Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Adab ziarah, sambut raya ikut syariat

Posted by epondok di Julai 9, 2017


Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof

FALSAFAH sambutan perayaan dalam agama Islam seperti Aidilfitri dan Aidiladha sangat menarik kerana ia mempunyai kaitan dengan syariat Islam. Diriwayatkan, Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedang penduduknya sibuk bergembira selama dua hari. Maka Baginda bertanya: “Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman jahiliah. Kemudian Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah SWT menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.” (Riwayat Abu Daud dan al-Nasai)

Aidilfitri hari umat Islam menyambut kemenangan berjaya mengawal nafsu makan dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan dan dengan sendirinya dapat menghalang diri melakukan perkara dilarang. Pada siri perbincangan dalam rancangan Pesona D’ Zahra di IKIMfm, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin memberi panduan kepada umat Islam mengenai adab tertentu yang perlu dijaga ketika berziarah bukan sahaja pada hari raya, malah pada bila-bila masa juga.

Perkara itu jelas terkandung firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali kamu dijemput untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu-nunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput, maka masuklah (pada waktu ditetapkan); kemudian setelah kamu makan, maka hendaklah masing-masing bersurai dan janganlah duduk bersenang-senang dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu menyakiti dan menyusahkan Nabi sehingga Baginda merasa malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran.” (Surah al-Ahzab, ayat 53)

Tingkat silaturahim, ukhuwah Agama Islam sangat menggalakkan umatnya sentiasa berusaha memperbaiki dan mempertingkatkan silaturahim dan ukhuwah. Menurut Muhammad, amalan ziarah adalah sunat dan dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW. Malah, mereka yang mengamalkannya mampu dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki oleh Allah SWT.

Seterusnya, menghadiri jemputan dan undangan sebagai tetamu adalah fardu ain atau wajib selagi individu yang dijemput tidak ada keuzuran yang menghalang menghadiri jemputan itu. Memandangkan tuan rumah yang menjemput telah melakukan persediaan rapi, maka dalam hal ini sewajarnya individu yang diundang perlu memiliki sifat bertimbang rasa dengan memenuhi undangan berkenaan.

Di samping itu, ayat itu juga memberi isyarat kepada orang beriman bahawa perbuatan tetamu akan menjadi haram jika ia memudaratkan diri dan orang lain. Contohnya, menziarahi orang sakit hendaklah memilih waktu yang sesuai dan memiliki kematangan dalam berziarah. Jika dilihat orang yang uzur itu perlu berehat, maka cukuplah sekadar berjumpa dan berbual dengan ahli keluarga terdekat sahaja.

Sebagai tetamu, tidak sepatutnya bebas melakukan apa sahaja di rumah orang kerana perbuatan itu dianggap makruh, akan mengganggu dan tidak disenangi tuan rumah. Hormati tuan rumah Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memasuki majlis sesuatu kaum, hendaklah dia duduk di tempat yang telah disediakan kerana kaum itu (tuan rumah) lebih mengetahui aib rumah mereka.”

Oleh itu, elakkan sengaja menunggu sambil berbual dalam jangka masa lama. Hormatilah tuan rumah dan orang di sekeliling dengan memakai pakaian bersesuaian supaya hari raya disambut berlandaskan syariat ditetapkan supaya tidak dicemari amalan yang menyalahi syarak.

Sebaik-baiknya gembira yang kita ingin kecapi daripada hari kemenangan itu mendatangkan bahagia atas keimanan, ukhuwah dan mampu menjalinkan silaturahim. Mudah-mudahan kegembiraan menjadi pahala, bukan mendatangkan kemurkaan daripada Allah SWT.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: