Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for 6 Ogos 2017

Amalan sunat semasa gerhana

Posted by epondok di Ogos 6, 2017

Menerusi sekian banyak hadis berkaitan gerhana, terdapat beberapa perkara sunat yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana. Di antaranya ialah:

  1. Solat dan berdoa. Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi”.

2. Berzikir dan beristighfar. Abu Musa berkata: “Telah berlaku gerhana matahari. Maka Rasulullah SAW berdiri dalam keadaan cemas kerana bimbang akan berlaku Kiamat. Lalu Baginda SAW tergesa-gesa pergi ke masjid dan solat dengan berdiri yang terlalu panjang serta rukuk dan sujud yang panjang, yang tidak pernah aku lihat Baginda SAW melakukan seperti itu.

3. Berlindung daripada azab kubur. Diriwayatkan oleh Aisyah ra: “Setelah Nabi SAW selesai menyampaikan khutbah gerhana matahari, maka Baginda SAW memerintahkan para sahabat supaya memohon perlindungan dari azab kubur.”

4. Bersedekah. Sabda Rasulullah SAW: “Apabila kalian melihat gerhana, maka hendaklah kalian berdoa kepada Allah, mengerjakan solat dan bersedekah.”

5. Memerdekakan hamba. Asma’ ra berkata: “Sesungguhnya Nabi SAW menyuruh memerdekakan hamba ketika berlaku gerhana matahari. “Dalam satu riwayat: “Gerhana bulan.”

Inilah sunnah Baginda SAW ketika berlakunya peristiwa gerhana bulan atau matahari.

Marilah bersama-sama kita menghidupkan sunnah Nabi kita SAW kerana inilah jalan hakiki menuju kesejahteraan di dunia dan akhirat. Tinggalkanlah sunnah ahli bidaah kerana inilah jalan yang membawa kecelakaan di dunia dan akhirat.

Advertisements

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Cara Solat Sunat Gerhana Bulan

Posted by epondok di Ogos 6, 2017

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami’ah!! ( Solat berjemaah )

Niatnya : “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta’ala” – (Jika berimam)

ataupun “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Ta’ala” – (Jika solat seorang diri)

Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :

Rakaat pertama

1. Niat solat Gerhana, Takbir

2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah

3. Rukuk

4. I’tidal

5. Baca Al-Fatihah dan surah

6. Rukuk.

7. I’tidal.

8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.

Rakaat kedua

1. Niat solat Gerhana, Takbir.

2. Baca Al-Fatihah dan surah.

3. Rukuk.

4. I’tidal,

5. Baca Al-Fatihah dan surah.

6. Rukuk.

7. I’tidal.

8. Sujud

9. Tahiyyat Akhir

10. Salam

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Khutbah Gerhana Bulan

Posted by epondok di Ogos 6, 2017

Khutbah Gerhana Bulan

خطبة كرهان بولن

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Gerhana Bulan Separa – 8 Ogos 2017

Posted by epondok di Ogos 6, 2017

Keadaan Bulan ketika ia dalam fasa gerhana separa. Keadaan yang hampir serupa ketika fasa puncak gerhana pada malam esokm 8 Ogos 2017 . Foto dirakam oleh penulis pada 10 Disember 2011.

Kkita akan berpeluang menyaksikan Gerhana Bulan Separa yang akan berlaku pada awal tengah malam hingga ke Subuh, 8 Ogos 2017.

Kali terakhir kita di Malaysia dan Asia Tenggara telah menyaksikan gerhana bulan, sama ada separa atau penuh  ini (NOTA: saya tidak mengambil kira gerhana bulan penumbra) ialah pada 4 April 2015.


Apa itu gerhana bulan separa?

 

Gerhana Bulan Separa berlaku apabila sebahagian daripada cahaya matahari yang jatuh pada permukaan Bulan, telah terlindung oleh jasad Bumi kita.

Secara amnya, gerhana ini berlaku Bumi akan berada di antara Matahari dan Bulan. Walaupun ia nampak seperti sebaris, tetapi jika dilihat dari satah ‘tepi’, Bulan berada sedikit ke atas daripada garisan Matahari dan Bumi. Ini akan menyebabkan ia tidak akan dilindungi sepenuhnya oleh bayang-bayang Bumi.

Posisi Bulan yang sedikit ‘ke atas’ dari satah Matahari dan Bumi, menyebabkan hanya sebahagian sahaja yang akan terlindung dan memasuki kawasan bayang-bayang umbra Bumi. Kredit timeanddate.com


Maklumat  penting Gerhana Bulan Separa kali ini.

 

Bulan akan berada di atas ufuk dan SELURUH MALAYSIA AKAN DAPAT MELIHATNYA. 

Jadual di bawah adalah berdasarkan  maklumat dari timeanddate.com.

Fasa Gerhana Waktu Malaysia
Permulaan masuk bayang-bayang penumbra 7 Aug, 11:50 PM
Permulaan masuk bayang-bayang umbra. Gerhana separa bermula 8 Aug, 01:22 AM
Kemuncak Fasa Gerhana Bulan Separa 8 Aug, 02:20 AM
Tamat gerhana separa. (Bulan sudah keluar dari bayang-bayang umbra) 8 Aug, 03:18 AM
Tamat gerhana penumbra (Bulan sudah keluar dari kawasan bayang-bayang penumbra) 8 Aug, 04:50:56
  1. Keseluruhan FASA GERHANA SEPARA (Bulan berada di dalam bayang-bayang umbra) ialah selama 1 jam 55 minit.
  2. Bulan akan berada tegak dan sedikit ke arah barat, ketika bermulanya fasa gerhana separa.
  3. Bulan akan berada di kawasan buruj Capricornus.

Di bawah ialah simulasi fasa gerhana yang akan dapat dilihat nanti, bermula dari bermulanya fasa gerhana separa (ketika bulan memasuki kawasnan bayang-bayang umbra).


Adakah Bulan menjadi merah ketika gerhana nanti?

 

Oleh kerana kali ini ialah gerhana bulan separa, Bulan tidak akan ditutupi sepenuhnya oleh bayang-bayang Bumi. Ia TIDAK AKAN KELIHATAN KEMERAHAN.

Kita akan hanya dapat lihat sebahagian kecil bulan kelihatan ‘sompek’ atau ‘terpotong’ sahaja.

Simulasi di bawah yang menggunakan perisian Sky Safari 5 Pro, telah menandakan kawasan umbra sebagai warna merah, Hakikatnya dengan pandangan mata nanti, kita hanya akan dapat lihat warna hitam sahaja.

Fasa Gerhana Bulan Separa pada waktu kemuncaknya, ialah pada jam 2.20 pagi, 8 Ogos 2017. Simulasi Sky Safari 5 Pro.


Adakah saya perlukan sebuah teleskop untuk melihatnya?

 

Tidak perlu. Gerhana Bulan amat senang dan boleh dilihat dengan mata kasar sahaja. Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai binokular atau teleskop, pemandangan akan lebih jelas dan menarik.

Gerhana Bulan pada OKtober 2014. Foto oleh Amirul Hazim

 


Bolehkah saya merakam fenomena ini menerusi kamera?

 

Secara amnya, kita BOLEH merakam permukaan Bulan dengan jelas, samada menggunakan kamera telefon bimbit yang mempunyai fungsi zoom yang kuat, ataupun kamera DSLR dengan lens zoom yang panjang, ataupun rakaman terus menerusi teleskop.

Bulan merupakan objek yang besar dan terang. InsyaAllah tidak ada masalah untuk merakamnya.

Di bawah ialah contoh foto fasa gerhana bulan penuh yang dirakam  menerusi teleskop (F=500mm) dan kamera DSLR.


Adakah Bumi menerima sebarang kesan fizikal daripada fenomena ini?

 

Tidak. Gerhana Bulan ialah sebuah fenomena optikal sahaja. Ia tidak ada kesan langsung terhadap kehidupan di Bumi.


Bilakah gerhana bulan seterusnya?

 

Jika anda terlepas peluang menyaksikan gerhana bulan separa kali ini (mungkin disebabkan faktor cuaca atau tertidur!), janganlah risau. Tahun hadapan, 2018, kita di Malaysia akan sekali lagi berpeluang menyaksikan 2 KALI GERHANA BULAN PENUH, iaitu pada bulan 31 Januari dan 28 Julai 2018!

Petikan paparan skrin dari laman timeanddate.com mengenai gerhana bulan penuh pada tahun 2018 nanti. Sumber.

Selamat Mencerap!

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Orang abai doa dianggap sombong

Posted by epondok di Ogos 6, 2017

Oleh Ahmad Shukri Yusoff

 

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firman-Mu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (al-Quran) serta hikmah kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (daripada syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Baqarah, ayat 129)

Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail mengajar manusia, anak cucu serta keturunannya supaya sentiasa berdoa kepada Allah SWT. Sebenarnya, doa adalah senjata paling ampuh yang dimiliki Nabi dan pengikut setia perjuangan kebenaran serta umat Islam keseluruhannya.

Kepentingan doa dalam kehidupan

Adalah menyedihkan jika umat Islam tidak menyedari kepentingan berdoa dan mengabaikannya dalam kehidupan. Doa adalah ibadah yang membawa maksud memohon kepada Allah SWT supaya hajat kita diperkenankan, segala kesulitan dan malapetaka dijauhkan.

Setiap daripada kita perlu segera mendapatkan doa yang dibacakan Nabi SAW dan mengamalkannya dengan penuh keyakinan sama ada doa ketika damai, perang, miskin, kaya, gembira, sedih, senang atau susah.

Antara doa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ialah Allah SWT tidak meninggalkan zuriat keturunan mereka tanpa hidayah dan petunjuk-Nya. Mereka memohon kepada Allah SWT supaya dibangkitkan Rasul bagi memenuhi tiga misi utama.

Misi itu ialah tilawah iaitu membaca ayat Allah SWT kepada manusia supaya mereka sedar dan berfikir dengan baik mengikut pedoman Allah SWT. Taklim iaitu untuk mengajar al-kitab dan al-hikmah dan yang ketiga, tazkiyyah iaitu menyucikan dan membersihkan zahir serta batin manusia.

Al-Raghib Al-Isfahani menjelaskan, tilawah atau bacaan itu khusus dalam mengikuti kitab-kitab Allah SWT dengan mengikuti bacaannya, memperhatikan isinya, mengikuti perintah, larangan, galakan, ancaman atau sesuatu yang dibayangkannya.

Rasulullah SAW membacakan ayat al-Quran kepada sahabat dengan mengkaji, menggali dan mengungkap makna terkandung di dalamnya, sementara sahabat mengikuti bacaan Rasulullah SAW, memperhatikan erti dan makna yang ada di dalamnya.

Proses beri pengetahuan

Proses taklim atau mengajar adalah proses pemberian pengetahuan, pemahaman, pengertian, sehingga diri manusia itu menjadi suci atau bersih daripada segala kotoran dan bersedia menerima hikmah serta mampu mempelajari perkara yang bermanfaat bagi dirinya.

Perkataan al-hikmah dalam al-Quran sering digandingkan dengan perkataan al-Kitab. Menurut Sheikh Mustafa Al-Maraghi, maksud al-hikmah ialah pengetahuan mengenai rahsia dan tujuan syariah.

Menurut Qatadah, al-hikmah ialah as-sunah iatu penjelasan ditunjukkan Rasulullah SAW melalui sabda dan amalannya. Pendapat Ibnu Zaid Al-Himah, al-hikmah ialah pemahaman yang bijaksana terhadap agama dan Ibnu Jarir al-Tabari berkata, al-hikmah ialah pengetahuan mengenai hukum Allah SWT yang diketahui melalui penerangan Rasulullah SAW.

Analisis mengenai perkataan al-hikmah menunjukkan semua erti itu mempunyai tujuan sama iaitu Rasulullah SAW telah dikurniakan al-Quran serentak dengan ilmu pengetahuan menjelas dan mentafsirkannya dengan tepat serta bijaksana maksud ayat terkandung dalam al-Quran.

Perkataan tazkiyah bermaksud pembersihan, penyucian atau pemurnian. Perkataan membersihkan diambil daripada perkataan az-zakkah yang membawa dua erti iaitu bersih dan subur. Dalam ayat itu ia membawa erti membersihkan daripada kotoran syirik dan penyakit hati serta menyuburkan iman dan takwa.

Allah SWT memperkenankan doa Nabi Ibrahim dan Ismail dengan membangkitkan Nabi Muhammad SAW setelah berlalu beberapa abad. Itulah kebangkitan Rasul daripada zuriat Ibrahim dan Ismail yang membaca kepada mereka ayat Allah SWT, mengajar kitab suci, hikmah dan membersihkan daripada kotoran dosa.

Sabda Rasulullah SAW: “Aku adalah hasil doa nenek moyangku Ibrahim dan khabar gembira yang diberitakan oleh Nabi Isa.” (Riwayat Imam Ahmad)

Doa dimakbulkan Allah SWT, tetapi disempurnakan pada masa yang wajar ditentukan mengikut hikmah kebijaksanaan-Nya tetapi manusia selalu gopoh dan minta disegerakan perkenan-Nya. Orang yang belum mempunyai hubungan rapat dengan Allah SWT selalu dilanda perasaan jemu dan putus asa.

Allah SWT murka kepada sesiapa yang tidak berdoa atau memohon sesuatu kepada-Nya kerana orang yang meninggalkan doa itu dikatakan sebagai sombong serta takbur. Allah SWT menyukai orang yang memohon kurniaan-Nya.

Nabi Ibrahim mengakhiri doanya dengan pujian kepada Allah SWT. Sebenarnya Allah SWT telah memakbulkan doa Nabi Ibrahim dengan membentuk umat yang terbaik daripada mereka sehingga mereka dapat menguasai dan memimpin dunia dalam waktu yang agak lama.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »