Ternyata pengisytiharan itu adalah haram. Ini kerana sejarah menyaksikan, Moshe Gil dalam A History of Palestine: 634-1099 menyatakan bahawa Maharaja Titus dari Rom Timur (Byzantine) memusnahkan Jerusalem dan membakar rumah ibadatnya sekitar tahun 70, diikuti Maharaja Hadrian pada tahun 135.

Maharaja Hadrian seterusnya mengisytiharkan pada tahun 139 bahawa “tiada Yahudi dibenarkan berada di daerah Aelia (nama baru Jerusalem).”

Menurut John Wilkinson dalam Jerusalem Under Rome and Byzantium dan Mahmoud Mataz Kazmouz dalam Islamicjerusalem as a model for multiculturalism: Prelimenary Study’ in Journal of Islamicjerusalem Studies, Vol. 8, pihak Roman mengeluarkan larangan kepada golongan Yahudi agar tidak memasuki Baitulmuqaddis pada tahun 132.

Ia menjadi satu larangan untuk meminggirkan golongan tersebut. Ini menunjukkan Roman mahu menjadikan Islamicjerusalem atau Baitulmuqaddis sebagai kota eksklusif mereka sahaja.

Namun, ketika Islam dipimpin oleh Khalifah Umar al-Khatab r.a. membuka (al-Fath) Islamicjerusalem atau Baitulmuqaddis selepas pemerintahan Roman pada tahun 637, wilayah tersebut diduduki masyarakat bukan Islam termasuk Kristian dan sebahagian kecil Yahudi.

Khalifah Islam kedua itu memberikan jaminan keselamatan dan keamanan kepada bukan Muslim yang ingin tinggal di Baitulmuqaddis. Baginda mengeluarkan dokumen jaminan yang dikenali sebagai al-‘Uhdah al-Umariyyah atau al-Shurut al-Umariyyah.

Dokumen ini secara tidak langsung menunjukkan Islam mengambil berat masalah bukan Muslim yang inginkan keamanan bawah pemerintahan Islam.

Saidina Umar memberi jaminan hak kepada masyarakat setempat Baitulmuqaddis yang berbilang budaya dan agama untuk menikmati kehidupan aman, di samping kebebasan melakukan ibadah rutin serta kegiatan sosial lain.

ISLAM AGAMA KEDAMAIAN

Karen Armstrong seterusnya berpandangan dalam Journal of Islamicjerusalem Studies bahawa, menjadi amalan Khulafa al-Rashidin apabila membuka sesuatu wilayah, mereka melaksanakan peraturan sedia ada tanpa memperkenal perubahan drastik.

Pengusiran Yahudi merupakan tindakan orang Rom Timur yang melarang Yahudi daripada mendiami Aelia. Kemungkinan Saidina Umar mengesahkan status tersebut tetapi mengambil keputusan adalah tidak rasional dan tidak adil mengecualikan Yahudi daripada mendiami Baitulmuqaddis.

Begitu juga, pembukaan kembali Baitulmuqaddis oleh Khalifah Salahuddin al-Ayubi pada tahun 1187. Baginda tidak menafikan hak masyarakat agama lain berada di Islamicjerusalem. Malah, dalam konteks sejarah, layanan Tentera Salib terhadap umat Islam bertentangan dengan layanan Salahuddin al-Ayubi.

Steven Runciman dalam buku A History of the Crusades menyatakan Tentera Salib ketika ingin menakluki Baitulmuqaddis telah merampas emas dan perak, haiwan ternakan serta barangan daripada kediaman, memancung kepala penduduk sama ada lelaki dan perempuan, malahan mayat dihumban keluar pagar dan dibakar secara susunan piramid.

Abu al-Hasan Ali al-Shaybani Ibn al-Athir dalam kitab al-Kamil fi al-Tarikh, Jilid 9 menyatakan, Tentera Salib membunuh lebih 70,000 orang di Masjid al-Aqsa yang terdiri daripada imam, sarjana agama, orang soleh serta ahli masjid.

Tindakan ini menunjukkan mereka tidak mahu orang Islam berada di Islamicjerusalem sehingga dibunuh secara beramai-ramai. Tentera Salib mengamalkan dasar pemerintahan eksklusif seolah-olah tiada perkongsian hidup bersama berlainan bangsa agama dan budaya.

Kekejaman berterusan, kaum Yahudi turut ditindas dan diusir dari Palestin. Namun, pembebasan Islamicjerusalem oleh Salahuddin mengembalikan hak kaum lain sama ada Kristian atau Yahudi berada di wilayah tersebut.

Menurut Baha’ al-Din Ibn Shaddad dalam kitab al-Nawadir al-Sultaniyyah wa al-Mahasin al-Yusufiyyah, penganut Kristian diberi kebebasan bergerak seperti kaum Muslim. Salahuddin sendiri menghulurkan bantuan dalam mengawal keselamatan rombongan ziarah bahkan memerintahkan tenteranya supaya menyediakan makanan dan melayani mereka.

Masyarakat Kristian yang menetap di Palestin mempunyai hak memiliki kediaman, kedai dan tanah serta dibenarkan memasuki lapangan pekerjaan tanpa sebarang diskriminasi. Ini adalah untuk menjaga keamanan Palestin kerana bumi itu bukan hak milik umat Islam sebaliknya dikongsi bersama antara Kristian dan Yahudi.

Islam membuktikan keamanan boleh wujud di Palestin. Kewujudan pelbagai latar belakang agama bukan penghalang untuk hidup bersama. Keadilan mewarnai kehidupan tanpa mengira agama dan bangsa serta tidak mengecualikan pihak lain, sekali gus mewujudkan keamanan di Palestin.

Inilah keindahan Fiqh al-Ta’ayush (kewujudan bersama) yang dilaksanakan ulama dan umara Islam.

Jaminan keamanan di Baitulmuqaddis

Menurut Karen Armstrong dalam A History of Jerusalem: One City Three Faiths, jaminan yang diberi berdasarkan teks dikemukakan oleh buku-buku al-Tabari yang bermaksud:

1. Jaminan keamanan untuk kehidupan dan harta benda, gereja-gereja dan salib-salib mereka; yang sakit dan sihat (semua orang tanpa pengecualian); dan seluruh komuniti agamanya.

2. Gereja-gereja mereka tidak akan didiami atau dimusnahkan oleh kaum Muslimin. Diri-diri mereka, tanah yang mereka diami, salib dan harta benda mereka tidak akan diceroboh atau dirampas.

3. Penduduk tidak akan dipaksa dalam beragama atau dianiaya. Tiada Yahudi dibenarkan mendiami Aelia bersama mereka.

4. Penduduk Aelia perlu membayar jizyah sebagaimana penduduk bandar lain. Mereka perlu mengusir orang Rom Timur dan perompak. Golongan Rom Timur adalah kumpulan pertama yang perlu meninggalkan Aelia. Nyawa dan harta benda mereka akan dilindungi sehingga tiba di tempat yang aman.

5. Bagi kumpulan Rom Timur kedua yang memilih untuk tinggal, mereka akan selamat. Mereka perlu membayar jizyah sebagaimana penduduk Aelia.

6. Penduduk Aelia yang mahu pergi bersama orang Rom Timur, bersama harta benda mereka dan mahu mengosongkan gereja mereka dan salib mereka. Mereka dan semua itu akan selamat sehingga tiba di tempat yang aman.

7. Sesiapa sahaja yang tinggal di Aelia dalam kalangan penduduk tanah tersebut seperti pelarian meminta perlindungan di Aelia sebelum pembunuhan fulan (nama seseorang) boleh tinggal di Aelia jika mereka mahu, tetapi mereka perlu membayar jizyah sebagaimana penduduk Aelia.

8. Mereka yang mahu mengikut orang Rom Timur atau pulang kepada keluarga mereka boleh berbuat demikian. Tiada apa-apa akan diambil daripada mereka sehingga hasil tanaman mereka dituai.

9. Kandungan jaminan keamanan ini adalah bawah pemeliharaan Allah, tanggungjawab Nabi-Nya, para Khalifah dan kesetiaan penuh jika (penduduk Aelia) membayar jizyah menurut kewajipan mereka.