Bagaimanapun, tidak semudah itu, menghadapi sakaratulmaut atau saat kematian merupakan detik paling menyakitkan apabila roh ditarik keluar daripada jasad.

Lebih menyakitkan tambahnya, bagi mereka yang tidak beriman kepada Allah SWT atau dikategorikan sebagai kematian suulkhatimah (kematian yang buruk) kerana roh direntap keluar oleh malaikat mengikut tahap ketakwaan masing-masing.

“Ramai yang menganggap kematian itu mudah. Seakan-akan malaikat maut mengambil roh daripada jasad manusia seperti mengeluarkan air daripada tubuh. Mereka menganggap proses kematian itu hanya sebentar dan berakhir setakat itu sahaja.

“Ini mengapa terdapat segelintir individu yang mengambil keputusan membunuh diri apabila mempunyai masalah atau untuk lari daripada tekanan dunia,”

Beliau berkata, sehinggakan sakit kematian turut diakui oleh individu paling mulia di sisi Allah iaitu Nabi Muhammad SAW ketika baginda ingin dicabut nyawa oleh malaikat.

“Ketika saat-saat akhir Rasulullah, terdapat di sisinya satu bekas air. Baginda mencelupkan tangannya dan kemudian menyapu wajahnya dengan air itu lalu berkata: “Tiada Tuhan selain Allah, sesungguhnya kematian ini kesakitannya teramat sangat hingga memabukkan. Ya Allah, bantulah aku mendepani sakaratulmaut ini.

Lalu Rasulullah mengangkat jari kirinya ke langit lalu berkata: Allahumma rafiqul a’laa (Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi) sebelum baginda wafat. Hadis diriwayatkan oleh Aisyah r.a berkata: “Adalah akhir kalimah yang diucapkan oleh nabi ialah Allahumma rafiqul a’laa.” – Riwayat Bukhari.

“Bayangkan, jika keadaan seperti ini dilalui oleh seorang yang sangat dekat dengan Allah, kekasih Allah, bagaimana pula kita yang sering melakukan dosa. Bersediakah kita untuk mati, adakah kita masih menganggap kematian itu indah?,” katanya.

Berkongsi pengalaman, Tawfique yang juga seorang doktor di sebuah hospital di Australia berkata, dia tidak pernah melihat seorang pun pesakit mati dalam keadaan mudah sepanjang berkhidmat di wad kecemasan.

“Sejak menjadi doktor, saya telah menyaksikan ramai pesakit meninggal dunia dalam pelbagai keadaan. Namun, saya tidak pernah melihat seorang pun daripada mereka mati dengan mudah, saya juga tidak pernah melihat seorang pun daripada mereka memperoleh kematian yang disebut ‘kematian yang manis’.

“Sebaliknya mereka dilihat sangat sukar dan berat menempuh kematian, sehinggakan kami terpaksa menenangkan mereka dengan memberi pelbagai ubat untuk menstabilkan mereka termasuk menyuntik morfin bagi mengurangkan seksaan kematian.

“Sungguh saya katakan, inilah (kematian) situasi yang paling kritikal, saat genting. Oleh itu, ubahlah mentaliti kita daripada membayangkan kematian itu mudah dan ringkas, sedangkan hakikatnya kita tidak mengetahui keadaan sebenarnya,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan umat Islam supaya mempersiapkan diri untuk menempuh sakaratulmaut dan kehidupan selepas kematian dengan memperbanyakkan amal ibadah dan ketakwaan kepada Allah.

“Ketahuilah hidup dan mati mempunyai cabaran dan kesulitan tersendiri, kematian bukan pengakhiran kepada kita, sebaliknya permulaan hidup di alam lain (barzakh).

“Sebelum Rasulullah SAW wafat, Baginda berpesan maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunah Rasulullah.” – Riwayat Imam Malik

“Penuhilah hidup kita melakukan amal kebajikan dan jangan sesekali melanggar perintah Allah, mudah-mudahan kita semua memperoleh kejayaan di dunia dan kesenangan di akhirat,” ujarnya.