Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Selesaikan hutang dengan baik

Posted by epondok di Februari 4, 2018


PANDUAN HUTANG

Hukum memberi hutang dan berhutang ada tiga:

  • Haram –  Jika tujuan berhutang untuk melakukan maksiat dan kemungkaran seperti arak, judi dan seumpamanya.
  • Makruh – Jika tujuan berhutang itu diketahui akan digunakan untuk perkara yang tidak bermanfaat atau dengan niat menunjuk-nunjuk dan bukan kerana keperluan mendesak. Termasuk dalam kes apabila pemberi hutang tahu ketidakmampuan orang yang berhutang itu untuk membayar semula hutangnya.
  • Wajib – Jika orang yang memberi hutang mengetahui bahawasanya pihak yang berhutang itu amat memerlukan dan terdesak memenuhi keperluan asasi hidupnya dan untuk menampung perbelanjaan asasi keluarganya. Dalam masa yang sama dia tidak mempunyai sumber lain bagi memenuhi keperluannya kecuali dengan cara berhutang.

Hutang dalam perspektif agama

Islam menggalakkan sikap membantu sesama saudara Muslim. Antara bentuk bantuan dan pertolongan adalah dengan memberi hutang. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:
“Sesiapa meringankan sebuah kesusahan (kesedihan) seorang mukmin di dunia, Allah akan meringankan kesusahannya pada hari kiamat. Sesiapa memudahkan urusan seseorang yang dalam keadaan sulit,  Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan
akhirat. Sesiapa menutup aib seseorang, Allah pun akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan sentiasa menolong hamba-Nya, selagi hamba tersebut menolong saudaranya,” – Riwayat Muslim.

Al-Mubarakfuri dalam Tuhfat al-Ahwazi Syarah Jami’ al-Tirmizi (7/261) menyatakan maksud hadis ini adalah memberi kemudahan pada orang miskin baik Mukmin mahupun kafir yang memiliki hutang, dengan menangguhkan pelunasan hutang atau membebaskan sebahagian  atau seluruh hutangnya.

Ini merupakan galakan bagi mereka yang memberikan kemudahan bagi saudaranya yang berada dalam kesulitan.

Dengan izin Allah orang seperti ini akan mendapatkan kemudahan saat masa yang penuh kesulitan nanti pada hari kiamat. Tiada keraguan bahawa menghutangkan harta kepada orang lain merupakan perbuatan terpuji yang dianjurkan syariat. Bahkan ia lebih utama daripada memberi sedekah.

1. Dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Majah namun dihukumkan sebagai daif mengisahkan tatkala Nabi SAW dibawa melihat syurga dalam peristiwa Israk Mikraj, tertulis pada pintu syurga pahala sedekah adalah 10 kali ganda sedangkan pahala memberi hutang pula sebanyak 18 kali ganda.
– Yang paling utama dalam perbincangan ini adalah mereka yang berhutang itu sendiri. Allah sendiri mengajarkan adab dan etika berhutang ini dalam ayat ke-282 surah Al-Baqarah yang merupakan ayat terpanjang dalam al-Quran. Ini seolah-olah isyarat tersembunyi bahawasanya urusan hutang ini bukan sesuatu yang mudah bahkan panjang masa dan kisahnya.

2. Banyak hadis Nabi SAW yang seharusnya menjadi etika dan prinsip mereka yang berhutang. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Ja’afar r.a. Baginda bersabda:
“Allah akan bersama (memberi pertolongan pada) orang yang berhutang (yang ingin melunasi hutangnya) sampai dia melunasi hutang tersebut selagi hutang tersebut bukanlah sesuatu yang dilarang oleh Allah,” – Riwayat Ibnu Majah.

3. “Jika seorang Muslim memiliki hutang dan Allah mengetahui bahawa dia berniat ingin melunasi hutang tersebut, maka Allah akan memudahkan baginya untuk melunasi hutang tersebut di dunia,” – Riwayat Ibnu Majah.

4. Begitu juga dalam etika melunasi hutang, Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawasanya Nabi bersabda: “Sesungguhnya yang paling baik antara kamu adalah yang paling baik dalam membayar hutang,” – Riwayat Bukhari.

5. Paling utama adalah peringatan Nabi SAW kepada mereka yang berhutang agar segera menyelesaikannya, hatta orang yang gugur syahid di medan jihad sekalipun tidak akan terlepas daripada bahana hutang. “Semua dosa orang yang mati syahid akan diampunkan oleh Allah kecuali hutang,” – Riwayat Muslim.

Orang berhutang persis zombie akhirat?

Meskipun hutang ini dibenarkan dan diharuskan sewajarnya kita semua tidak memandang remeh mengenainya. Jangan sampai ia menjadi satu ketagihan dan kebiasaan dalam hidup hingga dililit dan dibebani hutang yang menjerat.

Kerana itu Nabi SAW sendiri sering berdoa agar dijauhi daripada bebanan hutang. Sehingga ditanya kepada Baginda sendiri mengapa sedemikian? Lantas jawab Baginda dalam sabdanya: “Sesungguhnya seseorang yang (biasa) berhutang, jika dia berbicara maka dia berdusta, jika dia berjanji maka dia mengingkarinya,” – Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dalam sebuah hadis yang lain, Nabi s.a.w pernah berpesan.

“Seseorang yang sentiasa meminta-minta kepada orang lain sehingga dia akan datang pada hari Kiamat bertemu Allah dalam keadaan tidak ada sekerat daging pun di wajahnya,” – Riwayat Bukhari dan Muslim.

Justeru, hayatilah bicara nabawi ini penuh keinsafan. Jika benar-benar memerlukan demi kelangsungan hidup atas asas darurat maka ia sesuatu yang diharuskan.

Namun, jika berhutang itu semata-mata untuk memiliki kemewahan hidup yang tidak menepati kemampuan, mengikut kata dan nasihat mereka yang tidak jujur, membuat perancangan kewangan secara semberono tanpa ilmu, tidak merasa puas dengan apa yang dimiliki dan terpedaya dengan pesona tawaran hutang yang mudah dan segera maka inilah sikap yang akan mewarisi kebinasaan.

Janganlah kerana sikap suka berhutang, kita dibangkitkan persis zombie di akhirat. Luruh dan luluh daging muka dan dalam keadaan terhina. Beringatlah duhai teman. Hutang ibarat air laut yang tidak bertepi, semakin diminum bertambah haus, makin diambil makin ketagih, hidup jadi sempit duniamu akan terhimpit.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: