Ilmu yang dimiliki oleh ulama tidak sekadar sifatnya umum. Ulama yang berperanan, memiliki takhasus atau keahlian yang mampu ditawarkan untuk kebaikan gerak kerja dakwah dan kebaikan dalam membina sistem.

Tradisi ilmu dalam Islam tidak saja datangnya dari sumber al-Quran dan as sunnah yang sifatnya naqliah tetapi juga hasil pemikiran manusia (aqliah) yang wujud keserasian antara keduanya.

Asas naqliah menghubungkan ulama dengan faktor perkara-perkara ghaib yang membangunkan iman dan takwa. Asas aqliah menghubungkan ulama dengan perkara-perkara yang difikirkan hasil penjanaan akal dan pemerhatian dan pengkajian terhadap sesuatu yang tampak dan nyata tetapi berpandukan sumber naqliah.

Tidak semua orang boleh bergelar ulama tanpa ilmu. Faktor luaran semata-mata tidak memadai. Ulama yang tulen memiliki peribadi tinggi, tidak memiliki sifat dendam dan kebencian terhadap orang lain, cekal dan tabah me­nyampaikan ilmu dan kesedaran. Mereka memiliki sifat kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi terhadap orang lain.

Doanya sentiasa mengharapkan manusia kembali dan kekal dalam fitrah. Ilmu dan kebijaksanaan yang ada pada­nya boleh menjadi asbab kepada cetusan dan perubahan. Ulama tulen menyampaikan hujah yang terbaik de­ngan keyakinan bahawa pemberi hidayah adalah Allah SWT.

Gandingan ulama, ilmuwan, profesional, saintis dan teknokrat adalah suatu sinergi yang amat dituntut kini. Tanpa sinergi atau kerjasama antara mereka agak payah untuk membangunkan sistem. Ilmu yang dimiliki oleh ulama kini memandu pihak lain memahami dan melakukan sesuatu.

Para ilmuwan, profesional, saintis dan teknokrat yang memiliki kualiti tasawwur yang Islami boleh membantu kerja-kerja ulama dalam melakukan transformasi atau perubahan kepada sistem. Menginsafi kualiti ulama masa kini masih terbatas, mereka perlu diimbangi dengan kemahiran yang ada dalam kalangan ilmuan, profesional, saintis dan teknokrat yang Islami.

Banyak isu baharu yang berbangkit kini seperti isu stemsel, nanoteknologi, teknologi siber, pendekatan robotik dan lain-lain memerlukan gandingan pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan ulama dan pihak lain.

Banyak rumusan dalam kalangan ahli fatwa umpama­nya memerlukan maklumat asas dari ilmuwan terutama dalam bidang ilmu keinsanan dan kemanusiaan, bidang profesional yang menggerakkan perancangan dan perubahan dalam sistem, saintis dan teknokrat yang melakukan kajian makmal supaya sebarang fatwa yang dihasilkan adalah atas asas kerjasama pihak-pihak yang mengetahui dan terlibat.

Ulama masa kini memerlukan landasan ilmu-ilmu baharu yang didukung oleh ilmu-ilmu diniah. Pengajian al-Quran umpamanya tidak saja menghasilkan huffaz yang bagus qirati, tarannum dan tafsirnya tetapi menguasai pelbagai bahasa khususnya bahasa Arab.

Ilmu tafsir yang dikuasainya harus mampu menjadikan ilmu diniahnya sebagai landasan meneroka keahlian dan kepakaran dalam bidang ilmu angkasa lepas, sains, teknologi, perubatan, farmasi, ICT dan lain-lain supaya mereka memiliki pengkhususan dan kepakaran.

Pengkhususan dan kepakaran yang bersepadu ini bakal menghasilkan ulama yang memiliki ilmu diniah dan juga kepakaran dalam sesuatu bidang atau beberapa bidang ilmu yang terbina asas epistemologi atau teori ilmunya berasaskan tasawwur yang Islami.

Kesan yang bakal terhasil dari proses ini tidak hanya menghasilkan ulama yang berwibawa tetapi turut mampu mencetuskan perubahan yang lebih bermakna kepada sistem. Malaysia memerlukan ulama yang sebegini untuk melakukan perubahan dan lonjakan kepada sistem bagi mendepani keadaan semasa dan cabaran globalisasi.

DATUK DR. SIDEK BABA