Apakah asas kukuh mewajibkan seorang insan yang mengaku sebagai Muslim mempertahankan kedaulatan dan hak Palestin, selain menafikan penjajahan negara haram Israel di tanah suci Baitulmuqaddis itu.

Ulama Palestin, Dr. Muraweh Musa Nassar menegaskan bahawa kewajipan seluruh umat Islam mempertahankan Palestin adalah kerana ia melibatkan akidah dan tanggungjawab sesama saudara seagama yang pastinya akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bahagian Baitulmuqaddis, Kesatuan Ulama Antarabangsa berkata, Palestin begitu dekat dengan Islam terutama melibatkan kisah Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW apabila Baginda singgah di bumi yang banyak melahirkan golongan anbia’.

Katanya, Rasulullah SAW bersolat dahulu di Masjid Al-Aqsa, sebelum naik ke langit untuk menerima perintah bersolat daripada Allah SWT semasa kejadian agung itu.

“Sesiapa yang mengasihi Masjid Al-Aqsa, maka dia mengasihi Rasulullah SAW. Ini kerana Baginda pernah berpesan sebanyak tiga kali untuk kita seluruh umat Islam menjaga Baitulmuqaddis.

“Rasulullah SAW sangat teringin untuk ke Baitulmuqaddis dan impian Baginda ditunaikan oleh Allah SWT semasa peristiwa Israk dan Mikraj. Kecintaan Rasulullah SAW kepada Masjid Al-Aqsa begitu mendalam sehingga menjadi persoalan dalam kalangan sahabat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena penganjuran Bicara Persada ke-41 yang bertajuk ‘Trump vs Dunia: Baitulmaqdis milik siapa?’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Industri dan Jaringan Masyarakat UKM, Prof. Dr. Imran Ho Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Bhd. (Aman Palestin), Awang Suffian Awang Piut; Timbalan Penasihat Undang-Undang UKM, Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir dan Ketua Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam UKM, Dr. Azmul Fahimi Kamaruzaman.

Dalam majlis sama, UKM menyerahkan sumbangan bernilai RM140,000 kepada Aman Palestin Bhd. hasil kutipan pihak universiti tersebut.

UMAT ISLAM TIDAK MAHUKAN PAHALA?

Mengulas lanjut, Muraweh berkata, selain bumi yang banyak melahirkan golongan nabi dan rasul, Palestin disenaraikan sebagai kawasan yang harus dikunjungi biarpun dalam keadaan bergolak kerana keberkatan bumi tersebut dan kawasan sekitarnya.

Menurutnya, sesiapa sahaja bersolat di Masjid Al-Aqsa akan memperoleh 250 kali ganda pahala solat, bahkan perumpamaan bagi sesiapa yang melihat Masjid Al-Aqsa adalah seumpama memperoleh kebaikan seluruh isi dunia.

Malah katanya, Nabi Sulaiman a.s. turut berdoa kepada Allah SWT supaya orang yang bersolat di Masjid Al-Aqsa seumpama anak kecil yang keluar daripada perut ibunya iaitu bersih daripada sebarang dosa.

“Untuk itu, kenapa sekitar dua bilion umat Islam di seluruh dunia membiarkan pahala yang begitu besar dilepaskan begitu sahaja? Satu kewajipan kepada kita sebagai umat Islam untuk mempertahankan Baitulmuqaddis seumpama menyelamatkan diri sendiri kerana bumi Palestin merupakan tanah perjuangan rasul-rasul sejak dari zaman dahulu lagi,” katanya.

NIAT JAHAT ISRAEL UBAH SEJARAH

Selain itu katanya, pihak Zionis Yahudi sengaja mahu mengubah keagungan Islam di Palestin dengan melaksanakan perintah sengaja direka-reka termasuk membina Haikal Sulaiman yang didakwa berada di tapak Masjid Al-Aqsa.

Jelasnya, menjadi tamparan besar jika golongan pelampau itu tidak berjaya membina kuil yang didakwa.

“Usaha jahat itu telah bermula dengan menggali sebanyak 67 buah terowong di bawah Masjid Al-Aqsa bagi meruntuhkan masjid yang pernah menjadi kiblat pertama umat Islam suatu masa dahulu,” katanya.

Mengulas tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, Muraweh berkata, pengumuman tersebut adalah bukti kepada kebodohan presiden itu sendiri apabila menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Katanya, selain cuba menjadi hero kepada Israel dengan cuba bermain di garisan merah yang ternyata menimbulkan kemarahan umat Islam, Trump sebaliknya disifatkan sebagai seorang pembela yang cuba meneruskan agenda jahat Zionis Yahudi di Palestin.

“Apa yang penting, Palestin dan Baitulmuqaddis akan kembali ke pangkuan umat Islam, sekali gus menyaksikan kemenangan dan menghapuskan kebatilan,” katanya.