Sebenarnya, keluarga yang benar-benar mencapai kesejahte­raan dan menikmati kebahagiaan adalah keluarga yang menunaikan prinsip-prinsip maqasid al-syariah. Dalam hal ini maqasid al-syariah secara asasnya bermaksud membuat kebaikan atau memberi manfaat, dan pada masa sama menolak keburukan serta menghilangkan mudarat.

Maqasid sebagai kata jamak maqsad, memberi maksud sebagai matlamat atau tujuan. Dalam konteks ini ia merujuk kepada ke­langsungan hidup dan kepentingan manusia yang berhubung secara langsung dengan agama, diri atau nyawa, akal, keturunan dan harta. Sesetengahnya turut meletakkan kepentingan maruah yang sudah tentu adalah munasabah untuk diterima oleh semua manusia.

Kefahaman dan penerimaan tentang maqasid dalam konteks kekeluargaan akan meletakkan satu standard bahawa keluarga stabil adalah yang dapat memelihara, mempertahankan atau menyediakan suasana kondusif terhadap kepentingan perkara-perkara tersebut.

Kepentingan nyawa boleh dilihat dari beberapa aspek termasuklah dari sudut kesihatan dan keselamatan. Contoh dari aspek keselamatan, apa sahaja bentuk rumah yang menjadi tempat berteduh untuk ahli keluarga perlulah berkeadaan selamat untuk diduduki. Selain ia membenarkan manusia untuk keluar dengan mudah apabila berlaku sebarang kecemasan.

Menjaga kepentingan akal pula contohnya adalah dengan memberi didikan baik kepada anak-anak supaya apabila mereka dewasa kelak, mereka akan menjadi seorang dewasa yang mempunyai kebernasan fikiran dan mental yang sihat.

Mental sihat sudah pasti akan memberi pengaruh positif terhadap emosi. Keadaan ini tentu­nya akan dapat membina personaliti positif, dan menjadi se­orang remaja atau dewasa yang boleh memikirkan baik buruk sesuatu perkara. Sudah tentu individu-individu sebegini dapat ­menyumbang ketenteraman dalam kehidupan bermasyarakat.

Dalam aspek keturunan pula, setiap bayi dilahirkan dalam keluarga Islam seharusnya mempunyai nasab jelas dan diiktiraf syariat. Anak itu adalah daripada benih halal dan pernikahan sah, dan bukannya anak yang lahir di luar pernikahan. Anak tidak sah taraf hakikatnya tidak perlu ada dalam mana-mana masyarakat.

Walau bagaimanapun, amat menyedihkan kelahiran anak tidak sah taraf semakin mening­kat dan seolah-olahnya tidak terbendung. Rekod Jabatan Pendaftaran Negara mendedahkan bahawa sebanyak 159,725 kelahiran anak tidak sah taraf, didaftarkan di seluruh negara bagi tempoh 2013 sehingga September 2016, dan jumlah berkenaan ha­nya membabitkan wanita Islam.

Dikatakan, kebanyakan kes kelahiran anak luar nikah berpunca daripada kecetekan pendidikan agama dan moral. Sedangkan, penekanan syariah dalam aspek ini termasuklah dengan meletakkan panduan sebagai langkah-langkah pencegahan melibatkan hukum-hakam mengenai aurat dan batas-batas pergaulan. Didikan mengenai kedua-duanya tentulah bermula dari rumah.

Sebagai pengajaran untuk kita se­mua, dalam pembentangan Kesan Kemusnahan Struktur Ke­ke­­luargaan kepada Kesihatan Men­­tal dan Sosial Masyarakat oleh Profesor Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar, menyatakan bahawa di Sweden, 55 peratus anak-anak lahir di luar ikatan perkahwinan dengan kebanyakan ibu bapa bersekedudukan.

Selanjutnya, dalam kalangan kanak-kanak yang tinggal dengan ibu atau bapa tunggal, sebanyak 50 peratus terdedah kepada masalah psikologi, mengalami ketagihan dadah atau alkohol serta terlibat dengan cubaan bunuh diri.

Fakta berkenaan juga menyatakan bahawa anak-anak yang dilahirkan tanpa ikatan perkahwinan sah adalah 75 peratus lebih terdedah untuk menyaksikan ibu bapa mereka berpisah menjelang umur mereka 15 tahun.

Hal yang demikian menunjukkan pelbagai kesan mudarat akibat sikap mengambil enteng terhadap perkara yang ditekankan oleh agama.

Maqasid al-syariah dalam ke­keluargaan perlu dimulai dengan penjagaan agama. Pasak utama­nya adalah pemupukan dan pe­meliharaan akidah yang sudah semestinya melibatkan penja­gaan solat secara serius dan teliti.

Pemeliharaan solat dapat men­cegah daripada berlakunya perbuatan keji. Sebagaimana yang dimaksudkan oleh firman Allah dalam Surah al-Ankabut ayat 45: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih utama (berbanding ibadah-ibadah yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Dr. Rafidah Hanim juga menyebut bahawa, Paul Amato (2005) seorang ahli sosiologi me­ramalkan bahawa jika Amerika Syarikat mempunyai ke­utuhan keluarga (dan institusi perkahwinan sah), sebagaimana yang pernah mereka nikmati sekitar 1960-an, negara mereka akan dapat mengelakkan sejumlah 750,000 kanak-kanak daripada mengulangi gred kelas.

Seterusnya dapat mengelakkan daripada wujudnya sejumlah 1.5 juta tahanan kelas nakal, 500,000 masalah yang berkaitan dengan ponteng sekolah di peringkat remaja, 600,000 orang kanak-kanak dirujuk untuk terapi kaunseling serta 70,000 cubaan bunuh diri.

Apabila membincangkan per­kara ini, ia juga bermakna unit-unit keluarga yang mempunyai hala­ngan atau masalah dalam usaha mencapai sakinah dan mawaddah berprinsipkan maqasid al-syariah harus dibantu.

Semua pihak daripada segenap lapisan masyarakat harus bersama-sama untuk mengenal pasti isu, permasalahan dan seterus­nya mencari jalan penyelesaian.

Demi kepentingan inilah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) akan menganjurkan Muzakarah Pakar Pengukuhan Institusi Kekeluargaan Berlandaskan Maqasid al-Syariah pada Rabu ini.