Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 4 September 2017

Tanpa ilmu akal terpenjara

Posted by epondok di September 4, 2017

Oleh Mohd Faiz Othman

 

KAEDAH berdakwah diterangkan sendiri oleh al-Quran iaitu secara berhikmah, dengan memberikan pengajaran yang baik. Melalui kaedah ini, akhirnya mesej dakwah dapat disampaikan dengan berkesan.

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman menerusi segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm minggu lalu berkongsi kisah Nabi Ibrahim AS melalui ayat daripada Surah al-Anbiyaa’.

Surah al-Anbiyaa’ ini turun kepada Rasulullah SAW untuk mengkhabarkan kepada Baginda bahawa nabi terdahulu tetap sama seperti Baginda SAW dari segi keadaan fizikal dan sifat kemanusiaannya.

Syaari berkongsi ayat daripada Surah al-Anbiya’ ayat 52 hingga 57 yang bermaksud “(Ingatlah) ketika Ibrahim berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Patung-patung apakah ini yang kamu tekun beribadat kepadanya?”. Mereka menjawab: “Kami mendapati datuk nenek kami menyembahnya”. Ibrahim berkata: “Sesungguhnya kamu dan datuk-nenek kamu berada dalam kesesatan yang nyata”. Mereka bertanya: “Adakah engkau membawa kepada kami sesuatu yang benar (sebagai seorang Rasul), atau engkau dari orang yang bermain-main sahaja?”

Ibrahim menjawab: “(Bukan bermain-main) bahkan (untuk menegaskan bahawa) Tuhan kamu ialah Tuhan yang mentadbirkan langit dan bumi, Dialah yang menciptanya; dan aku adalah dari orang yang boleh memberi keterangan mengesahkan yang demikian itu. “Dan demi Allah, aku akan jalankan rancangan terhadap berhala-berhala kamu, sesudah kamu pergi meninggalkan (rumah berhala ini)”.

Bijaksana dalam berdakwah

Menerusi ayat-ayat ini, Allah SWT menggambarkan beberapa elemen kebijaksanaan Nabi Ibrahim melalui cara dakwah yang disampaikan kepada kaumnya.

Nabi Ibrahim apabila mendapati kaumnya menyembah sesuatu yang diperbuat daripada kayu yang dipahat, maka Baginda tidak terus membuat kesimpulan dan menghukum kaumnya.

Sebaliknya, Nabi Ibrahim bertanya kepada kaumnya, “apakah tamasil (sesuatu yang diperbuat daripada kayu yang dipahat) ini?”

Baginda ingin mendengarkan hujah kaumnya sebelum terus menghukum mereka sesat. Ini adalah pendekatan yang digunakan bagi mengajak kaumnya berfikir dan menggunakan akal mereka sendiri, tanpa beliau terlebih dahulu menghukum.

Seorang yang bijaksana seperti Nabi Ibrahim mengetahui kaedah dakwah yang berkesan adalah dengan mengemukakan soalan kepada kaumnya dan soalan itu sendiri mampu membuatkan kaumnya terperangkap.

Syirik diwarisi zaman berzaman

Persoalan yang dilontarkan oleh Nabi Ibrahim mengenai tamasil itu menggambarkan Baginda tidak mengiktiraf objek yang disembah oleh kaumnya itu dengan perkataan tuhan.

Kaum ini akhirnya terkasima dengan hujah dan soalan dilontarkan Nabi Ibrahim. Jawapan diberikan kaum Nabi Ibrahim kepada Baginda telah meletakkan akal mereka keluar daripada kedudukan atas. Mereka memenjarakan akal mereka kerana bersandarkan kepada amalan nenek moyang mereka tanpa sebarang ilmu. Hakikatnya, inilah jawapan manusia zaman berzaman, syirik yang diwarisi tanpa hujah.

Advertisements

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »