Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Taubat, muhasabah harungi ujian

Posted by epondok di Julai 24, 2017


SENTIASA berdoa memohon petunjuk dan kemaafan daripada Allah SWT.- Foto hiasan

KEHIDUPAN manusia seperti berada di dewan peperiksaan yang perlu menjawab pelbagai soalan. Jika kita gagal dalam peperiksaan itu, ia bukanlah salah soalan tetapi kerana salah jawapan yang diberikan.

Antara soalan dan ujian kehidupan ialah kegagalan, kesakitan, kesedihan, perpisahan, kematian dan sebagainya. Orang yang beriman juga tidak terkecuali untuk mendapat ujian daripada Allah SWT, malah ada kala lebih mencabar dugaannya untuk ditempuhi.

Sesungguhnya ujian adalah anugerah daripada Allah SWT dalam membentuk peribadi dan meletakkan darjat manusia di tempat yang mulia di sisi-Nya. Begitulah perkongsian Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm membicarakan topik ‘Bila Diri Diuji.’

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk, ayat 2)

Mesej utama yang disampaikan dalam ayat itu ialah Allah SWT mendatangkan ujian untuk mengetahui siapakah yang terbaik amalannya. Setiap ujian itu sememangnya terkandung hikmah yang memberi kebaikan.

Sebagai manusia yang menjadi hamba dan khalifah di muka bumi, yakin serta percayalah setiap ujian diberi panduan serta bantuan untuk menempuhnya, iaitu rujukan daripada al-Quran, hadis dan contoh teladan ditunjukkan Rasulullah SAW.

Allah SWT tidak akan memberi ujian di luar kemampuan kita, justeru, bersangka baiklah kepada-Nya kerana di sebalik kepahitan ujian itu ada kebaikan.

Walaupun manusia tidak dapat mentafsirkan hikmah di sebalik ujian, Allah SWT tidak melepaskan sifat kasih sayang serta keadilan dalam ketentuan-Nya.

Bersangka baik dengan ujian

Selain bersangka baik kepada Allah SWT, ujian dan dugaan perlu ditempuhi dengan bermuhasabah diri, bertaubat serta mempertingkatkan ketakwaan kepada-Nya. Sebagai hamba penuh kekurangan, kita perlu bertaubat daripada dosa kepada Allah SWT atau sesama manusia.

Sifat mazmumah atau dosa yang terdapat dalam diri mesti dihapuskan dengan memohon maaf. Berhentilah melakukan dosa dan kesalahan serta berazam tidak mengulanginya.

Perkasakan ibadah wajib dan tingkatkan ibadah sunat seperti solat sunat mahupun sedekah. Ibadah itu perlu dimantapkan serta seimbang menerusi ibadah berbentuk ‘hablun minannas’ mahupun ‘hablun minallah’.

Tebus dosa dengan taubat

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Apa juga kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah daripada Allah dan apa juga bencana yang menimpamu maka ia adalah daripada (kesalahan) dirimu sendiri.” (Surah an-Nisa, ayat 79)

Pengajaran daripada ayat itu memberi keyakinan bahawa kita mempunyai dosa yang perlu ditebus dengan taubat kepada Allah SWT serta janganlah kita menyalahkan orang lain.

Kesinambungan terhadap ujian oleh Allah SWT dengan pelaksanaan ibadah, taubat serta doa adalah rencah utama menjadikan diri bersih daripada kesalahan dan dosa.

Oleh itu, beringatlah selalu bahawa kepedihan menghadapi ujian bergantung kepada hati dan kekuatan iman bukannya beratnya ujian itu.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: