Soalan itu dibangkitkan apabila kanak-kanak itu melihat dua kilang arak yang tersergam indah di dua tempat berasingan semasa dalam perjalanan ke Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Lantas penulis terimbau kepada beberapa polemik sebelum ini yang boleh dianggap sebagai ‘bola tanggung’ kepada kumpulan kononnya bekas bijak pandai yang telah bersara dan beberapa kumpulan liberal Melayu Islam apabila terlihat kelemahan berkaitan institusi Islam.

Mereka amat cekap melakukan pukulan smash dan lantang bersuara mengherdik serta mengecam – ada sikit masalah di sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat, agensi agama – terus segera diminta tutup, kononnya institusi terbabit menjadi pusat percambahan pelampau agama, kolot, melanggar hak asasi dan sebagainya.

Tetapi malangnya, apabila berlakunya kes-kes tertentu seperti buli di sekolah dan pusat pengajian tinggi ‘bukan berunsurkan Islam’, tidak pula segera diminta agar ditutup!

Boleh mengkritik tetapi biarlah membina kerana sesiapa sahaja di dunia ini bukannya sempurna. Tegur dengan bijaksana dan profesional, tidak secara emosional serta berpilih-pilih.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga membisu apabila berlaku kemalangan meragut banyak nyawa disebabkan oleh pemandu mabuk, kapal terbang terpaksa berpatah balik kerana penumpang mabuk. Sepatutnya didesak agar kerajaan mengharamkan arak, sekali gus menutup dua kilang pembekalnya itu.

Tindakan ini jika dibuat amatlah wajar kerana ia patuh syariah, malah semua agama yang mempunyai kitab petunjuk juga mengharamkan arak. Maqasid pengharamannya adalah bagi mewujudkan sempadan pemeliharaan kemuliaan akal dan kesihatan tubuh badan.

Mungkin mereka atau sesiapa tahu mengenai hujah tentang kebaikan arak? Sila kongsikan untuk manfaat bersama!. Mengharamkan minum arak tidak bercanggah dengan agama-agama besar dunia. Ia hanya bercanggah dengan nafsu manusia atas nama hak kebebasan asasi untuk memilih.

Berbalik kepada dua kilang arak itu, ia sebenarnya mempunyai sedikit nostalgia bagi penulis. Dahulu semasa berada di bangku sekolah, ia antara modal utama umpan politik beberapa pihak. Jika kami dapat ‘tampuk’ kedua-duanya akan ditutup, namun selepas dapat apa yang diinginkan, ia menjadi senyap sunyi! Apa yang menjadi lawak, pihak yang terpaksa melepaskan tampuk itu pula menyindir pihak terkemudian kenapa tidak menutupnya?

Isu kilang arak sebenarnya bukan isu picisan yang tidak harus dipolitikkan atau disandiwarakan. Ia adalah isu besar berkait dengan sesiapa sahaja yang telah melafazkan dua kalimah syahadah.

Mari kita renungkan hadis Rasulullah SAW ini: “Sepuluh orang yang dilaknat Allah mempunyai hubung kait de­ngan arak; pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, pengirimnya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayarnya dan pemesannya.” – (Riwayat Ibnu Majah, Jilid 4, hadis nombor 3380, 3381 dan Riwayat Tirmizi, Jilid 2, hadis nombor 1312).

Sebelum itu, pada 2009, Sekretariat Pertubuhan Antarabangsa Kawalan Produk Malaysia, David Ong Chan Hor memaklumkan bahawa berdasarkan laporan Majlis Keselamatan Jalan Raya, pengambilan minuman beralkohol atau arak dikenal pasti punca kepada 30 peratus kemalangan jalan raya di Malaysia. Memang diakui ­kedua-dua statistik itu sudah lama, tetapi adakah ia semakin berkurangan pada masa ini?

Sudah tiba masanya untuk melakukan sesuatu. Jangan hanya fikirkan keuntungan cukai atas dunia, jaga sentimen perasaan orang lain. Renungkan bagaimana pula dengan kemurkaan Allah, Pemilik mutlak alam semesta ini!