Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Orang terakhir merangkak masuk syurga

Posted by epondok di Ogos 18, 2017


Oleh Fairuz Noordin

 

DIKATAKAN jika manusia memohon dan berdoa kepada Allah SWT supaya dimasukkan ke dalam syurga sebanyak tiga kali setiap hari, nescaya syurga akan menyebut kepada Allah SWT supaya hamba-Nya dimasukkan ke dalam syurga.

Jika manusia sentiasa berdoa supaya Allah SWT melindungi mereka daripada azab neraka sebanyak tiga kali sehari, nescaya neraka pula akan memohon kepada Allah SWT supaya menjauhkan hamba-Nya itu daripada dihumban ke dalam neraka.

Diriwayatkan oleh Ibnu al-Mubarak daripada Anas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Manusia diingatkan supaya berusaha menangis mengenangkan dosa yang dilakukan ketika hidup di dunia walaupun terpaksa menitiskan air mata, kerana sesungguhnya penghuni neraka akan menangis sehingga air mata mereka bergenang seperti sungai dan setelah kering air mata itu akan mengalir pula darah dari mata mereka seperti mata air sehinggakan kapal juga dapat berlayar di dalamnya.”

Sesungguhnya azab paling ringan dalam neraka ialah mereka yang dipakaikan selipar tetapi menyebabkan mendidih otaknya. Baginda SAW juga bersabda: “Demi Allah, sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit sahaja

ketawa di atas dunia dan menyimpannya pada akhirat nanti.”

Menurut Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau’izati di IKIMfm, setelah Allah SWT menolak permintaan dan rayuan ahli neraka untuk dihentikan azab, mereka akan didatangi maut berbentuk seekor kibas yang diletakkan tempatnya di antara syurga dan neraka.

Lalu disebut: “Tahukah kamu semua apakah ini? Sambil diperhatikan oleh seluruh penghuni syurga dan neraka. Ahli syurga menjawab mereka mengetahui bahawa itu adalah maut dan kemudian binatang itu disembelih, menandakan bermula pada saat itu sudah tidak ada lagi maut dalam kalangan manusia.”

Ahli syurga bersorak kegembiraan kerana mereka tidak lagi akan merasai kematian dan kekal di dalam syurga, namun ahli neraka berteriakan dan hampa kerana mereka akan terus kekal diazab di dalamnya.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan berilah amaran (wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya mengenai hari penyesalan, iaitu hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu beriman.” (Surah Maryam, ayat 39)

Ejek penghuni neraka

Pada hari akhir alam akhirat kelak, Allah SWT menciptakan sejenis permainan bagi penghuni neraka dalam bentuk ejekan sebagai balasan ketika hayat di dunia mereka sering mengejek ayat Allah SWT iaitu orang munafik.

Apabila mereka bertemu orang beriman, mereka mengakui berada dalam kumpulan yang sama. Namun, apabila mereka berpaling kepada puak yang melakukan kejahatan dan syaitan, mereka mengakui hanya mempermain-mainkan golongan beriman.

Akhirnya Allah SWT membiarkan mereka berada dalam kesesatan, seperti disebut oleh Abu Salih, pada Hari Kiamat nanti dikatakan kepada penghuni neraka: “Kamu semua boleh keluar dari neraka ini,” sambil diperintahkan Allah SWT supaya malaikat membawa penghuni neraka keluar.

Pintu neraka dibuka dan penghuninya berlari kegembiraan ke arah pintu itu untuk keluar dari neraka. Ketika mereka sampai di hadapan pintu neraka, ia ditutup kembali dan pada waktu itu penghuni neraka ditertawakan ahli syurga yang sedang melihat perbuatan mereka itu.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka pada hari ini, orang yang beriman pula tertawakan orang yang kafir itu. Sambil mereka berehat di atas pelamin (yang berhias), serta melihat (hal yang berlaku kepada musuhnya). (Untuk menambahkan kegembiraan mereka, mereka ditanya): Bukankah orang yang kafir itu telah dibalas akan apa yang mereka telah kerjakan dahulu?” (Surah al-Mutaffifin, ayat 34-36)

Qatadah berkata: “Ka’ab menyatakan kepada kami bahawa sesungguhnya di antara syurga dan neraka ada beberapa lubang di dinding yang boleh dipandang, dan jika seorang Mukmin ingin melihat keadaan musuhnya ketika hidup di dunia dahulu, maka dia boleh melihat melalui satu

daripada lubang itu.”

Selain itu pada hari terakhir ahli tauhid, iaitu manusia yang di dalam dadanya terdapat kalimah tauhid akan mula dikeluarkan daripada neraka.

Sabda Rasulullah SAW: “Sekumpulan orang daripada umatku akan dimasukkan ke dalam neraka kerana dosa mereka. Mereka berada di dalam neraka selama yang dikehendaki oleh Allah, namun mereka akan dikeluarkan daripadanya dan tempat mereka akan digantikan oleh orang musyrik. Kemudian orang musyrik itu berkata kepada mereka: Tidak ada perbezaan di antara kamu semua dengan kami melainkan kamu semua beriman dan mengesakan Allah. Sehingga iman dan tauhid kamu semua memberi manfaat kepada kamu.”

Kelebihan ahli tauhid

Oleh yang demikian, semua yang mempunyai tauhid dikeluarkan oleh Allah SWT namun di atas dahi mereka tertulis ‘ahli neraka.’ Orang kafir pada hari akhirat kelak sentiasa menginginkan sekiranya ketika di dunia dahulu mereka pernah menjadi Muslim.

Rasulullah SAW juga menyatakan, seorang hamba akan menyeru Allah SWT di neraka jahanam selama seribu tahun dengan kata-kata: “Wahai Tuhan yang Maha Pengasih dan Maha Dermawan. Lalu Allah memerintahkan Jibril ke neraka untuk membawa hambanya itu di hadapan-Nya. Namun penghuni neraka itu menjauhkan diri daripada Jibril kerana takut kepadanya sehinggakan Jibril juga tidak menemui hamba yang menyeru nama Allah itu, lalu dia kembali kepada Allah. Kemudian Allah SWT memberi petunjuk kepada Jibril mengenai kedudukan hamba itu di dalam neraka, lalu Jibril pergi ke tempat yang dimaksudkan dan menemui hamba Allah itu sambil berkata kepadanya: Wahai hamba Allah, bagaimanakah pandangan kamu akan tempatmu sekarang? Lalu dijawab: Ini adalah tempat paling buruk. Jibril meminta hamba itu keluar daripada tempat itu kerana diberi kebenaran oleh Allah. Maka keluarlah hamba itu dengan gembira dan berkata: Wahai Tuhanku, aku berharap supaya Kamu tidak akan mengembalikan aku ke tempat ini selepas aku keluar darinya.”

Orang terakhir keluar daripada neraka dan terakhir masuk

ke dalam syurga seperti diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda: “Aku mengetahui orang yang terakhir daripada neraka dan terakhir masuk ke syurga. Orang yang terakhir keluar daripada neraka dalam keadaan merangkak, Allah berfirman kepadanya: Pergilah kamu ke syurga dan masuklah ke dalamnya. Apabila dia pergi ke sana, Allah menunjukkan kepadanya bayangan bahawa syurga itu sudah penuh dan terus mengadu kepada Allah, lalu diperintahkan pergi semula ke syurga. Namun diberi gambaran lagi akan tiadanya kekosongan

di sana dan kembali mengadu

kepada Allah. Kemudian selepas diperintahkan oleh Allah untuk pergi ke syurga untuk kali ketiga dan berkata kepadanya bahawa dia akan mendapati keluasan di dalam syurga ialah seperti sepuluh kali keluasan dunia. Hamba itu berkata: Adakah kamu mempermainkan aku, ya Allah? Tatkala pada saat itu sambil bersabda, Rasulullah ketawa sehingga menampakkan gigi gerahamnya kerana sesungguhnya orang itu adalah yang paling rendah darjatnya tetapi dimasukkan juga ke dalam syurga.”

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: