Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Perkukuh iman anak sejak awal usia

Posted by epondok di November 15, 2017


Oleh Fairuz Noordin

 

Dunia menjadi medan ujian khususnya bagi generasi muda dan baharu pada masa kini. Justeru, pengukuhan keimanan perlu bermula dari kecil lagi supaya tidak terpengaruh dengan pemikiran yang merosakkan seperti liberal dan sekular. Ikuti penjelasan lanjut Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani mengenai penghayatan agama yang perlu diterapkan kepada anak-anak menerusi slot Mau’izati di IKIMfm.

Allah SWT menjadikan dunia ini sebagai medan ujian di sepanjang kehidupan manusia bermula usia mereka mencapai akil baligh. Islam menuntut manusia mengukuhkan keimanan kepada Allah SWT di setiap jiwa anak dan tidak membiarkan mereka hidup menyimpang daripada agama.

Oleh itu, sandarkan segala tindakan dan urusan kepada al-Quran dan hadis terutama untuk mengukuhkan keimanan anak seperti sabda Rasulullah SAW supaya diperkenalkan kalimah syahadah kepada anak supaya kalimah tauhid menjadi perkara pertama didengari bayi yang dilahirkan ke dunia. Apabila anak sudah mampu berfikir, kenalkan mereka hukum halal dan haram.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda: “Bekerjalah kamu dengan taat kepada Allah dan jauhilah hidup kamu daripada melakukan maksiat kepada Allah. Hendaklah kamu mengajar anakmu sejak kecil untuk mentaati perintah Allah, larang mereka daripada melihat perkara yang tidak baik. Apabila kamu melakukan sedemikian, kamu sedang menjaga diri kamu dan dirinya daripada dihumban ke dalam neraka.”

Selain itu, apabila umurnya mencecah tujuh tahun ajak mereka beribadat kepada Allah SWT, iaitu mengajar untuk solat, mengenali aurat lelaki dan perempuan yang berbeza antara satu sama lain.

Sentiasa dalam ketaatan

Begitu juga dibenarkan untuk memukul dengan tujuan untuk mendidik jika meninggalkan solat apabila usianya mencapai 10 tahun, selain mengasingkan tempat tidur mereka dan membiasakan diri untuk berpuasa serta mengerjakan haji apabila berkemampuan.

Mendidik anak mengenali agama adalah hak mereka yang perlu dipenuhi oleh kedua ibu bapa supaya sentiasa berada dalam ketaatan kepada Allah SWT. Malah untuk mengukuhkan keimanan anak yang sedang membesar, didiklah mereka mencintai Rasulullah SAW dan keluarga Baginda.

Daripada Saidina Ali Abi Talib, Rasulullah SAW bersabda: “Didiklah anak kamu pada tiga bahagian utama. Pertama, didiklah dia supaya mencintai nabi kamu. Kedua, didik mereka untuk mencintai keluarga Rasulullah dan ketiga, didiklah anak kamu dengan Al-Quran.” (Riwayat at-Tabarani)

Golongan ibu juga digalakkan mendidik anak membaca al-Quran kerana suaranya yang lunak dan dapat meluangkan lebih masa bersama mereka. Malah, anak lebih mudah menerima didikan daripada ibu yang mentarbiah dengan penuh keikhlasan.

Sesungguhnya sesiapa yang hidup dengan al-Quran, individu itu akan berada di bawah naungan Arasy Allah SWT bersama nabi dan golongan manusia lain yang mendapat keuntungan besar kerana dinaungi oleh Allah SWT.

Kesilapan ibu bapa

Bagaimanapun, terdapat beberapa kesilapan dilakukan ibu bapa dalam mendidik anak, iaitu dengan menyerahkan tugas itu kepada pihak sekolah. Mereka lupa untuk memberi bimbingan agama kepada anak menyebabkan mereka jahil dan ada yang membenci ajaran agama.

Keadaan itu berleluasa ketika ini kerana ramai dalam kalangan umat Islam yang mempertikai mengenai agama setelah terpengaruh dengan ajaran yang membuatkan mereka ragu-ragu dengan Islam.

Membiarkan anak terdedah kepada bahan bacaan berbaur kesesatan adalah kesilapan yang dilakukan ibu bapa kerana tanpa sebarang kawalan ia akan merosakkan pemikiran mereka.

Melalui penulisan, banyak pihak akan mempergunakan anak ini untuk membesar dengan pegangan akidah yang lemah malah memandang rendah kepada sejarah perkembangan agama Islam dan akhirnya menjadi musuh yang menentang prinsip beragama dan berpaling daripada ajaran Islam yang hakiki.

Ini termasuklah bahan penulisan oleh golongan liberal dan sekular serta mereka yang terpengaruh kepada fahaman sedemikian, akhirnya merosakkan pemikiran anak golongan mukmin yang jauh daripada didikan guru alim serta soleh.

Kawal tindakan, jiwa

Kebebasan bergaul tanpa batasan juga akan merosakkan anak tanpa mengira peringkat usia kerana pada usia yang masih muda ada yang sudah terjebak melakukan pelbagai jenayah. Semua itu berpunca daripada ibu bapa yang gagal mengawal perlakuan anak mereka.

Pada malam hari, waktu sepatutnya anak berada di rumah sebaliknya mereka masih berkeliaran, melepak dan melakukan kegiatan maksiat. Keadaan ini akan menyebabkan perkembangan anak menjadi semakin buruk pada masa akan datang dan merosakkan keimanan mereka.

Justeru, untuk mengukuhkan keimanan dalam diri anak, tanamkan rasa khusyuk, takwa dan sifat kehambaan kepada Allah SWT sejak mereka kecil lagi. Rasa khusyuk dapat dibentuk ketika mereka memberi sepenuh perhatian kepada ibadat solat.

Sentuhlah jiwa mereka dengan rasa sesalan dan kehambaan ketika membaca al-Quran dan sering mengingatkan bahawa orang mukmin berjaya bukan yang memiliki harta dan kemewahan atau kecantikan rupa paras, tetapi yang sentiasa khusyuk ketika mendirikan solatnya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: