Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Rasulullah SAW teladan terbaik institusi keluarga

Posted by epondok di Mac 31, 2018


Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

 

SIKAP Nabi Muhammad SAW dalam perkahwinan dan rumah tangga seperti tidak mengambil kesempatan ke atas isteri dan tidak membawa pulang masalah di luar ke rumah wajar dicontohi Muslim pada zaman moden.

Pendakwah kelahiran United Kingdom (UK) yang juga Imam Masjid Lozells, Birmingham, Shaykh Mohammed Aslam, berkata ini kerana al-Quran menyifatkan Rasulullah SAW sebagai uswatun hasanah atau sebaik-baik teladan yang perlu dicontohi.

Beliau berkata, begitu banyak hadis yang diriwayatkan mengenai kisah Baginda dalam menguruskan rumah tangga bersama isteri-isteri.

“Di sebalik kesibukan sebagai pemimpin, Baginda tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dan cuba membahagikan masanya sebaiknya dengan isteri-isterinya,” katanya.

“Baginda tidak pernah membawa pulang masalah di luar ke rumah. Walaupun kepenatan, Baginda pulang ke rumah dengan melemparkan senyum. Malah sempat lagi menolong dan menguruskan rumah tangga bersama isteri-isterinya.

“Baginda menunjukkan sifatnya sebagai ketua keluarga dengan tidak akan membiarkan isterinya menguruskan rumah sendirian tanpa pertolongannya.

Malah tanpa disuruh, Baginda tetap akan melakukannya,” katanya ketika menyampaikan tazkirah Bringing Back Manhood in Marriage di Musalla Al Abrar, Sungai Penchala, Petaling Jaya.

Shaykh Mohammed berkata, sebagai ketua keluarga, Baginda juga tidak pernah mengambil kesempatan terhadap isterinya.

Beliau berkata, walaupun mengahwini Siti Khadijah, iaitu usahawan berjaya di Kota Makkah ketika itu, Baginda masih lagi meneruskan perniagaan, malah turut menyertai perdagangan hingga ke luar Makkah.

Dalam konteks pada hari ini, Shaykh Mohammed berkata, pasangan suami isteri perlu memahami peranan masing-masing dalam institusi perkahwinan yang dibina.

“Wanita atau isteri yang bekerjaya pada hari ini bukanlah sesuatu baharu. Suami harus menghormati isteri yang bekerja kerana keprihatinan isteri menyumbang kepada keluarga.

“Namun isteri yang berkerjaya, jangan sesekali membawa balik masalah di luar, masuk dalam keluarga. Ini kerana ia boleh menyumbangkan masalah yang besar dalam institusi kekeluargaan seperti pergaduhan hingga menyebabkan perceraian.

“Dalam hal ini juga memerlukan kesepakatan dan tolak ansur antara suami dengan isteri, agar rumah tangga yang dibina tidak dilanda masalah dari luar,” katanya.

Shaykh Mohammed berkata, Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW juga menekankan soal peranan hak wanita.

Katanya, sebelum Islam sampai di Kota Makkah, golongan wanita dinafikan haknya dalam masyarakat.

“Sebelum kedatangan Islam, budaya masyarakat ketika itu yang tidak menghormati golongan wanita dan anak perempuan.

“Namun Rasulullah memecahkan tembok itu dengan mengangkat hak wanita dan golongan ini turut diberikan peranan dalam masyarakat,” katanya.

Dalam konteks teknologi dan media sosial, Shaykh Mohammed meluahkan kebimbangan sekiranya ia menjadi perosak dalam hubungan kekeluargaan.

Katanya, teknologi tidak sepatutnya mengambil alih peranan dalam institusi kekeluargaan.

“Tidak dinafikan teknologi yang ada pada hari ini adalah satu keperluan. Namun sekiranya disalah guna atau teknologi itu mengambil alih peranan terbabit, ia boleh menyebabkan perpecahan dalam institusi ini.

“Apabila teknologi menguasai peranan dalam rumah tangga, ia menjadikan roh atau jiwa dalam perkahwinan dan institusi kekeluargaan semakin terhakis. Ini kerana hubungan yang semakin renggang dan tiada lagi kualiti masa untuk dihabiskan bersama,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: