Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 9 Januari 2018

Bina jiwa anak kuat hadapi ujian

Posted by epondok di Januari 9, 2018

Oleh Fairuz Noordin

 

Kata pepatah, malu biar bertempat. Itulah sepatutnya didikan ibu bapa kepada anak supaya mereka berani menyuarakan pandangan dan tahu bila perlu menahan daripada melakukan keburukan. Ikuti penjelasan penting didikan rohani dalam membina jiwa anak bersama Ustaz Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izatidi IKIMfm.

Pada akhir zaman, semakin banyak fitnah berlaku dalam kalangan manusia dan jika jiwa tidak kuat menghadapinya, maka sudah tentu mereka akan mudah rebah serta kecundang dalam menjalani kehidupan di dunia ini apatah lagi untuk mentaati perintah Allah SWT.

Mengukuh peribadi seharusnya bermula daripada awal usia seperti mana pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ supaya terbina peribadi Muslim yang cemerlang. Memiliki peribadi cemerlang termasuk memperkukuhkan pendidikan rohani supaya jiwa anak kuat menghadapi ujian.

Jiwa yang bersih akan membentuk anak sentiasa bercakap benar, mampu memperbaiki kekurangan diri, berani, suka melakukan kebaikan kepada orang lain serta dapat menahan diri daripada sifat pemarah.

Melalui perkongsian dalam slot Mau’izati di IKIMfm pada setiap Khamis, jam 5.15 petang, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerangkan, anak yang bersih jiwanya juga tidak mudah memberontak, baik nilai akhlak serta rohaninya.

Malu bertempat

Pada pandangan ulama, anak perlu didik supaya bebas daripada tabiat malu yang tidak kena pada tempatnya, dikuasai perasaan takut dalam jiwanya, kurang keyakinan diri, bersikap dengki antara satu sama lain dan memiliki tabiat panas baran.

Tabiat utama yang perlu dikikis dalam jiwa anak ialah perasaan malu tidak bertempat. Allah SWT mengurniakan perasaan malu bagi manusia seawal usianya mencecah umur empat bulan.

Pada umur setahun, perasaan malu akan lebih ketara, malah kanak-kanak itu akan memalingkan muka apabila ditegur orang yang tidak dikenalinya sehinggalah usianya meningkat tiga tahun. Kanak-kanak itu akan sentiasa berada disamping ibu bapanya.

Mengurangkan sifat pemalu dalam kalangan anak kecil, mereka digalakkan bergaul antara satu sama lain, beramah dengan tetamu yang datang ke rumah, membawa ke majlis kekeluargaan atau membiasakan berhadapan dengan orang ramai untuk menyampaikan tazkirah dan menjadi imam.

Berani beri pandangan

Imam Bukhari dan sahabat lain telah meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar yang pada ketika belum baligh yang pernah duduk bersama Rasulullah SAW. Ketika berada pada majlis itu, tiba-tiba Baginda bermain teka-teki bersama sahabatnya dan berkata, “Sesungguhnya ada di antara pohon-pohon ini, ada sebatang pohon yang tidak gugur dedaunnya. Pohon itu umpama seorang Muslim, maka cubalah kalian memberitahu apakah pohon itu?

Sahabat masing-masing memberikan pendapat dan meneka pohon itu tumbuh di kawasan pedalaman serta sangat sukar ditemui manusia. Manakala terlintas di fikiran Abdullah bin Umar, pohon dimaksudkan Baginda selalu dilihat manusia, tetapi dia sangat malu untuk menyuarakan pandangannya ketika itu.

Setelah didesak sahabat yang ingin mengetahui jawapan teka-teki itu, Baginda menjawab pohon yang dimaksudkan itu adalah pohon kurma. Setelah pulang ke rumah, Abdullah memberitahu ayahnya Saidina Umar dia sudah mengetahui jawapan itu tetapi malu dan merasa rendah diri kerana pada pandangannya Saidina Abu Bakar dan ayahnya sendiri tidak menjawab teka-teki yang dikemukakan Rasulullah, apatah lagi dirinya yang masih kecil itu.

Namun, Saidina Umar berkata, sekiranya Abdullah memberi jawapannya sebentar tadi, beliau akan merasa lebih gembira dan berbangga dengan kecerdikan anaknya berbanding perasaannya jika dihadiahkan seekor unta yang merah.

Akibat buruk daripada perasaan malu yang tidak kena pada tempatnya akan menyebabkan tersembunyinya sesuatu kebenaran dan mendatangkan mudarat kepada agama Islam.

Jadilah yang hebat

Peristiwa di zaman Khalifah al-Makmun, beliau berjalan dan tiba-tiba bertemu seorang anak remaja lalu bertanya mengenai latar belakangnya. Remaja itu menjelaskan, dia adalah anak kepada seorang yang beradab dan berakhlak.

Lalu khalifah berkata, itulah keturunan yang paling baik dan kemudian dia bersyair dengan syair yang sangat indah, “Jadilah kamu sebagaimana kamu membesar dengan penuh adab. Kemudian menyebabkan kamu menjadi seorang yang kaya dengan kepujian daripada nasab dan keturunan. Sesungguhnya pemuda yang hebat ini akan sentiasa menyebut, inilah saya yang sebenarnya. Dan bukan orang yang hebat kalau dia sibuk mengira keturunan yang hebat. Orang yang hebat adalah orang yang membina dirinya sendiri.”

Pada ketika yang lain, khalifah memasuki sebuah perpustakaan dan bertemu seorang kanak-kanak yang terselit sebatang pen di telinganya. Khalifah al-Makmun bertanya kepada anak itu, “Siapa kamu ini? Lalu anak itu menjawab: Saya adalah satu tunas yang baru tumbuh di dalam kerajaan kamu, yang sedang bersenang-lenang dengan kurniaan kamu, bersedia untuk berkhidmat dengan kamu, dan sayalah yang bernama al-Hassan bin Raja.”

Tahu beza malu, segan

Pertuturan anak itu memukau khalifah dengan jawapan yang indah dan kelebihan akalnya, menyebabkan khalifah telah mengarahkan pegawainya untuk memberikan hadiah kepada kanak-kanak itu

Perbezaan antara sifat malu dan segan pada pandangan ulama ialah, malu adalah apabila ia tidak kena pada tempatnya, ia dilarang dalam agama seperti enggan atau tidak mahu bertemu dengan orang lain.

Tetapi, sifat segan ialah apabila anak mula berpegang kepada dasar keutamaan dan adab dalam agama. Adab disertai pegangan agama yang sempurna, menghalang mereka daripada pandangan yang haram, mendengar sesuatu tidak baik atau mendedahkan yang sepatutnya disembunyikan.

Advertisements

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »