Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Februari 2018

Tudung Antara Fesyen dan Tutup Aurat

Posted by epondok di Februari 28, 2018

Salah seorang pendakwah terkenal, Pahrol Mohamad Juoi juga terpanggil dalam memberi perspektif daripada setiap sudut tentang isu ini.  Setiap baris yang dihurai mempunyai isi yang padat dan semoga dengan penulisan daripada beliau ini dapat dijadikan sebagai garis panduan bagi setiap daripada kita untuk lebih telus dalam melakukan sebarang majlis agar tidak melangkaui batas-batas agama.

Allah cetuskan satu isu bukan secara kebetulan tetapi dengan tujuan. Apakah tujuan isu itu?
1. Supaya umat Islam dapat membezakan antara bertudung dengan menutup aurat.

Aurat itu syariat tetapi bertudung itu fesyen daripada manusia. Bertudung tidak semestinya menutup aurat.
Menutup aurat itu ialah dengan menutup dada, punggung, bawah dagu dan segala lekuk serta bentuk pada tubuh dengan kain yang tebal bukan yang kain tipis dan berbayang.
Jauh bezanya wanita yang menutup aurat kerana Allah dengan yang bertudung kerana mengharap perhatian manusia.
2. Berada di tempat yang sinonim dengan arak dan pergaulan bebas bagi tujuan dakwah tidak salah dengan syarat tetap menjaga niat, syariat dan akhlak.
Sebaliknya, jika syariat dilanggar dan nilai akhlak tercemar, berada di tempat sebegitu ialah suatu yang mungkar dan mengundang fitnah.
Bukan soal kita berada di mana, itu bukan persoalannya. Tetapi yang penting ialah apa yang kita lakukan ketika kita berada di situ.
Berada di kelab malam untuk berdakwah itu baik, tetapi walaupun berada di masjid untuk mencuri adalah tidak baik.
Di tempat yang buruk, jadilah seperti ikan…walaupun dikelilingi laut yang masin, isi ikan tidak masin. Jangan jadi seperti sesumpah yang mengubah warna setiap kali berubahnya suasana.
3. Promosi untuk perniagaan tidak salah, kerana perniagaan sangat digalakkan dalam Islam. Tetapi promosi jangan sampai melanggar syariat dan akhlak, itu dilarang oleh Islam. Niat tidak menghalalkan cara.
Walaupun mungkin kaedah itu publisiti yang unik dan bakal melariskan jualan produk tetapi apa gunanya semua itu jika Allah tidak redha dan tercabut keberkatan perniagaan.

Kita dambakan kualiti rezeki bukan semata-mata kuantitinya. Sedikit yang mengingatkan lebih baik daripada banyak yang melalaikan.
4. Orang yang memfitnah salah tetapi orang yang mengundang fitnah juga bersalah.
Justeru, Rasulullah SAW sentiasa menutup ruang untuk difitnah walaupun apa yang baginda lakukan sentiasa benar di sisi Allah.
Rasulullah SAW bukan sahaja menjaga ‘kata-kata’ Allah tetapi baginda juga berjaga-jaga dengan kata-kata manusia.
Jangan sampai kita berdosa dengan Allah dengan memfitnah orang. Dan jangan sampai orang lain berdosa kerana kita membuka ruang dosa untuk mereka kerana memfitnah kita.
5. Pesan memesan dengan kebenaran dan kesabaran itu adalah firman Allah yang perlu dilaksanakan oleh manusia.
Justeru, wajib kita ambil berat kata-kata orang selagi ia selaras dengan kehendak Allah.
Yang unik, gimik dan luar biasa memang memberi publisiti dan bagus untuk promosi….tetapi sekiranya telah melanggar syariat dan akhlak, itu tidak bernilai sedebu pun di sisi Allah.
Dan jika kita terus tega dan degil melakukannya, bukankah itu menunjukkan kitalah yang sangat mementingkan ‘apa orang lain kata’ berbanding dengan ‘apa yang Allah kata’?
6. Jika semua itu kerana kejahilan marilah sama-sama kita belajar dan menambah ilmu..
Jika semua itu kerana kedegilan, marilah sama-sama kita istighfar dan bertaubat kepada Allah.
7. Yang kita kejar ialah kaya jiwa berbanding kaya harta… namun jika diberi kaya jiwa dan kaya harta itulah yang terbaik untuk kita.
Kaya jiwa itu ketenangan. Kaya harta itu kesenangan. Jangan sekali-kali cuba membeli ketenangan dengan kesenangan. Kita tidak akan mampu. Kita akan tertipu!
Advertisements

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Ujian penentu darjat insan di sisi Allah

Posted by epondok di Februari 26, 2018

Oleh Ahmad Shukri Yusoff

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun, (bagi orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk, ayat 2)

Antara tanda kekuasaan Allah SWT dan kehebatan pentadbiran-Nya jelas kelihatan pada mati dan hidup. Sunnah al-mawt wal hayat dipamerkan kepada manusia bersama matlamat yang diciptakan kerananya iaitu menguji siapakah manusia yang paling baik amalannya.

Ayat itu menyatakan, hidup di dunia selalu berhadapan dengan kesusahan dan ujian. Manusia tidak seharusnya hilang pedoman dalam hidup bagi memastikan diri mereka lulus ujian kerana ujian tidak mengenal kedudukan atau memilih antara seorang dengan seorang yang lain.

Orang baik diuji, orang jahat juga diuji, begitu juga Mukmin dan kafir juga diuji. Keadilan pemimpin diuji, kesetiaan rakyat juga diuji. Hidup dan mati itu juga adalah ujian daripada Allah SWT.

Keputusan Allah yang terbaik

Hidup di dunia tidak pernah mencatatkan adanya orang terselamat daripada ujian. Ada yang diuji dengan penderitaan sakit dan tekanan perasaan. Ada kala diuji kehilangan orang disayangi, dihimpit dengan keperitan kewangan, berhadapan kebencian orang dan pelbagai ujian lagi.

Manusia berasa resah kerana tidak dapat berpaut kepada dahan yang kukuh. Orang beriman akan menyerahkan dirinya kepada Allah SWT, mengharapkan Allah SWT melindunginya ketika ditimpa bala, tidak bakhil untuk menolong orang lain kerana rezekinya telah ditakdirkan lebih awal.

Orang Mukmin tidak akan berasa kecewa dengan sesuatu yang luput dan hilang daripada sisinya, dia tidak berasa resah dengan ujian yang menimpanya kerana semua terjadi dengan izin dan takdir Allah SWT. Segala keputusan Allah SWT adalah baik sekalipun manusia melihat sebaliknya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah SWT hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).” (Surah an-Nisa’, ayat 19)

Mengingatkan hakikat inilah Nabi SAW mengajar satu doa, “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon berlindung pada-Mu daripada hilangnya nikmat pemberian-Mu, berpalingnya afiat daripada-Mu dan kejutan kemurkaan-Mu dan berhimpun kemarahan-Mu.” (Riwayat Muslim)

Optimis dengan ujian

Syeikh Al-Saadi dalam tafsirnya menyebut, Allah SWT pasti menguji hamba-Nya dengan kesukaran dan kepayahan kerana itu adalah sunatullah yang tidak akan berubah, mereka yang bersabar pasti mencapai kebahagiaan dan kekuasaan.

Setiap Mukmin hendaklah optimis dengan bala dan ujian yang menimpa, jangan sekali-kali berputus asa daripada rahmat Allah SWT. Ada ketikanya Allah SWT tidak memberi sesuatu kepada hamba-Nya untuk melihat reaksinya terhadap ujian.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Ali-Imran, ayat 26)

Bagi manusia yang diberi kuasa, kehilangan kuasa sesuatu yang tidak disukainya. Dimuliakan, diangkat darjat serta dipuji menjadi rebutan semua orang. Sebenarnya, yang baik dan buruk itu sangat relatif kerana ada keburukan yang membawa kebaikan, begitulah sebaliknya.

Solat sumber segala-galanya

Peringatan kepada manusia, segala yang dimiliki sama ada harta, kuasa atau cinta, ia hanyalah sementara. Allah SWT berhak mengekalkannya atau ditarik bila-bila masa. Oleh itu, sentiasa bersedia dengan hakikat kehidupan ketika mendapat nikmat atau sedang diuji oleh Allah SWT.

Perkara penting yang menguasai perlakuan kita adalah pemikiran dengan menetapkan dalam minda bahawa setiap ujian adalah untuk meningkatkan darjat kita di sisi-Nya. Di samping meyakini bahawa setiap dugaan yang didatangkan itu akan ada bersamanya hikmah.

Apabila masa terlalu lama dan usaha menjadi sukar, kesabaran manusia menjadi lemah. Oleh itu, di dalam banyak ayat Allah SWT menggandingkan kesabaran dengan ibadat solat kerana solat adalah sumber bekalan jiwa yang tidak pernah kering dan habis.

Ia sumber yang memulih tenaga dan memperbaharui bekalan kepada hati. Kerana itu ia dapat memanjangkan hayat kesabaran dan menjadikannya tidak putus, kemudian menambahkan kepada kesabaran itu keredaan, ketenangan dan keyakinan.

Sudah menjadi ketentuan Allah SWT, setiap usaha besar tidak akan berhasil kecuali dengan keteguhan hati dan kesungguhan. Kunci semua itu adalah sifat sabar dan sesiapa yang bersabar, maka pasti telah mengikut ketentuan Allah SWT.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ibnu Abbas sanggup tunggu guru tidur

Posted by epondok di Februari 24, 2018

Oleh Fairuz Noordin

 

Ramai dalam kalangan pemuda berasa tidak perlu menjaga adab terutama dengan guru sedangkan sebagai pelajar, mereka perlu mendidik diri, menjaga adab dan akhlak supaya ilmu diperoleh mendapat keberkatan serta kekal dalam diri.

Rasulullah SAW pernah membaca doa, “Ya Allah, janganlah sampai aku menemui satu zaman ketika manusia tidak lagi mengikuti orang alim sehingga manusia tidak lagi segan pada orang berakhlak baik. Hati mereka seperti hati orang asing dan apabila berbicara seolah-olah ahli agama tetapi hilang akhlak dan adab dalam hidupnya.” (HR Ahmad)

Oleh itu, sewajarnya anak murid memandang guru dengan penuh hormat dan meyakini ilmu gurunya. Ketika Imam Syafie RA menuntut ilmu bersama Imam Malik, beliau tidak berani menyelak helaian kitabnya melainkan dengan cara yang sangat perlahan kerana bimbang bunyi itu mengganggu gurunya. Imam Rabi’ pula tidak berani minum walau seteguk air sekalipun di hadapan Imam Syafie kerana sangat hormat kepada gurunya. Justeru, anak murid perlu belajar merendahkan diri terhadap guru dan mengelakkan perasaan bongkak termasuk serta bercakap dengan sopan santun.

Oleh sebab sifat rendah diri juga, Imam Syafie pernah ditegur gurunya yang sangat dipandang tinggi sehinggakan pernah menulis syair: “Saya sengaja merendahkan diri di hadapan mereka yang dimuliakan kerana ilmu yang ada padanya. Dan mana-mana jiwa yang tidak pernah menghinakan dirinya, dia tidak akan merasakan kemuliaan dalam dirinya.”

Maka kita perlu tawaduk ketika berhadapan dengan guru kerana sekiranya berasa besar diri, ia akan menyebabkan hilangnya kemuliaan dalam diri. Ibnu Abbas RA yang terkenal dengan ketinggian ilmu, sangat berhemah dan cintakan ulama, akan menciumnya kerana sangat menghormati guru.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm turut berkongsi kisah Imam Ahmad yang berkata kepada Khalaf al-Ahmar, “Saya tidak akan duduk melainkan di samping kamu dan beginilah yang diajar kepada kami untuk menghormati guru.”

Ketahui hak guru

Perkara lain perlu diberi perhatian ialah mengetahui hak guru. Murid tidak boleh melupakan budi pekerti dan jasa gurunya seperti perilaku Imam Syu’bah terhadap gurunya hingga beliau berkata: “Apabila saya belajar dengan guru, saya akan menjadi hamba kepada mereka selagi mereka hidup.” Ini antara contoh bagaimana murid menghargai ilmu yang sangat bernilai dan meraikan jasa guru.

Selain itu, doakan guru agar dipanjangkan usia dan diberikan perkara baik. Sesungguhnya setiap doa baik yang ditujukan kepada guru akan kembali memberi kesan baik kepada murid kerana 10 kebaikan didoakan kepada orang lain, Allah akan menganjari 100 kebaikan. Malah, jika didoakan keburukan sekalipun, Allah akan membalas bertimpa-timpa keburukan terhadap pemohon doa terbabit. Doa buruk kepada orang alim juga mendatangkan akibat buruk seperti dalam hadis Qudsi, Rasulullah bersabda: “Sesiapa melakukan khianat kepada waliku, akan aku isytiharkan perang kepada orang sedemikian rupa.”

Adab yang perlu dijaga juga ialah belajar untuk bersabar dengan ketegasan mereka yang mempunyai kerenah dan sikap seperti meninggikan suara dan menengking. Ibu bapa perlu berpesan kepada anak yang sedang menuntut ilmu agar sabar menghadapi kerenah guru kerana alim ulama turut menghadapi situasi sama ketika berguru.

Ketegasan guru mampu mendidik anak murid agar menjadi orang berguna dan menjadi contoh terbaik pada masa depan. Sebahagian ilmuwan berkongsi pengalaman menghadapi ketegasan guru dan menyedari tanpanya, mereka akan kekal dalam kejahilan. Malah sesiapa menuntut ilmu akan dijanjikan Allah dengan kemuliaan di dunia dan akhirat.

Imam Syafie pernah berkata kepada Sufyan Uyainah: “Begitu ramai yang datang menuntut ilmu denganmu tetapi sering kali kamu bersikap garang dengan mereka.” Sufyan menjawab, “Mereka adalah manusia bodoh sekiranya mereka meninggalkan apa yang memberi manfaat disebabkan perilaku burukku terhadap mereka.”

Bersopanlah ketika berada dalam majlis ilmu bersama guru, jagalah diri agar tidak mengganggu pandangan mereka atau leka melakukan perkara lain yang melalaikan serta menghalang proses pembelajaran. Sewajarnya mohon izin terlebih dulu untuk berada dalam majlis ilmu yang dikendalikan guru seperti yang dilakukan Ibnu Abbas sewaktu ingin menuntut ilmu bersama Zaid. Beliau sanggup menunggu di hadapan rumah gurunya apabila diberitahu gurunya sedang tidur. Ibnu Abbas tidak mahu gurunya diganggu dan lebih sanggup menunggu Zaid bangun untuk menuntut ilmu sehingga terbit matahari.

Ini menunjukkan kesabaran Ibnu Abbas dan sifat yang sangat mementingkan adab serta akhlak kepada guru. Seorang pelajar perlu memberi perhatian sepenuhnya terhadap setiap perkara disampaikan guru sekalipun pernah didengar kerana ia antara adab perlu dijaga ketika menimba ilmu.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kejar impian biar jadi saham akhirat

Posted by epondok di Februari 22, 2018

Oleh Nik Hasnah Ismail

 

Impian dan harapan manusia tidak akan pernah surut dalam hidup tetapi sebagai orang Islam, ia perlu dipandu oleh ajaran Islam. Ikuti perkongsian bersama Ustaz Firdaus Subhi menerusi rancangan Islam itu Indah yang bersiaran di radio IKIM setiap Rabu jam 10 pagi.

Setiap manusia tidak akan pernah lari daripada mempunyai impian, harapan dan keinginan terhadap apa sahaja di dunia. Namun, orang Islam yang hidupnya terpandu oleh ajaran Islam yang suci, dalam mengejar impian, cita-cita dan harapan biarlah setiap harapan dan keinginan menjadi saham akhirat yang akhirnya menempatkan seseorang Mukmin di syurga Allah yang kekal abadi.

Ustaz Firdaus Subhi mengingatkan orang Islam mengenai kehidupan di dunia yang hanya sementara kerana akhirat kelak adalah tempat kekal abadi. Oleh itu dalam mengejar impian dan membina harapan, seseorang Mukmin perlu menuruti panduan seperti diajarkan al-Quran dan hadis.

Beza Muslim, bukan Islam

Berbeza dengan orang bukan Islam, dunia bagi mereka adalah tempat untuk melepaskan keseronokan, sebab itulah mereka mengharapkan untuk terus hidup selama-lamanya kerana bagi mereka dunia ini adalah segala-galanya.

Allah SWT menegaskan dalam surah al-Israk ayat 19 bermaksud: “Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal yang baik untuk akhirat dengan usaha layak baginya, sedang dia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya.”

Hakikat dunia ini ialah tempat menanam benih kebaikan dan membina ladang pahala agar apabila dihidupkan di akhirat, setiap kebaikan, ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT dibalas dengan syurga yang maha indah. Oleh itu, setiap harapan dan impian perlu disertai dengan niat mahu mendapat barakah dan rahmat dari Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang bijak adalah orang beriman yang sentiasa menghisab dan menghitung dirinya serta pada saat sama melakukan amalan yang boleh membawa sahamnya sesudah kematiannya.” Sahabat dan tabii RA sering meletak harapan dan impian untuk berdamping dengan Baginda Rasulullah SAW.

Begitu juga dalam riwayat Imam al-Hakim yang menukilkan Saidina Umar al-Khattab RA yang melihat rakyatnya berhimpun dan berkumpul, bertanya mengenai apa yang mereka lakukan. Rakyatnya menjawab: “Kami sangat bercita-cita dan mengharapkan sesuatu.” Apabila Umar bertanyakan apakah perkara yang dicita-citakan itu, sebahagian besar memberikan jawapan berupa bilik yang dipenuhi dengan intan permata dan emas yang akan disedekahkan atau digunakan di jalan Allah.

Jadikan contoh teladan

Bagaimanapun, apabila tiba giliran Umar menjawab soalan sama daripada rakyatnya, beliau menyatakan tidak menginginkan intan dan permata sebaliknya mahukan tempat mereka itu dipenuhi dengan insan terbilang dari kalangan sahabat RA seperti Abu Ubaidah al-Jarah agar menjadi contoh teladan dalam beramal kepada Allah SWT tanpa mengharapkan balasan di dunia sebaliknya hanya ganjaran pahala Allah.

Bagi seorang Mukmin yang mendiami dunia ciptaan Allah, setiap perbuatan yang dilakukan hendaklah berlandaskan kepada niat ikhlas kerana Dia. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang berniat menjadikan akhirat sebagai matlamat hidupnya, Allah SAW akan memberi jalan dan mempermudahkan urusannya”

Oleh itu, dalam apa juga niat baik, kekayaan hati itu perlu agar setiap niat yang dipasang tidak terpesong dek hati yang rapuh dan mudah dipatahkan.

Orang kaya hati tidak akan mudah rapuh dengan kesenangan dunia bahkan Allah SWT pasti akan membantunya untuk terus mengejar matlamat akhirat. Orang yang akhirat menjadi tumpuan hidup, dunia pasti akan datang dalam keadaan yang tunduk kepadanya. Oleh itu, setiap impian dan harapan perlulah mendahulukan kehendak Allah kerana keredaan Allah pastinya akan menatijahkan kebaikan bukan hanya untuk dunia tetapi juga akhirat

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Wanita Solehah bawa kesan besar kepada kehidupan

Posted by epondok di Februari 20, 2018

“ALLAH mencipta pelbagai kenikmatan di dunia yang membawa kebaikan dan keburukan. Dalam agama, ada menyatakan bahawa sebaik-baik nikmat itu adalah wanita solehah,” kata ulama sufi terkenal dari Yemen, Habib Umar Hafidz.

Dia yang juga pengasas Islam Dar al-Mustafa berkata, nikmat terbesar di atas muka bumi kepada seorang lelaki adalah memiliki seorang isteri solehah kerana wanita yang menjadi penemannya itu boleh menjadi faktor terbesar mencapai sakinah atau ketenangan dalam rumahtangga.

Habib Umar yang juga Ahli Majlis Penasihat Tertinggi Yayasan Tabah di Abu Dhabi berkata, isteri solehah bukan sahaja boleh mencipta sebuah keluarga bahagia, malah berupaya membentuk ketenangan dalam kalangan manusia dan membentuk sebuah generasi Islam yang hebat.

Menerusi tindakan secara hikmah, wanita solehah mencipta 1,000 keharmonian menerusi peranan yang dimainkan olehnya dalam keluarga, masyarakat dan negara apabila memahami dengan jelas tugas yang diberikan oleh Allah SWT kepada manusia untuk bertindak sebagai khalifah di atas muka bumi.

“Wanita solehah sedar akan tentang identiti dan peranan mereka di atas muka bumi, sama ada sebagai anak perempuan, saudara perempuan atau sebagai seorang ibu,” katanya.

Tambahnya, Nabi Muhammad SAW bersabda dengan maksudnya: “Tidak ditinggalkan satu fitnah setelah aku yang lebih besar bahayanya terhadap lelaki melebihi fitnah wanita”.

Jelasnya, apa yang boleh difahami daripada maksud hadis tersebut, wanita yang dimaksudkan adalah perempuan-perempuan yang tidak taat kepada Allah SWT, seterusnya menjadi penyebab kepada kerosakan dalam masyarakat.

Tegasnya, satu-satunya jawapan bagi mengelak daripada berlakunya fitnah dan terjaga kehormatan dalam masyarakat adalah menerusi peranan wanita solehah.

Selain itu, tiada faktor yang lebih besar atau kuat untuk seseorang lelaki itu lebih bertakwa kepada Allah SWT menerusi peranan yang dimainkan oleh isteri.

Ini kerana katanya, asbab menjadi isteri yang solehah berupaya memberi pengaruh besar kepada diri seorang suami untuk lebih dekat kepada Yang Maha Kuasa.

Tambahnya, terdapat kata-kata ahli hikmah menyatakan bahawa peranan seorang ibu dalam sebuah keluarga seumpama sebuah madrasah atau sekolah terutama dalam mendidik anak-anak.

Selain itu katanya, seorang ibu yang solehah menjadi faktor utama kepada pembentukan nilai dalam melahirkan sebuah generasi terbilang, mantap dari sudut akhlak dan nilai-nilai terpuji.

Berusaha menjaga kehormatan diri, wanita solehah juga harus mengikuti sifat malu yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW.

Seperti mana perumpamaan yang diberikan oleh para sahabat kepada Rasulullah SAW terhadap sifat malu Baginda iaitu melebihi sifat malu seorang anak dara yang berada di dalam biliknya.

Menjelaskan bagaimana pilihan lelaki soleh dalam memilih pasangan hidup, Habib Umar berkata, pastinya lelaki soleh akan memilih pasangannya yang terdiri daripada wanita baik dari aspek agama berbanding aspek-aspek lain.

Tegasnya, jika membuat ukuran pilihan pasangan berdasarkan harta keduniaan, bersifat zahir atau kemegahan, maka perkara tersebut akan menjadi penyebab kepada keruntuhan sesebuah institusi kekeluargaan dan berlakunya fitnah besar.

“Maka perlunya seseorang wanita itu taat kepada ajaran agama Islam dan berusaha menjadikan orang di bawah mereka menjadi seorang insan yang baik,” katanya.

 

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Contohi pemimpin hebat terdahulu

Posted by epondok di Februari 16, 2018

Oleh Zamri Hashim

 

Apabila mengkaji sejarah Islam, pasti akan wujud pandangan positif betapa sempurnanya ajaran agama Islam hingga mampu menampilkan sejumlah pemimpin hebat seperti Abu Bakar as-Siddiq, Umar bin Khattab, Uthman bin Affan dan Ali bin Abu Thalib.

Ditambah pula tabi’in yang pernah menjadi pemimpin dalam kalangan umat Islam. Corak kepemimpinan mereka menumbuhkan kerinduan untuk melihat kembali kehadiran tokoh pemimpin seperti mereka.

Kepemimpinan mereka sepatutnya menjadi contoh kepemimpinan masa hadapan dan menjadi senarai semak dalam pemilihan pemimpin.

Abu Bakar as-Siddiq dalam satu ucapan dengan lantangnya mengungkapkan, “Orang yang kalian nilai kuat, sebenarnya aku anggap lemah. Adapun yang kalian pandang lemah adalah orang yang kuat dalam pandanganku.”

Itulah ucapan yang menggambarkan keberanian dan keadilan beliau sebagai pemimpin. Tidak membuka peluang untuk berkongsi dengan orang yang ada kekuatan, akan tetapi memilih menjadi penguat bagi mereka yang lemah.

Gemar turun padang

Kekuasaan tidak digunakan untuk menguntungkan orang dekat sebaliknya rakyat kecil dibela. Bahkan, beliau tegas mengangkat pedang memerangi mereka yang murtad, enggan menjalankan perintah Allah SWT dengan menyebarkan kesesatan dan tidak mahu mengeluarkan zakat.

Penyimpangan iman pasca wafatnya Rasulullah SAW telah menggerakkan Abu Bakar untuk membentuk 11 unit pasukan perang bagi memerangi pelakunya. Apa yang pernah dikatakan dan dilakukan Abu Bakar sebagai pemimpin adalah komitmen imaniyah antara Allah SWT, dirinya dan umat yang dipimpin sesudah diangkat sebagai khalifah.

Segala janji dalam ucapan sulung beliau dikotakan walaupun singkat zaman pemerintahannya menepati perintah Allah SWT dalam firman yang bermaksud: “Dan penuhilah janji, sesungguhnya janji itu pasti diminta dipertanggungjawabannya.” (Surah al-Isra’, ayat 34)

Keberanian dan ketegasan Umar al-Khattab menyebabkan syaitan menjauhi jalan yang akan dilaluinya. Beliau begitu mudah menitiskan air mata jika ada rakyat yang kelaparan dan tidak nyenyak tidur hingga memastikan perut rakyatnya telah terisi makanan.

Suatu ketika, Khalifah Umar bertemu seorang ibu yang memasak batu hanya untuk menghibur anaknya yang menangis kelaparan kerana tidak lagi memiliki makanan. Pada saat itu juga Umar memikul sekarung gandum diambil dari gudang negara. Beliau sangat merahsiakan kerja amalnya.

Setidak-tidaknya pemimpin akan datang, janganlah menunggu kilauan cahaya kamera wartawan untuk memulakan pemberian bantuan.

Takut pikul amanah

Amat jarang kita menemui dalam kalangan pemimpin Islam yang memiliki gaya kepemimpinan hebat seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang mematikan lilin istana ketika berbincang dengan anaknya.

Ketika beliau berkuasa, tidak lagi ditemui penerima zakat. Penurunan statistik kemiskinan yang cukup drastik menjadi indikator berjayanya beliau mengurus ekonomi negara.

Said bin Amir al-Jumahi

Gabenor Syam atau Hims, Said bin Amir al-Jumahi di zaman Khalifah Umar bin Khatthab juga patut diteladani. Ketika khalifah melantiknya sebagai gabenor, Said mempunyai persepsi tersendiri terhadap jawatan itu.

Bukan ungkapan kegirangan atau ucapan terima kasih, tetapi seperti orang yang tertimpa musibah dia menolak amanah itu dan berkata, “Demi Allah, jangan tuan timpakan fitnah kepadaku dan jangan kau kalungkan amanah ini di leherku, jangan wahai Umar!”

Khalifah Umar kemudian menjawab, “Kamu semua pindahkan seluruh urusan ke bahuku. Apakah kamu semua akan biarkan aku sendirian menanggung beban ini? Lantaran jawapan Umar itulah akhirnya dengan terpaksa Said pergi ke Hims untuk menjadi Gabenor.

Namun, namanya tertera sebagai salah seorang penduduk termiskin di negeri yang dipimpinnya sendiri.

Jadikan teladan

Tokoh seterusnya yang patut untuk dikenang adalah panglima kaum Muslimin, Salahuddin al-Ayyubi. Separuh hidupnya diwakafkan untuk membebaskan negeri Muslim daripada cengkaman penindas.

Beliau pantang menyerah tatkala berada di medan jihad hingga begitu disegani oleh pemimpin dunia pada saat itu. Baginya, tiada sejengkal pun tanah kaum Muslimin layak dihinakan oleh siapa pun.

Allah SWT menghadirkan begitu banyak kisah kepemimpinan baik untuk menjadi peta bagi arah perilaku pemimpin era kini dan masa mendatang. Allah SWT ceritakan kisah Firaun dan Namrudz dalam al-Quran tidak untuk diikuti, tapi untuk diambil pelajarannya.

Sejarah menghadirkan kisah kepemimpinan hebat yang memenangkan agama Allah SWT supaya pemimpin memiliki banyak pilihan sebagai ikon bagi memandu arah dan perilaku kepemimpinan mereka, juga bagi rakyat memilih pemimpin.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Ingat Rasulullah sepanjang masa

Posted by epondok di Februari 14, 2018

Oleh Dr Nik Roskiman Abdul Samad

Menerusi rancangan Topik Jumaat di IKIMfm, tokoh pendakwah terkenal yang juga Presiden Institut Pengajian Madina, Atlanta Georgia Amerika Syarikat (AS), Maulana Sayyidi Sheikh Muhammad bin Yahya al-Ninowy berbicara mengenai ‘Melahirkan Kegembiraan dengan Kelahiran Agung’

Matlamat (maqasid) agama Islam supaya manusia dapat menikmati kebahagiaan, fitrah yang Allah SWT jadikan terhadap setiap manusia. Ada yang bergembira dengan dunia ini, ada bergembira dengan nikmat yang Allah SWT berikan.

Menerusi rancangan Topik Jumaat di IKIMfm, tokoh pendakwah terkenal yang juga Presiden Institut Pengajian Madina, Atlanta Georgia Amerika Syarikat (AS), Maulana Sayyidi Sheikh Muhammad bin Yahya al-Ninowy berbicara mengenai ‘Melahirkan Kegembiraan dengan Kelahiran Agung’.

Beliau berkata, ulama menyebut ada dua jenis nikmat, pertama nikmat kerana Allah SWT menjadikan kita, manakala kedua ialah nikmat berbentuk hidayah yang Allah SWT anugerahkan kepada orang beriman.

Jika dibandingkan nikmat kerana ‘dijadikan’, maka ia adalah nikmat yang sama seperti Allah SWT menjadikan langit dan bumi, pokok dan bukit bukau. Lebih utama ialah manusia dianugerahkan Allah SWT nikmat hidayah yang akan menyelamatkan mereka daripada api neraka.

Ada dalam kalangan manusia yang berseronok dan gembira dengan nikmat dunia, segala kecantikan dan keindahannya, lalu leka daripada menyembah Allah SWT yang menjadikan alam yang indah serta cantik ini.

Ada pula yang gembira dengan kurniaan Allah SWT dan rahmat diberikan, lalu dizahirkan kegembiraan itu dengan bersyukur dan memperbanyakkan ibadat serta ketaatan kepada Allah SWT.

Nikmat diutuskan Baginda

Tiadalah nikmat rahmat yang paling besar sekali melainkan nikmat kejadian dan diutuskan Allah SWT, Nabi Muhammad SAW seperti disebut dalam firman yang bermaksud: “Tidak kami (Allah) utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan menjadi rahmat kepada sekalian alam.” (Surah al-Anbiya, ayat 107)

Persoalan yang sering diperselisihkan ialah bagaimanakah cara untuk menzahirkan kegembiraan atas kelahiran ‘rahmat sekalian alam’ itu. Di sisi pandangan ulama Ahlul Sunnah wal Jamaah, dibenar menzahirkan kegembiraan dalam apa juga bentuk yang tidak menyalahi syarak.

Dianjurkan kita menzahirkan kesyukuran dan kegembiraan kerana mengambil sunah Nabi SAW apabila Baginda tiba di Madinah.

Baginda SAW melihat orang Yahudi berpuasa pada Hari Asyura lalu apabila ditanya kenapa kamu berpuasa pada hari ini, lalu mereka menjawab, “Kami berpuasa kerana pada hari ini diselamatkan Musa daripada Firaun. Maka Nabi SAW menjawab: Kami lagi berhak berpuasa melebihi kamu”.

Ini menunjukkan kepada kita bahawa berpuasa adalah ibadat paling utama kerana puasa itu bagi Allah SWT sementara solat, zakat dan ibadat lain adalah untuk diri sendiri. Justeru, sebaiknya zahirkan kegembiraan dengan berpuasa.

Baginda diangkat jadi Rasul usia 40 tahun

Imam al-Tabarani menyebut dalam kitabnya ‘Al-Mu’jam al-Awsat’ dengan sanad yang hasan bahawa Baginda SAW melaksanakan aqiqah untuk dirinya sendiri selepas diangkat menjadi Rasul pada usia yang 40 tahun.

Kita juga sering mendengar Baginda SAW apabila ditanya kenapa berpuasa pada hari Isnin, maka Baginda menjawab, “Ia adalah hari aku dilahirkan.”

Jika Baginda SAW bergembira atas kelahirannya dan memperuntukkan ibadat yang utama iaitu berpuasa setiap minggu untuk menzahirkan kesyukuran, kenapa pula kita umat Islam tidak mahu bergembira serta menentang orang yang mahu bergembira di atas kelahiran agung ini?

Al-Quran bercakap mengenai kelahiran Maryam, Nabi Isa dan Nabi Yahya. Al-Quran menceritakan kelahiran insan mulia dan agung ini sebagai panduan kepada manusia sejagat untuk mengetahuinya.

Oleh itu marilah bersama kita terus menzahirkan kegembiraan terhadap kelahiran insan agung Nabi Muhammad SAW bukan pada 12 Rabiulawal sahaja, tetapi sepanjang masa dan ketika selagi hayat dikandung badan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Umara harus berlapang dada

Posted by epondok di Februari 12, 2018

DALAM dunia Islam kini terdapat berbagai orientasi kepimpinan. Ada orientasi kepimpinan demokratik, ada juga pemimpin sifatnya autokratik dan tidak kurang juga pemimpin yang mempunyai wibawa liberal yang tinggi.

Cabaran para ulama dan ilmuwan Islam melakukan islah tidaklah mudah. Bukan sekadar melontarkan syarah dan khutbah, rujukan ayat-ayat al-Quran dan Sunnah maka selesai masalah. Rasulullah SAW mendekati sasaran dengan darjah kesabaran tinggi, hemah dan hikmah hebat dengan sumber wahyu yang membawa petunjuk.

Abu Jahal didekati, Abu Lahab dihadapi, Abu Talib di­santuni. Hakikat melakukan dakwah terbaik adalah kerja dai’ dan murabbi. Memberi hidayah dan petunjuk adalah kerja Allah.

Para umara atau pemimpin mempunyai orientasi pendidikan berbeza. Sesetengahnya mendapat orientasi Barat dan menghasilkan fahaman liberal demokratik yang tinggi. Ada pemimpin mendapat orientasi pendidikan Islam bersifat diniah tetapi tidak memiliki ilmu dan pengkhususan yang sifatnya profesional menyebabkan kefahaman Islam untuk bernegara terbatas.

Ulama dan ilmuwan Islam harus memahami hakikat ini. Sistem Islam memerlukan proses binaan yang lama, menghadapi cabaran dan ujian yang pelbagai dan menuntut tekad tinggi supaya pendekatan dakwah dan tarbiah menghasilkan perubahan kepada semua termasuk pemimpin. Asas penting membangun perubahan kepada diri manusia ialah ilmu dan pendidikan. Jenis ilmu dan pendidikan yang ditawarkan dalam sistem memberi kesan kepada orientasi berfikir dan gaya hidup seseorang.

Sekiranya manusia itu terbangun dengan orientasi ilmu dan pendidikan mengikut acuan Barat maka orientasi pemikiran produknya selalunya sekular dan liberal. Sekiranya manusia dididik dengan orientasi pendidikan agama yang tradisional yang memberi fokus kepada aspek diniah dan rohaniah semata-mata maka orientasi berfikir dan gaya hidupnya rohaniah juga.

Umara atau kepimpinan di Malaysia perlu didekati de­ngan bijaksana supaya pengukuhan sistem yang Islami boleh terjadi. Ulama dan pendakwah tidak perlu gopoh hingga menyebabkan konflik terjadi dan maslahah hilang tujuan.

Ulama, ilmuwan dan profesional harus mampu menawarkan model alternatif sesuai dengan iklim perubahan yang ada dan dalam masa sama dapat memberi pilihan terbaik untuk perkembangan ilmu dan pendidikan, kestabilan ekonomi, kedewasaan berpolitik dan melihat hikmah jangka panjang dalam realiti masyarakat berbagai.

Para umara atau pemimpin harus bersikap terbuka dengan pendekatan Islam berketamadunan supaya me­lakukan transformasi terhadap sistem didukung oleh etika dan sistem nilai yang teguh dan mantap.

Islam tidak harus dilihat hanya dalam batas ritual semata. Pilihan model alternatif yang ada di Malaysia memperlihatkan perkembangan yang baik dari sudut pematuhan syariah. Ia baik bagi orang Islam dan juga bukan Islam.

Banyak masa dalam kalangan sesetengah ulama, ilmuwan, jemaah dan harakah Islamiah mengambil gaya reaktif tetapi bukan proaktif bila berdepan dengan isu-isu yang berbangkit. Harus ada sifat menghargai yang baik dikatakan baik dan yang tidak baik didekati dengan nasihat bijaksana.

Para pemimpin harus bersikap terbuka dan berlapang dada apabila ditegur dan dinasihati. Adanya sifat kesa­lingan memberi dan menerima boleh menghasilkan daya taawun atau kerjasama yang tinggi.

Kesalingan ini penting kerana sifat saling memperkukuh dan melengkapi adalah jalan terbaik bagaimana proses perubahan boleh terjadi.

Sekiranya ulama, ilmuwan dan profesional Islam dapat membantunya dengan tekad yang tinggi dan perancangan yang tersusun rapi, penulis percaya perubahan boleh terjadi berasaskan acuan kita sendiri.

DATUK DR. SIDEK BABA

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Banyak pahala tapi jarang dilaksanakan

Posted by epondok di Februari 10, 2018

ISLAM adalah agama yang sangat menjunjung tinggi adab dan tatasusila sesama Muslim. Ucapan salam adalah lumrah bagi seorang Muslim yang dilafazkan di saat bertemu dan berpisah. Namun ucapan salam masih menjadi satu perkara yang jarang diamalkan oleh sebahagian umat Islam. Jika berlaku sekalipun ia hanya terbatas kepada orang yang dikenali sahaja.

Hal ini bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Baihaqi daripada Abdullah bin Masud r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Antara tanda-tanda (dekatnya) hari kiamat adalah seseorang yang sering melalui laluan masjid tetapi dia tidak pernah solat walaupun hanya dua rakaat di situ dan dia hanya mengucapkan salam kepada orang yang dikenali sahaja.”

Imam Nawawi menyatakan hukum memberi salam dalam kitabnya, Minhaj seperti berikut: Memulakan salam hukumnya sunat dan menjawab salam hukumnya adalah wajib.

KEISTIMEWAAN UMAT MUHAMMAD

Salam adalah satu kelebihan yang Allah SWT berikan kepada umat Nabi Muhammad SAW, kelebihan ini menyebabkan umat Islam diangkat darjat oleh-Nya di dunia dan akhirat.

Bahkan orang Yahudi mengetahui kelebihan ini sehingga menimbulkan hasad dengki dalam diri mereka, sebagaimana hadis yang diriwayatkan Imam Ibnu Majah daripada Aishah r.a.: “Tidaklah orang Yahudi itu merasa hasad terhadap kamu, sebagaimana rasa hasad mereka terhadap amalan salam dan ucapan amin yang kamu amalkan.”

Sebenarnya memberi salam itu menunjukkan keperibadian seorang Muslin yang tawaduk, sekali gus menunjukkan kecintaan kepada saudaranya yang lain.

Ucapan salam:

  • Menggambarkan kebersihan hati daripada sifat dengki, dendam, benci, sombong dan memandang rendah terhadap orang lain.
  • Salam merupakan hak kaum Muslimin antara satu dengan lain.
  • Punca tercapainya rasa saling mengenali, keberkatan, bertambahnya rasa kasih sayang dan kecintaan.
  • Penyebab memperoleh kebaikan, punca seseorang masuk syurga.

ADAB BERI SALAM

Menyebarkan salam adakah satu bentuk inisiatif menghidupkan sunah Rasulullah SAW. Sehubungan dengan itu, bagi menghidupkan kembali sunah memberi salam dalam kalangan Muslimin, maka perlu diketahui beberapa adab memberi salam :

1. Memberi salam mengikut keutamaan umur dan situasi.

  • Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.: “Orang muda hendaklah memberi salam pada yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai.”
  • Ibn Battal mengatakan: disyariatkan orang muda mengucapkan salam kepada orang tua kerana kedudukan orang tua lebih mendahului dari sudut usia. Orang yang muda usianya diperintahkan agar menghormati dan tawaduk di hadapan orang lebih tua.

2. Berjabat tangan dan mengucapkan salam ketika bertemu.

  • Adab salam yang diajarkan oleh Islam, jika sesama Muslim bertemu maka digalakkan agar mengucapkan salam disertai dengan berjabat tangan, hal ini akan mengeratkan kasih sayang sesama Muslim.
  • Menerusi hadis diriwayatkan Imam Thabrani: “Jika seorang Mukmin bertemu dengan Mukmin yang lain lalu mengucapkan salam kemudian berjabat tangan dengannya, maka berguguran dosa-dosa mereka berdua seperti daun-daun yang berguguran daripada sepohon pokok.”

3. Menjawab salam dengan lebih baik atau yang seumpama dengannya.

  • Menjadi tuntutan agama bagi orang yang menerima salam hendaklah menjawab dengan lebih baik daripada orang yang memberi salam kepadanya.
  • Firman Allah dalam Surah al-Nisa’, 86: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.”

4. Berusaha mengucapkan salam dengan lebih sempurna.

  • Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi: “Bahawasanya seseorang telah datang menemui nabi lalu mengucapkan assalamualaikum, nabi bersabda: untuknya 10 kebaikan. Kemudian yang lain datang dan mengucapkan assalamualaikum warahmatullah. Maka nabi bersabda: untuknya 20 kebaikan. Setelah itu datang seorang yang lain pula, lalu mengucapkan assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh, nabi bersabda: untuknya 30 kebaikan.”
  • Firman Allah 
dalam Surah al-Nur, 27: 
“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat 
(mematuhi cara dan 
peraturan yang 
sopan itu).”

PEDOMAN

  • Islam adalah agama yang sangat menjunjung tinggi adab pergaulan sesama Muslim
  • Ucapan salam menggambarkan kebersihan 
hati daripada sifat dengki, dendam, benci, sombong dan 
rasa memandang rendah 
kepada orang lain
  • Lazimi ucapan salam ketika bertemu kerana ia merupakan satu sunah Rasulullah SAW dan syiar Islam yang kian dipinggirkan.

 

Petikan
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ulama sifatnya berilmu dan bijaksana

Posted by epondok di Februari 8, 2018

ULAMA dalam erti kata yang luas berkait dengan dukungan ilmu. Ulama yang membawa maksud alim memberi gambaran tidak saja memiliki daya akliah yang tinggi tetapi juga asas rohaniah yang mantap. Daripadanya, terpancar akhlak karimah dengan upaya menyantuni orang lain.

Ilmu yang dimiliki oleh ulama tidak sekadar sifatnya umum. Ulama yang berperanan, memiliki takhasus atau keahlian yang mampu ditawarkan untuk kebaikan gerak kerja dakwah dan kebaikan dalam membina sistem.

Tradisi ilmu dalam Islam tidak saja datangnya dari sumber al-Quran dan as sunnah yang sifatnya naqliah tetapi juga hasil pemikiran manusia (aqliah) yang wujud keserasian antara keduanya.

Asas naqliah menghubungkan ulama dengan faktor perkara-perkara ghaib yang membangunkan iman dan takwa. Asas aqliah menghubungkan ulama dengan perkara-perkara yang difikirkan hasil penjanaan akal dan pemerhatian dan pengkajian terhadap sesuatu yang tampak dan nyata tetapi berpandukan sumber naqliah.

Tidak semua orang boleh bergelar ulama tanpa ilmu. Faktor luaran semata-mata tidak memadai. Ulama yang tulen memiliki peribadi tinggi, tidak memiliki sifat dendam dan kebencian terhadap orang lain, cekal dan tabah me­nyampaikan ilmu dan kesedaran. Mereka memiliki sifat kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi terhadap orang lain.

Doanya sentiasa mengharapkan manusia kembali dan kekal dalam fitrah. Ilmu dan kebijaksanaan yang ada pada­nya boleh menjadi asbab kepada cetusan dan perubahan. Ulama tulen menyampaikan hujah yang terbaik de­ngan keyakinan bahawa pemberi hidayah adalah Allah SWT.

Gandingan ulama, ilmuwan, profesional, saintis dan teknokrat adalah suatu sinergi yang amat dituntut kini. Tanpa sinergi atau kerjasama antara mereka agak payah untuk membangunkan sistem. Ilmu yang dimiliki oleh ulama kini memandu pihak lain memahami dan melakukan sesuatu.

Para ilmuwan, profesional, saintis dan teknokrat yang memiliki kualiti tasawwur yang Islami boleh membantu kerja-kerja ulama dalam melakukan transformasi atau perubahan kepada sistem. Menginsafi kualiti ulama masa kini masih terbatas, mereka perlu diimbangi dengan kemahiran yang ada dalam kalangan ilmuan, profesional, saintis dan teknokrat yang Islami.

Banyak isu baharu yang berbangkit kini seperti isu stemsel, nanoteknologi, teknologi siber, pendekatan robotik dan lain-lain memerlukan gandingan pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan ulama dan pihak lain.

Banyak rumusan dalam kalangan ahli fatwa umpama­nya memerlukan maklumat asas dari ilmuwan terutama dalam bidang ilmu keinsanan dan kemanusiaan, bidang profesional yang menggerakkan perancangan dan perubahan dalam sistem, saintis dan teknokrat yang melakukan kajian makmal supaya sebarang fatwa yang dihasilkan adalah atas asas kerjasama pihak-pihak yang mengetahui dan terlibat.

Ulama masa kini memerlukan landasan ilmu-ilmu baharu yang didukung oleh ilmu-ilmu diniah. Pengajian al-Quran umpamanya tidak saja menghasilkan huffaz yang bagus qirati, tarannum dan tafsirnya tetapi menguasai pelbagai bahasa khususnya bahasa Arab.

Ilmu tafsir yang dikuasainya harus mampu menjadikan ilmu diniahnya sebagai landasan meneroka keahlian dan kepakaran dalam bidang ilmu angkasa lepas, sains, teknologi, perubatan, farmasi, ICT dan lain-lain supaya mereka memiliki pengkhususan dan kepakaran.

Pengkhususan dan kepakaran yang bersepadu ini bakal menghasilkan ulama yang memiliki ilmu diniah dan juga kepakaran dalam sesuatu bidang atau beberapa bidang ilmu yang terbina asas epistemologi atau teori ilmunya berasaskan tasawwur yang Islami.

Kesan yang bakal terhasil dari proses ini tidak hanya menghasilkan ulama yang berwibawa tetapi turut mampu mencetuskan perubahan yang lebih bermakna kepada sistem. Malaysia memerlukan ulama yang sebegini untuk melakukan perubahan dan lonjakan kepada sistem bagi mendepani keadaan semasa dan cabaran globalisasi.

DATUK DR. SIDEK BABA

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »