Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Mac 2018

Rasulullah SAW teladan terbaik institusi keluarga

Posted by epondok di Mac 31, 2018

Oleh Mohd Aizat Shamsuddin

 

SIKAP Nabi Muhammad SAW dalam perkahwinan dan rumah tangga seperti tidak mengambil kesempatan ke atas isteri dan tidak membawa pulang masalah di luar ke rumah wajar dicontohi Muslim pada zaman moden.

Pendakwah kelahiran United Kingdom (UK) yang juga Imam Masjid Lozells, Birmingham, Shaykh Mohammed Aslam, berkata ini kerana al-Quran menyifatkan Rasulullah SAW sebagai uswatun hasanah atau sebaik-baik teladan yang perlu dicontohi.

Beliau berkata, begitu banyak hadis yang diriwayatkan mengenai kisah Baginda dalam menguruskan rumah tangga bersama isteri-isteri.

“Di sebalik kesibukan sebagai pemimpin, Baginda tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dan cuba membahagikan masanya sebaiknya dengan isteri-isterinya,” katanya.

“Baginda tidak pernah membawa pulang masalah di luar ke rumah. Walaupun kepenatan, Baginda pulang ke rumah dengan melemparkan senyum. Malah sempat lagi menolong dan menguruskan rumah tangga bersama isteri-isterinya.

“Baginda menunjukkan sifatnya sebagai ketua keluarga dengan tidak akan membiarkan isterinya menguruskan rumah sendirian tanpa pertolongannya.

Malah tanpa disuruh, Baginda tetap akan melakukannya,” katanya ketika menyampaikan tazkirah Bringing Back Manhood in Marriage di Musalla Al Abrar, Sungai Penchala, Petaling Jaya.

Shaykh Mohammed berkata, sebagai ketua keluarga, Baginda juga tidak pernah mengambil kesempatan terhadap isterinya.

Beliau berkata, walaupun mengahwini Siti Khadijah, iaitu usahawan berjaya di Kota Makkah ketika itu, Baginda masih lagi meneruskan perniagaan, malah turut menyertai perdagangan hingga ke luar Makkah.

Dalam konteks pada hari ini, Shaykh Mohammed berkata, pasangan suami isteri perlu memahami peranan masing-masing dalam institusi perkahwinan yang dibina.

“Wanita atau isteri yang bekerjaya pada hari ini bukanlah sesuatu baharu. Suami harus menghormati isteri yang bekerja kerana keprihatinan isteri menyumbang kepada keluarga.

“Namun isteri yang berkerjaya, jangan sesekali membawa balik masalah di luar, masuk dalam keluarga. Ini kerana ia boleh menyumbangkan masalah yang besar dalam institusi kekeluargaan seperti pergaduhan hingga menyebabkan perceraian.

“Dalam hal ini juga memerlukan kesepakatan dan tolak ansur antara suami dengan isteri, agar rumah tangga yang dibina tidak dilanda masalah dari luar,” katanya.

Shaykh Mohammed berkata, Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW juga menekankan soal peranan hak wanita.

Katanya, sebelum Islam sampai di Kota Makkah, golongan wanita dinafikan haknya dalam masyarakat.

“Sebelum kedatangan Islam, budaya masyarakat ketika itu yang tidak menghormati golongan wanita dan anak perempuan.

“Namun Rasulullah memecahkan tembok itu dengan mengangkat hak wanita dan golongan ini turut diberikan peranan dalam masyarakat,” katanya.

Dalam konteks teknologi dan media sosial, Shaykh Mohammed meluahkan kebimbangan sekiranya ia menjadi perosak dalam hubungan kekeluargaan.

Katanya, teknologi tidak sepatutnya mengambil alih peranan dalam institusi kekeluargaan.

“Tidak dinafikan teknologi yang ada pada hari ini adalah satu keperluan. Namun sekiranya disalah guna atau teknologi itu mengambil alih peranan terbabit, ia boleh menyebabkan perpecahan dalam institusi ini.

“Apabila teknologi menguasai peranan dalam rumah tangga, ia menjadikan roh atau jiwa dalam perkahwinan dan institusi kekeluargaan semakin terhakis. Ini kerana hubungan yang semakin renggang dan tiada lagi kualiti masa untuk dihabiskan bersama,” katanya.

Advertisements

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Islam kini kian terasing?

Posted by epondok di Mac 29, 2018

 

BUKAN sahaja berjanggut bagi Muslim dan bertudung untuk Muslimah, malah melaksanakan solat lima waktu secara konsisten juga dilihat janggal di sesetengah tempat,” kata  Bilal Assad.

Aktivis Kesatuan Islam Victoria, Australia ini berkata, itulah kemelut yang melanda umat Islam masa kini untuk melaksanakan tuntutan syariat kerana semakin dipandang asing oleh masyarakat dunia sehingga dikatakan sebagai ajaran baharu.

Perkara itu tambahnya, terbukti sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Islam bermula dalam keadaan asing, dan akan kembali terasing seperti semula, maka beruntunglah orang yang terasing.” – Riwayat Muslim

Permasalahan itu katanya, berlaku bukan hanya disebabkan pengaruh golongan musuh Islam yang sentiasa berusaha menghancurkan Islam, tetapi lebih menyedihkan adalah akibat kemelut dalaman umat Islam itu sendiri.

“Sebagaimana tercatat dalam sejarah, Rasulullah menyebarkan Islam kepada masyarakat pada masa itu dalam keadaan terasing. Asing bukan bermakna melakukan kesalahan tetapi tidak dikenali orang lain, tidak mengetahui budaya dan tradisi diamalkan.

“Jika kita perhatikan, hal sama berlaku pada hari ini. Malah ia lebih buruk. Islam bukan sahaja kelihatan asing bagi golongan bukan Islam tetapi lebih menyedihkan, ia turut kelihatan asing dalam kalangan umat Islam sendiri.

“Umat Islam berpecah dan berbalah sesama sendiri, masing-masing mempertikaikan amalan dilaksanakan antara satu sama lain sehingga menyalahkan umat Islam sendiri. Keadaan ini lebih asing berbanding pada awal penyebaran Islam dahulu,” katanya.

Berkongsi pengalaman, Assad berkata, dia pernah bertemu dengan seorang Muslim dari Palestin yang berhijrah ke Australia ketika menunaikan solat tarawih pada bulan Ramadan.

“Ada beberapa perbuatan atau amalan yang dilakukan oleh imam tidak diikuti oleh individu ini. Apabila ditanya, dia berkata ‘aku tidak pernah mengetahui amalan apa yang dilakukan ini, ia kelihatan aneh’.

“Inilah yang dimaksudkan dalam hadis Rasulullah, Islam akan kembali terasing. Dan perkara perlu kita sedari adalah, hal ini menunjukkan dunia ini sudah hampir di penghujung (kiamat),” katanya.

Beliau berkata, antara faktor mengakibatkan Islam kian terasing adalah munculnya pelbagai fahaman yang disifatkan ‘agama’ baharu yang tersebar meluas di seluruh dunia dengan menyasarkan umat Islam, khususnya golongan muda.

“Realitinya di dunia ini terdapat banyak fahaman yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan dipopularkan seperti ideologi athiestme, kapatalisme, komunisme, sosialisme dan banyak lagi. Ini semua tidak ubah seperti ‘agama’ yang membawa maksud panduan hidup baharu kepada pengikutnya.

“Begitu juga fahaman Islam moderat yang kononnya dicetuskan untuk menjaga keseimbangan dalam beragama, namun pada hakikatnya, ia adalah untuk menghalang kebangkitan Islam terutama bagi generasi baharu,” jelasnya.

Manakala tambahnya, lebih membimbangkan adalah serangan dari dalam, iaitu oleh orang munafik atau golongan yang mengaku Islam tetapi bermuka-muka dengan mengubah sesuatu ketetapan syariat mengikut akal dan kehendak sendiri.

“Rasulullah pernah berdoa kepada Allah: “Jangan Engkau hancurkan umatku dengan penyakit yang mewabak.” Allah mengabulkan doa Rasulullah itu dan umat Islam tidak akan hancur kerana wabak penyakit.

Rasulullah berdoa lagi: “Ya Allah, jangan buat musuh dari luar menguasai umat Islam.” Lalu Allah berfirman: “Aku kabulkan.”

“Tetapi mengapa sekarang, musuh Islam menguasai dan menakluk kita? Ini kerana Allah tidak mengabulkan doa ketiga Rasulullah iaitu “Kecuali jika mereka saling berkelahi dari dalam dan sesama sendiri. Aku tidak akan menjaga mereka daripada itu. Aku telah memberikan petunjuk Ku, selebihnya bergantung kepada mereka,” katanya.

Ternyata kesannya Assad berkata, lahir ramai golongan materialistik yang secara tidak langsung bersifat menjauhkan seseorang daripada Tuhannya kerana mengejar keduniaan.

“Tidak hairanlah anak-anak muda sekarang banyak yang salah faham terhadap Islam. Pelbagai doktrin yang cuba memisahkan agama dengan hal dunia lain diterapkan dan kian berhasil.

“Malah, pernah ada remaja Muslim bertanya kepadaku ‘bolehkah aku mengenakan salib untuk sekadar fesyen’?” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/islam-kini-kian-terasing-1.619918#ixzz5AAUPTkw5
© Utusan Melayu (M) Bhd

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Jangan mudah percaya orang

Posted by epondok di Mac 27, 2018

Saifulizam Mohamad

 

MACAM-MACAM jenis manusia ada di dunia ini. Ada yang baik. Ada yang jahat. Ada yang kaya dan ada yang miskin. Ada yang telah diberikan rezeki lebih sehingga dilantik memegang pelbagai jawatan tinggi dalam organisasi, syarikat mahupun agensi. Malangnya pula sanggup menyeleweng meskipun gaji bulanannya mencecah puluhan ribu ringgit. Puncanya perbelanjaan melebihi pendapatan.

Pendek kata, inilah gambaran ringkas jenis-jenis manusia yang mungkin boleh ditemukan dalam kehidupan kita seharian. Kalam terpanggil untuk membincangkan isu ini bagi menggambarkan betapa rakusnya manusia di zaman mutakhir mencari harta dunia tanpa mengira halal atau haram.

Dalam satu hadis iaitu daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang suatu zaman di mana seseorang itu tidak mempedulikan dari mana dia mendapatkan harta, apakah daripada sumber halal atau haram.”

Berkaitan dengan isu yang dibincangkan ini, wujud sekelompok manusia yang menampilkan diri sebagai kuat agama sama ada lelaki mahupun wanita tetapi sanggup menipu orang kerana duit.

Sememangnya kisah ini berlaku dalam masyarakat kita dan Kalam sendiri pernah mendengar luahan seorang sahabat berhubung nasib abangnya yang menjadi mang­sa penipuan umrah murah dua tahun lalu. Orang yang ­menipu abangnya itu adalah seorang ustaz.

Abangnya itu bukan orang senang. Namun disebabkan terpengaruh dengan kata-kata manis ustaz berkenaan, dia dan isterinya bulat-bulat menyerahkan wang sebanyak RM7,000 (RM3,500 seorang) kepada ustaz itu bagi menguruskan umrah mereka.

Setelah menunggu beberapa lama, tiba-tiba ustaz tersebut hilang tanpa berita. Telefon langsung tidak dijawab. Macam-macam ikhtiar untuk menjejaki ustaz ini tetapi gagal sehinggalah satu hari, abang sahabat Kalam ini terlihat ustaz tersebut berceramah di sebuah kampung lain.

Siapa yang tidak marah tetapi dia tidak mengambil sebarang tindakan. Kata sahabat Kalam, abangnya itu jenis orang yang sabar. Bagi Kalam, ustaz sebegini adalah jenis manusia yang zalim. Ingat, Allah itu Maha Adil dan Allah tidak akan mempersia-siakan doa orang yang dizalimi.

Namun dalam kesedihan ada juga kegembiraan apabila atas kehendak Allah jua, abang kepada sahabat Kalam ini serta isterinya telah dijemput menunaikan umrah baru-baru ini. Boleh dikatakan semua ahli keluarga yang menghantarnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menitis air mata kerana terlalu gembira setelah hajat mereka suami isteri untuk ke tanah suci dimakbulkan oleh Allah.

Satu kisah lain pula melibatkan seorang nenek yang menjadi mangsa penipuan seorang kenalannya. Kenalannya ini adalah seorang wanita. Hendak dijadikan cerita, satu hari kenalannya melawat nenek tersebut di rumah. Tujuannya untuk memujuk nenek berkenaan melabur dalam satu skim melalui pelaburan barang kemas.

Kenalan nenek ini menzahirkan dirinya sebagai seorang yang warak. Dengan penampilan sebegitu sudah tentu nenek berkenaan percaya dan mengambil keputusan menyerahkan segala barang kemasnya yang dianggarkan bernilai kira-kira RM15,000.

Ringkas cerita, pada dua bulan pertama, nenek itu memperoleh dividen pelaburan seperti dijanjikan tetapi apabila masuk bulan ketiga janji tinggal janji. Satu sen pun tak masuk. Masuk bulan keempat dan seterusnya, satu sen pun tak masuk. Nenek ini berkali-kali menghubungi kenalannya itu tetapi langsung tidak dijawab. Senang cerita nenek tersebut telah ditipu.

Berdasarkan dua kisah ini, Kalam sekadar mengingatkan diri ini serta pembaca sekalian agar kita sentiasa berhati-hati. Jangan mudah terpengaruh dengan kata-kata orang walaupun pada zahirnya mereka dilihat cukup warak. Perlu buat siasatan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Hakikatnya Rasulullah SAW dalam hal ini pernah mengingatkan kita bahawa akan keluar di akhir zaman ini orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka berpakaian dengan pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud) untuk mendapat simpati orang dan perkataan mereka lebih manis daripada gula. Padahal, hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang buruk). Renung-renungkanlah.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Aturcara Penuh Majlis Pengkisahan Tokoh Tok Kenali pada 30 & 31 Mac 2018

Posted by epondok di Mac 26, 2018

Aturcara Program Maulid Perdana & Haul Tok Kenali

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Majlis Pengkisahan Tokoh Tok Kenali pada 30 & 31 Mac 2018

Posted by epondok di Mac 25, 2018

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Daurah Kitab Bersama Ulama Maghribi di Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas 28 Mac 2018

Posted by epondok di Mac 24, 2018

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Jaga solat jemaah

Posted by epondok di Mac 23, 2018

Mohd. Radzi Mohd. Zin

 

IMAM an-Nawawi dan beberapa tokoh ulama lain dalam mazhab Syafie menegaskan bahawa solat berjemaah hukumnya fardu kifayah. Ia bermaksud setiap kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh mukalaf tertentu dan dengan pelaksanaan mereka itu, maka terlepaslah kefarduan tersebut itu kepada yang lain seperti jihad dan solat jenazah (al-Jurjani, 1983: 165).

Solat fardu berjemaah wajib dilakukan di tempat yang boleh menampakkan syiar jemaah dan Islam seperti di masjid, surau atau madrasah. Jika semua sepakat melaksanakan solat jemaah di rumah masing-masing yang sama sekali tidak menampakkan syiar Islam, maka tidak gugur kewajipan solat berjemaah tersebut. Pendapat inilah yang masyhur dan muktamad serta menjadi pegangan sebahagian besar ulama mazhab Syafie.

Walaupun telah maklum tentang kelebihan pahala solat berjemaah berbanding solat sendirian iaitu ada riwa­yat menyebut 25 kali ganda dan ada yang 27 kali ganda, ia masih belum cukup mengujakan sebahagian umat Islam. Menyebabkan ada yang lebih suka solat bersendirian walaupun jika berada di masjid dan surau bila mana solat jemaah di awal waktu telah tamat.

Walhal Rasulullah SAW amat memberi perhatian terhadap pentingnya solat berjemaah di masjid. Sabda ba­ginda SAW yang bermaksud: Demi Dia yang jiwaku berada di dalam genggaman-Nya, aku ingin menyuruh supaya dikumpulkan kayu api dan dibawa kepadaku, lalu menyuruh supaya azan, kemudian aku menyuruh seseorang menjadi Imam, maka aku pergi ke rumah orang yang enggan datang berjemaah lalu aku bakar rumah-rumah mereka. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Imam al-Nawawi berkata, tuntutan berjemaah pada solat lima waktu selain solat fardu Jumaat adalah fardu kifayah bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai sebarang keuzuran syarie.

Arahan solat ini pula adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa. (Taha: 132)

Sebab itu, ibu bapa disuruh mendidik anak-anak me­nunaikan solat ketika usianya tujuh tahun. Ia untuk membiasakan mereka menunaikan rukun Islam yang kedua itu. Antara tindakan yang berkesan mentarbiah mereka adalah dengan membawa anak-anak solat berjemaah bersama-sama di masjid dan surau. Boleh juga dilakukan di rumah misalnya pada hujung minggu. Jika bermusafir, semasa di hentian Rawat dan Rehat, ajak anak-anak solat berjemaah bukannya membiarkan mereka solat sendirian. Jika ini diamalkan, insya-Allah anak-anak tidak kekok ke masjid atau surau sama ada untuk solat berjemaah atau melakukan pelbagai ibadat lain.

Bagaimanapun, Islam memberi kelonggaran kepada mereka yang uzur syarie dan tidak dapat solat berjemaah. Antara keuzuran itu adalah hujan lumpur; angin kencang; malam yang terlalu gelap; siang yang terlalu panas; terlalu sejuk; terpaksa buang air besar atau kecil; terlalu lapar atau dahaga; takut akan sesuatu ancaman dan sakit.

Nabi SAW pernah berhadapan dengan situasi ini. Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah r.a yang maksudnya: Ada seorang lelaki buta datang mengadu kepada Rasulullah SAW yang dia tidak ada orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Nabi SAW membenarkannya. Namun kemudiannya baginda menarik balik kebenaran tadi setelah baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan yang dikumandangkan di masjid.

Bayangkan, orang buta pun tidak terlepas daripada tuntutan solat berjemaah inikan pula kita, insan yang cukup sifat. Majoriti kita mempunyai kenderaan baik basikal, motor atau kereta yang boleh digunakan untuk ke masjid. Amatlah rugi jika nikmat kesihatan dan kenderaan yang baik itu masih tidak mampu membawa kita solat berjemaah ke masjid atau surau. Padahal golongan ini mampu berjalan beratus-ratus kilometer contohnya untuk me­nyaksikan perlawanan bola sepak atau bermain golf di luar negara. Jadi, apa alasan kita tidak solat jemaah?

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Rawat hati sentiasa betulkan niat

Posted by epondok di Mac 21, 2018

Oleh Fairuz Noordin

 

ULAMA berperanan untuk menyampaikan dakwah yang mampu merawat penyakit hati yang pada hakikatnya lebih kronik berbanding penyakit fizikal lain. Penyakit fizikal dapat dilihat kaca mata manusia dan boleh dinilai tahap serius melalui analisis doktor perubatan.

Penyakit berpunca daripada hati pula hanya dapat diketahui oleh si empunya diri dan Allah SWT. Imam Ghazali menjelaskan perjalanan menyembuhkan penyakit hati ialah perjalanan sangat panjang dan amat sukar.

Malah, ilmu berkaitannya semakin pudar dan manusia mula lalai mengkajinya kerana dikaburi keindahan dunia yang sangat mempesona sehingga lupa pentingnya merawatnya.

Pendakwah, Ustaz Abdul Kadir al-Joofre, berkata hati manusia perlu dirawat dan diingatkan agar sentiasa membetulkan niat. Adalah malang bagi mereka yang menemui ajal ketika berada dalam situasi terpesong daripada niatnya dan lalai daripada tanggungjawab sebagai hamba Allah SWT.

Dalam kitab Ihya’ Ulumiddin, terdapat tiga penyakit hati yang paling utama yang akan mencetuskan penyakit lain, sekali gus mampu membinasakan manusia, iaitu hasad dengki, riak dan ujub.

Rasulullah SAW mengingatkan manusia bahawa tiga perkara yang merosakkan manusia, iaitu sifat bakhil yang ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan kagumnya seseorang dengan dirinya sendiri.

Orang yang dengki terhadap orang lain lebih buruk daripada manusia kedekut yang tidak mahu berkongsi nikmat dimilikinya. Sebaliknya orang yang dengki bersifat kedekut terhadap perkara atau sesuatu tidak dimilikinya yang datang daripada perbendaharaan Allah SWT.

Orang berhasad dengki akan diazab di dunia dan akhirat kerana menderita siang serta malam akibat tidak mampu menerima hakikat nikmat dimiliki orang lain, selain sentiasa berada dalam tekanan walaupun tiada kaitan dengan perjalanan hidupnya. Sesungguhnya kekayaan sebenar adalah ketenangan hati, mereka yang memiliki jiwa tidak tenang adalah paling menderita.

Hasad ‘makan’ amalan

Pada hari akhirat kelak, penyakit hasad akan ‘memakan’ segala amalan dan kebaikan yang dilakukan ketika hidup di dunia dahulu seperti api memakan kayu sehingga menjadi debu. Penyakit ini jugalah menyebabkan amalan manusia ditolak oleh Allah SWT dan manusia tidak dapat hidup dengan aman dan tenteram.

Imam Ghazali menjelaskan bagaimana cara seseorang itu mengetahui dirinya mengalami penyakit hati, iaitu apabila melihat sesuatu kebaikan yang diperoleh oleh orang lain, apakah kita gembira dengan keadaan itu atau sebaliknya. Hati yang sihat akan gembira apabila melihat orang lain dikurniakan nikmat dan kebaikan.

Bagaimanapun jika sebaliknya apabila ada perasaan tidak senang melihat keadaan itu, maka berhati-hatilah kerana mereka tergolong dalam kalangan manusia mempunyai penyakit hati dan memerlukan rawatan segera.

Sesungguhnya tidak sempurna iman kita sehinggalah mencintai saudaranya apa yang dicintai untuk dirinya sendiri.

Penyakit riak ialah melakukan sesuatu untuk tujuan dilihat orang lain sama ada menyempurnakan pekerjaan, melakukan amal kebaikan atau beribadat. Riak menyebabkan tercetusnya penyakit hati lain, iaitu sum’ah.

Hakikatnya mereka yang riak tidak pula merasa dirinya hebat tetapi cukup sekadar mahu dilihat dirinya bagus di mata orang yang berada di sekelilingnya. Pada hari akhirat nanti, mereka akan mempertikaikan hilangnya pahala bagi setiap amalan yang dilakukan ketika di dunia seolah-olah tidak pernah melakukannya sepanjang hidup mereka.

Bagi mereka yang riak, hanya pujian yang diperoleh ketika di dunia terhadap segala amal kebaikan yang dilakukan dan ia akan berakhir di dunia tanpa beroleh apa-apa ganjaran pada hari akhirat. Sebenarnya apabila dinilai segala amal kebaikan dan ibadat yang disempurnakan, hampir semua bertujuan semata-mata untuk dilihat manusia lain.

Penyakit hati seterusnya ialah ujub yang akan turut melahirkan takabbur. Ujub ialah perasaan kagum kepada diri sendiri dan ia penyakit yang sangat merbahaya serta mampu membinasakan manusia.

Orang ujub akan memandang dirinya dengan pandangan penuh kemuliaan dan kebesaran. Antara petanda seseorang mempunyai penyakit ujub ialah sentiasa merujuk kepada kehebatan dirinya dalam melakukan sesuatu perkara dan mempunyai sifat keakuan yang melebihi batas.

Jangan nilai hati orang lain

Dengan mengetahui ciri yang ada pada penyakit hati, sewajarnya manusia perlu melakukan koreksi diri agar tidak terus terjebak dalam golongan manusia yang memiliki penyakit berkenaan dan tidak seharusnya menilai hati orang lain kerana hanya si empunya diri mengetahui hakikat keadaan hatinya sebenar.

Manusia yang memiliki sifat ujub akan memberi nasihat yang sangat keras kepada orang lain, sebaliknya apabila diberi nasihat, mereka akan bersikap degil kerana menganggap dirinya lebih hebat daripada orang lain.

Apabila merasai kehebatan diri, mereka akan memandang orang lain lebih rendah darjatnya dan akan mudah menghukum seseorang secara melampaui batas. Peringatan juga buat manusia yang sentiasa melihat kelemahan dan petanda penyakit hati yang terdapat pada orang lain kerana tanpa disedari penyakit itu juga ada dalam diri mereka

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Istikharah halang manusia bersifat sombong

Posted by epondok di Mac 19, 2018

ISTIKHARAH ialah menyerahkan urusan kepada Allah SWT dengan penuh rasa kehambaan kerana manusia mempunyai sifat kelemahan dan kekurangan. Justeru, apabila berdepan kebuntuan, segala-galanya diserahkan kepada Allah Maha Mengetahui dan Mengasihani.

Antara kelemahan manusia yang ketara ialah tidak tahu secara pasti apa yang terbaik untuknya. Jika bersandarkan kepada ilmu yang terbatas, dikhuatiri tersalah dalam membuat keputusan atau tindakan.

Allah SWT tidak membiarkan manusia terumbang-ambing, sebaliknya menunjukkan jalan supaya dapat dijadikan panduan seterusnya melaksanakan tindakan sewajarnya. Itulah bukti kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-Nya.

Menerusi sunah kekasih-Nya, Nabi Muhammad SAW, membawa perintah untuk melaksanakan solat sunat istikharah yang menjadi kunci melapangkan dada, mententeramkan jiwa dan menstabilkan fikiran bagi membuat pilihan.

Sungguhpun Nabi Muhammad SAW dikurniakan mukjizat, maksum daripada segala dosa dan diturunkan wahyu kepadanya, Baginda tetap sujud melakukan istikharah sebagai isyarat pengakuan terhadap hakikat diri yang tidak ada.

Rujuk kepada Allah

Istikharah lambang kelemahan hamba di sisi Tuhannya, tetapi pada masa sama menjadi sumber kekuatan untuk menghadapi cubaan dan dugaan dalam kehidupan. Ia juga menghalang hamba daripada perasaan sombong seolah-olah mengetahui segala-galanya.

Bagaimanapun, tidak semua yang mahu memanfaatkan istikharah dalam mengembalikan jiwa yang tertekan kepada ketenangan dan masih degil untuk menyerahkan kepada kekuasaan Allah SWT.

Solat istikharah hukumnya sunat tetapi maksud tersirat di sebaliknya mempunyai nilai besar, iaitu mengajak manusia kembali merujuk kepada Allah SWT untuk mengeluarkan mereka daripada permasalahan dan berjaya mendepani cabaran.

Justeru, bersedialah mengaku kalah dan menyerahkan kepada yang Maha Mengetahui kerana itu lebih baik. Umat Islam sentiasa diingatkan, kita hanya merancang Allah SWT yang berkuasa menentukan dan Dia adalah sebaik-baik perancang.

Andai yang diharapkan tidak tercapai, jangan mudah berputus asa sebaliknya sentiasa berbaik sangka bahawa Allah SWT ingin memberi yang lebih baik, yang tidak terbayang atau tergambar oleh daya pemikiran manusia.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Reda terima nikmat, ditimpa musibah

Posted by epondok di Mac 17, 2018

Oleh Ahmad Shukri Yusoff

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jikalau mereka bersungguh-sungguh reda dengan apa yang yang diberikan Allah dan Rasul-Nya kepada mereka serta berkata, “Cukuplah Allah bagi kami, Allah akan memberikan kepada kami sebahagian daripada kurnia-Nya, dan demikian (pula) Rasul-Nya, sesungguhnya kami adalah orang yang berharap kepada Allah. (Tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka).” (Surah at-Taubah ayat 59)

Sheikh Al-Maraghy ketika menafsirkan ayat itu membuat rumusan Mukmin wajib reda dan berasa puas terhadap usaha mereka dan segala yang diperolehnya dengan cara benar seperti sedekah dengan menghadapkan hati kepada Allah SWT. Hendaklah dia berharap hanya kepada Tuhan sahaja untuk memperoleh keinginannya yang berada di luar usaha dan hak syari’e.

Dr Yusuf Qaradawi menyatakan seorang Islam harus reda terhadap diri sendiri dan Tuhannya, alam dan hidup, takdir serta rezeki yang dikurniakan Allah SWT.

Reda secara umumnya, sifat lapang hati ketika menerima ketentuan Allah dengan bersangka baik terhadap segala aturan-Nya sekalipun bertentangan dengan kehendak dan keinginan.

Dalam al-Quran disebut tidak kurang 70 kali perkataan mengandungi maksud reda. Pada umumnya, ia berkait dengan masalah iman, amal soleh, kebajikan dan nilai utama yang lainnya. Malah sumber reda itu ialah iman sehingga semakin kuat dan tebal iman seseorang, semakin mantap reda bersemi dalam jiwanya.

Dalam kehidupan Muslim, sikap reda adalah tahap terakhir harus diterima setelah terlebih dahulu berusaha dengan segala kemampuan. Kalau seseorang menghadapi masalah yang perlu memilih antara dua alternatif yang sama kuat, hendaklah dia berhubungan dengan Allah SWT dengan melakukan solat istikharah supaya dicondongkan hatinya memilih yang lebih baik.

Kalau pilihan atau keputusan itu sudah ada, meskipun buruk dan tidak sesuai dengan harapan, dia tetap menerima ketentuan dengan sikap reda.

Apa kita rancangkan kadang-kadang tidak berjalan seperti kita harapkan, lantas kita bertanya kepada diri di manakah silapnya? Namun, apabila kita tidak menemui puncanya kerana kita merasakan perancangan cukup sempurna, sebenarnya kita terlupa ada perancang lebih besar, iaitu Allah. Ingatlah apabila ditimpa masalah ataupun apa yang diharapkan tidak berjalan seperti diimpikan, jangan mudah mengeluh ataupun bersedih kerana kita tidak tahu apa yang Allah rancangkan dan percayalah kalau kita rasakan masalah itu besar, maka pujuklah hati suatu ketika masalah ini akan hilang dan sinar kebahagiaan akan muncul walaupun tidak mengetahui waktunya.

Di sinilah terletak kebahagiaan Muslim seperti dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan Al-Bazar bermaksud: “Kebahagiaan manusia ialah memohon pilihan kepada Tuhannya dan bersikap reda terhadap ketentuan (qada’). Tanda daripada kecelakaan manusia ialah meninggalkan usaha istikharah (memohon pilihan) dan tidak reda terhadap ketentuan diterimanya.”

Dalam usaha mengharungi kehidupan, kita harus berasa senang menerima ketentuan Allah. Ketentuan itu umumnya disebut takdir pada asasnya membabitkan dua perkara. Pertama berupa nikmat yang pasti akan diterima manusia dengan perasaan senang dan dengan penuh kegembiraan serta kedua, bencana yang datang pelbagai bentuk.

Jika kita ditimpa bencana seperti banjir, kebakaran. kemalangan atau malapetaka alam, tentu kita akan mengeluh, sedih serta berkata-kata dalam hati mengapa musibah menimpa ke atas diri dan kenapa tidak berlaku kepada orang lain. Sikap ini termasuk dalam kategori tidak reda menerima takdir Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apa jua menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dosa kamu.” (Surah Asy-Syu’ara ayat 30)

Dalam ajaran Islam, dianjurkan kita bersikap seperti disabdakan Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila sesuatu musibah menimpa engkau, maka janganlah engkau berkata, “Kalau (tadinya) aku berbuat begitu tentulah jadinya akan begini.” Namun katakanlah, “Allah mentakdirkan yang demikian dan apa-apa yang dikehendaki-Nya, Dia perbuat.” Ucapan ‘kalau-kalau’ itu hanya membukakan peranan syaitan. (Riwayat Muslim).

Sikap reda haruslah ditunjukkan baik ketika menerima nikmat mahupun ditimpa musibah. Bagi Mukmin, segala keputusan Allah adalah terbaik. Kurniaan kejayaan dalam hidup tidak menjadikannya riyak, takabbur dan ujub sehingga menyeretnya ke neraka. Ditimpa musibah tidak membawa kepadanya putus asa, kecewa dan merungut-rungut sehingga menyeretnya ke dalam kalangan manusia tidak bersyukur.

Antara tujuan seseorang itu diuji Allah SWT adalah bagi menghapuskan dosanya. Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan bersamanya dosanya seperti pohon menggugurkan daun-daunnya.” (HR Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, kita melihat Allah SWT memberikan kepada kita kaitan antara keimanan dan ujian. Bermakna, setiap kali manusia teruji, keimanannya akan menjadi penentu sama ada dia mampu menghadapi ujian tersebut dengan reda atau tidak. Maka lebih berat ujian yang dihadapi, semakin tinggi keimanan perlu diraih untuk kita berjaya mengharunginya.

Diceritakan suatu hari seorang lelaki tawaf mengelilingi Kaabah sambil berkata, “Wahai Tuhanku adakah Engkau reda kepadaku?” Kebetulannya di belakangnya, Imam Shafie yang bertanya balik kepada lelaki itu, “Adakah kamu reda segala diberikan Allah sehingga Allah juga boleh reda kepada engkau?” Lelaki itu menjawab, “Subhanallah, aku reda apa yang datang dari-Nya dan aku mengharapkan reda-Nya. Apa maksud kamu sebenarnya?” tanya lelaki itu kepada Imam Shafie. Imam Shafie menjawab, “Jika kamu bergembira mendapat ujian sama seperti kamu gembira mendapat nikmat itulah maksud kamu reda sesuatu yang didatangkan oleh Allah kepada kamu.”

Itulah yang digambarkan Rasulullah SAW mukmin berada pada tahap luar biasa dan menakjubkan kerana mereka mampu melalui segenap liku kehidupan dengan tabah dan ketenangan. Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh ajaib keadaan orang beriman, sesungguhnya semua urusan mereka berada dalam keadaan baik. Dan tiada yang memperoleh keadaan ini melainkan orang yang beriman sahaja. Sekiranya dia dianugerahkan sesuatu, dia bersyukur. Maka jadilah anugerah itu baik untuknya. Sekiranya dia ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu baik untuknya” (HR Muslim)

Apabila kita mengaitkan segala kejadian di dunia ialah hasil aturan dan kehendak Allah SWT, kita akan melihat semuanya dari perspektif positif. Allah SWT tidak akan sesekali menzalimi hamba-Nya. Keimanan akan menyuntik kekuatan insan untuk berhadapan dengan ujian menimpa. Menjauhkan dirinya dari kelemahan putus asa dan kemudaratan kecewa. Keimanan inilah yang akan membina peribadi yang teguh mengharungi cabaran dunia.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »