Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Taktik perang Saidina Amru dikagumi

Posted by epondok di Mac 2, 2018


Oleh Mohd Faiz Othman

 

KETIKA zaman Nabi Muhammad SAW, Saidina Amru al-Asy pernah dilantik menjadi ketua angkatan tentera dalam peperangan Dzatus Salalsis bersama sahabat agung, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.

Ketika peperangan itu, berlaku ketegangan antara Saidina Umar dan Saidina Amru kerana terdapat beberapa perkara yang dilakukan oleh Saidina Amru yang kelihatan janggal pada pandangan kalangan sahabat.

Menerusi segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany berkongsi sambungan kisah kehebatan Saidina Amru al-Asy yang sudah melakukan beberapa tindakan pada peperangan Dzatus Salasil.

Antaranya, beliau tidak membenarkan pasukannya menyalakan api sekalipun mereka dalam kedinginan dan mengimamkan solat Subuh dalam keadaan berjunub dengan hanya bertayamum. Selepas beroleh kemenangan, beliau tidak membenarkan tenteranya mengejar musuh yang lari.

Saidina Amru kemudian menghantar utusan memaklumkan kemenangan itu kepada Nabi SAW. Setibanya Saidina Amru bersama pasukan tenteranya di Kota Madinah bersama harta rampasan perang, Baginda meminta beliau memberikan penjelasan mengenai perkara janggal dilakukannya.

Perangi golongan murtad

Saidina Amru kemudian berkata,“Ya Rasulullah, aku tidak menyalakan api seperti mana angkatan musuh menyalakan api kerana apabila kami menyalakan api, kami akan mendedahkan kepada musuh bilangan angkatan kami yang sedikit. Saya menghentikan angkatan tentera bagi mengejar musuh kerana saya bimbang sekiranya mereka lari ke arah bukit, ia helah dan perangkap musuh yang sudah bersedia di sebalik bukit dan akan menyerang balas akhirnya ditewaskan. Maka, saya mengambil tindakan lebih berhati-hati.”

Mendengarkan jawapan itu, Baginda SAW tersenyum dan mengiyakan bahawa Saidina Amru seorang yang berhati-hati. Kemudian, Baginda bertanya mengenai solat Subuh yang diimamkan beliau. Saidina Amru lantas menjawab: “Ketika itu aku berada dalam keadaan sejuk dan jika aku mandi akan memusnahkan aku. Beliau kemudian menyebut ayat 29, surah an-Nisaa.” Mendengar penjelasan Saidina Amru, Baginda kemudian ketawa dan membenarkan perkara itu.

Pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar, sudah berlaku gejala murtad yang berleluasa. Fitnah murtad itu cuba dipadamkan dan Khalifah Abu Bakar sudah menggerakkan angkatan tentera yang diketuai Saidina Amru.

Dilantik jeneral perang

Angkatan itu dihantar kepada kaum Bani Amir untuk menyelesaikan kumpulan yang cuba meninggalkan agama Allah SWT. Saat beliau tiba, Ketua Bani Amir, Kurrah Hubairah yang bercita-cita meninggalkan Islam ada di situ.

Beliau berkata, “Sesungguhnya orang Arab tidak senang dengan apa yang sudah kalian tetapkan daripada pengambilan harta mereka sebagai bayaran zakat. Sekiranya kalian hapuskan zakat, pasti orang Arab akan terus menyokong kalian.”

Saidina Amru kemudian menjawab: “Sekiranya kalian enggan membayar apa yang sudah ditetapkan oleh Allah SWT dan rasul-Nya, maka kalian akan diperangi.” Beliau mula memerangi kumpulan itu sehingga berjaya mengembalikan mereka kepada Islam dan ketaatan kepada Khalifah Abu Bakar.

Ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab, Saidina Amru dilantik menjadi jeneral angkatan perang dan berjaya mengepung kota Baitulmaqdis sehingga artabun atau ketua angkatan Rom dan tenteranya berputus asa serta tidak mampu bertahan akibat pengepungan itu.

Akhirnya tentera Rom menyerahkan kota Baitulmaqdis kepada tentera Muslim tetapi ketua agama Nasrani enggan menyerahkan kunci Baitulmaqdis kepada Saidina Amru, sebaliknya ingin menyerahkannya kepada Khalifah Umar.

Saidina Amru telah menulis surat menjemput Khalifah Umar untuk datang menerima kunci itu. Peristiwa itu berlaku pada tahun ke-15 hijrah. Apabila Khalifah Umar mengingatkan peristiwa pengepungan oleh Saidina Amru itu, beliau berkata, “Kita telah kalahkan artabun Rom dengan artabun Arab (Saidina Amru).”

Doa terakhir

Allah SWT memberikan usia yang panjang buat Saidina Amru al-Asy. Saat beliau sakit dan hampir meninggal dunia, beliau mengatakan sesuatu kepada anaknya, “Aku hidup dalam tiga keadaan. Pertama, aku orang yang sudah kufur kepada Allah dan kalaulah ketika itu aku meninggal, pastilah aku akan dicampakkan ke dalam api neraka. Kedua, aku sudah berbai’ah kepada Rasulullah SAW dan sudah memeluk Islam sehingga aku menjadi manusia yang sangat malu kepada Rasulullah SAW. Aku tidak pernah bertentang mata dengan Baginda aku memeluk Islam kerana rasa malu dan menyesal atas kesalahanku yang lalu.

Saidina Amru menambah lagi, “Sudah berlaku banyak perkara dalam kehidupanku selepas wafatnya Rasulullah SAW. Aku tidak tahu lagi bagaimana kehidupanku di akhirat nanti. Beliau kemudian berkata: “Ya Allah, Engkau sudah memerintahkan kami, ada perintah-Mu yang kami tinggalkan. Ya Allah, Engkau sudah menegah kami dan ada tegahan Engkau yang sudah kami langgar. Ya Allah! kami tidak mampu kecuali mengharapkan keampunan dan pasrah kepada rahmat dan rahim-Mu ya Allah.”

Beliau kemudian meletakkan tangannya di leher dan menadahkan wajahnya ke arah langit lalu berkata, “Ya Allah, aku tidak kuat, maka aku memohon pertolongan-Mu. Ya Allah, aku tidak ada lagi pembantu, maka aku memohon bantuan daripada-Mu. Ya Allah, aku bukan orang yang membesarkan diri dan aku juga orang yang sentiasa beristighfar memohon keampunan-Mu ya Allah. Maka, ampunilah aku.” Diulangnya perkataan itu sehingga akhirnya beliau meninggal dunia.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: