Solat yang dilakukan dengan tidak mengikut tata tertib rukun dan syarat wajib solat itu bukan sahaja tidak memperoleh pahala, sebaliknya mendatangkan murka Allah.

Ini tambahnya, sebagaimana yang dikategorikan oleh ulama salaf dengan membahagikan tingkatan orang yang bersolat kepada lima bahagian iaitu:

Golongan menunaikan solat tetapi sia-sia dan tidak mendapat sebarang ganjaran pahala. Mereka ini ialah yang berdosa dengan solatnya.

“Mereka ini adalah golongan yang tidak menyempurnakan hak sebenar ditetapkan oleh syariat ketika solat. Tingkatan solat pertama ini juga adalah mereka yang melaksanakan solat kerana disuruh atau dipaksa orang lain, bukan ikhlas daripada hati mereka sendiri.

2 Tingkatan kedua pula adalah orang yang bersolat tetapi tidak mendapat pahala. Ini kerana dari awal mengangkat takbir sehingga memberi salam fikirannya hanya berkhayal. Dia tidak memahami dan tidak tahu apa-apa tentang amalan yang dilakukan.

Tingkatan ketiga adalah orang yang mendapat pahala solat, tetapi pahala yang diperoleh hanya sedikit sahaja.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Sesungguhnya seseorang yang selesai daripada solat itu ditulis baginya (pahala sekadar) satu persepuluh sembahyang, satu persembilan sembahyang, satu perlapan, satu pertujuh, satu perenam, satu perlima, satu perempat, satu pertiga, dan satu perdua (separuh),” – Riwayat Abu Daud.

*Tingkatan solat ini lebih baik daripada pertama dan kedua tetapi hanya mendapat sedikit sahaja pahala berbanding amalan dilakukan. Ini kerana mereka solat tetapi tidak fokus dengan apa yang dilafazkan dan dilakukan.

Tingkatan keempat ialah orang yang solat dan berusaha untuk fokus, tetapi kadangkala masih terkhayal. Golongan ini mendapat lebih banyak pahala dalam amalan dilakukan, namun masih belum sempurna.

Orang yang mendapat ganjaran penuh dalam solatnya. Inilah tingkatan bagi golongan nabi dan rasul, sahabat, tabi’in serta ulama. Bermula dari mengangkat takbir hinggalah memberi salam, fikiran mereka tidak memikirkan hal lain kecuali solat. Sehingga mereka tidak sedar apa yang berlaku di sekeliling mereka.

* Sebagaimana kisah seorang sahabat bernama Abbad bin Bisyir yang diriwayatkan tidak merasakan sakit walaupun terkena beberapa panahan ketika solat.

“Ketika Rasulullah dan kaum Muslimin selesai menghadapi perang Dzatur Riqa’, mereka sampai di suatu tempat dan bermalam di sana. Rasulullah memilih beberapa orang sahabat untuk berjaga-jaga secara bergilir. Antara penjaga itu adalah Ammar bin Yasir dan Abbad.

“Waktu berjaga, Abbad menyuruh temannya Ammar yang kelihatan letih untuk tidur terlebih dulu. Ketika beliau melihat keadaan sekeliling tenang, Abbad melakukan solat. Ketika membaca surah, seorang perisik musuh telah memanah pada bahagian lengannya, tetapi Abbad meneruskan solat.

“Abbad hanya menanggalkan anak panah tanpa memberhentikan solat walaupun dalam keadaan berdarah. Begitu juga panahan kedua dan ketiga sehingga tamat bacaan surah,” katanya.

Ketika Ammar terjaga daripada tidur, beliau melihat keadaan Abbad yang sedang menahan kesakitan lalu bertanya, “mengapa engkau tidak mengejutkan aku ketika kamu dipanah?”

“Lalu Abbad berkata; “Ketika aku solat tadi, aku membaca beberapa ayat al-Quran yang sangat mengharukan hati sehingga aku tidak ingin untuk memutuskannya. Demi Allah, aku tidak akan mensia-siakan tugas untuk berjaga seperti ditugaskan oleh Rasulullah. Tetapi, aku lebih suka mati daripada memutuskan bacaan ayat-ayat yang sedang aku baca itu,”

“Bukan situasi perang itu ingin kita perkatakan, tetapi teguhnya keimanan sahabat yang dapat fokus dalam solat walaupun nyawa hampir melayang. Berbanding kita, jika digigit nyamuk sudah sakit dan hilang konsentrasi,”

Tidak dinafikan sukar untuk mencapai tahap solat para sahabat tetapi umat Islam perlu berusaha untuk mencari khusyuk dalam solat iaitu dengan mengelakkan daripada memikirkan segala urusan lain.

“Telinga kita mendengar bacaan yang dilafazkan, mata pula dibuka melihat ke tempat sujud. Renungi dan fahami segala bacaan dalam solat, jika tidak faham cukup dengan menghayati sebutannya.

“Di samping itu, kita juga perlu perbanyakkan beristighfar dan bertaubat memohon keampunan daripada Allah dan sentiasa berdoa memohon agar ditingkatkan amalan solat kita agar lebih baik,”