Globalisasi yang sedang berjalan antara agendanya ialah mengembangkan fahaman liberal dan neo-libe­ralisme ke negara-negara Islam supaya tunjangan perubahan yang dibawa ialah ke arah pembebasan diri dari ikatan agama. Kebangkitan kesedaran Islam di Barat hari ini menjadikan mereka bimbang tentang kemungkinan Islam muncul sebagai orde baru dunia masa depan.

Kalau ini berlaku, sumber kekayaan yang ada dalam perut bumi negara-negara Islam akan dapat dimanfaatkan dengan baik melalui pemerkasaan ilmu mengurus diri (akidah, ibadah, syariah dan akhlak) sekali gus memperkasa ilmu mengurus sistem sains dan teknologi.

Pendekatan integratif dalam proses pengilmuan dan pendidikan ini amat dituntut supaya corak modal insan yang bakal dilahirkan mampu menjadikan landasan syariah sebagai rujukan utama. Ia nanti diharapkan menjadi pedoman terbaik kerana tidak saja aspek akal dikembangkan tetapi aspek etika juga dijadikan pedoman.

Memahami hak asasi yang Islami atas asas maqasid syariah (maksud hukum syarak) mempunyai enam usul yang dinamakan Usul as Sittah. Pertama, pentingnya hak asasi yang dikembangkan atas maksud memelihara agama. Kedua, mustahaknya dijaga kepentingan nyawa manusia yang melibatkan hukum dan perundangan.

Ketiga, pentingnya dipelihara akal supaya akal menjadi sihat dan tangkas. Keempat, perlunya menjaga harta kerana ia adalah kurniaan Allah yang amat berharga. Kelima harus dipelihara keturunan supaya sistem keluarga terurus dengan baik dan memberi manfaat kepada umat manusia. Dan keenam tuntutan menjaga maruah supaya jati diri manusiawi tidak pupus dan hilang.

Ibadah tidak saja dikembangkan dengan khusus ­seperti solat, siyam dan zakat untuk membangunkan kualiti rohaniah diri insan tetapi juga membangun keupayaan akal dan kemahiran yang dipandu oleh nilai-nilai Rabbaniah yang tinggi. Ini tidak sahaja menjadikan Islam sebagai suatu sistem kepercayaan tetapi juga sebagai suatu cara hidup.

Maksud memelihara nyawa ialah supaya sistem kehidupan manusia diatur atas rasa menghormati nyawa yang dikurniakan Allah supaya manusia jangan melampaui batas sehingga berlaku kecederaan dan pembunuhan. Jalur syariah memberi peraturan bagaimana ia dapat diatasi sejalan dengan tuntutan kemanusiaan.

Maksud memelihara akal ialah supaya akal itu diberikan ilmu yang benar. Ilmu yang benar apabila diserapkan ke dalam hati bakal membangun suatu peribadi. Peribadi yang berilmu akan mengambil pertimbangan waras dan bijaksana dalam pemikiran dan juga amalan.

Maksud memelihara harta ialah kerana ia adalah sumber rahmah dan nikmah dari Allah. Ia patut diuruskan dalam batas syarak supaya kecenderungan eksploitasi tidak berlaku dan manfaat harta apabila diurus mengikut pedoman syarak akan membawa kesejahteraan.

Maksud memelihara keturunan ialah faktor syarak yang sangat mengambil pertimbangan tentang pen­tingnya keturunan dijaga supaya hubungan sesama manusia berjalan baik, tidak berlaku kemungkaran yang menyebabkan perkembangan keturunan menjadi rosak.

Maksud al-Quran supaya jangan mendekati zina adalah unjuran terbaik supaya memelihara keturunan. Ba­yangkan akibat zina lahir anak yang tidak sah dan akan menimbulkan fitnah dalam masyarakat.

Kekuatan Islam ditunjangi tidak saja dengan kekuatan rohaniah yang tinggi tetapi terpancar dalam watak amaliah yang memberi contoh kepada orang lain (Illallazi na’amanu wa’amilussalihat -Al Asr).

Sekiranya enam teras ini menjadi amalan umat Islam ia akan memberi makna murni tentang hak asasi yang Islami. Ia amat selari dengan fitrah insan yang ingin menjadikan faktor manusiawi cerminan hidup, bukan kualiti haiwani yang menjadi amalan sebahagian manusia.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA