Adakah manusia kini hidup tanpa undang-undang atau jenayah sudah menjadi lumrah? Atau tanpa disedari, adakah kita sememangnya mendedahkan diri kepada bahaya jenayah?

Usaha dan penguatkuasaan mengatasi masalah ini seakan-akan tidak diendahkan masyarakat. Sekiranya tidak dibendung, ia boleh menjadi barah dalam masyarakat. Menjadi satu keperluan agar pembentukan personaliti yang baik menjadi keutamaan setiap individu untuk mencapainya.

Asasnya, Allah SWT menjadikan manusia sebagai yang paling istimewa iaitu, ‘ahsani taqwim’ iaitu sebaik-baik kejadian.

Firman Allah: “Sesungguhnya Kami (Allah) menjadikan manusia dengan seindah-indah kejadian,” (Surah al-Tin:4).

Untuk melengkapkan kesempurnaan kejadian manusia, Allah SWT menganugerahkan manusia dengan akal dan nafsu.

Akal:

  • Unsur utama membezakan manusia dengan makhluk lain.
  • Potensi terbesar yang dimiliki manusia. Melaluinya, manusia bukan sahaja menerima ilmu malah mampu mengolah dan mengembangkan ilmu.

Nafsu:

  • Perasaan dan keinginan wujud di dalam diri manusia yang menjadikan manusia berperasaan dan beremosi.
  • Jika digunakan hanya untuk memikirkan, menumpukan dan memerah keringat bagi memenuhi keperluan fizikal sahaja, ia berada pada tahap yang rendah dan tiada bezanya dengan makhluk lain.

Kegagalan menguruskan akal dan nafsu menyebabkan manusia menjadi makhluk paling hina. Unsur ini perlu dibimbing oleh akal sihat yang mampu memandu ke arah kebaikan.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Kami jadikan dalam neraka jahanam itu daripada jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak mahu memahami ayat-ayat Allah, mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat bukti keesaan Allah dan mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat. Mereka itu adalah seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai. (Surah al-A’raf :179)

PEMBIMBING MANUSIA

Allah SWT menurunkan agama melalui nabi dan rasul-Nya bagi membimbing manusia. Walaupun diakui manusia mempunyai akal namun tetap wujud kelemahannya iaitu tidak sentiasa benar. Ia perlu kepada bimbingan agama yang benar. Sejak daripada pengutusan Nabi Adam a.s. manusia dibimbing oleh Allah SWT melalui agama sehinggalah kepada nabi yang terakhir, Nabi Muhamad SAW.

Agama adakah garis panduan yang memandu manusia ke arah kebaikan.

Sunah merakamkan personaliti hebat Rasulullah SAW sebagai negarawan dan pemimpin dihormati. Setiap individu seharusnya bijak dalam melayani nafsu dan kerenah tidak baik dalam kehidupan. Individu Muslim tidak perlu melakukan perkara bercanggah dengan perintah agama walaupun sebenarnya berdasarkan kepada keinginan nafsu, ia amat disukainya.

Seorang pegawai awam atau swasta jika ditawarkan rasuah, tidak sepatutnya menerima bahkan perlu melaporkan kepada pihak berwajib. Jika ingin diikutkan perasaan dan nafsu, maka sudah tentu ia boleh diterima tanpa mengira dosa dan pahala kerana inilah cara mudah mendapat wang daripada usaha orang lain.

Membocorkan maklumat sulit pula melibatkan penjualan maklumat sesebuah organisasi. Menjadi satu ketakutan jika maklumat data peribadi mahupun akaun begitu mudah didedahkan kepada pihak lain, malahan apabila pendedahan berlaku, tidak mustahil berlaku penipuan mahupun manipulasi pihak tidak bertanggungjawab. Dikhuatiri maklumat yang cukup terperinci diceroboh dan pihak organisasi gagal menjaga kerahsiaan lalu bocor kepada pihak berniat jahat.

Masalah jenayah pula berleluasa hari ini kerana keinginan untuk mengecapi kekayaan dengan cara mudah seperti melalui penghasilan dan pengedaran dadah. Penjenayah menjadikan anak-anak muda terjebak dalam pergaulan liar dan membawa kepada penyalahgunaan dadah, sekali gus memberikan sumber pendapatan membolehkan pengedar dadah hidup mewah hasil daripada kerja-kerja jenayah.

URUS ARAH KEBAIKAN

Manusia perlu menguruskan nikmat akal dan nafsu dengan cara yang betul ke arah kebaikan. Akal dan nafsu sentiasa berlawanan antara satu sama lain. Akal semata-mata tidak menjamin sebarang kebaikan, jika tidak dipandu oleh syariat Allah SWT. Akal berkeupayaan penuh menguasai nafsu melalui pemikiran dan penilaian yang baik, manakala jika sebaliknya berlaku, akal menjadi pengikut kepada nafsu yang menginginkan kerosakan.

Sebagai makhluk istimewa, manusia diberikan kebebasan dan ikhtiar memilih melakukan sesuatu yang terbaik atau sebaliknya. Menjadi tanggungjawab untuk membuat pilihan terbaik dan bertindak dengan tindakan sewajarnya serta perlu bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan daripada apa yang diusahakannya,” (Surah al-Najm : 39)

Setiap pilihan yang dibuat tidak hanya mempengaruhi kehidupan di dunia malahan juga kehidupannya di akhirat. Mereka yang melakukan amalan baik atau buruk ketika hidup di dunia, akan dibalas tanpa sebarang pengecualian di akhirat nanti. Sesiapa yang dapat menghindarkan diri daripada balasan api neraka, merekalah manusia yang berjaya.

Inilah pendekatan wasatiyyah. Tuntutan akal dan nafsu diimbangi oleh syariat. Dunia menjadi tempat yang paling selamat sekiranya setiap orang melakukan kebaikan (amal makruf) dan menjauhi keburukan (nahi mungkar).

Negara mendambakan warganegara terbaik, keluarga memerlukan ibu bapa dan penjaga prihatin, kepimpinan memerlukan ahli politik berakhlak mulia, majikan memerlukan pekerja berintegriti, institusi pendidikan memerlukan pelajar, pengajar dan pentadbir berhemah tinggi dan sebagainya.

Semoga Malaysia maju dengan pembangunan pesat dan keteguhan jati diri serta personaliti baik rakyatnya.