Ilmu tidak sama dengan maklumat, fakta dan data semata-mata. Ilmu dalam erti kata sebenarnya terolah dengan ilmu wahyu yang sumbernya dari Allah SWT. Rahsia Allah di muka bumi adalah suatu fenomena yang memang dikaji manusia. Dalam tradisi tamadun Islam al-Quran memberikan pedoman memahami tentang alam, kejadian dan kehidupan dan mencetuskan kajian saintifik. Pertemuan akli-naqli ini menghasilkan ilmu yang sebenar dan bermakna kepada manusia.

Tanpa suluh, manusia bakal kehilangan arah dan akan berada dalam kegelapan untuk mencari jawapan tanpa pedoman. Oleh itu, ilmu dikaitkan dengan makna kerana ilmu yang benar dan bermanfaat memberi makna kepada diri dan kehidupan. Tanpa makna terhubung dengan ilmu, ia tidak lebih sekadar data dan fakta yang memerlukan sentuhan dan olahan.

Hari ini manusia sedang mencari suluh yang seperti ini bagi membimbing mereka ke jalan yang benar. Jalan yang benar adalah jalan yang menjadikan ilmu sebagai sesuatu yang bernilai dalam hidup. Ilmu mengenai alam umpama­nya amat penting kepada manusia kerana memahami alam, pencipta dan hikmahnya kepada manusia menyebabkan manusia taqarrub ilallah (hampir dengan Allah).

Mendekatkan diri dengan Allah akan menjadikan sumber ilmu dari-Nya bermakna dan memberi manfaat. Ilmu tentang cakerawala umpamanya seperti yang terungkap dalam al-Quran menjadi sumber petunjuk kepada manusia memahami perjalanan alam dan ketertiban aturan yang Allah telah ciptakan.

Hal ini penting kerana ilmu tanpa sumber yang sahih dari Pencipta tidak mampu memberikan kita jawapan me­ngenai yang zahir dan batin. Ilmu dari Allah adalah suluh yang memimpin jalan berfikir dan cara bertindak manusia supaya ada rasa ketundukan yang tinggi terhadap-Nya.

Oleh itu, mengembalikan diri kepada mencari ilmu yang benar dan bermanfaat adalah amat dituntut. Kalau ini tidak terjadi manusia akan kehilangan arah dan pedoman dalam memahami erti kebenaran dan makna kehidupan. Tidak salah mendapatkan ilmu yang pelbagai dari sumber-sumber yang sahih asal sahaja ilmu berkaitan memberi suluh kepada kebenaran yang hakiki.

Sekian lama manusia mencari akan pedoman ini. Dengan pemikiran dan rasional semata-mata tidak mem­bolehkan seseorang mendapat jawapan akan hal-hal yang nyata dan ghaib. Justeru, amat penting mendekati faktor ghaibiyah dan zahiriah dalam sumber ilmu datangnya dari Pencipta. Tanpa sumber yang benar dari Pencipta manusia akan mencari hal-hal di luar fitrah.

Mengembalikan diri kepada fitrah insani iaitu merujuk sumber dari Allah dan pemikiran bermanfaat dari manusia supaya ia memberi makna yang amat tersendiri mengenai hakikat kebenaran. Manusia dan alam adalah diciptakan dan tidak terjadi dengan sendiri. Manusia hanya mampu mereka atau menggubah dari hal-hal sedia ada kepada sesuatu yang lebih kreatif. Jalan kebenaran kepada manusia adalah ilmu yang menjadi suluh dan memberi makna.

Inilah asas penting yang seharusnya mampu merintis jalan kepada manusia bagi mendapatkan ilmu yang benar. Tidak salah kita melakukan penerokaan kajian dan penelitian terhadap fenomena di sekeliling kita. Tetapi kalau ­kajian itu dikaitkan dengan maksud sebenar kegunaan ilmu dan manfaat untuk manusia yang adalah suatu kecende­rungan yang sihat. Manusia hari ini cenderung melakukan salahguna dalam ilmu menyebabkan ilmu tidak menjadi suluh dan petunjuk.

Pencerahan inilah yang sedang dicari oleh manusia kini. Justeru amat mustahak ilmu yang benar dan bermanfaat menjadi suluh pemikiran dan jalan hidup kita. Ilmu teknologi siber terkini boleh memberi manfaat kepada manusia atau sebaliknya melainkan manusia memiliki tata nilai yang betul dalam perekaan, pengubahan dan aplikasi.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA