Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Rawat hati sentiasa betulkan niat

Posted by epondok di Mac 21, 2018


Oleh Fairuz Noordin

 

ULAMA berperanan untuk menyampaikan dakwah yang mampu merawat penyakit hati yang pada hakikatnya lebih kronik berbanding penyakit fizikal lain. Penyakit fizikal dapat dilihat kaca mata manusia dan boleh dinilai tahap serius melalui analisis doktor perubatan.

Penyakit berpunca daripada hati pula hanya dapat diketahui oleh si empunya diri dan Allah SWT. Imam Ghazali menjelaskan perjalanan menyembuhkan penyakit hati ialah perjalanan sangat panjang dan amat sukar.

Malah, ilmu berkaitannya semakin pudar dan manusia mula lalai mengkajinya kerana dikaburi keindahan dunia yang sangat mempesona sehingga lupa pentingnya merawatnya.

Pendakwah, Ustaz Abdul Kadir al-Joofre, berkata hati manusia perlu dirawat dan diingatkan agar sentiasa membetulkan niat. Adalah malang bagi mereka yang menemui ajal ketika berada dalam situasi terpesong daripada niatnya dan lalai daripada tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT.

Dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, terdapat tiga penyakit hati yang paling utama yang akan mencetuskan penyakit lain, sekali gus mampu membinasakan manusia, iaitu hasad dengki, riak dan ujub.

Rasulullah SAW mengingatkan manusia bahawa tiga perkara yang merosakkan manusia, iaitu sifat bakhil yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan kagumnya seseorang dengan dirinya sendiri.

Orang yang dengki terhadap orang lain lebih buruk daripada manusia kedekut yang tidak mahu berkongsi nikmat dimilikinya. Sebaliknya orang yang dengki bersifat kedekut terhadap perkara atau sesuatu tidak dimilikinya yang datang daripada perbendaharaan Allah SWT.

Orang berhasad dengki akan diazab di dunia dan akhirat kerana menderita siang serta malam akibat tidak mampu menerima hakikat nikmat dimiliki orang lain, selain sentiasa berada dalam tekanan walaupun tiada kaitan dengan perjalanan hidupnya. Sesungguhnya kekayaan sebenar adalah ketenangan hati, mereka yang memiliki jiwa tidak tenang adalah paling menderita.

Hasad ‘makan’ amalan

Pada hari akhirat kelak, penyakit hasad akan ‘memakan’ segala amalan dan kebaikan yang dilakukan ketika hidup di dunia dahulu seperti api memakan kayu sehingga menjadi debu. Penyakit ini jugalah menyebabkan amalan manusia ditolak oleh Allah SWT dan manusia tidak dapat hidup dengan aman dan tenteram.

Imam Ghazali menjelaskan bagaimana cara seseorang itu mengetahui dirinya mengalami penyakit hati, iaitu apabila melihat sesuatu kebaikan yang diperoleh oleh orang lain, apakah kita gembira dengan keadaan itu atau sebaliknya. Hati yang sihat akan gembira apabila melihat orang lain dikurniakan nikmat dan kebaikan.

Bagaimanapun jika sebaliknya apabila ada perasaan tidak senang melihat keadaan itu, maka berhati-hatilah kerana mereka tergolong dalam kalangan manusia mempunyai penyakit hati dan memerlukan rawatan segera.

Sesungguhnya tidak sempurna iman kita sehinggalah mencintai saudaranya apa yang dicintai untuk dirinya sendiri.

Penyakit riak ialah melakukan sesuatu untuk tujuan dilihat orang lain sama ada menyempurnakan pekerjaan, melakukan amal kebaikan atau beribadat. Riak menyebabkan tercetusnya penyakit hati lain, iaitu sum’ah.

Hakikatnya mereka yang riak tidak pula merasa dirinya hebat tetapi cukup sekadar mahu dilihat dirinya bagus di mata orang yang berada di sekelilingnya. Pada hari akhirat nanti, mereka akan mempertikaikan hilangnya pahala bagi setiap amalan yang dilakukan ketika di dunia seolah-olah tidak pernah melakukannya sepanjang hidup mereka.

Bagi mereka yang riak, hanya pujian yang diperoleh ketika di dunia terhadap segala amal kebaikan yang dilakukan dan ia akan berakhir di dunia tanpa beroleh apa-apa ganjaran pada hari akhirat. Sebenarnya apabila dinilai segala amal kebaikan dan ibadat yang disempurnakan, hampir semua bertujuan semata-mata untuk dilihat manusia lain.

Penyakit hati seterusnya ialah ujub yang akan turut melahirkan takabbur. Ujub ialah perasaan kagum kepada diri sendiri dan ia penyakit yang sangat merbahaya serta mampu membinasakan manusia.

Orang ujub akan memandang dirinya dengan pandangan penuh kemuliaan dan kebesaran. Antara petanda seseorang mempunyai penyakit ujub ialah sentiasa merujuk kepada kehebatan dirinya dalam melakukan sesuatu perkara dan mempunyai sifat keakuan yang melebihi batas.

Jangan nilai hati orang lain

Dengan mengetahui ciri yang ada pada penyakit hati, sewajarnya manusia perlu melakukan koreksi diri agar tidak terus terjebak dalam golongan manusia yang memiliki penyakit berkenaan dan tidak seharusnya menilai hati orang lain kerana hanya si empunya diri mengetahui hakikat keadaan hatinya sebenar.

Manusia yang memiliki sifat ujub akan memberi nasihat yang sangat keras kepada orang lain, sebaliknya apabila diberi nasihat, mereka akan bersikap degil kerana menganggap dirinya lebih hebat daripada orang lain.

Apabila merasai kehebatan diri, mereka akan memandang orang lain lebih rendah darjatnya dan akan mudah menghukum seseorang secara melampaui batas. Peringatan juga buat manusia yang sentiasa melihat kelemahan dan petanda penyakit hati yang terdapat pada orang lain kerana tanpa disedari penyakit itu juga ada dalam diri mereka

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: