Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Contohi pemimpin hebat terdahulu

Posted by epondok di Februari 16, 2018


Oleh Zamri Hashim

 

Apabila mengkaji sejarah Islam, pasti akan wujud pandangan positif betapa sempurnanya ajaran agama Islam hingga mampu menampilkan sejumlah pemimpin hebat seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar bin Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abu Thalib.

Ditambah pula tabi’in yang pernah menjadi pemimpin dalam kalangan umat Islam. Corak kepemimpinan mereka menumbuhkan kerinduan untuk melihat kembali kehadiran tokoh pemimpin seperti mereka.

Kepemimpinan mereka sepatutnya menjadi contoh kepemimpinan masa hadapan dan menjadi senarai semak dalam pemilihan pemimpin.

Abu Bakar as-Siddiq dalam satu ucapan dengan lantangnya mengungkapkan, “Orang yang kalian nilai kuat, sebenarnya aku anggap lemah. Adapun yang kalian pandang lemah adalah orang yang kuat dalam pandanganku.”

Itulah ucapan yang menggambarkan keberanian dan keadilan beliau sebagai pemimpin. Tidak membuka peluang untuk berkongsi dengan orang yang ada kekuatan, akan tetapi memilih menjadi penguat bagi mereka yang lemah.

Gemar turun padang

Kekuasaan tidak digunakan untuk menguntungkan orang dekat sebaliknya rakyat kecil dibela. Bahkan, beliau tegas mengangkat pedang memerangi mereka yang murtad, enggan menjalankan perintah Allah SWT dengan menyebarkan kesesatan dan tidak mahu mengeluarkan zakat.

Penyimpangan iman pasca wafatnya Rasulullah SAW telah menggerakkan Abu Bakar untuk membentuk 11 unit pasukan perang bagi memerangi pelakunya. Apa yang pernah dikatakan dan dilakukan Abu Bakar sebagai pemimpin adalah komitmen imaniyah antara Allah SWT, dirinya dan umat yang dipimpin sesudah diangkat sebagai khalifah.

Segala janji dalam ucapan sulung beliau dikotakan walaupun singkat zaman pemerintahannya menepati perintah Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti diminta dipertanggungjawabannya.” (Surah al-Isra’, ayat 34)

Keberanian dan ketegasan Umar al-Khattab menyebabkan syaitan menjauhi jalan yang akan dilaluinya. Beliau begitu mudah menitiskan air mata jika ada rakyat yang kelaparan dan tidak nyenyak tidur hingga memastikan perut rakyatnya telah terisi makanan.

Suatu ketika, Khalifah Umar bertemu seorang ibu yang memasak batu hanya untuk menghibur anaknya yang menangis kelaparan kerana tidak lagi memiliki makanan. Pada saat itu juga Umar memikul sekarung gandum diambil dari gudang negara. Beliau sangat merahsiakan kerja amalnya.

Setidak-tidaknya pemimpin akan datang, janganlah menunggu kilauan cahaya kamera wartawan untuk memulakan pemberian bantuan.

Takut pikul amanah

Amat jarang kita menemui dalam kalangan pemimpin Islam yang memiliki gaya kepemimpinan hebat seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang mematikan lilin istana ketika berbincang dengan anaknya.

Ketika beliau berkuasa, tidak lagi ditemui penerima zakat. Penurunan statistik kemiskinan yang cukup drastik menjadi indikator berjayanya beliau mengurus ekonomi negara.

Said bin Amir al-Jumahi

Gabenor Syam atau Hims, Said bin Amir al-Jumahi di zaman Khalifah Umar bin Khatthab juga patut diteladani. Ketika khalifah melantiknya sebagai gabenor, Said mempunyai persepsi tersendiri terhadap jawatan itu.

Bukan ungkapan kegirangan atau ucapan terima kasih, tetapi seperti orang yang tertimpa musibah dia menolak amanah itu dan berkata, “Demi Allah, jangan tuan timpakan fitnah kepadaku dan jangan kau kalungkan amanah ini di leherku, jangan wahai Umar!”

Khalifah Umar kemudian menjawab, “Kamu semua pindahkan seluruh urusan ke bahuku. Apakah kamu semua akan biarkan aku sendirian menanggung beban ini? Lantaran jawapan Umar itulah akhirnya dengan terpaksa Said pergi ke Hims untuk menjadi Gabenor.

Namun, namanya tertera sebagai salah seorang penduduk termiskin di negeri yang dipimpinnya sendiri.

Jadikan teladan

Tokoh seterusnya yang patut untuk dikenang adalah panglima kaum Muslimin, Salahuddin al-Ayyubi. Separuh hidupnya diwakafkan untuk membebaskan negeri Muslim daripada cengkaman penindas.

Beliau pantang menyerah tatkala berada di medan jihad hingga begitu disegani oleh pemimpin dunia pada saat itu. Baginya, tiada sejengkal pun tanah kaum Muslimin layak dihinakan oleh siapa pun.

Allah SWT menghadirkan begitu banyak kisah kepemimpinan baik untuk menjadi peta bagi arah perilaku pemimpin era kini dan masa mendatang. Allah SWT ceritakan kisah Firaun dan Namrudz dalam al-Quran tidak untuk diikuti, tapi untuk diambil pelajarannya.

Sejarah menghadirkan kisah kepemimpinan hebat yang memenangkan agama Allah SWT supaya pemimpin memiliki banyak pilihan sebagai ikon bagi memandu arah dan perilaku kepemimpinan mereka, juga bagi rakyat memilih pemimpin.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: