Cabaran para ulama dan ilmuwan Islam melakukan islah tidaklah mudah. Bukan sekadar melontarkan syarah dan khutbah, rujukan ayat-ayat al-Quran dan Sunnah maka selesai masalah. Rasulullah SAW mendekati sasaran dengan darjah kesabaran tinggi, hemah dan hikmah hebat dengan sumber wahyu yang membawa petunjuk.

Abu Jahal didekati, Abu Lahab dihadapi, Abu Talib di­santuni. Hakikat melakukan dakwah terbaik adalah kerja dai’ dan murabbi. Memberi hidayah dan petunjuk adalah kerja Allah.

Para umara atau pemimpin mempunyai orientasi pendidikan berbeza. Sesetengahnya mendapat orientasi Barat dan menghasilkan fahaman liberal demokratik yang tinggi. Ada pemimpin mendapat orientasi pendidikan Islam bersifat diniah tetapi tidak memiliki ilmu dan pengkhususan yang sifatnya profesional menyebabkan kefahaman Islam untuk bernegara terbatas.

Ulama dan ilmuwan Islam harus memahami hakikat ini. Sistem Islam memerlukan proses binaan yang lama, menghadapi cabaran dan ujian yang pelbagai dan menuntut tekad tinggi supaya pendekatan dakwah dan tarbiah menghasilkan perubahan kepada semua termasuk pemimpin. Asas penting membangun perubahan kepada diri manusia ialah ilmu dan pendidikan. Jenis ilmu dan pendidikan yang ditawarkan dalam sistem memberi kesan kepada orientasi berfikir dan gaya hidup seseorang.

Sekiranya manusia itu terbangun dengan orientasi ilmu dan pendidikan mengikut acuan Barat maka orientasi pemikiran produknya selalunya sekular dan liberal. Sekiranya manusia dididik dengan orientasi pendidikan agama yang tradisional yang memberi fokus kepada aspek diniah dan rohaniah semata-mata maka orientasi berfikir dan gaya hidupnya rohaniah juga.

Umara atau kepimpinan di Malaysia perlu didekati de­ngan bijaksana supaya pengukuhan sistem yang Islami boleh terjadi. Ulama dan pendakwah tidak perlu gopoh hingga menyebabkan konflik terjadi dan maslahah hilang tujuan.

Ulama, ilmuwan dan profesional harus mampu menawarkan model alternatif sesuai dengan iklim perubahan yang ada dan dalam masa sama dapat memberi pilihan terbaik untuk perkembangan ilmu dan pendidikan, kestabilan ekonomi, kedewasaan berpolitik dan melihat hikmah jangka panjang dalam realiti masyarakat berbagai.

Para umara atau pemimpin harus bersikap terbuka dengan pendekatan Islam berketamadunan supaya me­lakukan transformasi terhadap sistem didukung oleh etika dan sistem nilai yang teguh dan mantap.

Islam tidak harus dilihat hanya dalam batas ritual semata. Pilihan model alternatif yang ada di Malaysia memperlihatkan perkembangan yang baik dari sudut pematuhan syariah. Ia baik bagi orang Islam dan juga bukan Islam.

Banyak masa dalam kalangan sesetengah ulama, ilmuwan, jemaah dan harakah Islamiah mengambil gaya reaktif tetapi bukan proaktif bila berdepan dengan isu-isu yang berbangkit. Harus ada sifat menghargai yang baik dikatakan baik dan yang tidak baik didekati dengan nasihat bijaksana.

Para pemimpin harus bersikap terbuka dan berlapang dada apabila ditegur dan dinasihati. Adanya sifat kesa­lingan memberi dan menerima boleh menghasilkan daya taawun atau kerjasama yang tinggi.

Kesalingan ini penting kerana sifat saling memperkukuh dan melengkapi adalah jalan terbaik bagaimana proses perubahan boleh terjadi.

Sekiranya ulama, ilmuwan dan profesional Islam dapat membantunya dengan tekad yang tinggi dan perancangan yang tersusun rapi, penulis percaya perubahan boleh terjadi berasaskan acuan kita sendiri.

DATUK DR. SIDEK BABA