Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Iman bukan hanya pengakuan

Posted by epondok di Ogos 5, 2017


Oleh Ahmad Shukri Yusoff

 

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.” (Surah an-Nisa, ayat 60)

Mentaati Rasulullah SAW adalah satu kewajipan kerana kepatuhan kepada Rasulullah SAW seperti mentaati perintah Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami tidak mengutus seseorang rasul melainkan untuk ditaati dengan izin Allah. Sesungguhnya jika mereka ketika menganiaya dirinya datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah, dan rasul pun memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah an-Nisa’, ayat 64)

Mengikut riwayat Yazid bin Zurai’ daripada Daud bin Abi Hindun daripada asy-Sya’abi, ayat ini diturunkan berpunca daripada suatu pertelingkahan antara seorang lelaki munafik dengan seorang Yahudi.

Yahudi berkenaan mengajak munafik itu membawa masalah pertengkaran mereka ke hadapan Rasulullah SAW kerana Yahudi terbabit mengetahui Rasulullah SAW seorang yang mempunyai integriti tinggi dan akan menjatuhkan hukuman dengan seadil-adilnya.

Sebaliknya, orang munafik mengajak Yahudi berhakimkan dengan hakim Yahudi kerana mengetahui hakim berkenaan akan menerima rasuah. Selepas berlaku perbalahan, akhirnya mereka bersetuju berhakimkan seorang nujum dalam kalangan Qabilah Juhainah. Lalu Allah SWT menurunkan ayat ini bersempena peristiwa berkenaan.

Berpura beriman

Ada ulama’ ketika mengulas ayat itu menyebut, “Kita berhadapan dengan sekelompok manusia dalam masyarakat Islam di negara Islam yang mendakwa telah beriman kepada perintah yang diturunkan kepada Nabi SAW dan kepada perintah yang diturunkan Allah SWT sebelumnya.

Mereka berkata: “Kami mengaku tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah dan segala kerasulan adalah benar belaka dan segala syariat yang dibawa oleh kerasulan itu adalah benar, dan seterusnya mengaku bahawa malaikat itu benar, akhirat itu benar, qada qadar yang baik dan yang buruk adalah benar.”

Inilah makna beriman kepada apa yang diturunkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW dan apa yang diturunkan Allah SWT sebelumnya, mereka mendakwa telah beriman dengan perkara itu semua.

Tetapi Allah SWT tidak menerima dakwaan mereka dan tidak menganggapkan dakwaan itu sebagai keimanan, malah Allah SWT melahirkan kehairanan terhadap sikap serta dakwaan mereka.

Sebabnya, mereka membuat pengakuan dan dakwaan itu sedangkan mereka masih ingin berhakimkan taghut bukan syariat Allah SWT. Mereka tidak merujuk perkara yang dipertikaikan itu kepada Allah dan rasul-Nya.”

Berhakimkan taghut

Kata-kata taghut mengikut al-Imam ibn Jarir at-Tabari ialah setiap yang menentang Allah SWT dan disembah selain Allah SWT sama ada dengan paksaan daripadanya atau ketaatan sukarela orang yang menyembahnya.

Mereka mahu berhakimkan kepada peraturan daripada syariat taghut dan tidak mahu berhakimkan syariat Allah SWT. Justeru, Allah SWT sifatkan mereka sebagai orang yang membuat dakwaan sahaja bukannya orang yang benar beriman.

Sebenarnya syaitan mahu membawa orang munafik ke dalam kesesatan yang tidak ada harapan lagi untuk mereka kembali ke pangkal jalan. Syaitan menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.

Inilah sebab sebenar yang tersembunyi di sebalik kemahuan mereka berhakimkan taghut. Inilah motif menyebabkan mereka terkeluar daripada batas keimanan. Motif itu didedahkan Allah SWT supaya mereka sedar dan pulang ke pangkal jalan.

Keimanan mutlak kepada Allah

Ia juga sebagai pengajaran kepada golongan Muslimin supaya mereka mengetahui siapakah sebenarnya yang menggerakkan kaum Munafikin dan berdiri di belakang mereka. Justeru, keimanan mutlak kepada Allah SWT dan Rasul-Nya satu-satunya jalan mencapai keredaan-Nya.

Iman yang akan mencipta kekuatan rohani dan mencetuskan kecintaan kita kepada ibadah sehingga menjadi suatu keperluan yang menggembirakan. Sebenarnya, iman bukan sahaja jalan menuju kebahagiaan akhirat, malah jalan kebahagiaan di dunia yang diimpikan setiap orang.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: