Nas al-Quran terkandung pedoman dan petunjuk yang syarie sifatnya supaya perintah daripada Allah dipatuhi dan sunnah Rasullullah SAW diteladani. Ia tidak saja terkan­dung dalam hukum-hakam yang mempedoman, peraturan boleh dan tidak boleh yang wajar dipatuhi, amalan yang makruf dan mengelakkan amalan yang mungkar supaya ketertiban terjadi dan manfaatnya tidak saja kepada pengamalnya juga kepada orang lain.

Hari ini simpang-siuran dalam mengambil pedoman hukum berlaku kerana manusia tidak menjadikan syariah sebagai landasan penting terbinanya jalur hidup seperti yang dituntut oleh Islam. Manusia cenderung menggunakan peraturan sendiri yang sifatnya berubah-ubah atau nisbi (relatif). Rasional atau akal fikir dijadikan sumber rujukan mutlak sedangkan faktor syariah tidak menolak pertimbangan akal yang tidak bercanggah.

Allah yang Maha Perkasa mengatur perjalanan alam dengan sunnatullah atau ketentuan daripada-Nya. Ter­nyata tidak wujud konflik yang menghasilkan bencana melainkan dengan takdir-Nya. Manusia tidak mampu mengurus alam dan kekerdilan kudrat manusia menyebabkan manusia terus bergantung kepada-Nya.

Hubungan menegak dengan Allah (hablumminallah) menjadikan al-Quran sumber yang terbaik dijadikan rujukan dan pedoman dalam binaan hukum-hakam supaya faktor syarie daripada Allah menjadi prinsip utama dalam me­laksana dan menghayati hukum. Manusia yang fitrah amat memerlukan pedoman yang mutlak daripada Allah kerana manfaat darinya adalah besar.

Perkara syariah tidak sahaja terhubung dengan hal-hal yang nyata dan nampak tetapi juga terhubung dengan faktor ghaibiyyah. Syariah yang dipatuhi datangnya daripada Allah, sumbernya daripada wahyu dan terkandung maksud yang tersurat dan tersirat. Orang Islam yang beriman dan bertakwa dituntut teguh mengenai keyakinan dan kepatuhannya.

Mencuri umpamanya dilarang oleh syariat kerana ia mendatangkan akibat buruk kepada manusia. Berzina umpama­nya amat ditegah dalam Islam kerana perbuatan itu adalah terkutuk dan memberi kesan kepada zuriat dan keturunan. Mengamalkan riba adalah berlawanan dengan syariah kerana ia membenarkan eksploitasi dan penindasan berlaku.

Faktor syariat juga menjadi isu dalam ilmu, pendidikan, ekonomi, siasah, budaya dan cara hidup manusia. Pendidikan yang hanya bergantung kepada ilmu dapatan manusia semata-mata tidak mampu membentuk watak yang fitrah kerana faktor binaan insan memerlukan kekuatan dalaman yang rohaniah sifatnya.

Kegiatan jual-beli dan perdagangan boleh melibatkan riba’. Riba’ dalam erti kata yang luas merintis jalan eksploitasi dan penindasan kerana matlamat akhir dalam perniagaan ialah keuntungan yang tidak senafas dengan syariah.

Begitu juga dalam siasah ia menuntut supaya siasah syariah menjadi pedoman terbaik dalam proses syura (membuat keputusan) dan tadbir urus negara dan sistem supaya keadilan wujud dan amanah terlaksana. Faktor ini sangat penting kerana tanpa amanah dan keadilan kita akan jauh dari takwa.

Cara hidup yang tidak menjadikan faktor syariah sesuatu yang amat dituntut menyebabkan penyimpangan berlaku.

Masyarakat dan cara hidup boleh jadi rosak kerana perimbangan untuk boleh dan tidak boleh bukan dengan pertimbangan syarak tetapi menafikan pertimbangan syarak dalam menentukan salah-benar, dosa pahala akan sesuatu atau halal haram akan sesuatu.

Akhir-akhir ini kecenderungan umat Islam kembali kepada pendekatan patuh syariah, memperkasa indeks syariah, menghasilkan produk-produk syariah dalam makanan-pemakanan, adalah petanda baik kembali ke jalan yang ditertibkan dan diredai Allah.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA