Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Oktober 2017

Tarbiah anak sejak dalam kandungan

Posted by epondok di Oktober 31, 2017

Oleh Fairuz Nordin

Anak dilahirkan dalam keadaan fitrah dan ibu bapa yang mencorakkan mereka menerusi didikan serta bimbingan. Justeru, ibu bapa perlu melakukan yang terbaik dengan mengikut ajaran agama. Ikuti penjelasan Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani antara amalan yang perlu dilakukan menerusi slot Mau’izati di IKIMfm.

Setiap bayi yang lahir berada dalam keadaan fitrah, ibu bapa memainkan tanggungjawab besar mendidik anak dan mengelakkan tanggapan bahawa anak akan memilih jalan hidup sendiri apabila dewasa kelak. Tarbiah anak bukan hanya bermula apabila dilahirkan, tetapi sejak mereka berada dalam kandungan ibu.

Ada ulama berpendapat untuk melahirkan zuriat yang baik bermula daripada memilih calon isteri yang solehah.

Rasulullah SAW berpesan, apabila mati anak Adam maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, termasuklah doa anak yang salih. Oleh itu, Islam sangat menggalakkan umatnya mempunyai zuriat yang ramai.

Bagi yang tidak mempunyai zuriat sendiri, digalakkan memelihara anak angkat, anak susuan, anak saudara atau anak yatim supaya dapat membantu mendoakan semasa ketiadaannya nanti.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di IKIMfm menjelaskan, digalakkan untuk menamakan bayi dengan nama yang baik kerana ia mempunyai kaitan dengan keadaannya ketika berada di Padang Mahsyar.

Nama yang baik

Beliau berkata, jika diberi nama yang tidak baik, mereka akan dibenci oleh Allah SWT kerana antara kebencian yang paling mengundang kemurkaan Allah SWT ialah manusia yang memiliki nama raja kepada segala raja.

Katanya, sesungguhnya tidak ada raja selain Allah SWT dan tiada kuasa besar di dunia ini kecuali Allah SWT. Malah, Rasulullah SAW tidak menyukai anak yang diberi nama Aflah (orang yang paling berjaya), Nafi’, Rabah dan Yasar.

“Rujuklah nama yang bakal diberikan untuk anak kepada alim ulama supaya nama itu dapat memberi kebaikan kepadanya pada hari akhirat kelak,” katanya.

Menjelaskan mengenai amalan akikah, Ahmad Dusuki berkata, akikah bererti memutuskan hubungan yang membawa maksud bayi dilahirkan masih tergantung dalam gadaian Allah SWT. Bagi melepaskan bayi daripada gadaian haruslah melaksanakan akikah iaitu disembelihkan kambing pada hari ketujuh kelahiran.

Bukti ketaatan

Pada hari itu juga bayi diberikan nama serta dicukur kepalanya. Pada pandangan ulama, amalan itu adalah sunat yang dituntut. Anak lelaki disembelih dua ekor kambing atau dua bahagian daripada lembu. Amalan akikah dilakukan sewaktu anak masih kecil kerana bagi yang sudah dewasa ibadat korban lebih baik.

Waktu paling afdal untuk melakukan akikah ialah pada hari yang ketujuh, 14 atau 21 selepas kelahiran bayi, atau setidak-tidaknya sebelum mencecah umur dua tahun. Disunatkan haiwan yang disembelih untuk akikah tidak dipatahkan tulangnya manakala dagingnya dimasak manis kerana mempunyai hikmah tersendiri.

Hikmah amalan akikah untuk mendekatkan anak dengan Allah SWT pada awal kehidupannya di dunia. Akikah juga peluang anak memberi syafaat kepada ibu bapa atas pengorbanan harta benda yang telah dilakukan untuk membesarkan serta mendekatkan mereka kepada Allah SWT.

Selain itu, adalah bukti ketaatan dan kesungguhan hamba mentaati serta menunaikan syariat Allah SWT tanpa mempertikai syarat yang dikenakan antara anak lelaki atau perempuan. Sifat orang Mukmin hanya mengikut perintah Allah SWT dan menerimanya dengan sepenuh hati.

Kembali kepada fitrah

Digalakkan mengkhitankan anak yang baru lahir, iaitu dengan memotong kulit menutup kepala kemaluannya (anak lelaki). Diriwayatkan oleh Ammar bin Yasir, Rasulullah SAW bersabda, “Di antara fitrah dalam hidup ini ialah berkumur untuk membersihkan mulut. Kedua, membersihkan hidung dengan air, ketiga ialah menggunting misai dan janggut supaya tumbuh dengan rapi, bersugi, memotong kuku, membersihkan bulu ari-ari, membuang bulu ketiak untuk mengelakkan bau badan yang tidak menyenangkan, serta berkhitan.”

Menurut Mazhab Syafie, berkhitan wajib dilakukan bagi lelaki manakala bagi perempuan pula disunatkan untuk mengurangkan rangsangan syahwatnya.

Afdalnya khitan dilakukan pada hari bayi dilahirkan supaya apabila sempurna akalnya kelak dan memahami segala urusannya, dia akan dapat membezakan keadaan diri serta berada dalam keadaan bersih.

Islam menggalakkan umatnya berkhitan supaya mendidik mereka menjadi seorang yang mementingkan kebersihan kerana Islam adalah agama fitrah. Semoga apabila kembali menghadap Allah SWT kelak, mereka juga berada dalam keadaan fitrah dan bersih.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Dakwah tugas murni bina akhlak insan

Posted by epondok di Oktober 30, 2017

Oleh Nik Hasnah Ismail

 

MENURUT pengarang kitab al-Hikam yang terkenal, Syekh Ibnu Atha’illah as-Sakandari, ilmu yang sebenar menjadikan kita berasa takut kepada Allah SWT.

Ilmu bermanfaat menjadikan seorang isteri taat kepada suaminya, anak patuh kepada kedua-dua orang tuanya dan pemimpin akan adil kepada rakyatnya. Ilmu menjadikan hati manusia ibarat air sungai yang sentiasa mengalirkan air bersih dan jernih untuk manfaat makhluk lain.

Hakikatnya, pembinaan akhlak adalah melalui jalan dakwah, begitu juga pembaikan Islam dan pembinaan sistem hidup manusia. Sebab itu dakwah disebut sebagai enjin yang menggerakkan agama dan manusia kerana kaitan dakwah dengan ilmu serta kefahamannya.

Dakwah adalah tunjang menggerakkan hati manusia untuk membina kebaikan untuk agama, sistem cara hidup, seterusnya kepada alam ini. Dakwah itu menyeru dan mendidik manusia menjadi insan yang taat kepada perintah Allah SWT.

Begitu juga saat dunia ini berdepan pelbagai kerenah dan fitnah, cara menyucikannya adalah melalui dakwah sebagai bentuk tarbiah bagi mengikis segala kejahatan yang melingkari kehidupan manusia.

Pengukuhan iman

Dakwah akan memfokuskan manusia yang melakukan kemungkaran dan kejahatan dengan mencari punca manusia melakukannya. Oleh itu, dakwah harus memfokuskan kepada asbab manusia melakukan kejahatan iaitu tidak yakin kepada Allah SWT, hari akhirat dan terlalu cintakan dirinya.

Begitu juga lebur nilai kasih sayang atau ukhuwah menyebabkan manusia tidak lagi saling menyayangi antara satu sama lain. Apabila hilang kasih sayang, ukhuwah semakin lemah dan perasaan saling membenci menguasai diri.

Apabila manusia dihasut dengan kebencian, maka timbullah pelbagai prasangka yang boleh merosakkan hubungan, melahirkan kucar kacir dan pelbagai perkara yang memporak perandakan hubungan sesama manusia.

Dakwah hadir ketika manusia berpaling daripada perintah Allah SWT dengan menyeru mereka kembali kepada ajaran al-Quran dan hadis, melaksanakan perintah serta meninggalkan larangan-Nya. Pengukuhan iman sebahagian daripada dakwah mengajak manusia dekat dengan Allah SWT yang Maha Pencipta.

Iman cegah kemungkaran

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan kamu pula beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang yang fasik.” (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Sesungguhnya melaksanakan kerja dakwah adalah tugas murni dan mulia di sisi Allah SWT kerana ia menyeru manusia supaya beriman serta beribadat hanya kepada-Nya. Paling utama dalam dakwah adalah mengukuhkan keimanan kerana iman akan mencegah daripada perbuatan mungkar.

Dunia adalah jalan untuk mereka yang sentiasa mencari kebaikan. Hati yang selalu menagih keampunan daripada Allah SWT akan selalu dilorongkan dengan perbuatan mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Orang yang selalu mencari kebaikan akan mendapat kebaikan dan yang selalu lupa kebaikan, kejahatan akan datang kepadanya. Justeru, berdakwahlah di mana sahaja kerana dakwah sentiasa membuka jalan kebaikan bagi sesiapa yang melakukannya

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Transformasi keluarga Islam

Posted by epondok di Oktober 27, 2017

Oleh Latifah Arifin

Kerapuhan institusi keluarga dikesan bukan hanya berpunca daripada masalah sosial seperti kes penderaan, pergaulan bebas dan penyalahgunaan dadah. Faktor lain ialah pengabaian tanggungjawab oleh ibu bapa, gagal menunaikan nafkah, ketidakadilan dalam berpoligami serta terjerat hutang.

Justeru, ibarat sudah terang lagi bersuluh, transformasi dalam kehidupan berkeluarga perlu digerakkan dan direalisasikan mengikut syariat Islam.

Jika tidak, maka pincanglah tujuan asal perkahwinan menurut Islam yang bertujuan memelihara keturunan manusia sejagat, memenuhi keperluan naluri seks dan fizikal manusia, memperbanyakkan jumlah keturunan serta mewujudkan nilai kasih sayang sesama insan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan )yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah al-Rum, ayat 21)

Masyarakat tidak bahagia

Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Amini Amir Abdullah, berkata peningkatan masalah sosial menunjukkan masyarakat tidak bahagia.

Beliau berkata, keperluan untuk menangani isu masalah sosial yang melanda masyarakat hari ini sudah sampai ke tahap yang amat mendesak dan memerlukan rawatan paling mujarab iaitu menyuntik semula nilai agama dalam diri setiap individu.

Katanya, langkah pertama yang perlu diperbetulkan adalah aspek komunikasi keluarga iaitu mengamalkan komunikasi berhikmah dan bijaksana seperti bercakap dengan lemah lembut, bertolak ansur serta sabar dalam segala hal membabitkan ahli keluarga.

“Cara berinteraksi perlu betul dengan diplomasi dan psikologi, tegas mengikut keadaan. Bimbingan suami amat diperlukan kerana mereka adalah peneraju utama rumah tangga. Sebagai pemimpin, mereka hendaklah menunjukkan akhlak baik yang akan menjadi teladan kepada anggota keluarga lain,” katanya.

Menurut beliau, aspek yang sering kali diperlekehkan dalam konsep kekeluargaan adalah menanamkan sikap saling memaafkan. Bermaafan hanya dipraktikkan pada hari raya sedangkan ia perlu dilakukan setiap hari bagi mewujudkan suasana harmoni, sekali gus dapat menepis salah faham daripada berpanjangan.

Pendidikan agama, spiritual

Amini berkata, kegagalan meleraikan permasalahan melalui komunikasi menyebabkan ahli keluarga bermasam muka dan tidak bertegur sapa. Akhirnya, hubungan keluarga menjadi dingin sehingga pasangan atau anak mula menjauhkan diri dan membuat hal masing-masing.

Justeru, asas mengenai komunikasi dan kekeluargaan menurut perspektif Islam perlu diketengahkan supaya pasangan yang berkahwin dapat mewujudkan nilai kasih sayang dan kemesraan berterusan. Fokusnya ialah memberi tumpuan kepada pendidikan keagamaan dan spiritual.

Beliau menyeru badan berwajib mengetengahkan konsep komunikasi dan kekeluargaan menurut perspektif Islam sebagai usaha mewujudkan interaksi, persefahaman, meningkatkan jalinan kasih sayang dan kemesraan berterusan dalam membentuk sebuah keluarga bahagia.

“Antara inisiatif yang boleh diambil ialah menjalinkan kerjasama erat antara pelbagai agensi untuk mengatasi masalah kekeluargaan, perceraian dan gejala sosial. Kita perlu mengkaji semua kurikulum untuk kursus praperkahwinan.

“Tidak dilupakan, menganjurkan kursus pascaperkahwinan untuk pasangan yang memasukkan kemahiran keibubapaan dan pengurusan isi rumah kerana selepas berkahwin, pasangan berdepan kehidupan realiti, maka kena tahu cara menangani masalah keluarga,” katanya.

Anak tidak menjadi

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, berkata dalam Islam, setiap anak yang lahir mempunyai fitrah sendiri dan membesar mengikut pengaruh siapa yang mendidiknya.

Katanya, ibu bapa tidak patut mengambil ringan peranan mendidik anak dengan menganggap akhlak anak yang tidak baik sebagai lumrah seperti pepatah lama Melayu, ‘dalam setandan pisang pastinya ada yang buruk’.

“Apabila anak kurang menjadi atau terbabit dengan perkara yang tidak baik, kita tidak boleh memberikan alasan ia kebiasaan dalam setiap keluarga. Perkara ini tidak dapat diterima dalam agama Islam kerana seolah-olah ibu bapa tidak mengaku salah sebab gagal menunaikan tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, menurut Islam, pendidikan anak adalah peranan hakiki ibu bapa bermula dengan mengajar mereka ilmu agama termasuk tauhid, al-Quran, hadis diikuti ilmu berbentuk keduniaan.

Mengupas lanjut, beliau berkata, pembinaan karakter ketika anak masih kecil penting kerana ia akan mempengaruhi peribadi mereka sepanjang proses pembesaran. Anak mudah menyerap karakter ibu bapa dan terikut-ikut dengan kelakuan orang di sekelilingnya.

Kursus pascaperkahwinan meningkatkan ilmu membina rumah tangga harmoni.

Ilmu kekeluargaan Islam

Ibu bapa perlu menjadi qudwah hasanah (contoh teladan yang baik) kepada anak supaya membesar sebagai insan berakhlak mulia. Jika anak dibesarkan tanpa pembinaan akhlak yang baik, mereka lebih mudah terpengaruh perkara negatif kerana keadaan itu mirip kepada gaya hidup berkeluarga yang dilaluinya.

Lebih parah, jika anak itu bertindak mempengaruhi rakan sebaya yang mempunyai latar belakang dan kelakuan hampir sama.

Menurut Nik Salida, ilmu kekeluargaan Islam sepatutnya menjadi agenda penting disampaikan secara adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat dalam konteks pembangunan hari ini, khususnya mereka yang berdepan krisis keluarga.

“Contohnya, kita semua tahu tindakan isteri tidak taat kepada suami bersalahan dengan ajaran agama. Bukan hanya perkara itu perlu dijelaskan, tetapi hendaklah diterangkan secara terperinci apakah ciri-ciri suami yang wajib ditaati,” katanya.

Beliau berkata, mempunyai ilmu agama yang kukuh boleh menjadi benteng sekiranya difahami hikmah dan maqasidnya. Jika tidak, kita tidak akan dapat menghayati setiap sesuatu hukum dan panduan yang ditetapkan.

Peruntukkan masa berkualiti bersama anak dan didik mereka mengikut lunas Islam.

INFO: Tip memantapkan keluarga

  • Perkasa fungsi wali termasuk bapa, datuk, moyang lelaki, bapa saudara selaku entiti penting dalam sebuah keluarga Islam.
  • Tingkatkan ilmu keibubapaan, dapatkan pandangan atau berguru dengan ahli agama dan ulama.
  • Jalankan kempen kesedaran memupuk keluarga harmoni.
  • Kuatkasakan undang-undang yang mengukuhkan hak dan tanggungjawab setiap ahli keluarga.
  • Tingkatkan keprihatinan masyarakat terhadap kepentingan hidup berkeluarga yang aman dan harmoni.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Tawaran Kemasukan Pondok Sungai Durian, Kelantan

Posted by epondok di Oktober 26, 2017

Posted in Pondok Sungai Durian | 5 Comments »

Akhlak karimah tuntutan hidup

Posted by epondok di Oktober 24, 2017

MAKSUD Rasulullah SAW dihantar kepada manusia adalah untuk menyempurnakan akhlak mereka. Konsep moral atau mores (Latin) tidak sama dengan konsep akhlak yang sumbernya al-Quran. Moral bagi manusia sifatnya berubah-ubah tidak seperti akhlak mempunyai elemen kemutlakan kerana ia datang dari Allah atau al-Quran. Aishah isteri Nabi bila ditanyakan isu ini menyatakan bahawa akhlak Rasulullah adalah akhlak al-Quran.

Akhlak al-Quran adalah sesuatu yang hidup pada diri Rasulullah SAW. Ia menjadi sumber qudwah (contoh ikutan dan pedoman bagi manusia). Akhlak yang hidup menjadi suri teladan kepada manusia kerana manusia memerlukan contoh ikutan dan sumber bimbingan yang boleh memimpin mereka memiliki akhlak karimah.

Akhlak karimah adalah sesuatu yang amat penting bagi kehidupan manusia. Akhlak yang mulia ini terpancar dalam niat, kata-kata dan amal perbuatan. Akhlak karimah tidak sekadar terpancar dalam niat tetapi terlihat dalam amal. Inilah kehebatan akhlak Rasulullah SAW yang menjadi sumber ikutan umat Islam dan umat manusia sepanjang zaman.

Ada ketika niat kita baik tapi kata-kata yang dilafazkan tidak menggambarkan kebaikan itu. Ada ketika niat dan kata-kata sangat baik tetapi ia tidak selari dengan amalan. Ia menyebabkan makna akhlak karimah tidak terpancar. Inilah masalah manusia hari ini.

Kehidupan masa kini memerlukan binaan akhlak karimah sejak awal umur anak-anak supaya dewasa­nya dibentuk dalam iklim akhlak yang diredai Allah SWT. Berkata-kata dengan jujur, memiliki niat yang ikhlas dan ditampilkan dengan amalan seharusnya menjadi asas kepada anak-anak. Proses ini memerlukan bimbingan ibu bapa dengan wujudnya persekitaran yang sesuai ke arah pendidikan mereka.

Ia harus diteruskan de­ngan pendidikan formal yang boleh menghubungkan nilai-nilai akhlak dalam pembentukan tingkah laku dan amalan. Pendidikan masa kini berdepan dengan pelbagai cabaran yang memerlukan pendidikan akhlak dijadikan keutamaan.

Cabaran teknologi, media dan maklumat amat sengit dan boleh melunturkan sikap berakhlak generasi muda. Maklumat adalah sesuatu yang penting kepada manusia. Yang membezakannya ialah kualiti maklumat yang tersebar. Adakah ia membimbing manusia kepada manfaat dan menyumbang ke arah pembentukan pekerti yang baik atau sebaliknya. Apa yang terjadi ialah kecenderungan salah guna maklumat berlaku untuk maksud sensasi tanpa tujuan yang jelas.

Maklumat memerlukan pedoman nilai. Nilai yang di­tinggalkan oleh Rasulullah SAW harus dijadikan pedoman ikutan kerana tanpa ukur tara yang membawa kepada kemurniaan akhlak, ia tidak lebih hanya amalan yang lazim tetapi tidak bersandarkan dengan nilai-nilai Qurani. Dikatakan akhlak Rasulullah SAW sebagai akhlak al-Quran kerana prinsip-prinsip asas dalam al-Quran menjadi cerminan amalan Baginda.

Rasulullah SAW seorang yang Siddiq (benar). Bercakap dengan benar adalah suluh jiwa orang yang bertakwa. Tidak sahaja kebenaran menjadi risalah utama Rasulullah SAW, ia disampaikan dengan bijaksana. Ini yang menyebabkan Rasulullah SAW dijadikan contoh ikutan pembentukan akhlak karimah yang sebenar.

Tanpa asas akhlak, manusia akan cenderung mewarisi nilai-nilai yang bersifat nafsu-nafsi dan boleh bertukar menjadi haiwani. Kualiti manusia sangat penting dalam pengurusan diri dan juga kehidupan. Diri yang tidak diurus dengan nilai-nilai akhlak yang baik akan cenderung menjadi sombong, takbur dan sukar menerima pandangan pihak lain. Inilah penyakit hati yang sedang ditanggung manusia yang memerlukan ubat lebih mujarab bagi mengatasinya. Ubat yang paling mujarab adalah kembali memupuk akhlak karimah berasaskan peribadi Rasulullah SAW.

Bercakap bohong, melakukan tipu muslihat, memungkiri janji, berpura-pura adalah contoh gelagat yang bercanggah dengan nilai-nilai mutlak al-Quran dan bercanggah dengan peribadi Rasulullah SAW.

Bercakap bohong boleh memberi akibat buruk kepada manusia kerana kebenaran adalah kunci dan suluh dalam kehidupan. Tipu muslihat adalah helah yang mungkin dipengaruhi oleh nafsu syaitan yang sifatnya menyesatkan. Memungkiri janji boleh menyebabkan konflik sesama manusia. Berpura-pura adalah penyakit kronik yang dihidapi oleh manusia kini. Mengatasinya memerlukan nilai-nilai mutlak yang bertunjangkan risalah dari al-Quran dan pedoman dari Rasulullah SAW.

Inilah risalah murni Islam kepada umat manusia untuk dijadikan sumber ikutan berpedomankan akhlak Rasulullah SAW. Ia ditunjangi akidah tauhid yang benar, ibadah yang membimbing manusia kepada jiwa takwa, syariah yang mentertibkan amalan dan perbuatan dan akhlak karimah yang dijadikan pedoman kehidupan. Inilah jalan keluar daripada kemelut kemanusiaan yang sedang terjadi. Ia juga penting kerana manusia perlu kembali memiliki kualiti manusiawi yang tinggi dengan ciri-ciri keihsanan yang menyumbang.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/akhlak-karimah-tuntutan-hidup-1.535842#ixzz4vqflX0bx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Jemputan Majlis Jamuan dan Kutipan Bina Masjid Pondok Selising, Pasir Puteh

Posted by epondok di Oktober 23, 2017

JEMPUTAN MAJLIS MAKAN SILATURRAHIM DAN KUTIPAN DANA MASJID

Dengan segala hormatnya, perkara di atas dirujuk.

2.Dimaklumkan bahawa MADRASAH IHYA’ ULUMUDDIN telah merancang untuk mengadakan Jamuan Makan Dan Kutipan Dana Masjid dengan persetujuan jemaah Madrasah Ihya Ulumuddin .

3.Tujuan atau objektif Majlis Makan Silaturrahim Dan Kutipan Dana Masjid ini adalah untuk pembinaan masjid dan infrustruktur Madrasah ,antaranya adalah seperti berikut ;

1)Masjid:
-Keluasan:108×120 persegi
-Kapasiti Jemaah :1000 orang
i)Keperluan dalam masjid :
-Kelas belajar
-Bilik seminar/Dewan
-Perpustakaan
-Koperasi
-Pejabat
ii) keperluan luar masjid :
-Tandas
-Bilik air

4.Butiran Majlis Makan Silaturrahim Dan Kutipan Dana Masjid tersebut adalah seperti berikut:

Tarikh: 28 Oktober 2017 M/8 Safar 1439H
Masa: 10.00 pagi hingga 06.30 petang Tempat: TAPAK MASJID MADRASAH IHYA’ ULUMUDDIN BLOK (B) .
LOT 425,KAMPUNG BERANGAN,SELISING,
16810 PASIR PUTEH, KELANTAN.

MANA-MANA INDIVIDU ATAU ORGANISASI YANG INGIN MEMBUAT SUMBANGAN BOLEHLAH MENYALURKAN SUMBANGAN ANDA KEPADA:
=====================================
AKAUN BANK ISLAM
NOMBOR AKAUN: 03-120-01-000207-2
NAMA:MADRASAH IHYA ULUMUDDIN
====================================AKAUN BANK BSN
NO AKAUN: 0301541000172541
NAMA :MADRASAH IHYA ULUMUDDIN
=====================================
(Ada persembahan kasidah daripada pelajar kami. )

Semoga usaha murni ini akan diberkati dan sokongan tuan puan kami dahului dengan ucapan terima kasih.

Sebarang pertanyaan boleh berhubung:
-013-6393219 Ustaz die(Mudir/Pengerusi)
-011-18520958 En. Hamdan

TOLONG SEBAR-SEBARKAN SEMOGA KITA DAPAT MANAFAAT BERSAMA.

“ALLAH DAN RASUL DIHATI KAMI ”

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Ilmu yang benar ibarat suluh

Posted by epondok di Oktober 22, 2017

ILMU benar dijadikan pedoman adalah ilmu daripada Allah. Ia ibarat suluh yang memberikan pencerahan. Manusia dari tidak tahu menjadi tahu kerana ilmu. Lebih jauh daripada itu ilmu terkandung makna yang zahir dan batin akan sesuatu kerana maksud tersurat dan tersirat terkandung dalam ilmu. Manusia hanya mengetahui amat sedikit terutama hal-hal ghaib.

Ilmu tidak sama dengan maklumat, fakta dan data semata-mata. Ilmu dalam erti kata sebenarnya terolah dengan ilmu wahyu yang sumbernya dari Allah SWT. Rahsia Allah di muka bumi adalah suatu fenomena yang memang dikaji manusia. Dalam tradisi tamadun Islam al-Quran memberikan pedoman memahami tentang alam, kejadian dan kehidupan dan mencetuskan kajian saintifik. Pertemuan akli-naqli ini menghasilkan ilmu yang sebenar dan bermakna kepada manusia.

Tanpa suluh, manusia bakal kehilangan arah dan akan berada dalam kegelapan untuk mencari jawapan tanpa pedoman. Oleh itu, ilmu dikaitkan dengan makna kerana ilmu yang benar dan bermanfaat memberi makna kepada diri dan kehidupan. Tanpa makna terhubung dengan ilmu, ia tidak lebih sekadar data dan fakta yang memerlukan sentuhan dan olahan.

Hari ini manusia sedang mencari suluh yang seperti ini bagi membimbing mereka ke jalan yang benar. Jalan yang benar adalah jalan yang menjadikan ilmu sebagai sesuatu yang bernilai dalam hidup. Ilmu mengenai alam umpama­nya amat penting kepada manusia kerana memahami alam, pencipta dan hikmahnya kepada manusia menyebabkan manusia taqarrub ilallah (hampir dengan Allah).

Mendekatkan diri dengan Allah akan menjadikan sumber ilmu dari-Nya bermakna dan memberi manfaat. Ilmu tentang cakerawala umpamanya seperti yang terungkap dalam al-Quran menjadi sumber petunjuk kepada manusia memahami perjalanan alam dan ketertiban aturan yang Allah telah ciptakan.

Hal ini penting kerana ilmu tanpa sumber yang sahih dari Pencipta tidak mampu memberikan kita jawapan me­ngenai yang zahir dan batin. Ilmu dari Allah adalah suluh yang memimpin jalan berfikir dan cara bertindak manusia supaya ada rasa ketundukan yang tinggi terhadap-Nya.

Oleh itu, mengembalikan diri kepada mencari ilmu yang benar dan bermanfaat adalah amat dituntut. Kalau ini tidak terjadi manusia akan kehilangan arah dan pedoman dalam memahami erti kebenaran dan makna kehidupan. Tidak salah mendapatkan ilmu yang pelbagai dari sumber-sumber yang sahih asal sahaja ilmu berkaitan memberi suluh kepada kebenaran yang hakiki.

Sekian lama manusia mencari akan pedoman ini. Dengan pemikiran dan rasional semata-mata tidak mem­bolehkan seseorang mendapat jawapan akan hal-hal yang nyata dan ghaib. Justeru, amat penting mendekati faktor ghaibiyah dan zahiriah dalam sumber ilmu datangnya dari Pencipta. Tanpa sumber yang benar dari Pencipta manusia akan mencari hal-hal di luar fitrah.

Mengembalikan diri kepada fitrah insani iaitu merujuk sumber dari Allah dan pemikiran bermanfaat dari manusia supaya ia memberi makna yang amat tersendiri mengenai hakikat kebenaran. Manusia dan alam adalah diciptakan dan tidak terjadi dengan sendiri. Manusia hanya mampu mereka atau menggubah dari hal-hal sedia ada kepada sesuatu yang lebih kreatif. Jalan kebenaran kepada manusia adalah ilmu yang menjadi suluh dan memberi makna.

Inilah asas penting yang seharusnya mampu merintis jalan kepada manusia bagi mendapatkan ilmu yang benar. Tidak salah kita melakukan penerokaan kajian dan penelitian terhadap fenomena di sekeliling kita. Tetapi kalau ­kajian itu dikaitkan dengan maksud sebenar kegunaan ilmu dan manfaat untuk manusia yang adalah suatu kecende­rungan yang sihat. Manusia hari ini cenderung melakukan salahguna dalam ilmu menyebabkan ilmu tidak menjadi suluh dan petunjuk.

Pencerahan inilah yang sedang dicari oleh manusia kini. Justeru amat mustahak ilmu yang benar dan bermanfaat menjadi suluh pemikiran dan jalan hidup kita. Ilmu teknologi siber terkini boleh memberi manfaat kepada manusia atau sebaliknya melainkan manusia memiliki tata nilai yang betul dalam perekaan, pengubahan dan aplikasi.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Syariah sifatnya mentertibkan

Posted by epondok di Oktober 20, 2017

SYARIAH adalah jalan membimbing manusia berada dalam fitrah dan kekal dalam fitrah. Al-Quran dan sunnah sebagai sumber syariah memberi pedoman bagaimana kehidupan seharusnya berlaku dan diredai oleh Allah SWT. Syariah dalam maksud yang luas mentertibkan perbuatan dan amalan manusia supaya tidak bercanggah dengan fitrah insani.

Nas al-Quran terkandung pedoman dan petunjuk yang syarie sifatnya supaya perintah daripada Allah dipatuhi dan sunnah Rasullullah SAW diteladani. Ia tidak saja terkan­dung dalam hukum-hakam yang mempedoman, peraturan boleh dan tidak boleh yang wajar dipatuhi, amalan yang makruf dan mengelakkan amalan yang mungkar supaya ketertiban terjadi dan manfaatnya tidak saja kepada pengamalnya juga kepada orang lain.

Hari ini simpang-siuran dalam mengambil pedoman hukum berlaku kerana manusia tidak menjadikan syariah sebagai landasan penting terbinanya jalur hidup seperti yang dituntut oleh Islam. Manusia cenderung menggunakan peraturan sendiri yang sifatnya berubah-ubah atau nisbi (relatif). Rasional atau akal fikir dijadikan sumber rujukan mutlak sedangkan faktor syariah tidak menolak pertimbangan akal yang tidak bercanggah.

Allah yang Maha Perkasa mengatur perjalanan alam dengan sunnatullah atau ketentuan daripada-Nya. Ter­nyata tidak wujud konflik yang menghasilkan bencana melainkan dengan takdir-Nya. Manusia tidak mampu mengurus alam dan kekerdilan kudrat manusia menyebabkan manusia terus bergantung kepada-Nya.

Hubungan menegak dengan Allah (hablumminallah) menjadikan al-Quran sumber yang terbaik dijadikan rujukan dan pedoman dalam binaan hukum-hakam supaya faktor syarie daripada Allah menjadi prinsip utama dalam me­laksana dan menghayati hukum. Manusia yang fitrah amat memerlukan pedoman yang mutlak daripada Allah kerana manfaat darinya adalah besar.

Perkara syariah tidak sahaja terhubung dengan hal-hal yang nyata dan nampak tetapi juga terhubung dengan faktor ghaibiyyah. Syariah yang dipatuhi datangnya daripada Allah, sumbernya daripada wahyu dan terkandung maksud yang tersurat dan tersirat. Orang Islam yang beriman dan bertakwa dituntut teguh mengenai keyakinan dan kepatuhannya.

Mencuri umpamanya dilarang oleh syariat kerana ia mendatangkan akibat buruk kepada manusia. Berzina umpama­nya amat ditegah dalam Islam kerana perbuatan itu adalah terkutuk dan memberi kesan kepada zuriat dan keturunan. Mengamalkan riba adalah berlawanan dengan syariah kerana ia membenarkan eksploitasi dan penindasan berlaku.

Faktor syariat juga menjadi isu dalam ilmu, pendidikan, ekonomi, siasah, budaya dan cara hidup manusia. Pendidikan yang hanya bergantung kepada ilmu dapatan manusia semata-mata tidak mampu membentuk watak yang fitrah kerana faktor binaan insan memerlukan kekuatan dalaman yang rohaniah sifatnya.

Kegiatan jual-beli dan perdagangan boleh melibatkan riba’. Riba’ dalam erti kata yang luas merintis jalan eksploitasi dan penindasan kerana matlamat akhir dalam perniagaan ialah keuntungan yang tidak senafas dengan syariah.

Begitu juga dalam siasah ia menuntut supaya siasah syariah menjadi pedoman terbaik dalam proses syura (membuat keputusan) dan tadbir urus negara dan sistem supaya keadilan wujud dan amanah terlaksana. Faktor ini sangat penting kerana tanpa amanah dan keadilan kita akan jauh dari takwa.

Cara hidup yang tidak menjadikan faktor syariah sesuatu yang amat dituntut menyebabkan penyimpangan berlaku.

Masyarakat dan cara hidup boleh jadi rosak kerana perimbangan untuk boleh dan tidak boleh bukan dengan pertimbangan syarak tetapi menafikan pertimbangan syarak dalam menentukan salah-benar, dosa pahala akan sesuatu atau halal haram akan sesuatu.

Akhir-akhir ini kecenderungan umat Islam kembali kepada pendekatan patuh syariah, memperkasa indeks syariah, menghasilkan produk-produk syariah dalam makanan-pemakanan, adalah petanda baik kembali ke jalan yang ditertibkan dan diredai Allah.

PROF. DATUK DR. SIDEK BABA

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Perbanyak amal kunci ketenangan diri

Posted by epondok di Oktober 19, 2017

Oleh Nik Hasnah Ismail

 

Manusia diberikan masa yang panjang untuk dengan bertaubat. Menurut Ustaz Pahrol Mohamad Juoi, tiada yang paling manis bagi manusia dalam hidup ini selain mendapat rahmat Allah SWT. Ikuti penjelasan beliau dalam rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm.

Setiap hari adalah waktu untuk bermuhasabah supaya dapat memperbaiki diri menjadi mukmin yang soleh, diredai Allah SWT. Andainya hari kita tidak ceria, barangkali kita banyak berbuat dosa. Andainya hari kita penuh kekurangan, mungkin kita kurang memberi.

Andai hari kita penuh kemarahan, itu tanda kita kurang memberi kemaafan. Andainya hari kita tiada ketenangan, barangkali kerana kurang berzikir dan mengingati Allah SWT. Andai hari kita penuh kebimbangan, kerana kita kurang berdoa kepada-Nya.

Justeru, hendaklah banyak beramal, taat kepada Allah SWT, berbuat baik sesama manusia dan selalu menghisab kekurangan diri kerana dengan cara itu kita akan mendapat ketenangan, keceriaan serta kebahagiaan di dunia ini.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah di radio IKIMfm, tetamu tetap Ustaz Pahrol Mohamad Juoi menjelaskan tiada yang paling indah dan nikmatnya hidup ini selain mendapat rahmat Allah SWT melalui ketaatan kita terhadap segala perintah-Nya.

Syurga Allah SWT ada pelbagai tingkat dan apabila seseorang masuk ke dalamnya, dia merasakan syurga tempat paling tinggi nikmatnya. Apabila ahli syurga pergi ke syurga paling tinggi maka saat itu lahirlah penyesalan kerana tidak memperbanyakkan amalan ketaatan kepada Allah SWT.

Lalai dengan dosa

Bagaimanapun, bagi orang yang berdosa, lalai, derhaka dan tidak taat perintah-Nya, Allah SWT yang penuh kasih sayang masih mengurniakan usia panjang buat hambanya supaya dimanfaatkan untuk bertaubat.

Imam al-Ghazali berkata, ketika hamba diberi kurniaan usia yang panjang untuk bertaubat atas segala dosa dan khilafnya, ada juga yang tetap melakukan dosa. Diriwayatkan, Allah SWT malu untuk menyeksa hamba yang lalai dengan dosa, tetapi manusia tidak malu melanggar perintah-Nya.

Sifat Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang sentiasa memberi rahmat kepada setiap hamba. Malah, seorang mukmin yang masuk ke syurga bukan kerana amalan yang sempurna tetapi rahmat Allah SWT terhadap hamba-Nya.

Sebagai hamba yang sangat fakir dan sentiasa berhutang dengan Allah SWT, jangan sesekali mengurangi amalan supaya kelak kita dapat menghuni syurga Allah SWT di tingkat paling tinggi.

Setiap hamba pasti mendambakan untuk menghuni syurga Allah SWT.

Apa yang pasti, syurga Allah SWT bukan murah, nilainya cukup tinggi dan mahal. Seorang mukmin yang mahu menghuni syurga Allah SWT perlu memenuhi keperluan dari sudut amalan, keikhlasan, akhlak dan ketaatan terhadap perintah-Nya.

Semua dicatat akan dihitung

Setiap perbuatan di dunia dirakam oleh malaikat, oleh itu, jangan sesekali memandang remeh dosa dan perbuatan yang boleh memberi pahala. Jangan sesekali memandang remeh kederhakaan dan memandang ringan ketaatan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya jika seorang hamba mengucapkan satu kalimat yang mengundang kemurkaan Allah SWT, namun dia menganggap ringan dan kerana perkataan itu, dia dicampak ke neraka.”

Setiap kebaikan dan kejahatan semuanya akan dicatat dan dihitung di hari akhirat kelak. Ada seorang lelaki dikurniakan syurga oleh Allah SWT hanya kerana membuang duri di tepi jalan. Sikap itu hanya kebaikan yang kecil tetapi dipandang tinggi Allah SWT.

Amalan yang dicatat malaikat akan dipertontonkan dan dihisab oleh Allah SWT. Jangan nanti di akhirat kita menyesal terhadap sekecil-kecil dosa. Hendaklah sentiasa beringat dalam setiap tindakan kerana kelak kita akan dipertanggungjawabkan terhadap semua yang dilakukan.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

5 fasa kehidupan persediaan ke akhirat

Posted by epondok di Oktober 18, 2017

Oleh Fairuz Noordin

 

ULAMA membahagikan fasa umur manusia kepada beberapa masa tertentu dalam hidup supaya mereka menyedari saat yang dilalui dan tidak terleka menjalani kehidupan di dunia ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintah-Nya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi.” (Surah al-Munafiqun, ayat 9)

Menerusi perkongsian dalam slot Mau’izati di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menjelaskan ketika manusia berada dalam rahim ibunya, Allah SWT menghantar malaikat untuk ditiupkan roh dan dituliskan empat perkara iaitu rezeki, ajal, amalan dan balasan syurga atau neraka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada pati (yang berasal) dari tanah; kemudian Kami jadikan pati itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.” (Surah al- Mukminun, ayat 12-14)

Lima fasa kehidupan

Ada Ulama yang menyebut, ketika manusia dilahirkan di dunia dibahagikan umurnya kepada lima fasa. Sejak mula dilahirkan, manusia menghadapi 99 perangkap kematian, ada yang dapat menghadapinya sehingga akhir, ada yang tidak sempat lalu menemui kematian.

Fasa pertama kehidupan manusia ketika melalui zaman kanak-kanak iaitu ketika bayi sehingga mereka mencapai usia 15 tahun. Fasa kedua ketika muda, iaitu berumur di antara 15 hingga 35 tahun.

Fasa ketiga, manusia dewasa bermula ketika 35 hingga 55 tahun, manakala fasa keempat, manusia menjadi tua berumur antara 55 hingga 70 tahun. Fasa kelima pula, berumur antara 70 hingga akhir hayat yang dikurniakan Allah SWT kepada mereka.

Apabila manusia mencapai usia 20 hingga 40 tahun, mereka melalui tempoh diberi kurniaan duniawi daripada Allah SWT. Namun, selepas mencapai usia 40 tahun, digalakkan membaca doa, “Yang telah Kamu berikan kepadaku dan ke atas kedua ibu-bapaku, ya Allah tolong kurniakan kepadaku satu amalan yang kamu reda dalam hidup ini.”

Jangan kejar dunia

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, berdoalah ia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku daripada orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).” (Surah al-Ahqaaf, ayat 15)

Sewajarnya pada usia 40 tahun, manusia tidak lagi sibuk mengejar urusan dunia atau berasa gembira dengan hal ehwal keduniaan semata-mata dan tenggelam dalam kelalaian diri. Sebaliknya bersedialah untuk menghadapi kematian dan mengubah ketentuan.

Qada yang ditetap ketika disuratkan ketika berada dalam kandungan ibu iaitu qada yang tidak baik kepada qada lebih baik. Qada yang lebih baik akan menjamin diri menghuni syurga pada hari akhirat kelak. Maka istiqamah dengan agama dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT.

Muhasabah diri

Sheikh Wahab bin Munabbih pernah membaca dalam beberapa buah kitab dan berkata, “Bahawasanya satu suara akan menyeru dari langit keempat pada setiap pagi yang memanggil: Wahai manusia yang berusia 40-an, kamu adalah tanaman yang sudah dekat masanya untuk dituai. Wahai manusia yang berumur 50-an, sudahkah kamu mengira apa yang sudah kamu lakukan dan apa yang belum kamu lakukan. Wahai manusia yang umurnya 60-an tidakkah kamu tahu bahawa tidak ada lagi alasan buatmu? Alangkah baiknya jika semua makhluk tidak diciptakan ataupun jika mereka dicipta, sebaiknya mereka mengetahui mengapa mereka diciptakan. Berhati-hatilah, saat kamu sudah tiba. Jaga-jagalah diri kamu semua.”

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada tuhan melainkan Allah, ada dalam kalangan manusia yang beramal dengan amalan ahli syurga sehinggakan dirinya dengan syurga itu hanya sejengkal jaraknya. Tiba-tiba apabila hampir dengan kematian, terbalik suratan kitabnya dan beramal dengan amalan ahli neraka. Lalu dia mati dan dimasukkan ke dalam neraka. Dan ada dalam kalangan kamu yang hidupnya, beramal dengan amalan ahli neraka sehingga dirinya dengan neraka sangat dekat, hanya sejengkal jaraknya. Tiba-tiba berubah suratan kitabnya, di akhir kehidupannya beramal dengan amalan ahli syurga dan mati, lalu dia dimasukkan ke dalam syurga Allah.” (Riwayat Imam Bukhari)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »