuman bersesuaian dengan tingkat pelanggarannya juga adalah bagi memelihara keamanan dan kebebasan kemanusiaan.

Jelaslah aturan dan batasan yang ditetapkan itu adalah untuk kepentingan manusia sendiri. Dengan kebebasan terbatas itulah kebahagiaan dunia dan akhirat setiap individu dan masyarakat akan terpelihara.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Jadikan al-Quran sentiasa bersemi dalam hati

Posted by epondok di Mei 22, 2018

 

RAMADAN benar-benar menyedarkan bahawa tidak ada yang lebih dekat dengan kita kecuali Allah SWT. Sebaliknya, kita sering menjauhkan diri daripada Allah SWT dengan melakukan pelbagai maksiat dan dosa. Seharusnya Ramadan membantu kita menilai diri.

Ustazah Norhafizah Musa dalam program Usrati yang bersiaran pada Khamis di IKIMfm berkata, sepanjang menjalani ibadah puasa serta ibadah sunat yang digalakkan, kita boleh tahu adakah diri semakin dekat dengan Allah SWT atau sering tertewas dalam pertarungan melawan hawa nafsu.

Daripada Aisyah: “Rasulullah SAW jika sudah masuk 10 malam terakhir, tidak lagi mendekati tempat tidurnya. Baginda terus menghidupkan malam dengan mengejutkan ahli-ahli keluarganya.” (Riwayat Bukhari)

Hakikatnya, Ramadan adalah landasan untuk melakukan transformasi kerana padanya terdapat faktor pendorong yang boleh mencetuskan semangat melakukan perubahan. Al-Quran diturunkan pada Ramadan dan kebanyakan kita memperbanyakkan membaca serta bertadarus al-Quran pada bulan itu.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya bagi Allah ada ahlinya daripada kalangan manusia. Apabila sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW siapakah ahli Allah itu, Baginda menjawab: Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah ahli Allah, dan mereka itulah orang yang khusus di sisi Allah Azza wajalla.”

Diangkat jadi ahli al-Quran

Oleh itu marilah kita banyak membaca al-Quran, bertadabbur dan cuba menghafaz sambil berdoa serta berharap supaya kita diangkat darjatnya sebagai ahli Allah SWT dan ahli al-Quran.

Menurut al-Hakim al-Tirmizi , orang yang disebut sebagai ahli Quran itu adalah yang membaca al-Quran dalam keadaan hatinya bersih, jauh daripada sifat lalai dan berusaha menghilangkan dosa pada dirinya dengan jalan taubat.

Maka ahli al-Quran yang seumpama itulah yang disebut sebagai ahli Allah SWT. Tidak termasuk orang khusus kecuali bagi orang yang membersihkan dirinya daripada dosa yang nampak mahupun tersembunyi lalu menghiasi dirinya dengan ketaatan, ketika itu dia termasuk orang khusus di sisi Allah SWT.

Seeloknya kesempatan mendekatkan diri dengan al-Quran tidak terhenti apabila berakhirnya Ramadan tetapi ia menjadi medan latihan membentuk diri menjadi ahli Quran, memahami maknanya dan mengimpikan dikurniakan pengiktirafan serta dinobatkan sebagai ahli Allah SWT.

Ulama Alhafiz Muhammad Hussein al-Ajuri berkata, seseorang itu harus menjadikan al-Quran sentiasa bersemi dalam hatinya, menghidupkan kembali kerosakan hati dengan al-Quran, serta beradab dan berakhlak dengan al-Quran.

Beliau berkata, hendaklah diwujudkan untuk ahli al-Quran iaitu ketakwaan kepada Allah SWT, baik dalam keadaan sunyi mahupun nampak, berhati-hati makan minum, pakaian, tempat tinggal, memahami fenomena zaman, kerosakannya dan dapat merawatnya, berhati-hati terhadap agamanya serta urusan agama.

Katanya, ahli al-Quran jarang melakukan sesuatu yang tidak perlu, dia sangat takut kepada Allah SWT, takut sekiranya mulutnya mengeluarkan perkataan yang membawa kemurkaan Allah SWT dan seluruh pancaindera dijaga dengan baik.

Itulah orang yang hidupnya terkesan daripada al-Quran. Kita perlu memahami untuk menjadi ahli al-Quran bukan hanya dengan membacanya sahaja, tetapi benar-benar mengharap kepada Allah SWT supaya membantu dalam azam dan niat untuk menjadi ahli al-Quran.

Dua golongan membaca al-Quran

Mereka yang membaca al-Quran ini terdiri daripada dua golongan iaitu yang membaca, memahaminya, bertadabbur dan menghayati kandungannya. Golongan kedua terdiri daripada mereka yang membaca al-Quran dalam keadaan hati yang lalai.

Seharusnya kita membaca al-Quran dalam keadaan hati yang boleh mengambil pengajaran dan memahami ayat al-Quran. Selain itu, amalan membaca al-Quran perlu dilakukan secara bersungguh dan paling utama diteruskan sepanjang masa.

Bertuahnya mereka yang termasuk dalam golongan ahli al-Quran dan sepatutnya kita juga berusaha ke arah itu. Justeru, momentum yang merapatkan kita dengan kitab suci Allah SWT pada Ramadan ini perlu diteruskan dengan semangat lebih membara.

Jika ketika berpuasa mudah bagi kita meluangkan masa membaca al-Quran, lebih lagi sepatutnya pada bulan lain. Alangkah rugi jika perasaan tenang, damai dan pahala diperoleh tatkala kita menjalin hubungan dengan al-Quran tiba-tiba lenyap begitu sahaja kerana berakhirnya Ramadan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Persiap hati, jiwa hayati Ramadan

Posted by epondok di Mei 20, 2018

Oleh Mohd Faiz Othman

 

MUKMIN perlu bersiap-sedia untuk menanti kehadiran Ramadan seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Ikuti perkongsian Ustazah Halimah Al-Aydrus dalam segmen Topik Jumaat bersiaran di IKIMfm.

Ramadan adalah kurniaan Allah SWT. Sebagai hamba, kita wajib mensyukuri nikmat usia yang diberikan sehingga kita dapat bersama-sama meraih ganjaran berlipat kali ganda setiap kali munculnya Ramadan. Malah, Rasulullah SAW sudah bersiap sedia menanti kehadiran Ramadan yang penuh dengan keberkatan, dua bulan lebih awal. Baginda mengajarkan doa kepada kita: “Ya Allah, berkatilah kami pada Rejab dan Syaaban serta sampaikanlah kami kepada Ramadan.”

Nabi SAW turut bersabda: “Ramadan itu menghapuskan dosa. Andai sahaja kalian tahu, apa yang Allah SWT kurniakan pada Ramadan, maka kalian akan berharap agar setiap bulan adalah Ramadan.”

Menerusi segmen Topik Jumaat bersiaran di IKIMfm, Ustazah Halimah Al-Aydrus berkongsi persiapan kita sebagai hamba dalam menuju ke gerbang Ramadan. Beliau berpesan agar kita melakukan yang terbaik setiap kali munculnya Ramadan kerana belum tentu dapat bertemu dengan Ramadan berikutnya.

Segala kurniaan diberikan Allah SWT ketika Ramadan akan turun ke dalam hati kita. Maka Allah SWT akan mencari hati yang layak untuk diturunkan segala keampunan Allah SWT. Jadi, sebelum melangkah masuk Ramadan, kita harus mempersiapkan hati dan jiwa kita.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila datang malam pertama Ramadan, Allah SWT akan pandang hamba-Nya dengan pandangan penuh kasih sayang.”

Empat golongan terhalang rahmat Ilahi

Janganlah kita tergolong mereka yang jauh daripada rahmat dan kasih sayang Allah SWT tatkala tiba Ramadan. Rasulullah SAW pernah bersabda mengenai empat golongan terhalang daripada mendapat rahmat Allah SWT ketika Ramadan.

Pertamanya, golongan peminum minuman keras. Kedua, anak derhaka kepada kedua ibu bapa. Untuk itu, bagi anak, dapatkan reda dan restu ibu bapa serta keampunan mereka agar Ramadan yang kita lalui tidaklah sia-sia kerana keredaan Allah SWT untuk apa yang kita lakukan pada Ramadan sangat bergantung dengan keredaan ibu bapa. Bagi ibu bapa, didiklah hati untuk mudah memaafkan kesalahan anak serta reda dengan mereka. Rasulullah SAW pernah bersabda: “Semoga Allah memberi rahmat, seseorang yang memudahkan anaknya untuk berbakti kepada dirinya.”

Golongan ketiga yang jauh daripada rahmat Alah SWT ketika Ramadan, orang yang memutuskan hubungan silaturahim dengan saudaranya. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya hubungan silaturahim bergantung di bawah ‘Arasy.” Lantas Baginda menyambung “Ya Allah, sambungkanlah diri-Mu dengan orang yang menyambungkan hubungan denganku dan putuskanlah hubungan-Mu Ya Allah, dengan orang memutuskan hubungan denganku.”

Golongan terakhir ialah orang yang di hatinya ada dendam, permusuhan dan kebencian terhadap orang lain. Orang yang belum lagi kita memaafkan kesalahannya bisa menjadi penghalang kebaikan yang kita lakukan. Jika kita tinggalkan keempat-empat perkara ini, maka mudah untuk kita mendapat rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT tatkala tiba Ramadan.

Ramadan juga bulan suci. Kesucian daripada Ramadan ketika ia dapat menyucikan kita daripada perbuatan dosa yang kita lakukan. Rasulullah SAW bersabda: “Dari Ramadan kepada Ramadan (sekiranya bagus Ramadannya), mampu menjadi penghapus dosa antara dua Ramadan.’

Penuhkan masa dengan ibadah

Jadikan Ramadan kita terisi dengan perkara diredai Allah SWT seperti berpuasa pada siangnya dengan penuh kesungguhan, menunaikan solat Tarawih dan ibadah malam serta memperbanyakkan membaca al-Quran.

Ustazah Halimah turut berpesan agar kita dapat memperbanyakkan sedekah. Maka, sedekah paling baik pada Ramadan adalah memberi makan orang berpuasa. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memberi makan orang berpuasa ketika berbuka, maka dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang berpuasa itu, tidak berkurang sedikitpun pahalanya.”

Semoga apa juga amalan kita yang kita laksanakan ketika Ramadan akan diganjari Allah SWT dan beroleh ketakwaan pada penghujung Ramadan kita nanti. Jadikan Ramadan kali ini, Ramadan terbaik dalam kehidupan kita.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Himpunan Artikel Puasa dan Ramadhan

Posted by epondok di Mei 19, 2018

Bayar Fidyah Tinggal Puasa

Tips didik anak berpuasa

Kelebihan menjamu orang berbuka puasa

Bezanya Puasa Dengan Ibadat Lain

5 perkara rosakkan pahala puasa

Fadilat Ramadan & Hikmah Berpuasa

10 Keutamaan orang berpuasa

Perkara yang harus dilakukan bila batal puasa

Adab berpuasa dan solat terawih

Kewajiban-kewajiban lahiriah puasa

Rahsia puasa kita diterima

Hikmah puasa dari aspek kesihatan

Rahsia-rahsia puasa dan syarat-syarat kebatinannya

Sunat-sunat dalam ibadat puasa

3 bentuk ganjaran kesempurnaan puasa

3 Tingkatan Orang Berpuasa

Nikmat ibadat puasa

Rahsia ibadat puasa

7 Tips seronok sambut Ramadhan

Amalan Pilihan Sepanjang Ramadhan

Berseronoklah menghidupkan Ramadhan

11 Amalan terbaik sepanjang Ramadhan

KEKHUSUSAN DAN KEISTIMEWAAN BULAN RAMADHAN

Cara Salafussoleh hidupkan Ramadhan

Posted in Artikel Ramadhan | Leave a Comment »