Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kisah Maryam, Nabi Isa dalam al-Quran

Posted by epondok di Julai 29, 2017


Oleh Syafiq Zulakifli

 

Kisah Nabi Isa yang dibicarakan dalam al-Quran bukan sahaja merangkumi perjalanan seorang Nabi yang tidak mempunyai bapa, tetapi mengenai kisah ibunya Maryam dengan Allah SWT dan malaikat Jibril. Maryam berhadapan kaumnya
dan Nabi Isa berhadapan golongan Hawariyyun, Bani Israel serta ahli kitab.

Perbincangan minggu lalu membicarakan kisah Yakjuj dan Makjuj serta dajal yang akhirnya dapat ditawan oleh Nabi Isa. Kali ini, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman dalam program Ibrah membicarakan beberapa dialog yang dirakamkan oleh al-Quran melalui kisah Nabi Isa ini.

Pertama, dialog antara Maryam dengan Allah SWT dan malaikat Jibril dalam al-Quran. Malaikat Jibril menyatakan, Allah SWT telah menyucikan Maryam dan memilihnya melebihi seluruh perempuan yang sezaman dengannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu dan menyucikanmu dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).” (Surah Ali-Imran, ayat 42)

Selain itu, Allah SWT juga merakamkan kisah Jibril menasihati Maryam supaya mentaati Allah SWT dengan mengerjakan solat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu dan sujudlah serta rukuklah bersama orang yang rukuk.” (Surah Ali-Imran, ayat 43)

Kekuatan keimanan Maryam itu sering kali teruji apabila berhadapan Bani Israel, tetapi Allah SWT sentiasa bersama Maryam bagi menjawab setiap persoalan yang dibangkitkan mereka.

Keistimewaan Nabi Isa

Allah SWT telah mengurniakan beberapa keistimewaan dan mukjizat kepada Nabi Isa serta memelihara Baginda daripada dibunuh oleh Bani Israel. Dengan nikmat dan pertolongan itulah, maka Allah SWT meminta Baginda Nabi Isa supaya mengingati-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai Isa ibn Maryam! Kenanglah nikmat-Ku kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa, dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis, membaca dan hikmah pengetahuan, khasnya kitab Taurat dan kitab Injil dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izin-Ku, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah dia seekor burung dengan izin-Ku dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izin-Ku dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang yang mati dengan izin-Ku dan ingatlah ketika Aku menghalangi Bani Israel daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan (mukjizat), lalu orang yang kafir di antara mereka berkata: Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata.” (Surah Al-Maidah, ayat 110)

Begitulah kelebihan yang ada pada seorang Nabi yang tetap beriman serta mengajak kepada kaumnya untuk turut sama mentaati perintah Allah SWT. Selain daripada itu, Nabi Isa juga berhadapan kerenah Bani Israel.

Seru Bani Israel sembah Allah SWT

Nabi Isa menyeru Bani Israel supaya menyembah Allah SWT dan jangan menyekutukan-Nya seperti dijelaskan melalui ayat Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Bani Israel! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu, bahawa sesiapa mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka serta tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.” (Surah Al-Maidah, ayat 72)

Nabi Isa juga menerangkan kepada Bani Israel hakikat diutuskan Baginda untuk menyeru kebaikan kepada mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa hikmah (ajaran Tuhan) dan untuk menerangkan kepada kamu sebahagian daripada perkara agama yang kamu berselisih padanya. Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.” (Surah az-Zukhruf, ayat 63)

Baginda juga menyatakan perutusannya daripada Allah SWT adalah untuk mengesahkan kebenaran kitab Taurat selain menghalalkan beberapa perkara yang telah diharamkan kepada mereka.

Ini dijelaskan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan juga (aku datang kepada kamu) ialah untuk mengesahkan kebenaran kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian perkara yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.” (Surah Ali-Imran, ayat 50)

Sampaikan risalah Allah SWT

Kebenaran Nabi Isa untuk menyampaikan risalah Allah SWT juga kerana berhadapan dengan golongan ahli kitab. Walau bagaimanapun, Allah SWT meminta supaya ahli kitab tidak melampaui batas dalam perkara agama dan tidak mengatakan Tuhan itu tiga seperti yang didakwa mereka.

Ini dinyatakan menerusi ayat Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Ahli Kitab! (Yahudi dan Nasrani) Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. Sesungguhnya Al-Masih Isa ibn Maryam itu hanyalah pesuruh Allah dan kalimah Allah yang telah disampaikannya kepada Maryam dan roh daripadanya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: Tuhan itu tiga. Berhentilah daripada mengatakan yang demikian, supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Bahawa Allah ialah Tuhan yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jugalah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi pengawal (yang mentadbir sekalian makhluknya).” (Surah an-Nisa, ayat 171)

Begitulah beberapa kisah yang diceritakan melalui dialog antara Nabi Isa dan pengikutnya sama ada golongan
Hawariyun, Bani Israel dan ahli Kitab. Dialog dalam al-Quran untuk menjelaskan kebenaran al-Quran dan menguatkan keimanan Nabi Isa, Rasul yang diberikan Injil kepadanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: