Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 9 Disember 2017

Sikap kufur, suka berbohong tidak dapat hidayah

Posted by epondok di Disember 9, 2017

Oleh Ahmad Shukri Yusoff

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai rasul Allah! Janganlah engkau menanggung dukacita disebabkan orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari orang yang berkata dengan mulutnya: Kami tetap beriman, padahal hatinya tidak beriman.” (Surah al-Maaidah, ayat 41)

Rasulullah SAW diutuskan dengan membawa segala bentuk kebaikan untuk umatnya, berita gembira kepada orang mukmin, amaran bagi orang kafir. Rasulullah SAW sangat menginginkan kaumnya mendapat petunjuk dan hidayah.

Orang yang mudah bersikap kufur daripada golongan munafik yang mengaku beriman hanya sebagai pemanis mulut, namun ternyata sebenarnya mereka tidak beriman dengan bersungguh-sungguh. Mereka ialah orang yang menampakkan kebaikan dan menyembunyikan keburukan.

Ibnu Juraij berkata, orang munafik ialah yang perkataannya menyalahi tindak-tanduknya dan batinnya bercanggah dengan zahirnya .

Sifat keprihatinan yang luar biasa menyebabkan Baginda SAW merasa sedih kepada sesiapa sahaja yang keluar daripada garis keimanan. Baginda memberatkan dirinya dalam urusan dakwah mengatasi kemampuan yang ada bahkan melebihi apa yang dituntut kepadanya.

Teguran kepada nabi

Abu Hayyan berkata, ayat itu diturunkan untuk menghiburkan Nabi Muhammad SAW dan meringankan rasa dukacitanya terhadap sikap mereka yang mencari kekufuran dan mendedahkan hakikat diri mereka supaya Baginda SAW tidak menaruh harapan tinggi mereka akan beroleh petunjuk.

Seperti diketahui Baginda tidak dituntut melainkan untuk menyampaikan risalah manakala hidayah itu adalah kurniaan dan pilihan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kalau Kami mahu, tentulah Kami akan turunkan kepada mereka satu mukjizat dari langit, yang menjadikan mereka tunduk kepadanya.” (Surah as-Syu’ara, ayat 4)

Disebabkan terlalu mengharapkan petunjuk untuk kaumnya, Allah SWT menegur Nabi Muhammad SAW kerana itu akan membebankan dirinya. Teguran itu bukan kerana kelemahan ataupun kesilapan Baginda tetapi ia mengatasi kemampuannya.

Orang munafik keimanan mereka hanya di bibir sahaja. Demikian juga orang Yahudi, suka mendengar berita dusta dan palsu. Mereka suka mendengar perkataan pendeta Yahudi yang sering berbuat dusta terhadap Allah SWT.

Suka cerita bohong

Di samping itu, mereka suka memesongkan dan meminda hukum Allah SWT. Mereka tidak mahu hadir dalam majlis nabi kerana sombong dan terlalu ingin menunjukkan permusuhan seperti Yahudi Bani Khaibar.

Sementara golongan suka mendengar cerita bohong ialah orang Yahudi Bani Quraizah yang datang menemui Baginda, mereka mengubah serta meminda hukum Allah SWT dalam kitab Taurat serta menggantikannya dengan hukum lain.

Ibnu Abbas berkata, hukum yang mereka pinda ialah hukum hudud yang telah ditetapkan dalam kitab Taurat. Mereka meminda rejam dan menggantikannya dengan hukuman sebat serta menghitamkan muka.

Mereka berkata kepada pengikut mereka, jika disampaikan kepada kamu hukum dalam Taurat seperti yang dipinda ini, bolehlah kami terima. Tetapi sebaliknya, jika disampaikan kepada kamu hukum asal dalam kitab Taurat, maka jangan sekali-kali kamu menerima hukum itu.

Hati yang hidup

Nabi Nuh AS telah berdakwah kepada kaumnya, isteri dan anaknya selama 950 tahun, namun hanya sedikit yang beriman kepada Allah SWT. Ini bukanlah petanda Nabi Nuh gagal, tetapi bukti tidak ada yang dapat memberikan hidayah kecuali dengan izin Allah SWT.

Apabila jiwa seseorang sering berkecimpung dalam perkara kebatilan, pembohongan dan kejahatan, suka menderhaka dan melakukan perbuatan merugikan, maka kesesatannya menjadi perwatakan. Hatinya tidak lagi mempunyai sebarang kemanisan untuk menerima kebenaran. Akibatnya, mereka tidak lagi dapat menerima keterangan yang benar.

Al-Quran memberi manfaat kepada orang yang mempunyai hati yang hidup, mengetahui kebaikan di sebalik petunjuk, bimbingan-Nya serta mengikut bimbingan dan petunjuk itu.

Mereka ini umpama manusia yang apabila muncul kilatan cahaya kebenaran di hadapan, mereka akan segera menangkapnya sehingga hati dan sanubari dipenuhi cahaya kebenaran itu. Itulah orang yang dianugerahkan Allah SWT taufik dan hidayah, yang bakal memperoleh kemenangan serta kebahagiaan.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »