Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Iman diasaskan oleh cinta, persaudaraan

Posted by epondok di Disember 11, 2017


Oleh Zainal Zainuddin

 

Telah sampai cerita bahawa pada suatu hari, Sultan Mahmud Ghaznawi menitahkan supaya membawa Laila menghadapnya agar dapat ditanya kisah kekasihnya Majnun.

Apabila tiba Laila di hadapannya, baginda bertanya: Wahai Laila, kau yang kecantikanmu masyhur seluruh alam; yang kasih sayangmu menjadi sumber segala puisi, aku ingin menatap wajah Majnun, ingin tahu sifat rupa yang kau cintai dengan teguh dan jujur itu.

Maka Laila menjawab seraya menangis mengenangkan Majnun, kekasihnya itu telah hilang tiada yang tahu ke mana. Mendengar ini baginda menitahkan kepada pesuruh untuk mencari Majnun hingga dapat supaya dibawa ke hadapannya. Pesuruh mencari di kota, di kampung, di dusun hingga akhirnya di perpinggiran batasan negeri dan luasan padang pasir.

Di situ beliau mendapat khabar ada seorang yang berdiam sebatang-kara di padang pasir merayau merana sentiasa menzikirkan nama Laila bagai orang yang sudah gila. Orang itu dibawa ke hadapan Sultan yang sambil terkejut hairan memandang rupa menyangkal sangkaan berkata: Inikah Majnun? Inikah rupa yang kau cintai: yang hitam legam kurus kering ini yang kotor hodoh – wahai Laila, inikah Majnunmu! Sahut Laila: Tuanku harus memandang dia dengan pandangan mataku. Sebagaimana Laila cintakan Majnun, teguh dan jujur laksana Bintang Utara.”

Cinta Allah, cinta rasul

Demikianlah erti perspektif yang benar ditinjau daripada cinta luhur seorang Laila. Namun, nilai sebuah cinta manusia itu juga dikatakan buta dan hanya boleh melarutkan minda manusia jika tidak didasarkan kepada ilmu yang betul.

Di dalam Islam, kita diajarkan untuk mematuhi perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Itulah asas dalam ajaran fiqh Islam iaitu menyuruh kepada kebaikan dan menjauhi daripada perkara dilarang. Fiqh Islam menuntut kedua-dua elemen itu berjalan serentak tanpa terpisah.

Memisahkannya akan menyebabkan kita terjebak ke lorong maksiat dan semakin jauh daripada Allah SWT. Ulama menampilkan konsep ‘cintakan Allah’ dan ‘cintakan Rasul’ sebagai elemen penting mengenali Allah dan rasul-Nya.

Malah, dalam pengajian tasawuf kita diajarkan mencintai Allah dan rasul sebagai antara darjat maqam tertinggi perjalanan insan untuk mengenali dirinya dan Allah SWT.

Ancaman ‘isme’

Episod cinta berasaskan iman, ukhuwah (persaudaraan) dan mahabbah (kasih sayang) juga terakam dalam hadis mengenai penduduk syurga yang teringat sahabatnya lalu bertanya kepada malaikat, “Apabila penghuni syurga telah masuk ke dalam syurga, lalu mereka tidak menemukan sahabat mereka yang selalu bersama mereka dahulu sewaktu di dunia. Mereka pun bertanya mengenai sahabat mereka kepada Allah: Ya Rabb. Kami tidak melihat sahabat kami yang sewaktu di dunia solat bersama kami, puasa bersama kami dan berjuang bersama kami. Maka Allah SWT berfirman: Pergilah kamu ke neraka, lalu keluarkanlah sahabatmu yang di hatinya ada iman walaupun hanya sebesar zarah.” (Hadis riwayat Imam Ibnul Mubarak dalam kitab Az-Zuhd)

Imam Al-Hasan al-Basri berkata, perbanyakkan sahabat mukminmu kerana mereka memiliki syafaat pada hari kiamat nanti sementara Imam Ibnul Jauzi pernah berpesan kepada sahabatnya sambil menangis, “Jika kalian tidak menemukanku nanti di syurga bersama kalian, maka tolonglah bertanya kepada Allah mengenai aku: Wahai Rabb Kami. Hamba-Mu si fulan, sewaktu di dunia selalu mengingatkan kami akan Engkau. Maka masukkanlah dia bersama kami di syurga-Mu.”

Kini sudah wujud dalam dunia Melayu-Islam individu yang berani mentafsirkan al-Quran dengan akal logik dan rasional semata-mata, menolak hadis sebagai sumber hukum perundangan syariah.

Mereka sebenarnya tertipu dengan pemikiran liberalisme, sekularisme dan pluralisme Barat yang menganggap Islam sebagai musuh utama dunia selaras peringatan Allah SWT dalam al-Quran.

Muslim keliru

Sebahagian sarjana Islam berpandangan mereka sebenarnya kehilangan adab Islam dan tidak memahami tasawur Islam dalam perspektifnya yang benar dan tepat. Sehubungan itu, menurut pandangan mereka segala undang-undang negara berkaitan hukuman atas kesalahan syariah mesti dibatalkan.

Golongan liberal seperti itu walaupun tetap di hati mereka mengakui beragama Islam, menolak elemen agama dalam perundangan negara. Bagi mereka, elok dipisahkan elemen agama Islam daripada sebarang peruntukan undang-undang negara.

Melayu-Muslim seakan terkeliru dengan amalan agama yang mereka anuti. Jika benar tanggapan ini, kita mungkin terarah menuju sebuah persimpangan yang amat berbahaya.

Marilah kita kembalikan akar jati diri seorang Muslim sejati dengan mencintai Islam menerusi hakikat keindahan dan kebenaran Islam itu sendiri. Carilah dan kejarlah cinta itu ke arah mendekatkan diri kepada Ilahi Rabbi.

Pastinya cinta itu kukuh, kekal abadi. Yang demikian itulah hakikat cinta sejati yang mampu memautkan hati insan dengan Khaliqnya yang dicarinya selama ini.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: