Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for April 2018

Beza roh orang beriman dengan golongan diperdaya

Posted by epondok di April 30, 2018

Oleh Fairuz Noordin

 

Pada suatu masa nanti dalam perjalanan hidup manusia, akan tiba masanya mereka dilanda penyakit penyesalan apabila menghampiri saat kematian seperti firman Allah SWT: “Dan (ingatkanlah) hari orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan diri sendiri) sambil berkata: ‘Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? Celakalah aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! Sesungguhnya dia menyesatkan aku daripada jalan peringatan (Al-Quran) setelah disampaikan kepadaku.’ Dan Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikannya sahabat karib).” (Al-Furqaan: 27-29)

Penyesalan pertama manusia ialah apabila melihat malaikat maut berdiri di hadapan, lalu memohon agar ditangguhkan kematiannya seketika agar berpeluang untuk bersedekah dan melakukan amalan salih. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menangguhkan kematian manusia apabila tiba masa dan lebih mengetahui perilaku hamba-Nya. Tanpa persiapan menghadapi kematian, manusia akan berdepan penyesalan tidak berkesudahan.

Dua keadaan akan berlaku kepada manusia ketika saat kematian, iaitu roh orang Mukmin akan ditarik dengan cara yang lembut, lalu berkumpul bagaikan air yang tidak bercampur dengan minyak, walaupun hakikatnya mereka juga menanggung azab kematian amat dahsyat.

Sementara itu, satu lagi golongan manusia yang apabila roh mereka diseru untuk meninggalkan jasad, roh akan bertempiaran lari, lalu nyawa direntap dalam keadaan kucar-kacir dihasut oleh syaitan untuk menyesatkan manusia ketika sampai ajalnya.

Mereka akan dipujuk oleh syaitan yang datang menyerupai orang dikenali ketika hidup. Tiada lagi taubat diterima Allah SWT apabila tiba masa nyawa berada di halkum kerana segala-galanya sudah terlewat, manakala malaikat tidak dapat mencari walau satu pun kalimah syahadah di seluruh jasadnya dan berakhir hidupnya dalam keadaan sia-sia.

Namun, sebaliknya mereka yang disayangi Allah SWT, malaikat akan mencari kalimah itu pada jasad ketika roh berada di halkum. Apabila ditemui, malaikat akan menepuk bawah dagu mereka sehingga lidah tergerak untuk menyebut kalimah Allah SWT. Lalu roh pun keluar untuk dimasukkan oleh malaikat ke dalam bekas berwarna putih dan berbau harum yang dikhususkan hanya untuk orang Mukmin.

Kedudukan roh

Setelah Allah SWT menentukan kedudukan roh sama ada dalam syurga Illiyeen atau neraka Sijjin berdasarkan amalan ketika hidup, jasadnya diuruskan untuk dikebumikan dan disediakan untuk menghadapi alam barzakh. Setiap perkara ketika pengurusan jasad oleh manusia yang masih hidup, akan dapat disaksikan roh si mati.

Antara perkara pasti berlaku apabila jasad dikebumikan adalah himpitan kubur yang tidak akan ada seorang manusia terlepas daripadanya. Kemudian malaikat Munkar dan Nakir datang untuk menjalankan sesi soal jawab ke atas si mati.

Ketika inilah mereka akan memohon dan merayu agar dihidupkan kembali untuk melakukan amal salih yang ditinggalkan ketika di dunia.

Sesungguhnya hanya penyesalan dan kekecewaan akan dirasai kerana mustahil mereka dihidupkan semula, malah terus kekal di alam barzakh sehingga dibangkitkan semula di hadapan Allah SWT pada Akhirat kelak.

Namun sebaliknya orang mukmin akan sentiasa ditemani al-Quran yang menjadi pembelanya ketika menghadapi sesi soal jawab malaikat Munkar dan Nakir, lalu kubur dilapangkan seluas mata memandang.

Tiada seorang pun dalam kalangan orang mukmin akan meminta agar dihidupkan semula kerana tidak lagi sanggup menanggung azab menghadapi kematian kecuali mereka yang mati syahid. Namun mereka yang menyesali kematiannya dan merayu dihidupkan kembali adalah manusia yang melakukan kezaliman ke atas diri sendiri dan secara terang-terangan melawan syariat Allah SWT.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Akhir zaman bukan waktu berpeluk tubuh

Posted by epondok di April 28, 2018

Oleh Zamri Hashim

 

SERING kali kita mendengar ada orang beranggapan dunia sudah hampir ke penghujung usia. Kita hidup dalam zaman penuh fitnah.

Kenyataan ini ada kebenarannya dan tiada salahnya cuma yang tidak tepat adalah silap dalam menyediakan persiapan mental menghadapi suasana itu. Jangan sampai ada antara umat Islam mula pasrah dengan menyerahkan kesudahan nasib diri dan umatnya kepada takdir semata-mata sedangkan dia hanya berpeluk tubuh dan berfikir untuk menyelamatkan diri masing-masing dan membiarkan nasib umat Islam tanpa pembelaan atas alasan ‘ini zaman fitnah!’

Maka lahirlah individu Muslim yang sangat tegar melakukan ibadat yang bersifat peribadi tanpa menghiraukan apa yang berlaku kepada umat Islam secara jemaah.

Jika dibuat tinjauan dalam al-Quran, kita dapati perkataan fitnah membawa dua maksud. Maksud pertama ialah ujian dan cubaan seperti termaktub dalam ayat yang bermaksud: “Dan Kami tidak mengutus rasul sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang yang tentu makan minum dan berjalan di pasar serta Kami jadikan sebahagian dari kamu sebagai ujian dan cubaan bagi sebahagian yang lain supaya ternyata adakah kamu dapat bersabar (menghadapi ujian itu)? Dan (ingatlah) Tuhanmu sentiasa Melihat (akan keadaan makhluk-Nya).” (Al-Furqan: 20)

Begitu juga firman Allah SWT: “Dan ketahuilah harta benda kamu dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Al-Anfaal: 28)

Gagal ujian

Dua ayat di atas langsung tidak menyuruh kita berpeluk tubuh dan hanya pasrah kepada takdir semata-mata dalam menghadapi zaman penuh fitnah. Bahkan Allah akan menilai kita bagaimana kita mengendalikan diri ketika menghadapi fitnah ini. Berpeluk tubuh dianggap gagal dalam ujian ini.

Satu lagi makna fitnah dalam al-Quran membawa maksud gejala murtad atau keluar dari agama Islam.

Firman Allah SWT: “Dan bunuhlah mereka (musuh yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka dan usirlah mereka dari tempat yang mereka mengusir kamu; dan (ingatlah angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.” (Al-Baqarah: 191)

Begitu juga firman Allah SWT: “Dan sesungguhnya nyaris-nyaris mereka dapat memesongkanmu (wahai Muhammad) dari apa yang Kami wahyukan kepadamu, supaya engkau ada-adakan atas nama Kami perkara yang lainnya; dan (kalau engkau melakukan yang demikian) barulah mereka menjadikan engkau sahabat karibnya.” (Al-Isra: 73)

Mengambil sikap tidak peduli dan berpeluk tubuh dalam menghadapi gejala memurtadkan orang Islam melalui apa cara sekalipun ialah sikap yang sangat tercela.

Menyerah kalah

Amat salah jika sebahagian umat Islam gemar membacakan nas agama yang menceritakan peristiwa akhir zaman dan mengaitkan apa yang berlaku hari ini dengan nas berkenaan sambil menunggu-nunggu ketibaan Imam Mahdi dan Dajjal, lalu berpeluk tubuh dan membiarkan umat Islam kelemasan dalam perangkap musuh Islam tanpa pembelaan atas alasan ‘itulah takdir yang ditentukan pada zaman fitnah ini.’

Islam tidak mengajar begitu.

Bahkan Rasulullah SAW pernah berpesan: “Jika terjadi Hari Kiamat sedang seorang daripada kalian mempunyai bibit kurma, jika mampu hendaklah jangan berdiri sampai dia menanamnya.” (HR Ahmad).

Sikap berpeluk tubuh sebenarnya menyerah kalah dan memudahkan agenda musuh Islam dapat sampai ke objektifnya secara selesa.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Silaturahim ganda rezeki, buka pintu kasih sayang

Posted by epondok di April 26, 2018

Oleh Nik Hasnah Ismail

 

SILATURAHIM ialah amalan dianjurkan Islam dan wajib dilaksanakan oleh orang beriman kerana banyak ayat al-Quran menjelaskan kepentingan memelihara silaturahim dan ukhwah sesama manusia.

Memelihara silaturahim akan membuka pintu rahmat dan kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-Nya, sekali gus menyuburkan hubungan sesama manusia.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan suatu apa jua; hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jauh, rakan sejawatan, musafir yang terlantar serta hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggakan diri.” (An-Nisa: 36)

Allah SWT memperincikan tuntutan memelihara silaturahim bukan hanya dengan golongan tertentu saja, bahkan seluruh umat manusia amnya dan sesama mukmin khususnya.

Terdapat banyak kebaikan dan keberkatan bagi mereka yang sentiasa berusaha menjaga hubungan dan mengeratkan silaturahim.

Begitu indahnya ajaran Islam yang sentiasa memberi panduan kepada Mukmin untuk berbuat baik sesama manusia kerana dari kebaikan akan menatijahkan akhlak indah, budi pekerti mulia dan amal ibadat terpuji kepada Allah SWT seperti dituntut agama.

Ganjaran orang yang mengutamakan agama Allah SWT sangat tinggi nilai di sisi-Nya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang ingin dilapangkan rezeki dan dipanjangkan umur, maka hendaklah dia menyambung tali silaturahim.”

Hadis ini jelas menyebut kebaikan dan ganjaran bagi mukmin yang mengikuti seruan serta taat perintah-Nya. Setiap mukmin sangat mendambakan rezeki yang murah dan usia yang panjang agar dapat menambah bekalan amal untuk dihitung di akhirat.

Tuntut kesabaran

Setiap manusia yang berusaha melaksanakan kebaikan tentunya akan berdepan dengan ujian yang bertujuan mengukur nilai keikhlasan. Begitu juga dalam perkara berkait soal silaturahim, mereka akan turut berdepan dengan cabaran kehidupan.

Namun, setiap ujian pastinya menuntut kesabaran dan hati yang tabah. Dalam berdepan dengan ujian hidup, terdapat banyak kisah teladan dari lembaran sirah nabi dan sahabat yang boleh dijadikan panduan hidup.

Sebagai contoh kisah Nabi Yusof AS yang dibenci adik-beradik tiri tetapi berkat kesabaran dan keimanan tinggi terhadap takdir Allah SWT, akhirnya ia memberi kemenangan kepada baginda.

Kisah dari al-Quran ini boleh memberi inspirasi kepada mukmin hari ini untuk mencari kekuatan saat melalui ujian sikap manusia yang penuh kebencian, sakit hati dan dengki.

Begitu juga ujian dilalui Rasulullah SAW yang berdepan pelbagai tentangan dan kebencian puak jahiliah.

Namun, setiap kejahatan dan kezaliman itu dibalas oleh Rasulullah SAW dengan kemaafan dan kesabaran tinggi.

Kemuliaan akhlak ini akan menatijahkan keperibadian terpuji dan kemenangan abadi bukan saja di dunia, bahkan di kampung akhirat, iaitu tempat kekal selama-lamanya

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Hidup sesingkat hujan mengalir

Posted by epondok di April 24, 2018

Oleh Nik Hasnah Ismail

 

Dunia ibarat ladang kepada manusia untuk bercucuk tanam dengan amalan kebajikan dan ketaatan, tetapi ia bergerak dengan pantas seperti air hujan yang turun. Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Firdaus Subhi menerangkan hakikat hidup di dunia ini.

Dunia ini umpama jambatan menuju ke akhirat yang kekal abadi. Ulama juga mengumpamakan dunia sebagai ladang untuk bertanam, manakala akhirat pula diibaratkan tempat menuai hasil.

Justeru, dalam kesempatan yang ada, setiap mukmin hendaklah berbuat sebanyak mungkin kebaikan dan ketaatan terhadap perintah Allah agar di akhirat nanti segala pahala dan kebajikan akan dibalas dengan syurga indah yang kekal abadi.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah bersama Ustaz Firdaus Subhi, beliau menjelaskan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berilah perumpamaan kepada mereka (manusia), kehidupan dunia sebagai air hujan yang kami turunkan dari langit, Maka menjadi subur kerananya tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbangkan oleh angin. Dan adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Al-Kahfi: 45)

Ayat ini bermaksud Allah menjelaskan dunia ini tidak mempunyai nilai melainkan untuk digunakan mengingati-Nya melalui zikrullah dan amalan yang menumbuhkan ketaatan kepada-Nya.

Apabila mengetahui hakikat hidup ini, seseorang mukmin akan mempersembahkan kealimannya kepada Allah SWT. Begitu setiap waktu dalam kehidupan ini, dimanfaatkan untuk menghambakan diri kepada-Nya.

Tiada kekal di dunia

Allah SWT dalam ayat di atas juga menjelaskan betapa singkatnya hidup umpama air hujan yang mengalir ke atas tumbuh-tumbuhan dan menyimbah pada batang serta daun.

Apabila tiba saat dan ketikanya, pohon yang hidup subur akan kering kontang lalu mati dan berlalu pergi.

Ia jelas mengisyaratkan tidak ada yang kekal dalam hidup ini kerana semua dicipta untuk sekian waktu tertentu dan isi dunia pula sekadar pinjaman.

Sekiranya dunia tidak digunakan untuk melakukan sebanyak mungkin amal kebaikan atau menanam sebanyak mungkin pahala, maka kontang pahala untuk dipetik pada akhirat kelak.

Justeru, bagi mukmin yang alim dan berpengetahuan, dunia dimanfaatkan untuk menghasilkan kebun pahala kerana di akhirat kelak adalah waktu dan saat untuk memetik segala hasil kebaikan yang dilakukan di dunia ini.

Kelebihan orang beriman

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Jadilah kamu semasa di dunia ini sebagai orang yang dagang atau asing.” Baginda mengingatkan umatnya supaya tidak terlalu cintakan dunia, bahkan menjadikannya sebagai persinggahan yang tidak kekal.

Lebih penting, perbuatan dan ketaatan akan menatijahkan ketakwaan serta kealiman.

Rasulullah SAW mengungkapkan kelebihan orang beriman adalah apabila Allah menganugerahkan keimanan dan kesihatan yang baik, berasa aman serta tenang dengan ahli keluarga dan sumber makanan mencukupi.

Bagi seseorang mukmin yang memperolehnya, keperluan mereka sudah pun mencukupi dan bersyukur akan nikmat Allah SWT.

Tidak ada yang kekal di dunia kerana janji Allah setiap yang hidup pasti akan menemui kematiannya.

Selama waktu masih ada, gunakan untuk membuat sebanyak mungkin kebajikan dan pahala kerana seperti kata pepatah, hidup hanya sekali, mereka yang pergi pasti tidak akan kembali.

Oleh itu, jangan sesekali mensia-siakan waktu kerana akibatnya menanggung kerugian sampai bila-bila.

Penuhi kehidupan dengan mencari ilmu kerana orang yang tinggi ilmu lebih dekat mengenal dan memahami hakikat hidup, iaitu untuk menghambakan diri terhadap segala perintah Allah SWT.

Seseorang mukmin yang taat suruhan Allah akan memperoleh ganjaran pahala syurga yang kekal abadi.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Politik hasad dengki bukan politik Islam

Posted by epondok di April 22, 2018

SENARIO politik yang terjadi hari ini dalam kalangan warga umat amat membimbangkan. Perpecahan yang terjadi, tidak ada kesediaan untuk bermuzakarah, melihat kalah menang dalam perebutan kerusi sebagai matlamat utama, bidasan pedas dan suburnya fitnah menjadi pendekatan popular adalah antara gambaran hodoh dalam politik orang Melayu di Malaysia.

Ia terpancar hasil politik hasad dengki, dendam kesumat dan rasa benci yang tinggi terhadap lawan. Jangka panjangnya ia bakal merugikan perpaduan umat dan boleh menyebabkan kuasa politik orang Melayu bakal tergugat. Kalau tiada kejernihan melihat pentingnya bersatu, keterpinggiran bakal terjadi.

Umat Melayu harus mendukung pendekatan politik matang. Meski ada perbezaan dari sudut dasar dan hala tuju perjuangan tetapi asas-asas yang fundamental se­perti Islam, bahasa dan pendidikan umat Melayu, membangunkan orang Melayu secara berkesan dan bijaksana dalam politik, ekonomi, pendidikan dan sosial seharusnya menjadi agenda bersama. Politik matang memberi upaya untuk kita membaca senario dan meramal kemungkinan supaya maslahah dan strategi perjuangan berlaku secara bijaksana.

Politik matang tidak menghasilkan pengikut yang taksub dan sempit pemikiran dengan melihat kelompok sendiri saja yang betul dan kelompok lain semuanya zalim. Pendekatan sebegini lebih mempercepatkan berkecainya matlamat kesatuan ummah.

Perubahan tidak akan hanya selesai dengan mengkritik melulu, sebaran fitnah yang palsu, persepsi jengkel ke­rana hasad-dengki, dendam kesumat dan kebencian yang di luar batas syarak. Perubahan hanya akan berlaku kalau umat Islam mempunyai punca kuasa yang bakal membentuk dasar dan strategi bagaimana sesuatu dapat direncana dan dilaksanakan secara berhemah.

Perbezaan yang ada dalam kalangan kita adalah dari sudut pendekatan dan strategi. Perbezaan yang ada sepatutnya mengukuhkan lagi jaringan orang Melayu supaya wujudnya pro-kontra dalam melihat sesuatu secara rasional dan sihat bakal membawa natijah yang baik ke arah pembaikan.

Yang ditampilkan kini ialah politik hasad dengki, de­n­dam kesumat dan kebencian yang mendalam. Lalu lahirlah kalimah-kalimah jengkel yang tidak Islami, maklumat palsu disebarkan, persepsi negatif menjadi anutan dan banyak lagi dilontarkan kepada pihak lawan yang juga penganut Islam.

Politik nafsul amarah tidak boleh dijadikan tunjang kepada siasah Islami. Politik Islam adalah politik dakwah dan tarbiah. Di samping kuasa yang dihajatkan akhlak dan adab perlu dijaga. Politik dakwah menyemai sifat kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi. Politik dakwah menuntut kesabaran juga.

Politik hasad dengki, dendam dan kebencian menghasilkan permusuhan. Sedangkan umat Islam dituntut menjalin ukhuwah yang tinggi. Sekiranya kerana politik permusuhan yang terjadi siasah Islam tidak lagi menjadi landasan.

Jalan mudah untuk mengukuhkan kebencian dan de­n­dam kesumat adalah dengan melakukan fitnah semahu-mahunya, membuat tuduhan tanpa bukti dan ditularkan kepada khalayak untuk mempengaruhi warga maya (netizen) lain. Lalu maklumat yang palsu disebarkan tanpa melakukan tabayyun (usul periksa) menyebabkan orang tumpang dosa sama. Proses membentuk watak manusia yang tidak sempurna ialah usaha dakwah dan tarbiah. Justeru agama Islam adalah milik semua dan harus dijadikan sumber ikutan untuk semua.

Politik hari ini adalah politik maki hamun dan sumpah seranah yang menyebabkan keretakan hubungan sesama orang Melayu terjadi dan kesannya tidak mudah untuk dileraikan. Politik umat Melayu seharusnya lebih rasional. Ia sepatutnya bertolak dengan prinsip bahawa berbeza itu adalah sesuatu yang fitrah. Tetapi jangan jadikan asas perbezaan pendapat dan pendirian sebagai sumber fitnah yang meratah daging sesama Islam.

Siasah Islami mendidik manusia mengakui kebaikan dan kebenaran yang dilakukan oleh orang lain. Yang baik dan benar dari orang harus membawa jiwa besar me­ngakui bahawa ia adalah benar dan baik. Tetapi politik hasad-dengki, dendam kesumat dan kebencian selalunya menyatakan bahawa mereka saja yang benar orang lain tidak.

Memperkasa orang Melayu di Malaysia bukanlah suatu hal yang mudah. Kalau setakat kuasa saja, ia tidak memadai. Ia menuntut keinsafan yang tinggi dalam kalangan warganya bahawa wahdah dan kesatuan adalah sesuatu yang paling utama.

Bila terdapat perselisihan dan silap faham, jalannya adalah kembali kepada ajaran al-Quran dan As Sunnah iaitu muzakarah. Muzakarah adalah jalan bijaksana untuk mengatasi syak wasangka dan perseteruan.

Kepemimpinan politik orang Melayu harus berjiwa besar supaya kesan buruk terhadap generasi akan datang dapat dihindarkan. Berbeza, berbezalah. Tetapi santunilah perbezaan dengan etika berbeza (adab ul ikhtilaf) supaya perbezaan dalam kalangan umat, kata Rasulullah SAW menghasilkan rahmah.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Niat tidak halalkan cara

Posted by epondok di April 20, 2018

Oleh Hasliza Hassan

 

BIASA dengar kata-kata ‘niat tidak menghalalkan cara’? Sudah tiba masanya kita memberi perhatian kepada pesanan itu kerana apa juga alasan yang diberi, syariat agama tidak boleh dilanggar biarpun untuk tujuan yang baik.

Apatah lagi senario mutakhir ini menyaksikan ramai yang suka menggunakan cara menyalahi syariat dan perintah agama kononnya untuk menegakkan kebenaran atau mengelak kejadian itu daripada berulang.

Antara tindakan yang popular adalah menularkan gambar, video, komen atau perbualan atas alasan ingin menegakkan kebenaran dan melakukan amar makruf nahi mungkar. Namun dalam kebanyakan insiden, tindakan itu lebih menjurus kepada keburukan berbanding mencapai matlamat diharapkan.

Sebabnya, perkara yang dibangkitkan belum dipastikan kesahihannya atau dimanipulasi oleh pihak tertentu atas niat hanya mereka yang tahu. Namun ia menarik perhatian netizen melalui pelbagai komen hingga menimbulkan persepsi negatif.

Lebih mendukacitakan, pihak menjadi mangsa yang mengetahui perkara itu sukar untuk mempertahankan diri dan bagi yang tidak sedar diri menjadi perbualan, hukuman sudah pun dijatuhkan terhadapnya tanpa sebarang perbicaraan.

Jangan dedah aib

Pensyarah Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohammad Nizam Abdul Kadir menegaskan menjatuhkan air muka seseorang apatah lagi membuka aib mereka bertentangan dengan prinsip agama.

Beliau berkata, mendedahkan aib orang lain dengan niat ingin berkongsi kebenaran atau atas asas ingin melakukan amar makruf nahi mungkar, sebenarnya tindakan itu sudah pun dilarang oleh Allah SWT.

Sedangkan katanya, agama menyuruh kita menutup aib sendiri kenapa pula kita hendak menjatuhkan air muka orang lain.

“Jika kita buat perkara dilarang dan orang lain tidak mengetahuinya, agama suruh kita tutup aib sendiri. Benda yang Allah SWT sudah tutupkan untuk kita janganlah diceritakan kepada orang lain kerana jika diceritakan, bermakna kita mencarik tutupan Allah SWT.

“Oleh itu, apa juga niat atau alasannya, prinsip agama tidak membenarkan kita membuka aib saudara kita. Hendak bagi nasihat, kita berdua dengan dia tanpa menjatuhkan air mukanya,” katanya.

Amal konsep tabayyun

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dalam tindakan mereka supaya niat baik tidak tercalar oleh perkara yang bersalahan dengan tuntutan agama. Adalah lebih baik amal makruf nahi mungkar itu dilakukan dengan jalan yang betul.

Ditanya mengenai kejadian atau maklumat diviralkan yang berjaya membantu pihak berkuasa menyelesaikan masalah berlaku, Mohammad Nizam tetap menegaskan, setiap maklumat diterima perlu disahkan terlebih dulu.

Beliau menyeru umat Islam khususnya supaya mengamalkan konsep ‘tabayyun’ – memastikan kesahihan maklumat diterima bagi mengelak diri terjebak melakukan kesalahan menyebarkan maklumat palsu.

Katanya, dikhuatiri andai maklumat itu sebenarnya palsu dan tersebar, ia boleh menyebabkan suasana panik serta menimbulkan kacau-bilau yang akhirnya menyusahkan mangsa, ahli keluarga mereka serta pihak berkuasa.

“Sebaiknya periksa dulu dengan pihak berkuasa, jika betul kejadian dan ada laporan, baru boleh kongsi. Contohnya kita sendiri tidak pasti jika ayah itu merotan anaknya adakah rotan biasa saja atau mendera.

“Kita tidak diamkan dan kita tidak biarkan. Kita juga tidak viralkan kerana jika niat kita baik, terus salurkan kepada polis untuk diambil tindakan. Malangnya tidak ramai yang tabayyun dulu atau merujuk kepada pihak berkuasa,” katanya.

Tegur dengan baik

Mohammad Nizam berkata, Nabi Muhammad SAW banyak memberi contoh dan panduan bagaimana umat Islam boleh melakukan amar makruf nahi mungkar dengan cara yang betul seiring kehendak agama.

Beliau memetik sabda Nabi Muhammad SAW: “Tidaklah seseorang menutupi aib orang lain di dunia, melainkan Allah akan menutupi aibnya di hari kiamat kelak.” (Sahih Muslim)

Nabi Muhammad SAW banyak menegur sahabat, tetapi Baginda tidak menyebut pihak yang melakukan kesalahan itu sebaliknya memberitahu orang ramai perbuatan salah yang dilakukan oleh sesetengah orang.

Dengan cara itu, siapa yang makan cili mereka akan terasa pedasnya. Jika kita mendedahkan wajah atau nama dengan alasan sebagai pengajaran kepada orang lain, hakikatnya kita melakukan kesalahan mengaibkan seseorang itu.

Islam menang dengan hak

Memetik ceramah pendakwah terkenal Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid mengenai judul ‘Niat Tidak Menghalalkan Cara’, beliau menegaskan Islam tidak boleh menang atau tinggi dengan kebatilan dan kemungkaran, tetapi akan tinggi dengan perkara yang hak.

Katanya, Allah SWT tidak akan menolong kebenaran atau menjadikan syariatnya menang dengan pelanggaran terhadap perintah-Nya. Sepatutnya, tujuan menentukan jalan perlu diambil dan untuk mencapai tujuan yang benar, wasilahnya mesti benar.

“Tanggapan gunakan apa saja, yang penting kebenaran boleh zahir. Kebenaran tidak akan nampak dengan cara pelanggaran terhadap syariat Allah kerana Allah tidak akan menjadikan sebab yang melanggar perintah untuk mengangkat syiar-Nya.

“Untuk tujuan yang benar dengan menipu, itu salah dan tidak boleh. Umpama hendak bersedekah dengan merompak. Tidak akan bercampur hak dengan batil kerana hak selamanya hak, batil selamanya batil,” katanya.

Sebenarnya, penyebaran dan penerimaan maklumat yang begitu mudah hari ini menimbulkan suasana membimbangkan. Oleh itu, semua orang perlu lebih bertanggungjawab dan mengambil langkah keselamatan sebelum berkongsi atau menyebarkan maklumat.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kebijaksanaan dalam membuat pilihan

Posted by epondok di April 18, 2018

UMAT Islam adalah umat majoriti di negara ini. Secara logik tidak ada masalah untuk umat Islam menjadi teras pemerintahan. Punca kuasa adalah penting bagi memastikan kesinambungan pe­r­u­bahan dan agenda. Tetapi umat Islam berpecah-belah.

Logik siasahnya pihak ketiga akan ­melakukan dominasi. Ak­hirnya umat Islam bakal terpinggir. Yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

Umat Islam lemah dalam banyak perkara. Kalau berbeza tidak tahu mencari jalan muafakat. Kalau berkonflik tidak tahu cara meleraikannya. Kalau berdendam tidak ada jalan kembali. Agama digunakan sebagai asas perpecahan dan tidak dimanfaatkan sebagai asas persaudaraan dan perpaduan.

Akhirnya umat Islam sendiri menjadi faktor melemahkan sesama sendiri. Umat Islam lebih rela ‘menang sorak, kampung tergadai’. Watak Pak Kadok ini masih membudaya dalam jiwa orang Melayu. Mereka tidak fikirkan apa yang akan jadi kepada anak cucu mereka pada hari depan.

Apa yang sedang berlaku terhadap umat Islam di Asia Barat tidak dijadikan ibrah atau pe­ngajaran. Cara berfikir sebahagian daripada mereka selalunya songsang. Mereka tidak arif­ memahami cabaran realiti yang menuntut kesabaran dan kebijaksanaan. Sedikit ilmu Islam yang dipelajari menyebabkan label-label dilontarkan. Label-label menghina dan menyindir menjadi mainan bibir dalam ceramah dan syarah dan dilontarkan di media sosial.

Masjid dijadikan tempat berpolemik. Perbezaan pendapat tidak disantuni secara bijak. Berfikir tenang dengan hujah yang terbaik tidak terjadi. Risalah dakwah tidak berlaku. Risalah dakyah mengambil tempat. Pendekatan tarbiah (mendidik) tidak terjadi. Perubahan watak tidak mengambil tempat.

Produktiviti rohaniah secara zahir nampak tinggi. Masjid penuh dan ceramah ramai sambutan. Tetapi produktiviti amaliah relatif rendah. Islam mengajar tentang ukhuwah atau persaudaraan. Ini susah untuk terjadi.

Al-Quran mendidik umat mengenai batas kufur dan iman. Rasulullah SAW menegah mengkafirkan orang lain, bimbang kekafiran itu akan berbalik semula ke diri sendiri. Akibat merasakan diri terlalu Islamik, melihat jengkel orang lain. Lalu imej Islam tercalar kerana Islam tidak digunakan untuk membina kekuatan. Sebaliknya digunakan untuk menyebabkan kelemahan dan perpecahan.

Umat Islam di Malaysia belum lagi kuat ekonominya. Merit dalam pendidikan masih jauh. Ramai tidak bersyukur dan berterima kasih dengan apa yang ada. Kalau umat Islam tidak dibantu, ekonominya lagi lemah. Kalau pendidikan tidak dibantu, keciciran akan terus terjadi.

Sebahagiannya cuba bercakap atas nama hak asasi manusia dan keadilan sejagat dan mendakwa orang bukan Islam dizalimi.

Seolah-olah selama ini kita menzalimi orang bukan Islam. Lihat kekuatan ekonomi mereka semakin maju dan menguasai. Lihat ratusan kolej dan universiti swasta menampung anak-anak mereka dalam segala bidang ilmu. Ini berlaku kerana kuasa beli mereka ada. Kuasa beli juga menyebabkan di setengah negeri harga hartanah dan rumah me­ningkat. Jenis rumah yang mahal tidak mampu dibeli oleh warga umat. Taburan hartanah dan perumahan memberi kesan demografik (kependudukan).

Kesan demografik memberi kesan undi. Dan kesan undi bakal memberi kesan kuasa jangka panjangnya.

Sudah sampai masanya umat Islam membuat pilihan bijak. Ja­ngan ikut emosi dan rasa taksub tanpa ilmu dan rasionaliti. Islam mengajar kita menggunakan akal, mampu berfikir dengan bijaksana dan berupaya melakukan kaji selidik yang baik.

Keupayaan umat membebaskan diri dari taksub kelompok amat dituntut. Kesatuan umat memahami keutamaan dan ke­selamatan hari depan amat diuta­makan oleh Islam. Silap membuat pilihan kesannya tidak sedikit. Jangan mengambil pendekatan, ‘menang jadi abu, kalah jadi arang’ dengan rasa dendam kesumat dan kebencian menyubur.

Fikirkan sejenak nasib generasi hari depan dan kepentingan Islam di negara ini supaya keputusan yang dibuat adalah bijaksana. Tanpa kebijaksanaan kita bakal membuat pilihan salah. Jika ini berlaku nasib generasi akan datang mungkin terancam.

Umat Melayu perlu berubah dan membina tekad tinggi untuk berada dalam saf yang tidak mudah diperkotak-katik. Kunci kepada kekuatan adalah wehdah atau berada dalam saf yang mendukung kesatuan dan perpaduan.

DATUK DR. SIDEK BABA

 

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Bahaya ungkapan ‘KALAU’ pada akidah

Posted by epondok di April 16, 2018

Imam Muslim merekodkan hadis bernombor 1278 dalam bab takdir di bawah tajuk ‘Perintah agar kuat, tidak lemah dan perintah memohon pertolongan hanya kepada Allah,’ yang bermaksud: Daripada Abu Hurairah RA: Rasulullah SAW bersabda: “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada Mukmin yang lemah. Apapun, kedua-duanya memang ada kebaikan (kerana beriman). Bersungguh-sungguhlah mencapai sesuatu yang bermanfaat untuk kamu dan mohonlah pertolongan kepada Allah SWT dan janganlah kamu menjadi orang yang lemah. Apabila kamu ditimpa sesuatu kemalangan, maka janganlah kamu mengatakan, ‘Kalau saya tadi berbuat begini dan begitu, nescaya tidak akan terjadi begini dan begitu’, tetapi katakanlah, ‘Ini sudah takdir
Allah dan apa dikehendaki-Nya pasti akan dilaksanakan. Sesungguhnya perkataan ‘kalau’ akan membukakan jalan syaitan.”

Rupa-rupanya perkataan ‘kalau’ yang sama maknanya dengan seandainya dan biasa dipertuturkan oleh rakyat Malaysia adalah asalnya diambil daripada perkataan ‘lau’ dalam bahasa Arab.

Apabila menelusuri komentar ulama mengenai hadis di atas, secara umumnya penggunaan perkataan ‘lau’ yang membawa maksud ‘kalau’ dan seandainya itu kepada dua keadaan.

Tak puas hati terhadap takdir

Keadaan pertama, ia digunakan dengan maksud berasa tidak puas hati terhadap takdir yang ditentukan oleh Allah SWT. Perkara ini dilarang Rasulullah SAW berdasarkan hadis di atas, bahkan ditegah oleh Allah SWT seperti dalam al-Quran: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang (munafik) yang sudah kufur dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi untuk berniaga atau keluar berperang (lalu mati atau terbunuh): “Kalau mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh.” (Apa yang mereka katakan itu tidak ada faedahnya) bahkan akibatnya Allah menjadikan (kesan perkataan dan kepercayaan mereka) yang demikian itu, penyesalan dalam hati mereka. Dan (ingatlah), Allah yang menghidupkan dan yang mematikan dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan. (Ali Imran: 156)

Imam Nawawi mengatakan perkataan ‘kalau’ tercampak ke dalam hati manusia untuk menentang qadar Allah dan membuka ruang kepada syaitan untuk melakukan keraguan.

Penggunaan perkataan ‘kalau’ dalam dialog yang menggunakannya dengan persepsi betul terkandung pula adalah berdasarkan firmah Allah SWT: “Mereka berkata (sesama sendiri): “Kalaulah ada sedikit bahagian kita daripada pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang yang ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing.” Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.” (Ali Imran: 154)

Keadaan kedua ialah menggunakan perkataan ‘kalau’ untuk menerangkan sesuatu yang bermanfaat seperti firman Allah SWT: “Kalau ada di langit dan di bumi tuhan selain Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.” (Al-Anbiya’: 22)

Imam Nawawi mencatatkan jika mengungkap ‘kalau’ kerana menyesal disebabkan kecuaian tidak melakukan ketaatan pada masa lalu, maka ia tidak termasuk dalam kategori larangan. Lebih-lebih lagi ia akan menjadi motivasi untuk tidak mengulangi kecuaian yang lalu.

Persoal kejadian

Mempersoalkan sesuatu yang sudah dijadikan Allah adalah kesalahan, termasuk dalam larangan menggunakan perkataan ‘kalau’ apatah lagi jika mengeluarkan perkataan yang difahami seolah-olah mempertikaikan mengapa Allah menciptakan sesuatu.

Tidak kiralah apa juga profesion kita, lebih-lebih lagi yang menggunakan ucapan dan syarahan sebagai medium utama profesion seperti ahli politik, penceramah dan pensyarah, kita perlu berhati-hati ketika memilih setiap perkataan. Kita perlu menggeruni peringatan Rasulullah SAW: “Seorang lelaki mengucapkan satu kalimah yang dia memandang remeh dengan perkataan diungkapkan, menyebabkan dia terhumban ke dalam api neraka 70 tahun. (HR Tirmizi)

Posted in Klinik Agama | Leave a Comment »

Ijtima’ Pondok Kelantan 2018 di Pondok Kandis Sabtu 21 April ini

Posted by epondok di April 15, 2018

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Memilih pemimpin adalah amanah

Posted by epondok di April 14, 2018

TIDAK lama lagi, kita yang layak mengundi akan me­laksanakan amanah besar bagi menentukan jenis kerajaan yang bakal terbentuk. Membuat pilihan terbaik tidak harus didukung oleh nafsul amarah yang ­melampau, atas dorongan perbezaan kelompok yang tajam atau dendam kesumat dan kebencian yang mendalam terhadap pihak lain.

Sesuatu usaha itu sifatnya adalah ibadah sekiranya ia menepati empat unsur. Pertama, kembali kepada niat. Apakah niat mengundi untuk menghasilkan sebuah kerajaan yang jejak rekodnya terbukti memberi ruang umat Islam memajukan dirinya.

Kedua, matlamat mengundi. Apakah ia semata-mata untuk menjatuhkan sebuah kerajaan akibat didorong oleh kebencian dan dendam yang melulu. Atau undi diberi menginsafi perlunya kesinambungan punca kuasa supaya generasi hari depan turut terbela dan tidak dipinggirkan.

Ketiga ialah proses. Mengundi menuntut pemikiran tenang dan matang hasil kajian mendalam berasaskan fakta dan data benar supaya keputusan dibuat adalah betul dan tepat. Bayangkan keputusan salah akibat maklumat salah boleh menyebabkan kesan buruk terjadi dan pe­ngundi bersubahat dengan apa yang berlaku.

Keempat ialah natijah iaitu hasil daripada pendirian dibuat. Sekiranya niat mengundi adalah jujur dan ikhlas dipandu oleh matlamat bagi menjaga kepentingan maslahah umat dan Islam setelah melalui proses tabayyun atau kaji selidik jiwa tawakal bakal membawa kepada barakah dan rahmah bukannya malapetaka dan musibah.

Niat mengundi harus jelas, tulus dan telus. Apakah mengundi kerana hendakkan kuasa tetapi lupa mengenai agenda kesatuan umat. Senario umat Islam di Malaysia memerlukan fikiran tajam dan jiwa tenang untuk menilainya. Apa makna sesuatu kemenangan dicapai sedangkan ia menyumbang kepada perpecahan ummah dan akhir­nya dipinggirkan.

Secara makro negara kita masih dalam keadaan aman, ruang untuk kehidupan berkembang maju tetap wujud. Secara mikro pasti ada kelemahan yang perlu diatasi kerana sebuah negara majmuk seperti Malaysia kerenah ­warganya sudah tentu pelbagai.

Pendekatan politik Malaysia harus sifatnya menyantuni. Meruntuhkan asas bernegara yang sedia ada bukanlah jawapan terbaik. Dalam konteks umat Islam berpolitik mestilah berhemah supaya hubungan sesama umat terpelihara dan bukan Islam pula sentiasa dalam persefahaman yang tinggi. Ini menjadi syarat kerukunan politik terjadi. Ajaran Islam manakah yang menyuruh umat Islam melakukan fitnah kepada lawan politik sehingga ukhuwah hancur? Ajaran Islam yang mana yang menyuruh manusia taksub kepada tokoh sehingga apa saja yang terkeluar dari mulut ibarat kata-kata seorang ‘wali’ dan mempunyai karamah? Ini bukan ajaran Islam.

Mana lebih penting, faktor syarak atau pertimbangan politik dalam hal-hal berkaitan Islam. Kalau faktor Islam diketepikan dan faktor politik didahulukan bayangkan apa bentuk kerajaan yang bakal ditubuhkan nanti. Bila Islam ditolak ia memberi kesan kepada umat dan Islam tidak dilihat sebagai elemen penting dalam pembinaan negara.

Kerajaan yang ada tidak mendakwa bahawa proses pengislamannya sudah sempurna. Tetapi ruang untuk Islam berkembang sangat nyata. Hanya orang yang tidak bersyukur kepada Allah saja yang menafikannya. Lalu dituduh kerajaan yang ada menolak Islam dan berlaku zalim terhadap rakyatnya.

Orang yang waras akalnya akan mengatakan ruang untuk beribadah dan melakukan dakwah di Malaysia amat terbuka luas. Tidak berlaku kezaliman terhadap mereka melakukan dakwah tetapi malangnya apabila mereka dapat tempat di masjid dan surau ia disalahgunakan sebagai tempat mengembangkan politik sempit dan mengelirukan.

Oleh itu, amat penting bagi warga umat dan masyarakat berfikir sejenak dan lakukan istikharah supaya pilihan yang betul dibuat. Tentunya pilihan yang betul dipandu oleh kepentingan ukhuwah dan wahdah sesama warga umat. Kuasa politik adalah satu-satunya kuasa yang masih tinggal berbanding kemampuan ekonomi dan pendidikan.

Justeru amat penting faktor kesinambungan terjadi. Pemerintahan yang dikendalikan oleh manusia tetap ada kelemahan. Tetapi trek rekod masa lalu harus dijadikan ukuran. Pilihan yang betul itu adalah suatu amanah.

DATUK DR. SIDEK BABA

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »