Rasa ‘tahu’ dan ‘mahu’ berjaya itu, membuatkan perasaan/semangat dan tindakan mereka senada, iaitu untuk menyemai kejayaan yang bakal mereka tuai pada masa hadapan (apa yang mereka fikir dan rasakan itulah yang mereka lakukan). Maknanya mereka sudah ‘tahu’ apa yang mereka ‘mahu’ lakukan dan tidak boleh lakukan pada masa kini, untuk membolehkan mereka menikmati kejayaan pada masa akan datang.

Kedua, orang yang hebat sentiasa bersedia dengan kekuatan mental dan emosi untuk bersabar dan tidak mudah kecewa dan mengalah. Mereka menyedari bahawa jalan menuju kejayaan itu bukanlah mudah, sebaliknya berliku-liku dan penuh cabaran, kerana harga sesuatu kejayaan itu sangat mahal. Sebaliknya mereka sentiasa menerima segala dugaan, cubaan dan halangan sebagai satu pengorbanan sebelum berjaya menggapai kejayaan. Mereka perlu mengorbankan masa, kewangan, harta, tenaga, kepentingan diri dan kepentingan keluarga demi memastikan kejayaan berada dalam genggaman mereka.

Mereka sentiasa cekal, kebal dan berdaya tahan emosi untuk menempuh segala kemungkinan, terutama terhadap sesuatu yang berlaku di luar jangkaan dan sasaran mereka. Iaitu sentiasa memberikan respons positif biarpun berhadapan dengan situasi dan peristiwa negatif. Mereka mempunyai matlamat lain yang sedang menanti, dan mempunyai jangkaan yang positif tentang apakah yang akan mereka tempuhi seterusnya.

Mereka tidak lemah semangat apabila berhadapan dengan masalah, bahkan masalah dianggap sebagai cabaran yang perlu dihadapi dengan tabah. Apabila berhadapan dengan masalah, mereka tidak fikirkan masalah sebagai halangan, tetapi mereka fikirkan jalan untuk keluar daripada masalah tersebut. Maknanya masalah, bukan batu halangan, tetapi sebagai batu loncatan atau peluang untuk berjaya.

Ketiga, orang yang hebat sentiasa bertindak luar biasa. Hal ini didorong oleh naluri mereka yang enggan menjadi orang biasa-biasa. Orang yang mahu meraih kejayaan luar biasa berani membuat tindakan yang luar biasa. Mereka tidak akan membiarkan hidup mereka ditentukan oleh ‘nasib’ dan menerima sahaja ketentuan hidup yang ditakdirkan kepada mereka dengan keluh kesah, rungutan, penyesalan dan menyalahkan faktor luaran diri mereka yang menyebabkan hidup mereka sedemikian buruk. Mereka tidak membiarkan dunia luaran mempengaruhi dunia dalaman hidup mereka, kerana itu mereka mempunyai prinsip hidup yang jitu.

Keempat, orang yang hebat berani mengambil risiko untuk berjaya, dan berbeza dengan orang lain, yang lebih suka mengambil jalan selamat dan jauhi jalan yang berisiko. Iaitu mengikut jalan yang ramai orang telah lakukan dan ternyata selamat. Ingatlah kita tidak akan menjadi apa-apa jika enggan membuat apa-apa tindakan yang berani terhadap hidup kita. Orang yang hebat, akan berfikir apa yang tidak terfikir dan tergapai oleh akal fikiran orang lain, berani mencuba sesuatu yang baharu, di luar bidang dan tidak biasa dilalui oleh mereka dan orang lain.

Seandainya mereka menempuh kegagalan akibat daripada keberanian mereka mencuba sesuatu yang baharu dan sesuatu yang belum dilakukan oleh orang lain, mereka akan mengambil kegagalan itu sebagai bermulanya satu pengalaman dan pengajaran, yang menguatkan semangat dan tahan ujian. Mereka akan mencuba pendekatan baharu dan lain sama sekali dengan yang lalu, dan kegagalan itu sebagai garis panduan melihat kesilapan diri.

Kelima, orang yang hebat sentiasa mahu mendapatkan inspirasi positif daripada orang berjaya. Untuk berjaya kita mesti berada dalam kalangan atau kelompok orang yang berjaya. Tetapi, ingatlah jika kita menjadikan seseorang idola kita, yang penting diketahui dan diambil inspirasi daripada orang yang berjaya dalam bidang yang diceburi itu, bukan senarai pencapaian kejayaannya, tetapi sejarah jatuh bangunnya sebelum meraih kejayaan. Sebab banyak orang yang berjaya menjadikan kegagalannya sebagai guru, malah kegagalan membijaksanakan kita kerana kita akan mengkaji kelemahan strategi pelaksanaan dan kekurangan diri melalui kegagalan.

Kita menerima hakikat bahawa untung nasib hidup kita dalam ketentuan kekuasaan Allah SWT dan hal ini menimbulkan rasa ‘kesedaran ketuhanan’ kita semakin meningkat. Sebaliknya kejayaan melalaikan dan cenderung menjadikan hidup kita diselubungi oleh rasa ‘kesedaran keegoan’ yang tinggi. Ingatlah orang yang benar-benar hebat, adalah orang yang sedia berhadapan dan mengharungi ujian dan cabaran yang teramat hebat, serta menjadikan ujian itu semakin mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT.

Keenam, orang yang hebat jika mereka telah berjaya, mereka selalu beranggapan bahawa setiap kejayaan bukan bermakna berakhir segala usaha. Tetapi, mereka menganggap sesuatu kejayaan itu sebagai permulaan untuk memijak satu demi satu anak mata tangga kejayaan yang seterusnya.

Ketujuh, orang yang hebat, mereka tidak selesa berada di ‘zon keselesaan’. Untuk berjaya dalam hidup, baik untuk kehidupan di dunia mahu pun di akhirat kita mesti keluar dari ‘zon keselesaan’. Sebenarnya, ‘zon keselesaan’ itu ada baik dan buruknya. Secara negatif, ‘zon keselesaan’ mendorong kita berasa sudah berpuas hati kerana berasa hebat dan tidak ada siapa yang boleh menandingi kehebatan kita. Kita tidak perlu bersaing lagi, tidak mahu lagi menghadapi tekanan hidup memburu kejayaan mengejar kehidupan duniawi dan tidak mahu berhadapan dengan cabaran. Sebaliknya menerima takdir hidup ini seadanya dengan penuh keredaan dan bergantung kepada nasib baik atau buruk yang ditakdirkan Allah SWT untuk kita. ‘Zon keselesaan’ membuatkan kita bersikap negatif, ambil mudah dan malas hendak berusaha. Menjadi orang yang banyak beralasan.

Secara positifnya, orang yang berada dalam ‘zon keselesaan’ juga akan merasai cukup atau memadai dengan apa yang sudah kita miliki, dan mula memikirkan memperuntukkan masa untuk mencari bekalan akhirat pula. Mereka tidak mahu tercicir akhirat kerana terlalu mengejar duniawi. Jom audit diri kita, berada dalam ‘zon keselesaan’ yang positif atau negatif? Lakukan refleksi diri, kalau kita berada dalam ‘zon keselesaan’ yang negatif, hijrahkan diri kita ke dalam ‘zon keselesaan’ yang positif.

Kelapan, orang yang hebat ini bertanggungjawab dan merangsang dirinya untuk berjaya, serta sentiasa menggunakan mindanya untuk berfikir bagaimana hendak menjadi orang yang hebat, iaitu berjaya dan hebat di dunia dan di akhirat. Dengan akal manusia mengatur dan merancang corak kehidupannya.

Sesungguhnya manusia yang hebat di mata Allah ialah manusia yang merancang corak atau bentuk kehidupannya, (life by disinge) yang memberikan jaminan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Orang yang hebat di sisi Allah juga sentiasa menilai dirinya (bermuhasabah); menjadikan hari ini adalah lebih baik daripada hari semalam, bukan hari ini sama sahaja dengan semalam, dan bukan hari ini lebih buruk daripada hari semalam. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.