Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Disember 2017

Memperoleh keberkatan masa

Posted by epondok di Disember 31, 2017

FIKIRAN kita akan menentukan niat dan niat menentukan hasil kehidupan (4K iaitu ketenangan, kebahagiaan, kesihatan dan kekayaan).

Niat datang dari hati dan hati yang bersih akan menghasilkan tindakan yang bersih.

Menurut Imam al-Ghazali, hati manusia ibarat kolam sementara segala anggota dan pancaindera zahir seperti mata, telinga, lidah dan lain-lainnya umpama sungai. Apabila anggota dan pancaindera terbabit dengan dosa, setiap dosa itu akan mengalir ke dalam hati maka akan rosak binasalah seluruh kehidupan.

Yang menentukan fikiran pula adalah sistem nilai dan akidah kita. Tujuan hidup kita ialah mencari reda Allah SWT dan mati dalam husnul khatimah. Konsep hidup kita yang pertama untuk memberikan manfaat kepada semua makhluk Allah SWT.

Kedua, menjadi hamba Allah SWT yang bertanggungjawab menjalankan suruhan-Nya. Ketiga, mendapat reda Allah SWT bukan penghar-

gaan manusia. Jika kita menjaga hubungan dengan Allah SWT, Allah SWT akan menjaga seluruh urusan kita.

Oleh itu, peruntukan masa untuk Allah SWT dan utamakan urusan dengan-Nya terlebih dahulu, bukan mendahulukan urusan sesama manusia. Malu dan takutlah dengan Allah SWT yang dalam genggaman-Nya terletak takdir kita.

Ingatlah, untung nasib kita bukan ditentukan oleh manusia. Namun, kini manusia lebih patuh kepada undang-undang ciptaan manusia. Contohnya, sebagai pekerja kita sering menjaga rekod kedatangan dan jika boleh tidak mahu lewat walaupun seminit.

Tetapi kita tidak pula berkejar untuk mengerjakan solat sebaik mendengar seruan azan demi menjaga rekod kepatuhan kepada Allah SWT. Itulah diri kita yang sering alpa meniatkan hati untuk menjaga kesejahteraan hidup di akhirat yang bakal dihadapi kelak.

Ingatlah, jika kita menjaga akhirat, dunia akan mengikut kita. Jika kita mengejar dunia, akhirat akan tercicir. Di dunia ini, kita tidak berpeluang untuk berehat dengan pengertian rehat sebenar sehinggalah tiba hari kematian. Kita akan benar-benar berehat, jika di du-

nia kita tidak kenal erti berehat kerana sibuk mengerjakan amal soleh untuk bekalan di alam kubur nanti.

Cuba fikirkan, semua orang diberi Allah SWT 24 jam masa sehari tetapi mengapakah ada yang dapat solat tepat atau seawal waktu dan mengapakah ada yang melengah-lengahkan atau terus tidak sempat bersolat dengan alasan terlalu banyak kerja.

Solat tepat pada waktu

Amalan paling baik ialah solat tepat pada waktunya. Ibnu Mas`ud berkata, “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: Apakah amalan yang paling disukai oleh Allah SWT? Jawab Rasulullah SAW: Solat pada waktunya (tidak melengah-lengahkan solat).”

Apabila bekerja jadualkan aktiviti berdasarkan waktu solat. Ambil wuduk 15 minit sebelum waktu solat. Aturkan mesyuarat selepas waktu zuhur dan diselesaikan sebelum asar. Percayalah, jika kita menjaga waktu solat, kerja duniawi juga akan terencana dengan baik.

Sejak awal pagi ketika keluar dari rumah berniat hendak solat tepat pada waktunya, kita akan dapat apa yang diniatkan. Berdasarkan pengalaman, semuanya bergantung kepada niat. Setiap hari berdoa, “Ya Allah dapatkanlah aku keberkatan waktu dan ketenangan jiwa. Apabila aku perlukan masa, masa akan panjang.”

Pagi-pagi ketika keluar rumah bayangkan secara positif apa yang ingin dilakukan hari itu akan berlangsung dengan mudah dan berjaya. Berdoa kepada Allah SWT: “Pemudahkan urusanku dan temukan aku dengan orang yang mempermudah urusanku.”

Sebenarnya pertolongan Allah SWT yang memudahkan, melancarkan kerja kita dan berasakan masa diberi terasa panjang serta mencukupi. Secara teknikalnya, untuk menangani kesibukan dunia kita perlu menyenaraikan tugas yang sedang dan akan ditangani mengikut keutamaan.

Berikan status peringkat persediaan yang telah dan belum dibuat kepada semua tugas perlu ditangani, serta diatur mengikut statusnya. Berikan tumpuan minda, emosi dan fizikal menyelesaikan satu demi satu kerja mengikut keutamaan hingga selesai. Ertinya fokus pada kerja paling utama dan terdekat tarikh siapnya.

Jika mengambil kira berdasarkan ibadah solat lima waktu yang wajib dilakukan setiap hari, kita hanya menggunakan masa tidak lebih satu jam sehari untuk Allah SWT. Sedangkan 23 jam lagi digunakan untuk urusan sendiri yang tidak membabitkan hubungan terus dengan Allah SWT.

Amalan Qiamullail

Kita masih lagi mengatakan tidak ada waktu untuk Allah SWT kerana terlalu sibuk. Adakah kita memiliki banyak masa terluang? Jawapannya, ada iaitu sepertiga malam. Ramai yang menyimpan cita-cita untuk bangun Qiamullail tetapi tidak kuat melawan mata meninggalkan tempat tidur.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah: Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaanmu dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan daripada berjihad di jalan-Nya (Allah), maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya). Dan Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada orang yang fasik.” (Surah al-Taubah, ayat 24)

Sesungguhnya melawan nafsu meninggalkan tempat tidur juga satu jihad. Jika kita tahu bahawa besarnya nikmat dan manfaat berqiamullail, tentu kita tidak akan meninggalkan amalan itu. Selain berpeluang mendapat pahala besar beramal pada waktu mustajab doa, amalan itu juga baik untuk kesihatan.

Sesungguhnya, jika kita tidak ada masa untuk Allah SWT, Allah SWT juga tidak ada masa memandang kita dengan kasih sayang-Nya. Oleh itu, tinggalkan sekejap tugas harian untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT, termasuk menunaikan fardu haji atau umrah (jika berkemampuan).

Keberkatan waktu bermaksud boleh melakukan banyak perkara dalam waktu yang singkat. Allah SWT permudahkan urusan kita dengan melancarkan pelaksanaan kerja duniawi, tidak ditimpa halangan dan musibah yang mengendalakan kerja dalam perancangan kita

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Rayuan derma untuk Tabung Bencana Kebakaran Pondok Beta Hilir

Posted by epondok di Disember 31, 2017

Posted in Pondok Beta Hilir | Leave a Comment »

Kem Kitab 2018 untuk Lepasan SPM dan Dewasa Lelaki di Pondok Pasir Tumboh

Posted by epondok di Disember 30, 2017

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

14 unit pondok kayu di Pondok Beta Hilir, Kota Bharu terbakar malam tadi

Posted by epondok di Disember 29, 2017

Oleh Siti Rohana Idris

SEBAHAGIAN anggota bomba memantau kawasan pondok yang musnah membabitkan 14 unit pondok pada jam 7.45 malam tadi di Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir, Kota Bharu. – Foto Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Sebanyak 14 unit pondok kayu di Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir, di sini, hangus dalam kebakaran pada jam 7.45 malam tadi.

Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.

Pondok yang menempatkan 24 pelajar, termasuk seorang warga emas itu hangus sekelip mata berikutan binaannya yang diperbuat daripada kayu.

Kakitangan madrasah, Mohammad Hanif Mohd Razali, 28, berkata ketika kejadian, semua pelajar baru sedang membaca surah Yasin, selepas solat Maghrib.

“Kebakaran disedari seorang pelajar yang berada di saf paling hujung, yang ternampak cahaya melalui tingkap sebelum berlari keluar untuk melihat apa yang berlaku.

“Tidak lama selepas itu, kedengaran suaranya menjerit `api’. Saya terus melaungkan azan, manakala pelajar lain berlari ke bawah untuk cuba menyelamatkan dokumen dan barang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, sebentar tadi.

Pelajar terbabit, Ahmad Faizzuddin Zulkifli, 18, berkata beliau terkejut apabila melihat sebuah unit asrama terbakar dan segera menjerit meminta tolong sambil berlari turun mencari air untuk memadamkan api.

“Kami sempat mengeluarkan beberapa kitab pengajian, manakala barangan lain hangus termasuk sebuah motosikal milik seorang pelajar,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Penguasa Kanan Bomba 2, Hussin Ab Rahman, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 7.50 malam dan tiba di lokasi 20 minit kemudian.

“Seramai 29 anggota dari Balai Tunjong, Darulnaim dan Ketereh tiba di lokasi dengan empat jentera,” katanya.

Sebarang sumbangan dalam meringankan bebanan mangsa dan juga pembinaan semula bangunan baru bolehlah disalurkan melalui akaun  Madrasah Muhammadiah Pondok Beta Hilir menerusi akaun Bank Muamalat 03010002364711 atau Bank Simpanan Nasional 0355041000016161

Maklumat lanjut sila hubungan Mudir Us Sayuti 012 9845040 atau Timb Mudir Us Nazri 019-9060874

Posted in Fokus Isu, Pondok Beta Hilir | Leave a Comment »

Takziah buat keluarga Al-Marhum Us Mohd Nizam Timb Mudir Pondok Lepan Bola, Tanah Merah

Posted by epondok di Disember 28, 2017

Seluruh warga pondok mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga al-Marhum Ust Mohd Nizam timb mudir pondok lepan bola tanah merah Kelantan yang meninggal dunia jam 5.00 ptg semalam dlm prjalanan pulang dari hospital…
Solat jenazah selamat dijalankan pada jam 10.30 malam tadi di Pondok Lepan Bola

Moga dimasukkan dlm kalangan solihin
إنا لله وإنا إليه راجعون 
‎أَللَّهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالْثَلْجِ وَالْبَرَدِ، وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ ، وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ ، وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ اْلقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Motif pengiktirafan Baitul Maqdis?

Posted by epondok di Disember 28, 2017

Abd. Aziz Itar

TINDAKAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara baharu Israel pada 6 Disember lalu memang benar-benar menaikkan kemarahan dunia.

Kemarahan itu bukan sahaja dirasai oleh umat Islam di seluruh dunia, malah masyarakat bukan Islam juga melihat tindakan Trump itu akan menjerumuskan Israel ke kancah peperangan lebih besar.

Presiden Rusia, Vladimir Putin misalnya, menyifatkan Israel sengaja ‘mencurah minyak ke dalam api’ apabila memindahkan ibu negara dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis dan ia pula disokong oleh AS.

Pemindahan itu membawa banyak implikasi termasuk cengkaman lebih kuat tentera Zionis ke atas Masjid al-Aqsa yang juga masjid ketiga paling suci umat Islam yang terletak di wilayah tersebut.

Trump langsung tidak menghiraukan tentang lebih tiga per empat tanah rakyat Palestin yang telah dirampas oleh pendatang haram Yahudi dan regim Zionis sejak tahun 1948 sehinggalah kini. Malah, sidang Deklarasi Istanbul pada Sidang Kemuncak Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) Rabu lalu sepakat memutuskan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Justeru, pemindahan pusat pemerintahan Zionis ke Baitul–muqaddis itu dilihat sebagai suatu perancangan drastik Israel bagi menguasai sepenuhnya wilayah terpenting di Palestin itu.

Langkah itu bukan sahaja dilihat daripada sudut kepentingan politik dan penguasaan wilayah yang diduduki oleh Israel tetapi ia juga melangkaui aspek-aspek lain termasuk soal keagamaan.

Ia antara lain kepercayaan tentang kewujudan Kuil Sulaiman yang dipercayai tertanam di bawah Masjid al-Aqsa yang perlu dibangunkan semula demi kebangkitan semula bangsa Yahudi.

Mereka juga percaya kuil yang pernah dimusnahkan oleh bangsa Babylon dan empayar Rom setelah ia didirikan pada tahun 960 Sebelum Masihi itu tempat munculnya ‘pemimpin yang dinantikan’.

Sebab itu, tidak hairanlah Zionis sangat berharap agar mereka dapat menguasai kawasan di sekitar Masjid al-Aqsa dan sekali gus memus–nahkannya demi memenuhi ‘keyakinan’ tersebut.

KEDUDUKAN PALESTIN

PALESTIN terletak di antara Laut Tengah dan Sungai Jordan. Sebahagian besar negara di dunia termasuk negara-negara OIC, Liga Arab dan ASEAN telah lama mengakui kewujudan negara ini.

Wilayah Palestin terbahagi kepada dua entiti politik iaitu wilayah yang majoritinya diduduki secara haram oleh Israel dan pendatang Yahudi, manakala satu lagi di bawah Pihak Berkuasa Palestin. Deklarasi Kemerdekaan Palestin telah diumumkan oleh Yasser Arafat di Algiers selaku pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pada 15 November 1988 tentang kewujudan negara itu. Sebelum itu pun, Liga Arab pada 1974 telah menetapkan Yasser sebagai wakil rakyat Palestin bersama PLO selain mempunyai status pemerhati di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pada 1993 Israel pula melalui Perjanjian Oslo mengakui peranan PLO selain pada masa sama mahukan perdamaian bersama melalui Resolusi 242 dan 338 di bawah Majlis Keselamatan PBB.

Namun, itu bukan bermakna kerakusan Israel dalam terus menjarah wilayah Palestin telah terhenti, sebaliknya ia terus berlaku dari semasa ke semasa sejak dari dulu sehinggalah ke hari ini.

Ketika Palestin dipimpin oleh dua parti berasingan iaitu Hamas di Semenanjung Gaza dan Fatah di Tebing Barat, Israel cukup bijak dalam mengambil peluang di atas perpecahan rakyat Palestin itu.

Sifat tamak dan jahat Israel yang langsung tidak mempedulikan kutukan masyarakat antarabangsa dapat dilihat apabila tanah-tanah Palestin terus diceroboh oleh para pendatang Yahudi.

Pada April 2011, Hamas dan Fatah telah menandatangani perjanjian damai tetapi pelaksanaannya masih belum mencapai objektif yang diharapkan yang mana ia banyak menguntungkan Israel.

Sehingga kini lebih 129 buah negara yang berada di bawah PBB telah mengakui kewujudan Palestin dan menyokong hak-haknya sebagai sebuah negara yang sah walaupun ia terus dicabuli Israel.

JADI REBUTAN

ANTARA tiga agama utama di dunia iaitu Islam, Kristian dan Yahudi sejak sekian lama menganggap tanah di Palestin suci mengikut sejarah dan latar belakang agama masing-masing.

Bagi umat Islam di tanah itulah terletaknya Masjid al-Aqsa iaitu kiblat pertama mereka dan masjid ketiga paling utama selepas Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Sementara kaum Yahudi percaya tanah Palestin terutama di sekitar Baitulmuqaddis adalah ‘tanah yang dijanjikan Tuhan’ yang merupakan negeri asal usul keturunan mereka ribuan tahun lalu.

Orang Yahudi juga percaya di Palestin terletaknya Kuil Sulaiman yang dipercayai tertanam di Bukit Zion yang merupakan tempat ibadat mereka yang perlu dicari serta dibangunkan semula.

Sementara itu, penganut agama Kristian pula turut menganggap tanah Palestin sebagai suci kerana di situ juga terletaknya Kuil Nazareth yang menjadi tempat kelahiran Nabi Isa dan tempat disalib.

KONFLIK 
PALESTIN – ISRAEL

KONFLIK yang berlaku itu paling hebat sejak 15 Mei 1948 apabila tarikh itu dipilih sebagai tarikh rasmi penubuhan negara haram Israel yang kuat didokong oleh sekutu rapatnya iaitu AS.

Sebelum itu, British yang diketuai oleh General Allenby telah terlebih dahulu menguasai Palestin iaitu pada 1917 apabila mereka berjaya mengalahkan tentera Uthmaniyyah di Turki di sana.

Perjanjian Balfour yang didalangi oleh British pada 2 November 1917 juga menjadi antara sebab penjajahan era moden Palestin yang mana ia tidak memihak kepada rakyat Palestin.

HOLOCAUST

KETIKA era Perang Dunia Kedua sekitar tahun 1941 hingga 1945 tentera Nazi di bawah pimpinan Adolf Hitler telah membunuh lebih enam juta bangsa Yahudi antaranya dari Poland dan Rusia.

Pembunuhan kejam secara beramai-ramai itu dilakukan ketika tentera-tentera Nazi menguasai wilayah-wilayah di Eropah termasuk di kem tahanan Yahudi terkenal Auschwitz di Poland.

PENAKLUKAN

PALESTIN kekal di bawah kerajaan Rom sehinggalah zaman Nabi Muhammad SAW yang menubuhkan empayar Islam dan ketika zaman kegemilangan itu iaitu pada tahun 632 Masihi Palestin dikuasai.

Sejak itu, pihak Kristian juga berusaha untuk menakluki semula Palestin apabila Pope Alexander II memulakan kempen Perang Salib dan akhirnya berjaya merampasnya pada tahun 1099 Masihi.

Namun, penaklukan itu terus bertukar tangan apabila pada 1291 kubu terakhir tentera salib berjaya dimusnahkan dan Palestin berjaya dibebaskan sepenuhnya oleh Salahuddin Al Ayubi sehingga ke zaman empayar Uthmaniyyah.

Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Istanbul, Turki tidak bertahan lama iaitu pada tahun 1922 mula menyaksikan zaman kejatuhan pemerintahan sistem khalifah itu. Pada 3 Mac 1924 khalifah terakhir empayar itu, Khalifah Abdul Mejid II secara rasminya ditamatkan pemerintahannya dan bermulalah era Mustafa Kamal Attartuk yang memulakan sistem sekular.

JANJI TRUMP

KEPUTUSAN Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan keputusan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel pada 6 Disember lalu mencetuskan kemarahan dunia.

Ternyata 57 negara anggota OIC telah menentang sokongan Trump itu dalam Sidang Kemuncak OIC di Istanbul, Turki minggu ini dan memutuskan ia tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.

Malah, Kesatuan Eropah (EU) sebelum itu juga menolak keputusan Trump itu, selain Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan turut menyatakan pendirian yang sama.

Pengiktirafan yang dibuat oleh Trump itu memang tidak mengejutkan kerana ia salah satu cara beliau mengotakan janjinya sewaktu berkempen dalam pilihan raya Presiden AS yang ke-45 lalu.

PEMBABITAN AS

AS selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua memainkan peranan penting dalam penubuhan negara Israel, sekali gus mempengaruhi PBB dalam mengiktiraf negara Zionis itu.

Ia ekoran tindakan Presiden AS ketika itu, Harry Truman yang telah mengiktiraf Israel sebuah negara dalam satu persidangan di PBB pada 16 May 1948 sehingga tertubuhnya kerajaan Zionis.

Selepas itu, Chaim Weizmann yang menjadi Perdana Menteri Israel pertama telah mewujudkan penempatan-penempatan haram Yahudi dengan merampas tanah-tanah rakyat Palestin.

 

 

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Saidina Jaafar tak buka puasa ketika gugur syahid

Posted by epondok di Disember 27, 2017

Oleh Mohd Faiz Othman

 

SAIDINA Jaafar bin Abi Talib bersama isterinya, tinggal di bawah perlindungan Raja Najjasyi selama hampir sepuluh tahun. Hidup dalam keadaan aman, damai dan tenteram.

Beliau dan isteri akhirnya dapat merasakan kelazatan beribadah selepas tidak mengecapinya ketika di Mekah kerana gangguan oleh kaum kafir Quraisy.

Menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany meneruskan kisah mengenai Saidina Jaafar bin Abi Talib.

Pada tahun ke-7 Hijrah, Jaafar bersama kumpulan kaum Muslimin meninggalkan Habsyah lalu berhijrah ke kota Madinah.

Ketika mereka tiba di kota Madinah, saat itu Baginda Rasulullah SAW baru pulang dari Peperangan Khaibar sesudah berjaya menguasai Khaibar dan keseluruhannya.

Kegembiraan mengenai ketibaan Saidina Jaafar di kota Madinah itu bukan sahaja dirasai oleh Baginda SAW, bahkan seluruh kaum Muslimin turut merasai kegembiraan tersebut.

Saidina Jaafar adalah orang yang sangat prihatin kepada orang miskin sehinggakan beliau diberi gelaran dengan panggilan ‘Abu al-Masakin’ iaitu bapa kepada orang miskin.

Abu Hurairah mengatakan bahawa: “Orang yang sangat baik kepada kami ialah Jaafar bin Abi Talib. Beliau pernah mengajak kami ke rumahnya dan memberikan makan minum kepada kami sehingga habis makanan yang dihidangkan dan beliau sanggup mengeluarkan bekas kecil yang berisi manisan di situ dan kami menikmatinya bersama-sama.”

Kegembiraan itu tidak berlanjutan lama. Selepas setahun lebih Saidina Jaafar berada di Madinah dan pada Jamadilawal tahun ke-8 Hijrah, Baginda SAW menggerakkan satu angkatan untuk menentang kerajaan Rom di negara Syam.

Baginda SAW mempersiapkan satu angkatan yang disertai oleh Saidina Jaafar. Kejadian itu berlaku apabila Rasulullah SAW mengutuskan Harith bin Umair sebagai utusan untuk menyampaikan surat kepada Kaisar, Maharaja Rom.

Tetapi ketika Harith tiba di Mu’tah, Jordan, beliau disekat oleh ketua kabilah di sana yang akhirnya beliau dibunuh. Ia adalah satu tamparan hebat buat Baginda SAW dalam urusan dakwah kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah, seorang utusan dibunuh.

Bahkan di dalam undang-undang pada ketika itu juga, seluruh bangsa mengetahui bahawa utusan tidak boleh dibunuh.

Apabila Harith bin Umair dibunuh, Baginda menggerakkan sejumlah 3,000 angkatan perajurit perang dan melantik tiga ketua untuk memimpin angkatan itu.

Saidina Jaafar dipilih bawa panji

Panji peperangan itu diberikan kepada Zaid bin Harithah dan

Baginda berpesan: “Sekiranya Zaid gugur syahid, maka yang akan mengetuai kumpulan tersebut ialah Jaafar bin Abi Talib.

Sekiranya Jaafar juga terbunuh, maka ketika itu yang akan menjadi ketua kepada seluruh angkatan kaum Muslimin ialah Abdullah bin Rawahah. Sekiranya Abdullah juga gugur, maka ketika itu hendaklah kaum Muslimin melantik seorang amir dalam kalangan mereka yang mereka rasakan mampu untuk memimpin mereka.”

Tatkala angkatan Muslimin ini tiba di Mu’tah, mereka dapati orang Rom membuat persiapan lebih awal untuk menghadapi mereka. Ketika itu, berkumpul 100,000 angkatan tentera Rom dan mereka bergabung pula dengan 100,000 pasukan Arab yang beragama Nasrani.

Melihatkan itu, sahabat kemudian berbincang sama ada perlukah mereka menghantar utusan kepada Baginda Nabi SAW mengenai jumlah angkatan musuh.

Kemudian Abdullah bin Rawahah lantas berkata: “Tidakkah kita ini berperang untuk agama ini. Kita bukan berperang kerana jumlah kita yang ramai. Kita juga tidak berperang kerana cukup kelengkapan. Sebaliknya kita berperang untuk agama ini dan kita dijanjikan Allah dengan dua kemenangan, sama ada kemenangan di dalam medan peperangan atau kemenangan dengan mati syahid.”

Api peperangan mula marak menyala. Zaid bin Harithah mula meluru ke arah angkatan musuh dengan gagah berani sambil mengikat erat panji peperangan yang ada pada dirinya. Angkatan musuh memerhatikan ke arah orang yang membawa panji peperangan tersebut.

Mereka menyerang Zaid bertalu-talu dan akhirnya Zaid bin Harithah, anak angkat Rasulullah jatuh dan gugur ke bumi.

Tatkala Saidina Jaafar melihat Zaid dan panji peperangan jatuh, Jaafar terjun daripada haiwan tunggangannya dan terus meluru ke arah Zaid dan mengambil panji peperangan tersebut lalu ditegakkan semula.

Tangan ditetak hingga putus

Kemudian, beliau pula mula mempertahankan panji peperangan tersebut daripada angkatan musuh. Namun dalam masa yang singkat saat beliau bergelut dengan musuh, beliau juga dikepung angkatan musuh dan pada saat itulah angkatan musuh menetak tangan kanannya sehingga putus.

Sebelum panji tersebut jatuh ke bumi, beliau mengambil panji itu dengan tangan kirinya. Mereka kemudian menetak tangan kirinya lalu putus maka diapit dengan kedua lengannya.

Saidina Jaafar ditikam hingga mati

Kemudian mereka menetak bahunya sehingga tercabut dan pada ketika itu, mereka menyerbu dan menikam beliau dengan banyak yang akhirnya beliau jatuh tersungkur.

Panji peperangan itu sebelum jatuh ke bumi disambar pula oleh Saidina Abdullah bin Rawahah. Beliau juga tidak mampu bertahan lama kerana diserang oleh angkatan musuh dan saat beliau rebah, maka panji itu diserahkan oleh Saidina Khalid bin Al-Walid.

Khalid sangat pintar dalam strategi peperangan mula mengawal peperangan tersebut dengan baik. Akhirnya dengan strategi perang yang disusun oleh Khalid bin Al-Walid, maka beliau berjaya menyelamatkan tentera Muslimin daripada terkorban semuanya. Hanya 12 orang sahaja yang gugur syahid di medan Mu’tah ini.

Saidina Jaafar, saat gugur di medan peperangan beliau sedang berpuasa. Saat dibawa air kepadanya agar beliau dapat minum selepas luka teruk dan cedera parah, beliau tetap tidak mahu membatalkan puasanya.

Beliau kemudian berkata: “Aku sedia untuk menunggu minuman-minuman syurga.” Berita kematian ketiga-tiga pemegang panji itu sampai kepada Rasulullah SAW. Berjurai air mata Baginda mendengarkan berita tersebut. Selepas itu, Baginda mendongak ke langit sambil tersenyum dan mengungkapkan: “Ketiga-tiga mereka telahpun dibawa ke syurga.”

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Zionis tetap akan kalah

Posted by epondok di Disember 26, 2017

Hashnan Abdullah

 

BENARKAH pengisytiharan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa Baitulmuqaddis dijadikan sebagai ibu negara baru Israel pada 6 Disember lalu adalah satu kemenangan besar kepada negara haram itu?

Atau kemenangan itu dilihat daripada lahirnya bantahan besar-besaran dalam kalangan umat Islam tidak hanya di Palestin tetapi seluruh pelosok dunia terhadap pengiktirafan tersebut?

Namun bagi seorang ulama Palestin, Dr. Murweh Mousa Naser Nassar menyifatkan pengumuman tersebut bukanlah satu kemenangan mutlak kepada negara haram Israel untuk menjajah bumi Palestin.

Sementara bantahan umat Islam mempertahan bumi Palestin adalah selaras dengan tuntutan Islam dan juga hak politik kepada penduduk Palestin.

“Sejarah membuktikan usaha penjajahan yang dimulakan selepas tamatnya Perang Dunia Kedua sehingga kini, tiada satu pun yang boleh dikatakan sebagai berjaya.

“Ini kerana, mereka tidak mempunyai alasan kukuh sama ada berasaskan agama mahu pun aspek politik untuk mengambil alih bumi Palestin daripada rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Hi Tea Amal: RM1 juta untuk Aqsa anjuran Aman Palestin di Bangi, Selangor, baru-baru ini. Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut.

Majlis itu diadakan sempena kempen untuk mengumpul dana RM1 juta bagi mengimarah dan mempertahan Masjid Al-Aqsa serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Palestin.

Mengulas lanjut, Pengerusi Jawatankuasa Bahagian Baitulmuqaddis, Kesatuan Ulama Sedunia itu memberitahu, usaha rejim Zionis tersebut hanya berasaskan kisah dongeng yang mungkin dikutip daripada cerita nenek moyang mereka dahulu.

Berlainan dengan Islam, Murweh Mousa menambah, hak bumi Palestin itu jelas dinyatakan sama ada dalam al-Quran mahu pun hadis Rasulullah SAW.

“Mereka cuba kaitkan kisah dongeng itu dengan agama mereka tetapi malangnya, sehingga kini usaha menjajah bumi Palestin tidak pernah berjaya.

“Banyak usaha yang terbukti gagal dan antaranya, pembinaan beratus-ratus terowong di bawah Masjid Al-Aqsa, menukar nama jalan kepada nama Yahudi, buat huru hara dalam masjid dan menutup masjid kepada umat Islam,” katanya.

Justeru, Murweh Mousa menyeru umat Islam seluruh dunia agar tidak berhenti menyalurkan pelbagai bantuan dan sokongan kepada penduduk Palestin agar usaha mempertahan Masjid Al-Aqsa terus subur sampai bila-bila.

“Tidak perlu gusar dengan pengumuman Trump itu kerana ia hanyalah satu retorik politik.

“Penduduk Islam Palestin perlukan bantuan dan sokongan untuk memastikan perjuangan mereka berterusan,” katanya.

Sementara itu, Awang Suffian memberitahu, kempen RM1 juta untuk Al-Aqsa tersebut bertujuan memastikan usaha golongan sukarelawan (murabitun) Palestin mengimarah dan mempertahan Masjid Al-Aqsa tidak terbantut.

Beliau berkata, ia amat perlu memandangkan golongan sukarelawan tersebut tidak mempunyai sumber pendapatan tetap, selain bagi menampung kerja-kerja baik pulih Masjid Al-Aqsa dan membiayai cukai-cukai tinggi yang dikenakan oleh penindas Zionis.

Antara program dilaksanakan adalah mengadakan kelas-kelas pengajian agama, membawa masuk penduduk Palestin yang warganegara Israel, menanamkan semangat cintakan Masjid Al-Aqsa dalam kalangan generasi muda Palestin dan menghalang golongan Yahudi membuat huru hara di pekarangan masjid berkenaan.

“Dalam pada itu, kami tidak meletakkan sebarang tarikh tutup kepada kempen berkenaan kerana isu Masjid Al-Aqsa bukan sekadar bermusim tetapi ia perlu diteruskan sehingga bebasnya bumi tersebut daripada penjajahan Zionis.

“Mungkin kejayaan itu tidak muncul pada hari ini tetapi siapa tahu, ia mungkin diraikan pada masa-masa akan datang.

“Jadi, perjuangan tersebut perlu diteruskan,” katanya.

Info ringkas:

Masjid Al-Aqsa yang terletak di Kota Lama, Baitulmuqaddis diduduki secara haram oleh Israel melalui penaklukan pada tahun 1967. Tahun ini, Zionis meraikan 50 tahun pendudukan Baltulmuqaddis.

Masjid Al-Aqsa atau Al-Quds menempatkan empat masjid iaitu al-Aqsa, al-Sakra, Masjid Buraq dan Masjid Malik Marwan.

Masjid al-Aqsa itu menjadi tempat ketiga paling suci umat Islam selepas Mekah dan Madinah.

Ia merujuk pada peristiwa Israk Mikraj iaitu Rasulullah SAW berisrak dari Mekah ke al-Aqsa sebelum bermikraj dari al-Sakra ke Sidatul Muntaha.

 

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Mengapa perlu pertahan Baitul Maqdis?

Posted by epondok di Disember 25, 2017

GEMPAR satu dunia apabila Presiden Amerika, Donald Trump mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel. Bukan sahaja di Malaysia, malah jutaan penduduk dunia termasuk bukan Islam turut mengangkat sepanduk bagi membantah keputusan jahat itu.

Walaupun lantang menentang dan mengecam tindakan itu, namun hakikatnya masih ramai yang kurang memahami mengapa kota ibu negara Palestin itu perlu dipertahan dengan bersungguh-sungguh?

Baitul Maqdis adalah satu daripada tiga tempat suci buat umat Islam. Ia juga dikenali dengan gelaran al-Quds As-Sharif (tempat yang suci). Untuk memahami kesucian bandar ini, maka seseorang itu perlu memahami terlebih dahulu tiga prinsip asas yang menjadi struktur iman dalam Islam iaitu:

1Percaya bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah (Tauhid).

2Percaya bahawa petunjuk Ilahi disampaikan menerusi rasul-rasul dan para nabi-Nya yang terpilih.

3Percaya bahawa wujudnya kehidupan selepas mati (akhirat), hari pembalasan, syurga dan neraka.

Dalam isu mempertahan Baitulmuqaddis, prinsip kedua mempunyai hubungan langsung dengan kecintaan dan komitmen kita terhadapnya.

Perlu diketahui bahawa kesucian bandar ini menurut Islam adalah pada realiti sejarah keagamaannya. Bandar ini menjadi saksi kepada kehidupan dan kerja-kerja para nabi serta utusan Allah SWT. Di situ jugalah mereka menerima wahyu Allah secara berulang-ulang.

Jika Mekah dan Madinah adalah bandar yang diberkati dalam Islam kerana kaitannya dengan Nabi Ibrahim a.s., Nabi Ismail a.s dan Nabi Muhammad SAW, begitu juga dengan Baitul Maqdis. Lebih penting lagi, perkaitannya dengan nabi-nabi lain seperti Nabi Daud a.s., Nabi Sulaiman a.s. dan Nabi Isa a.s.

Berdasarkan status agama dan teologi, Baitul Maqdis menduduki tempat sangat istimewa dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW. Di sinilah kiblat pertama umat Islam dan Baginda berdiri mengerjakan solat menghadap ke arahnya sebelum Kaabah di Masjidilharam.

Malahan, di sini jugalah tempat terakhir perjalanan Israk Rasulullah sebelum naik ke langit (Mikraj).

Firman Allah maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidilharam ke Masjidil Al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihat kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui,” (al-Israk :1).

Selepas melalui semua peristiwa ini, Nabi Muhammad SAW kembali ke Mekah. Peristiwa yang penuh dengan tanda-tanda dan petunjuk yang menakjubkan itu sehingga ramai pemikir Islam, pengkaji mistik dan penyair membuat pelbagai tafsiran.

Bagaimanapun, satu kesimpulan yang penting ialah Baitulmuqaddis menjadi contoh kepada ketaatan dan hubungan iman setiap Muslim.

USAHA MERAMPAS BAITULMUQADDIS

Hakikatnya, tindakan dilakukan Trump itu tidak lain adalah untuk menyempurnakan hasrat Israel bagi merampas Baitulmuqaddis daripada milik umat Islam Palestin bahkan umat Islam seluruhnya.

Dalam konteks ini, tindakan tersebut dilihat sebagai sesuatu yang tidak tepat dan jelas salah dari sudut norma dan perundangan. Malah ini boleh dianggap sebagai satu bentuk rampasan serta penjajahan selain mencabuli hak-hak asasi kemanusiaan demi melebarkan kekuasaan.

Ini bertepatan dengan peringatan Allah SWT dalam Surah al-Israk ayat 4 maksudnya: “Dan Kami katakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau-lampau.”

1. Kerosakan pertama dilakukan oleh golongan ini ialah melakukan kekejaman dan kehancuran dengan mengkhianati perjanjian yang telah dibuat, bahkan sanggup membunuh para Rasul dan Nabi utusan Allah.

2. Kerosakan kedua pula terkandung dalam firman Allah maksudnya: “Kemudian Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepadamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak-pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.” (al-Israk 6)

Menurut tafsiran seorang pensyarah Universiti Jordan, Dr. Fadhal Hassan Abbas dalam kitabnya tentang al-Israk wal Mikraj bahawa kerosakan kedua ini disokong dengan empat perkara iaitu:

* Bangsa Yahudi akan mendapat sebuah negara untuk tempat tinggal (Baitulmuqaddis)

* Kedudukan ekonominya kukuh

* Keturunannya ramai

* Pasukan tenteranya ramai

PENCETUS HURU-HARA

Justeru, hari ini mereka tidak teragak-agak mengisytiharkan Baitulmuqaddis sebagai pusat pentadbiran negara haram mereka malah menuntut untuk dijadikan Pusat Pentadbiran Dunia bagi bangsa Yahudi.

Sebagai tanda protes terhadap perkara ini, semua umat Islam perlu bersatu suara dan tegas memastikan bumi Baitulmuqaddis terus terpelihara.

Kini ia bukan lagi menjadi perjuangan rakyat Palestin tetapi menjadi tanggungjawab semua umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Jika perkara ini terus berlaku, ia bakal tercetus huru hara dan ketidaktenteraman di bumi Palestin bahkan terhasil satu bentuk radikalisme dan ektremisme baharu yang lebih besar serta mengakibatkan ancaman keselamatan lebih buruk di seluruh dunia.

Sehubungan itu, bagi memastikan hasrat ini tercapai, semua umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak terbawa-bawa dengan perlakuan mazmumah (sifat keji) sehingga mendatangkan kemudaratan kepada pihak lain.

Umat Islam juga perlu tegas dan berpegang kepada satu gagasan yang mempunyai dasar jelas, strategi tuntas yang akan membawa Malaysia ke arah lebih dinamik, maju serta berdaya saing berpaksikan prinsip maqasid syariah di samping melaksanakan pendekatan wasatiyah.

Baitulmuqaddis mempunyai hubungan 
langsung dengan kecintaan, komitmen umat Islam terhadapnya

Baitulmuqaddis menjadi satu 
contoh kepada ketaatan, hubungan iman setiap 
Muslim

Tindakan menceroboh bumi Baitulmuqaddis merupakan suatu bentuk rampasan serta jajahan yang mencabul hak kemanusiaan

Sumber JAKIM

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Kem Kitab 2018 untuk Lepasan SPM/STAM/STPM/IPT & Dewasa Lelaki

Posted by epondok di Disember 24, 2017

Istimewa untuk lepasan SPM/STAM/STPM/IPT

Tarikh : 6-20 Januari 2018

Tarikh tutup pendaftaran bila peserta telah mencukupi had iaitu 50 orang.

Tempah dan sahkan pendaftaran melalui telefon wtsap/ sms

 

 

 

Syarat & Yuran Penyertaan

  • Pelajar atau dewasa lelaki berumur 16 tahun ke atas (terhad 50 orang sahaja)
  • RM 250 sahaja (meliputi bahan kursus, penginapan dan makan minum)

Tarikh & Masa Daftar Diri

6 Januari 2018 (Sabtu) jam 2.30 – 4.00 petang

Tempat Program

Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumboh,

16150, Kota Bharu, Kelantan

Pengisian

  • Pengajian kitab pilihan (Siraj al-Mubtadin)
  • Risalah Masbuk & Muafiq Dalam Solat
  • Penawar Bagi Hati
  • Kitab Adab dalam belajar
  • Tazkirah dan ceramah motivasi
  • Kursus jenazah lengkap
  • Wirid dan zikir pilihan serta qiamullail
  • Hafalan surah-surah pilihan
  • Tadarrus al-Quran
  • Latihan amali fardhu ‘Ain
Keperluan Yang perlu dibawa

Kelengkapan daftar : Fotostat kad pengenalan atau surat beranak, Gambar ukuran passpor 1 keping

Pakaian harian  & pakaian solat (diwajibkan bawa jubah dan serban), banyakkan kain dan baju Melayu atau kemeja tangan panjang, bantal , selimut, cadar dan alat tulis

Sila hubungi :

019- 9388902(Ust. Shairazi ) / 014-5481907 (Paklong)

facebook : halaqah ilmu PPT

Blog : albakriah.wordpress.com

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »