Solat fardu berjemaah wajib dilakukan di tempat yang boleh menampakkan syiar jemaah dan Islam seperti di masjid, surau atau madrasah. Jika semua sepakat melaksanakan solat jemaah di rumah masing-masing yang sama sekali tidak menampakkan syiar Islam, maka tidak gugur kewajipan solat berjemaah tersebut. Pendapat inilah yang masyhur dan muktamad serta menjadi pegangan sebahagian besar ulama mazhab Syafie.

Walaupun telah maklum tentang kelebihan pahala solat berjemaah berbanding solat sendirian iaitu ada riwa­yat menyebut 25 kali ganda dan ada yang 27 kali ganda, ia masih belum cukup mengujakan sebahagian umat Islam. Menyebabkan ada yang lebih suka solat bersendirian walaupun jika berada di masjid dan surau bila mana solat jemaah di awal waktu telah tamat.

Walhal Rasulullah SAW amat memberi perhatian terhadap pentingnya solat berjemaah di masjid. Sabda ba­ginda SAW yang bermaksud: Demi Dia yang jiwaku berada di dalam genggaman-Nya, aku ingin menyuruh supaya dikumpulkan kayu api dan dibawa kepadaku, lalu menyuruh supaya azan, kemudian aku menyuruh seseorang menjadi Imam, maka aku pergi ke rumah orang yang enggan datang berjemaah lalu aku bakar rumah-rumah mereka. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Imam al-Nawawi berkata, tuntutan berjemaah pada solat lima waktu selain solat fardu Jumaat adalah fardu kifayah bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai sebarang keuzuran syarie.

Arahan solat ini pula adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa. (Taha: 132)

Sebab itu, ibu bapa disuruh mendidik anak-anak me­nunaikan solat ketika usianya tujuh tahun. Ia untuk membiasakan mereka menunaikan rukun Islam yang kedua itu. Antara tindakan yang berkesan mentarbiah mereka adalah dengan membawa anak-anak solat berjemaah bersama-sama di masjid dan surau. Boleh juga dilakukan di rumah misalnya pada hujung minggu. Jika bermusafir, semasa di hentian Rawat dan Rehat, ajak anak-anak solat berjemaah bukannya membiarkan mereka solat sendirian. Jika ini diamalkan, insya-Allah anak-anak tidak kekok ke masjid atau surau sama ada untuk solat berjemaah atau melakukan pelbagai ibadat lain.

Bagaimanapun, Islam memberi kelonggaran kepada mereka yang uzur syarie dan tidak dapat solat berjemaah. Antara keuzuran itu adalah hujan lumpur; angin kencang; malam yang terlalu gelap; siang yang terlalu panas; terlalu sejuk; terpaksa buang air besar atau kecil; terlalu lapar atau dahaga; takut akan sesuatu ancaman dan sakit.

Nabi SAW pernah berhadapan dengan situasi ini. Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah r.a yang maksudnya: Ada seorang lelaki buta datang mengadu kepada Rasulullah SAW yang dia tidak ada orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Nabi SAW membenarkannya. Namun kemudiannya baginda menarik balik kebenaran tadi setelah baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan yang dikumandangkan di masjid.

Bayangkan, orang buta pun tidak terlepas daripada tuntutan solat berjemaah inikan pula kita, insan yang cukup sifat. Majoriti kita mempunyai kenderaan baik basikal, motor atau kereta yang boleh digunakan untuk ke masjid. Amatlah rugi jika nikmat kesihatan dan kenderaan yang baik itu masih tidak mampu membawa kita solat berjemaah ke masjid atau surau. Padahal golongan ini mampu berjalan beratus-ratus kilometer contohnya untuk me­nyaksikan perlawanan bola sepak atau bermain golf di luar negara. Jadi, apa alasan kita tidak solat jemaah?