Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Imam Abu Hanifah corakkan dunia Feqah

Posted by epondok di Ogos 16, 2017


Oleh Mohd Faiz Othman

 

Kehebatan Imam Abu Hanifah dalam ilmu fikah tidak boleh diragui. Beliau telah belajar dengan gurunya selama 18 tahun dan meriwayatkan hadis daripada 37 guru. Beliau sangat memberatkan hadis dan seorang yang sangat kuat beribadah. Ikuti kisah menarik bersama Ustaz Muhadir Joll dalam segmen Ibrah di IKIMfm.

Imam Abu Hanifah Nukman ibn Thabit yang lebih dikenali dengan nama Imam Hanafi adalah insan yang banyak menyumbang dalam bidang fikah.

Menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) di IKIMfm, Ustaz Muhadir Joll berkata, disebabkan sumbangan besar tokoh terkenal ini, mencintai beliau menjadi suatu yang sangat dituntut.

Ulama besar, Abu Mu’awiyyah ad-Dhorir menyebut, “Sesungguhnya mencintai Imam Abu Hanifah termasuk dalam sunah.”

Ketokohan dan sumbangan beliau sangat hebat dan sehingga kini mencorakkan dunia fikah yang harus kita tekuni, manfaatkan untuk membawa kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.

Mengikut sejarah, ada 20 fuqaha yang masyhur menggunakan gelaran ‘Abu Hanifah’. Namun, apabila disebutkan nama Abu Hanifah, pastinya tergambar dan teringat akan Imam Abu Hanifah Nukman ibn Thabit kerana kemasyhuran dan kealiman beliau.

Digelar Abu Hanifah dengan dua sebab, pertamanya, mengambil maksud ‘hanaf’, iaitu suci, kecenderungan kepada tauhid kerana hebatnya ibadah Imam Abu Hanifah kepada Allah SWT.

Kedua, ‘Hanifah’ juga digunakan kepada orang yang banyak menulis dalam kalangan penduduk Iraq yang merujuk mereka yang banyak menulis dengan gelaran Hanifah. Sememangnya, Imam Abu Hanifah mempunyai karangan yang sangat banyak dan dimanfaatkan sehingga kini.

Imam Abu Hanifah dilahirkan di Kufah, Iraq, pada tahun 18 Hijrah. Nama beliau ialah Nukman bin Thabit bin Marzuban. Beliau berketurunan Parsi dan datuknya memeluk Islam ketika zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab.

Belajar 18 tahun

Imam Abu Hanifah bercerita mengenai pengalaman beliau menuntut ilmu, katanya: “Aku datang ke Basrah dan aku menyangka sesungguhnya tidaklah aku ditanya mengenai sesuatu melainkan aku akan temui jawapan di sana. Lalu orang Basrah bertanya kepadaku beberapa perkara dan aku tidak ada jawapannya. Lalu aku berazam pada diriku untuk tidak akan berpisah dengan guruku, Hammad Ibn Sulaiman.”

Imam Abu Hanifah belajar dengan gurunya selama 18 tahun. Kemuliaan beliau turut diwarisi daripada ayahnya, Thabit bin Marzuban yang pernah bersama Saidina Ali.

Cucu Imam Abu Hanifah, Ismail bin Hammad menceritakan, “Thabit, ayah kepada Imam Abu Hanifah pergi kepada Saidina Ali dan saat itu, Imam Abu Hanifah masih kecil. Lalu Saidina Ali mendoakan keberkatan untuknya dan keturunannya. Kami mengharapkan doa Saidina Ali dikabulkan Allah untuk kami juga.”

Doa itu sangat luar biasa kerana sehingga kini beliau dan keturunannya tergolong dalam golongan orang soleh dan memberi manfaat kepada masyarakat. Imam Abu Hanifah bukan sekadar mendapat keberkatan melalui doa Saidina Ali, bahkan beliau sempat melihat Saidina Anas bin Malik, sahabat Nabi SAW ketika Saidina Anas datang ke Kufah.

Beliau telah meriwayatkan hadis daripada Saidina Anas ibn Malik, antaranya yang bermaksud: “Menuntut ilmu agama adalah satu kefarduan ke atas setiap orang Islam.”

Riwayat hadis daripada 37 guru

Ada riwayat menyebutkan, Imam Abu Hanifah sempat berjumpa dengan sembilan atau sepuluh sahabat Baginda SAW.

Menurut Imm al-Dhzahabi, Imam Abu Hanifah meriwayatkan hadis daripada 37 guru. Beliau sangat gigih mencari hadis dan bermusafir untuk mendapatkan hadis. Ini membuktikan beliau sangat memberatkan mengenai hadis.

Imam Abu Hanifah menceritakan, beliau mimpi seolah-olah melihat dirinya menggali kubur Baginda SAW. Kemudian beliau pergi ke Basrah dan menyuruh seorang lelaki untuk mencari Imam Muhammad Ibn Siri. Lelaki itu menceritakan mengenai Imam Abu Hanifah kepada Imam Muhammad dan katanya, “Orang ini (Imam Abu Hanifah), orang yang akan menggali, menjaga dan memelihara hadis Baginda Rasulullah SAW.”

Ketokohan dan keilmuan Imam Abu Hanifah tidak diragui. Beliau dikenali oleh insan hebat, antaranya Imam as-Syafie. Kata Imam as-Syafie: “Manusia dalam bab fikah semuanya akan mengikut cara yang ditunjukkan oleh Imam Abu Hanifah.”

Al-Imam al-Dzahabi mengatakan, “Keimaman dalam bab fikah dan halus pemahamannya, diberikan kepada Imam Abu Hanifah. Perkara itu tidak ada keraguan padanya. Beliau kemudian menambah: Tidak boleh diterima oleh akal sama sekali, jika siang memerlukan tandatandanya.”

Ini memberi maksud bahawa ketokohan Imam Abu Hanifah tidak perlu dalil dan buktinya lagi, sudah terang dan nyata. Selain menekuni bidang ilmu, Imam Abu Hanifah seorang hamba yang sangat kuat beribadah kepada Allah SWT.

Abu Asim al-Nabil mengatakan: “Imam Abu Hanifah dinamakan ‘Al-Watit’, orang yang banyak sembahyang sunat.”

Dikatakan beliau solat sunat sebanyak 300 rakaat setiap malam. Anak murid Imam Abu Hanifah, Al-Qadi Abu Yusuf mengatakan: “Imam Abu Hanifah mengkhatamkan al-Quran hanya dalam satu rakaat setiap malam.”

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: