Aktivis Kesatuan Islam Victoria, Australia ini berkata, itulah kemelut yang melanda umat Islam masa kini untuk melaksanakan tuntutan syariat kerana semakin dipandang asing oleh masyarakat dunia sehingga dikatakan sebagai ajaran baharu.

Perkara itu tambahnya, terbukti sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Islam bermula dalam keadaan asing, dan akan kembali terasing seperti semula, maka beruntunglah orang yang terasing.” – Riwayat Muslim

Permasalahan itu katanya, berlaku bukan hanya disebabkan pengaruh golongan musuh Islam yang sentiasa berusaha menghancurkan Islam, tetapi lebih menyedihkan adalah akibat kemelut dalaman umat Islam itu sendiri.

“Sebagaimana tercatat dalam sejarah, Rasulullah menyebarkan Islam kepada masyarakat pada masa itu dalam keadaan terasing. Asing bukan bermakna melakukan kesalahan tetapi tidak dikenali orang lain, tidak mengetahui budaya dan tradisi diamalkan.

“Jika kita perhatikan, hal sama berlaku pada hari ini. Malah ia lebih buruk. Islam bukan sahaja kelihatan asing bagi golongan bukan Islam tetapi lebih menyedihkan, ia turut kelihatan asing dalam kalangan umat Islam sendiri.

“Umat Islam berpecah dan berbalah sesama sendiri, masing-masing mempertikaikan amalan dilaksanakan antara satu sama lain sehingga menyalahkan umat Islam sendiri. Keadaan ini lebih asing berbanding pada awal penyebaran Islam dahulu,” katanya.

Berkongsi pengalaman, Assad berkata, dia pernah bertemu dengan seorang Muslim dari Palestin yang berhijrah ke Australia ketika menunaikan solat tarawih pada bulan Ramadan.

“Ada beberapa perbuatan atau amalan yang dilakukan oleh imam tidak diikuti oleh individu ini. Apabila ditanya, dia berkata ‘aku tidak pernah mengetahui amalan apa yang dilakukan ini, ia kelihatan aneh’.

“Inilah yang dimaksudkan dalam hadis Rasulullah, Islam akan kembali terasing. Dan perkara perlu kita sedari adalah, hal ini menunjukkan dunia ini sudah hampir di penghujung (kiamat),” katanya.

Beliau berkata, antara faktor mengakibatkan Islam kian terasing adalah munculnya pelbagai fahaman yang disifatkan ‘agama’ baharu yang tersebar meluas di seluruh dunia dengan menyasarkan umat Islam, khususnya golongan muda.

“Realitinya di dunia ini terdapat banyak fahaman yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan dipopularkan seperti ideologi athiestme, kapatalisme, komunisme, sosialisme dan banyak lagi. Ini semua tidak ubah seperti ‘agama’ yang membawa maksud panduan hidup baharu kepada pengikutnya.

“Begitu juga fahaman Islam moderat yang kononnya dicetuskan untuk menjaga keseimbangan dalam beragama, namun pada hakikatnya, ia adalah untuk menghalang kebangkitan Islam terutama bagi generasi baharu,” jelasnya.

Manakala tambahnya, lebih membimbangkan adalah serangan dari dalam, iaitu oleh orang munafik atau golongan yang mengaku Islam tetapi bermuka-muka dengan mengubah sesuatu ketetapan syariat mengikut akal dan kehendak sendiri.

“Rasulullah pernah berdoa kepada Allah: “Jangan Engkau hancurkan umatku dengan penyakit yang mewabak.” Allah mengabulkan doa Rasulullah itu dan umat Islam tidak akan hancur kerana wabak penyakit.

Rasulullah berdoa lagi: “Ya Allah, jangan buat musuh dari luar menguasai umat Islam.” Lalu Allah berfirman: “Aku kabulkan.”

“Tetapi mengapa sekarang, musuh Islam menguasai dan menakluk kita? Ini kerana Allah tidak mengabulkan doa ketiga Rasulullah iaitu “Kecuali jika mereka saling berkelahi dari dalam dan sesama sendiri. Aku tidak akan menjaga mereka daripada itu. Aku telah memberikan petunjuk Ku, selebihnya bergantung kepada mereka,” katanya.

Ternyata kesannya Assad berkata, lahir ramai golongan materialistik yang secara tidak langsung bersifat menjauhkan seseorang daripada Tuhannya kerana mengejar keduniaan.

“Tidak hairanlah anak-anak muda sekarang banyak yang salah faham terhadap Islam. Pelbagai doktrin yang cuba memisahkan agama dengan hal dunia lain diterapkan dan kian berhasil.

“Malah, pernah ada remaja Muslim bertanya kepadaku ‘bolehkah aku mengenakan salib untuk sekadar fesyen’?” ujarnya.