Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Julai 2017

Mati saat paling memeritkan

Posted by epondok di Julai 31, 2017

Susunan Mohd. Shah Che Ahmad

 

WALAUPUN dalam keadaan sihat, tiada siapa dapat menjamin mampu hidup walaupun sesaat lagi. Begitulah hakikat kematian bagi setiap individu bernyawa apabila sudah tiba masa dijemput Ilahi.

Bagaimanapun, tidak semudah itu, menghadapi sakaratulmaut atau saat kematian merupakan detik paling menyakitkan apabila roh ditarik keluar daripada jasad.

Lebih menyakitkan tambahnya, bagi mereka yang tidak beriman kepada Allah SWT atau dikategorikan sebagai kematian suulkhatimah (kematian yang buruk) kerana roh direntap keluar oleh malaikat mengikut tahap ketakwaan masing-masing.

“Ramai yang menganggap kematian itu mudah. Seakan-akan malaikat maut mengambil roh daripada jasad manusia seperti mengeluarkan air daripada tubuh. Mereka menganggap proses kematian itu hanya sebentar dan berakhir setakat itu sahaja.

“Ini mengapa terdapat segelintir individu yang mengambil keputusan membunuh diri apabila mempunyai masalah atau untuk lari daripada tekanan dunia,”

Beliau berkata, sehinggakan sakit kematian turut diakui oleh individu paling mulia di sisi Allah iaitu Nabi Muhammad SAW ketika baginda ingin dicabut nyawa oleh malaikat.

“Ketika saat-saat akhir Rasulullah, terdapat di sisinya satu bekas air. Baginda mencelupkan tangannya dan kemudian menyapu wajahnya dengan air itu lalu berkata: “Tiada Tuhan selain Allah, sesungguhnya kematian ini kesakitannya teramat sangat hingga memabukkan. Ya Allah, bantulah aku mendepani sakaratulmaut ini.

Lalu Rasulullah mengangkat jari kirinya ke langit lalu berkata: Allahumma rafiqul a’laa (Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi) sebelum baginda wafat. Hadis diriwayatkan oleh Aisyah r.a berkata: “Adalah akhir kalimah yang diucapkan oleh nabi ialah Allahumma rafiqul a’laa.” – Riwayat Bukhari.

“Bayangkan, jika keadaan seperti ini dilalui oleh seorang yang sangat dekat dengan Allah, kekasih Allah, bagaimana pula kita yang sering melakukan dosa. Bersediakah kita untuk mati, adakah kita masih menganggap kematian itu indah?,” katanya.

Berkongsi pengalaman, Tawfique yang juga seorang doktor di sebuah hospital di Australia berkata, dia tidak pernah melihat seorang pun pesakit mati dalam keadaan mudah sepanjang berkhidmat di wad kecemasan.

“Sejak menjadi doktor, saya telah menyaksikan ramai pesakit meninggal dunia dalam pelbagai keadaan. Namun, saya tidak pernah melihat seorang pun daripada mereka mati dengan mudah, saya juga tidak pernah melihat seorang pun daripada mereka memperoleh kematian yang disebut ‘kematian yang manis’.

“Sebaliknya mereka dilihat sangat sukar dan berat menempuh kematian, sehinggakan kami terpaksa menenangkan mereka dengan memberi pelbagai ubat untuk menstabilkan mereka termasuk menyuntik morfin bagi mengurangkan seksaan kematian.

“Sungguh saya katakan, inilah (kematian) situasi yang paling kritikal, saat genting. Oleh itu, ubahlah mentaliti kita daripada membayangkan kematian itu mudah dan ringkas, sedangkan hakikatnya kita tidak mengetahui keadaan sebenarnya,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan umat Islam supaya mempersiapkan diri untuk menempuh sakaratulmaut dan kehidupan selepas kematian dengan memperbanyakkan amal ibadah dan ketakwaan kepada Allah.

“Ketahuilah hidup dan mati mempunyai cabaran dan kesulitan tersendiri, kematian bukan pengakhiran kepada kita, sebaliknya permulaan hidup di alam lain (barzakh).

“Sebelum Rasulullah SAW wafat, Baginda berpesan maksudnya: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya, iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunah Rasulullah.” – Riwayat Imam Malik

“Penuhilah hidup kita melakukan amal kebajikan dan jangan sesekali melanggar perintah Allah, mudah-mudahan kita semua memperoleh kejayaan di dunia dan kesenangan di akhirat,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/mati-detik-paling-memeritkan-1.508564#ixzz4oONNlupw
© Utusan Melayu (M) Bhd

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Ambil iktibar kisah orang soleh

Posted by epondok di Julai 30, 2017

Oleh Mohd Faiz Othman

 

Nabi SAW bersabda: “Hendaklah kamu duduk bersama dengan ulama (duduk di dalam majlis ilmu mereka) dan mendengar perkataan hukama’ kerana Allah SWT menghidupkan hati yang mati dengan nur hikmah seperti Allah SWT menghidupkan bumi yang mati dengan air hujan.” – Gambar hiasan

Islam mempunyai ramai tokoh dan ilmuwan yang boleh dijadikan pedoman Mukmin. Mencontohi perbuatan mereka sangat dituntut dan ganjaran mengingati dan mengikuti kisah mereka turut dijanjikan. Ikuti penerangan Ustaz Muhadir Joll dalam rancangan terbaru di IKIMfm menerusi program Ibrah (Salafus Soleh).

Syair Arab menyebut: “Hendaklah kamu mencontohi orang yang mulia walaupun kamu tidak seperti mereka, kerana mengikuti orang yang mulia itu satu kejayaan.”

Jika mengikuti orang yang mulia sudah dikatakan satu kejayaan, inikan pula mengikut sahabat dan golongan tabi’in. Saidina Sufyan Ibn Uyainah menyebut, ketika disebut nama orang soleh, akan turun rahmat.

Begitulah mukadimah segmen terbaru di IKIMfm, Ibrah (Salafus Soleh) yang bersiaran setiap Isnin, 5.15 petang menggantikan Hayatus Sahabah bersama Ustaz Muhadir Joll.

Saidina Abdullah Ibn Umar pernah menyebut, sesiapa yang mahu mengambil iktibar mahupun pengajaran, hendaklah dia mengambil pengajaran orang yang sudah mati.

Mengapa begitu? Persoalan itu dijawab oleh Saidina Ibn Mas’ud: “Hendaklah kamu ikut jejak langkah kehidupan orang yang sudah mati kerana orang yang hidup tidak mungkin selamat sepenuhnya daripada fitnah.”

Muhadir turut berkongsi mengenai kelebihan mempelajari kisah orang soleh antaranya akan dihapuskan dosa oleh Allah SWT.

Disebutkan oleh Saidina Muadz Ibn Jabal, hadis diriwayatkan oleh Imam al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus:”Menyebut kisah nabi, termasuk ibadat. Menyebut kisah orang soleh, penghapus dosa. Mengingati kematian adalah sedekah dan mengingatkan kubur akan mendekatkan kamu kepada syurga.”

Mendengar kisah orang soleh boleh menghidupkan hati yang mati. As-Syeikh Othman menyebut di dalam kitabnya, Irsyadul ‘Ibad bahawa Nabi SAW bersabda: “Hendaklah kamu duduk bersama dengan ulama (duduk di dalam majlis ilmu mereka) dan mendengar perkataan hukama’ kerana Allah SWT menghidupkan hati yang mati dengan nur hikmah seperti Allah SWT menghidupkan bumi yang mati dengan air hujan.”

Teguhkan hati dengar kisah tentera

Jika kita mendengar kisah orang soleh yang juga menjadi tentera Allah SWT, akan meneguh dan mententeramkan hati. Al-Imam Junaid al-Baghdadi mengatakan, kisah orang soleh adalah tentera daripada tentera Allah SWT. Allah SWT menetapkan hati kekasih-Nya dengan kisah itu.”

Mendengarkan kisah orang soleh untuk mendapatkan ibrah dan pengajaran bukanlah perkara sia-sia. Kisah mereka adalah satu pengalaman yang tidak akan berbohong kerana pengalaman itu sudah ditempuhi mereka.

Maka, apa yang dilalui mereka itu dan dijadikan pengalaman perlu kita ambil sebagai pengajaran terhadap perkara baik yang mereka lakukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka (nabi) itulah, orang yang diberi petunjuk oleh Allah SWT, maka turutlah olehmu (wahai Muhammad) akan petunjuk mereka.” (Surah al-An’am, ayat 90)

Al-Imam Abu Hanifah mengatakan: “Hikayat mengenai ulama dan kebaikan mereka itu, lebih aku sukai daripada banyaknya ilmu fekah kerana hikayat ini memuatkan adab dan akhlak mereka itu.”

Ada kala kisah mereka itu menjadi teladan yang juga terdapat hukum-hakam mengenai perkara agama. Menurut Muhammad Ibn Yunus, tidak ada yang lebih memberi manfaat bagi hati selain mendengar riwayat orang soleh.

Antaranya apabila kita mendengarkan kisah orang soleh terdahulu berdepan ujian hidup yang lebih hebat berbanding kita. Pastinya ini menjadi ubat hati untuk reda dan terima setiap daripada ujian Allah SWT yang mungkin jauh lebih ringan daripada ujian mereka yang terdahulu.

Malek Ibn Dinar menyatakan, cerita orang soleh adalah permata syurga yang sangat mahal untuk kita pelajari. Maka, beruntunglah kita yang berjaya mempelajari kisah mereka.

Ulama lain mengatakan, pelajarilah kisah orang soleh kerana ia adalah butiran mutiara. Kemungkinan terdapat dalam kalangan mutiara itu, satu mutiara yang sangat mahal dan memberi nilai yang mahal juga dalam hidup kita.

Beri semangat lakukan kebaikan

Selain itu, kisah orang soleh juga menghiburkan hati, menyegarkan fikiran dan memberikan semangat untuk melakukan kebaikan. Ulama hadis terdahulu menganjurkan kisah menyentuh perasaan dalam pengajian hadis kerana ia dapat menghiburkan hati serta menyegarkan fikiran.

Muhadir turut berkongsi mengenai adab apabila mendengar nama orang soleh. Imam al-Nawawi menyebut: “Ketika nama seorang sahabat nabi disebut, kita dianjurkan untuk menyebut radhiAllahuanhu. Jika mendengar nama orang soleh, sunat kita baca rahimahullah.

Begitulah bagaimana kisah orang soleh banyak memberi pengajaran dalam kehidupan dan kita seharusnya mengambil iktibar serta teladan atas setiap perkara kebaikan yang mereka lakukan.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Kisah Maryam, Nabi Isa dalam al-Quran

Posted by epondok di Julai 29, 2017

Oleh Syafiq Zulakifli

 

Kisah Nabi Isa yang dibicarakan dalam al-Quran bukan sahaja merangkumi perjalanan seorang Nabi yang tidak mempunyai bapa, tetapi mengenai kisah ibunya Maryam dengan Allah SWT dan malaikat Jibril. Maryam berhadapan kaumnya
dan Nabi Isa berhadapan golongan Hawariyyun, Bani Israel serta ahli kitab.

Perbincangan minggu lalu membicarakan kisah Yakjuj dan Makjuj serta dajal yang akhirnya dapat ditawan oleh Nabi Isa. Kali ini, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman dalam program Ibrah membicarakan beberapa dialog yang dirakamkan oleh al-Quran melalui kisah Nabi Isa ini.

Pertama, dialog antara Maryam dengan Allah SWT dan malaikat Jibril dalam al-Quran. Malaikat Jibril menyatakan, Allah SWT telah menyucikan Maryam dan memilihnya melebihi seluruh perempuan yang sezaman dengannya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu dan menyucikanmu dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).” (Surah Ali-Imran, ayat 42)

Selain itu, Allah SWT juga merakamkan kisah Jibril menasihati Maryam supaya mentaati Allah SWT dengan mengerjakan solat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu dan sujudlah serta rukuklah bersama orang yang rukuk.” (Surah Ali-Imran, ayat 43)

Kekuatan keimanan Maryam itu sering kali teruji apabila berhadapan Bani Israel, tetapi Allah SWT sentiasa bersama Maryam bagi menjawab setiap persoalan yang dibangkitkan mereka.

Keistimewaan Nabi Isa

Allah SWT telah mengurniakan beberapa keistimewaan dan mukjizat kepada Nabi Isa serta memelihara Baginda daripada dibunuh oleh Bani Israel. Dengan nikmat dan pertolongan itulah, maka Allah SWT meminta Baginda Nabi Isa supaya mengingati-Nya.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai Isa ibn Maryam! Kenanglah nikmat-Ku kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul Qudus (Jibril), iaitu engkau dapat berkata-kata dengan manusia (semasa engkau masih kecil) dalam buaian dan sesudah dewasa, dan (ingatlah) ketika Aku mengajarmu menulis, membaca dan hikmah pengetahuan, khasnya kitab Taurat dan kitab Injil dan (ingatlah) ketika engkau jadikan dari tanah seperti bentuk burung dengan izin-Ku, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah dia seekor burung dengan izin-Ku dan (ingatlah ketika) engkau menyembuhkan orang buta dan orang sopak dengan izin-Ku dan (ingatlah) ketika engkau menghidupkan orang yang mati dengan izin-Ku dan ingatlah ketika Aku menghalangi Bani Israel daripada membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa keterangan (mukjizat), lalu orang yang kafir di antara mereka berkata: Bahawa ini hanyalah sihir yang terang nyata.” (Surah Al-Maidah, ayat 110)

Begitulah kelebihan yang ada pada seorang Nabi yang tetap beriman serta mengajak kepada kaumnya untuk turut sama mentaati perintah Allah SWT. Selain daripada itu, Nabi Isa juga berhadapan kerenah Bani Israel.

Seru Bani Israel sembah Allah SWT

Nabi Isa menyeru Bani Israel supaya menyembah Allah SWT dan jangan menyekutukan-Nya seperti dijelaskan melalui ayat Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Bani Israel! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu, bahawa sesiapa mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka serta tiadalah seorang penolong pun bagi orang yang berlaku zalim.” (Surah Al-Maidah, ayat 72)

Nabi Isa juga menerangkan kepada Bani Israel hakikat diutuskan Baginda untuk menyeru kebaikan kepada mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa hikmah (ajaran Tuhan) dan untuk menerangkan kepada kamu sebahagian daripada perkara agama yang kamu berselisih padanya. Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.” (Surah az-Zukhruf, ayat 63)

Baginda juga menyatakan perutusannya daripada Allah SWT adalah untuk mengesahkan kebenaran kitab Taurat selain menghalalkan beberapa perkara yang telah diharamkan kepada mereka.

Ini dijelaskan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan juga (aku datang kepada kamu) ialah untuk mengesahkan kebenaran kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian perkara yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.” (Surah Ali-Imran, ayat 50)

Sampaikan risalah Allah SWT

Kebenaran Nabi Isa untuk menyampaikan risalah Allah SWT juga kerana berhadapan dengan golongan ahli kitab. Walau bagaimanapun, Allah SWT meminta supaya ahli kitab tidak melampaui batas dalam perkara agama dan tidak mengatakan Tuhan itu tiga seperti yang didakwa mereka.

Ini dinyatakan menerusi ayat Allah SWT yang bermaksud: “Wahai Ahli Kitab! (Yahudi dan Nasrani) Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. Sesungguhnya Al-Masih Isa ibn Maryam itu hanyalah pesuruh Allah dan kalimah Allah yang telah disampaikannya kepada Maryam dan roh daripadanya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengatakan: Tuhan itu tiga. Berhentilah daripada mengatakan yang demikian, supaya menjadi kebaikan bagi kamu. Bahawa Allah ialah Tuhan yang Maha Esa, Maha Suci Allah daripada mempunyai anak. Bagi Allah jugalah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan cukuplah Allah menjadi pengawal (yang mentadbir sekalian makhluknya).” (Surah an-Nisa, ayat 171)

Begitulah beberapa kisah yang diceritakan melalui dialog antara Nabi Isa dan pengikutnya sama ada golongan
Hawariyun, Bani Israel dan ahli Kitab. Dialog dalam al-Quran untuk menjelaskan kebenaran al-Quran dan menguatkan keimanan Nabi Isa, Rasul yang diberikan Injil kepadanya.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Keilmuan Imam Syafie sinari Islam hingga kini

Posted by epondok di Julai 28, 2017

Oleh Mohd Faiz Othman

 

Ketokohan Imam Syafie terserlah sejak beliau kecil lagi. Kebolehan beliau menghafal al-Quran ketika berusia tujuh tahun dan kitab Muwatta’ dalam masa sembilan hari sahaja membuktikan kecerdikan beliau. Menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) di IKIMfm, Ustaz Muhadir Joll berkongsi kisah Imam Syafie.

Mencintai dan meneladani orang soleh adalah satu kejayaan. Disebutkan di dalam sebuah syair Arab yang bermaksud: “Maka hendaklah kamu mencontohi orang yang mulia walaupun kamu tidak seperti mereka kerana mencintai orang mulia itu adalah satu kejayaan.”

Menerusi segmen Ibrah (Salafus Soleh) yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin, Ustaz Muhadir Joll berkongsi kisah mengenai Imam as-Syafie.

Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya nanti akan hadir seorang yang berketurunan Quraisy yang mana ilmunya memenuhi dunia.” Imam Ahmad ibn Hambal yang menghafal sejuta hadis, katanya: “Orang yang disebutkan di dalam hadis itu adalah guruku, Imam as-Syafie.”

Imam Syafie berketurunan Rasulullah SAW, ahli feqah bagi umat dan penolong kepada sunah. Beliau lahir di Gaza, Palestin pada hari yang sangat mulia, Jumaat juga pada bulan yang mulia, iaitu Rejab pada 150 Hijrah.

Tahun yang sama pada hari yang sama, meninggal dua orang ulama yang besar, Imam Abu Hanifah di Baghdad dan Imam Ibnu Juraih di Makkah. Beliau adalah seorang yang tinggi serta memiliki pipi yang bujur. Lehernya panjang serta bahu dan betisnya tegap. Wajahnya kacak dan kemerah-merahan.

Pentingkan ilmu, bahasa

Imam Syafie sangat mementingkan ilmu dan bahasa kerana baginya bahasa adalah kunci kepada ilmu. Beliau ingin benar-benar mempelajari bahasa Arab yang fasih sehingga beliau ke satu kawasan Bani Huzail kerana di kawasan tersebut mereka paling fasih berbahasa Arab.

Ulama itu mendalami bahasa dan sastera Arab sehingga suatu hari beliau berjumpa dengan seorang Badwi di kawasan perkampungan Bani Huzail.

Lalu Badwi tersebut bertanya kepada Imam Syafie mengenai persoalan haid menerusi fiqh. Mendengarkan soalan itu, Imam Syafie menjawab: “Aku tidak tahu.” Lantas Badwi itu berkata kepada Imam Syafie: “Wahai anak saudaraku, sesungguhnya kefarduan itu ilmu fiqh lebih penting lagi daripada ilmu yang sunat (ilmu bahasa).” Imam Syafie kemudian lantas berfikir.

Satu peristiwa yang lain Imam Syafie ditanya oleh penjaga Kaabah mengenai perihalnya mempelajari ilmu bahasa.

Kemudian Imam Syafie berfikir. Penjaga Kaabah itu kemudian berkata: “Belajarlah fiqh nescaya kamu akan diangkatkan darjatmu oleh Allah SWT.”

Kata Imam Syafie: “Aku mendapat manfaat daripada Allah SWT melalui perkataan orang itu. Lalu aku belajar ilmu hadis melalui Imam Sufyan Ibn Yunainah. Kemudian aku belajar dan duduk bersama guruku, Imam Muslim ibn Khalid mengenai ilmu fiqh. Aku kemudian mendekati Imam Malik untuk mempelajari sejarah, namun Imam Malik katakan: “Hendaklah kamu mempelajari fiqh akan diangkatkan darjatmu.”

Ketokohan terserlah sejak kecil

Imam Syafie menghafal al-Quran ketika usia tujuh tahun dan menghafal kitab Muwatta’ Imam Malik ketika berusia 10 tahun. Beliau menghafal kitab Muwatta’ yang memiliki hampir 70,000 hadis dalam masa sembilan malam.

Ketika Imam Syafie mendatangi Imam Malik untuk mempelajari kitab Muwatta’ itu, beliau membacakan keseluruhan kitab itu sehingga khatam tanpa melihat kepada teks kitab itu. Selepas itu, beliau bertanyakan persoalan agama kepada Imam Malik. Bersilih ganti soalan demi soalan beliau ajukan kepada Imam Malik. Lalu Imam Malik mengatakan: “Kamu ini seolah-olah mahu menjadi kadi.”

Dari segi keluasan ilmu Imam Syafie, Al-Qadi Yahya Ibn Mansoor berkata: “Aku bertanya kepada Imam kepada imam para hadis, Imam Ibn Khuzaimah, adakah tuan tahu mengenai sunah Rasulullah SAW yang berkaitan halal dan haram yang tidak diletakkan oleh Imam Syafie di dalam kitabnya?” Beliau katakan: “Tidak, kerana seluruh hadis itu berada di dalam kitab Imam As-Syafie.”

Keilmuan Imam Syafie bukan sahaja diperakui rakan, bahkan guru beliau, Imam Sufyan Ibn Yunainah. Ketika berusia 15 tahun sudah diizinkan oleh gurunya, Imam Muslim ibn Khalid al-Zanji untuk memberi fatwa. Begitu hebat ketokohan dan keilmuan Imam Syafie untuk kita teladani dan hayati kisahnya.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

DAURAH HADIS ARBAIN FIL KABAIR

Posted by epondok di Julai 27, 2017

🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼🌼

🌸ANJURAN : *MASJID MUHAMMADI KOTA BHARU*

🌸BERSAMA : *ALFADHIL TUAN GURU SHEIKH MUHAMMAD NURUDDIN ALBANJARI*

🌸TARIKH : *3 & 4 ZULKAEDAH 1438H/ 27 & 28 JULAI 2017H*

🌸TENTATIF:

🌼SESI I : *KHAMIS MLM JUMAAT JAM 9 MALAM*

🌼SESI II : *PAGI JUMAAT JAM 11 PAGI*

SESI III : *JUMAAT MLM SABTU JAM 9 MALAM*

🌼TEMPAT : *MASJID MUHAMMADI KOTA BHARU*

🌼🌸🌼🌸🌼🌸🌼🌸🌼🌸🌼🌸🌼🌸🌼🌸

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR BERAMAI-RAMAI.

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Rahsia kebahagiaan sebenar

Posted by epondok di Julai 27, 2017

APABILA melihat individu yang kaya, pastinya terlintas dalam hati segelintir yang beranggapan alangkah bahagianya hidup insan itu kerana memperoleh segala diingini di dunia.

Namun hakikatnya kita tidak menyedari bahawa individu itu sentiasa bimbang memikirkan keselamatan hartanya. Begitu juga masanya sentiasa dipenuhi dengan tugas harian yang menghalang daripada memenuhi keperluan ahli keluarga lain untuk melakukan aktiviti bersama.

Tidak dinafikan setiap insan mengimpikan kebahagiaan hidup di dunia. Namun, mengambil contoh situasi berikut, definisi bahagia membawa maksud subjektif mengikut keperluan seseorang individu tersebut.

Bagaimanapun, adakah segala usaha dalam mengecapi kebahagiaan di dunia itu akan membawa kebahagiaan yang hakiki dan kekal hingga ke alam abadi iaitu akhirat?

Hakikatnya, umat Islam perlu menyedari bahawa, dalam menyingkap rasa bahagia, Islam telah memberi panduan kepada umatnya menerusi sabda Rasulullah SAW bermaksud:

“Aku sangat kagum akan keadaan orang beriman itu. Semua urusan (dalam hidupnya) baik baginya di mana keadaan itu hanya ada pada orang beriman. Jika dia mendapat nikmat dan kebaikan, maka dia akan bersyukur, dan ia adalah sesuatu yang baik baginya. Jika dia ditimpa bencana, maka dia akan bersabar, dan itu adalah suatu yang baik baginya”. – Riwayat Muslim

Menurut hadis tersebut, Rasulullah menjelaskan bahawa hidup di dunia ini adalah anugerah dan kebaikan kepada manusia. Segala yang berlaku dalam kehidupan sama ada baik atau buruk merupakan suatu kebaikan jika mereka mengerti dan menghayati kehidupan ini dengan keimanan sebenar kepada Allah SWT.

Hanya orang beriman kepada Allah SWT merasakan bahawa hidup ini adalah medan penyempurnaan hakikat kehambaan kepada Allah. Ini kerana mereka tahu tujuan dihidupkan di dunia ini hanyalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya.

Firman Allah maksudnya: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (ad-Dzariyaat: 56)

Ramai dalam kalangan manusia gagal menikmati hidup sebagai anugerah kerana tidak memiliki rasa kehambaan kepada Allah. Akibatnya, mereka menderhaka kepada Allah dengan melanggar perintah dan larangan-Nya.

Mereka juga merasa kecewa, gundah, keluh kesah, dilanda kesedihan dan kesengsaraan dalam meneruskan kehidupan terutama ketika ditimba musibah.

Walaupun pada zahirnya tersenyum, namun jauh di sudut hatinya terdapat kekosongan yang tidak terisi oleh segala kesenangan dan kemewahan di dunia ini.

Justeru, umat Islam perlu kembali muhasabah diri dengan merasai diri sebagai hamba Allah demi memperoleh kebahagiaan hakiki.

Umat Islam juga perlu menyedari bahawa matlamat sebenar kehidupan di dunia ini ialah untuk menyembah Allah di samping mengambil iktibar pengajaran kisah silam yang berlaku kepada umat terdahulu sebagaimana diceritakan dalam al-Quran.

Antara permulaan langkah yang boleh dilakukan bagi menuju jalan Allah demi memperoleh kebahagiaan hakiki ialah dengan meningkatkan ilmu agama. Ilmu agama penting dalam menyempurnakan ibadah supaya dapat menyinari kehidupan di akhirat kelak.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya: “Sesiapa yang mempelajari ilmu agama dengan bertujuan untuk habuan dunia maka dia tidak akan dapat mencium bau syurga pada hari kiamat kelak.” – Riwayat Abu Daud.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kuliah Maghrib Ustaz Azhar Idrus di Pondok Gelang Mas 27 Julai 2017

Posted by epondok di Julai 26, 2017

Posted in Pondok Gelang Mas, Program Terbaru | Leave a Comment »

Taubat, muhasabah harungi ujian

Posted by epondok di Julai 24, 2017

SENTIASA berdoa memohon petunjuk dan kemaafan daripada Allah SWT.- Foto hiasan

KEHIDUPAN manusia seperti berada di dewan peperiksaan yang perlu menjawab pelbagai soalan. Jika kita gagal dalam peperiksaan itu, ia bukanlah salah soalan tetapi kerana salah jawapan yang diberikan.

Antara soalan dan ujian kehidupan ialah kegagalan, kesakitan, kesedihan, perpisahan, kematian dan sebagainya. Orang yang beriman juga tidak terkecuali untuk mendapat ujian daripada Allah SWT, malah ada kala lebih mencabar dugaannya untuk ditempuhi.

Sesungguhnya ujian adalah anugerah daripada Allah SWT dalam membentuk peribadi dan meletakkan darjat manusia di tempat yang mulia di sisi-Nya. Begitulah perkongsian Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi rancangan Islam Itu Indah di IKIMfm membicarakan topik ‘Bila Diri Diuji.’

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk, ayat 2)

Mesej utama yang disampaikan dalam ayat itu ialah Allah SWT mendatangkan ujian untuk mengetahui siapakah yang terbaik amalannya. Setiap ujian itu sememangnya terkandung hikmah yang memberi kebaikan.

Sebagai manusia yang menjadi hamba dan khalifah di muka bumi, yakin serta percayalah setiap ujian diberi panduan serta bantuan untuk menempuhnya, iaitu rujukan daripada al-Quran, hadis dan contoh teladan ditunjukkan Rasulullah SAW.

Allah SWT tidak akan memberi ujian di luar kemampuan kita, justeru, bersangka baiklah kepada-Nya kerana di sebalik kepahitan ujian itu ada kebaikan.

Walaupun manusia tidak dapat mentafsirkan hikmah di sebalik ujian, Allah SWT tidak melepaskan sifat kasih sayang serta keadilan dalam ketentuan-Nya.

Bersangka baik dengan ujian

Selain bersangka baik kepada Allah SWT, ujian dan dugaan perlu ditempuhi dengan bermuhasabah diri, bertaubat serta mempertingkatkan ketakwaan kepada-Nya. Sebagai hamba penuh kekurangan, kita perlu bertaubat daripada dosa kepada Allah SWT atau sesama manusia.

Sifat mazmumah atau dosa yang terdapat dalam diri mesti dihapuskan dengan memohon maaf. Berhentilah melakukan dosa dan kesalahan serta berazam tidak mengulanginya.

Perkasakan ibadah wajib dan tingkatkan ibadah sunat seperti solat sunat mahupun sedekah. Ibadah itu perlu dimantapkan serta seimbang menerusi ibadah berbentuk ‘hablun minannas’ mahupun ‘hablun minallah’.

Tebus dosa dengan taubat

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Apa juga kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah daripada Allah dan apa juga bencana yang menimpamu maka ia adalah daripada (kesalahan) dirimu sendiri.” (Surah an-Nisa, ayat 79)

Pengajaran daripada ayat itu memberi keyakinan bahawa kita mempunyai dosa yang perlu ditebus dengan taubat kepada Allah SWT serta janganlah kita menyalahkan orang lain.

Kesinambungan terhadap ujian oleh Allah SWT dengan pelaksanaan ibadah, taubat serta doa adalah rencah utama menjadikan diri bersih daripada kesalahan dan dosa.

Oleh itu, beringatlah selalu bahawa kepedihan menghadapi ujian bergantung kepada hati dan kekuatan iman bukannya beratnya ujian itu.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Buka mata hati lihat yang tersurat

Posted by epondok di Julai 23, 2017

– Gambar hiasan

Kepedihan dan kesedihan yang datang bersama dalam ujian yang kita hadapi sematkanlah dalam hati dan bersangka baik kepada Allah SWT.

Sekiranya kita belum nampak kebaikan yang Allah SWT berikan melalui takdir ujian itu menunjukkan ilmu pengetahuan kita tidak mampu mengukur dan menjangka ilmu Allah SWT yang Maha Luas.

Pujuk hati untuk menerima takdir walaupun mungkin mengambil masa untuk kita melihat kebaikan di sebalik kepahitan, kepedihan dan kesakitan yang diberikan Allah SWT.

Perkongsian Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam rancangan Islam Itu Indah bersama pendengar di IKIMfm pada setiap Rabu jam 10.15 pagi yang lalu, masih meneruskan perbincangan mengenai topik ‘Saat Diri Diuji’ (Bahagian kedua)’.

Kegagalan, kerugian, kesakitan, perpisahan dan kematian mempunyai kebaikan jika semua itu datang daripada Allah SWT. Hikmah yang berlaku itu mungkin kita tidak dapat melihat disebabkan oleh mata hati kita yang buta.

Bukalah mata hati untuk melihat sesuatu yang tersirat daripada yang tersurat supaya kita selalu dapat dihubungkan dengan Allah SWT untuk ditambahkan keimanan.

Oleh yang demikian, Pahrol terus mengingatkan bahawa bersangka baik dan ingatlah kepada Allah SWT kerana kaedah itu akan menjamin kebaikan hidup. Hal ini dapat kita lihat menerusi firman Allah di dalam hadis qudsi di mana sabda Rasulullah SAW bahawa Allah SWT telah berfirman: “Aku (Allah) adalah seperti sangkaan hamba-Ku terhadap Aku. Dan Aku bersamanya tatkala dia mengingati-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku dalam dirinya, maka Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku”.

Bersangka baik

Untuk mendapat kebaikan dari sesuatu ujian mesti bermula dengan bersangka baik kepada Allah SWT. Apabila bersangka baik kepada Allah SWT, maka hati menjadi tenang dan fikiran menjadi lapang. Segala emosi dan pengurusan diri akan menjadi tenteram. Namun begitu, sifat diri manusia yang lemah tidak terkecuali untuk terlanjur bersangka buruk kepada Allah SWT.

Sekiranya berlaku sedemikian, maka bertaubatlah dengan sebenar-benarnya dan mulakanlah bersangka baik. Allah SWT bersifat ar-Rahman dan ar-Rahim juga sifat-sifat baik daripada-Nya.

Yakinlah bahawa Allah SWT memberi ujian sepadan dan setimpal dengan kemampuan kita untuk menghadapinya. Sebagai contoh, apabila kita ingin menempah baju dengan seorang tukang jahit berpengalaman dan cekap untuk mengukur dan menjahit, beliau akan menyiapkan baju sesuai mengikut saiz tepat berdasarkan bentuk badan kita.

Ujian yang datang itu sesuai dengan kemampuan seseorang manusia untuk menerima dan menempuhi segala-galanya kerana Allah SWT Maha Adil dan Dia tidak pernah sesekali bersifat keterlaluan dalam menguji seseorang hambanya.

Perkara ini dapat kita lihat menerusi firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 286, yang bermaksud: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya”.

Saat dan ketika apabila Allah SWT memberikan ujian, Dia meminta kita mengeluarkan seluruh potensi diri yang tidak disangka dan dijangka oleh diri.

Sebagai contoh, sekiranya kita dikejar oleh anjing maka kita akan berlari sekuatnya sehingga tidak terjangka kita mampu melangkah seluasnya melintasi lopak air dan parit untuk menyelamatkan diri. Walau ujian sakit yang diberikan menyebabkan kita menderita sakit, Allah SWT mengetahui kita berupaya menyelesaikan ujian tersebut dengan cara yang paling terbaik.

Didik dekat kepada Ilahi

Ujian adalah didikan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya untuk lebih mendekatkan diri kepada Tuhan yang maha pencipta. Sekiranya kita sentiasa rasa selamat dan selesa dengan tahap iman yang sedia ada, sedangkan diri kita belum berada di tempat yang betul di sisi Allah SWT, maka sebab itulah Allah SWT menurunkan ujian untuk memperbetulkan keadaan diri kita.

Hal ini termasuklah ketika diri diuji, Allah SWT mahu kita menggunakan sepenuh kekuatan yang ada dalam diri disamping melaksanakan kaedah yang terbaik dengan memantapkan ibadah solat dan berdoa.

Oleh itu, setiap ujian juga membawa pengajaran supaya menjadi lebih soleh serta dapat meningkatkan lagi ketakwaan kepada Allah SWT.

Ambillah manfaat ujian yang diberikan oleh Allah SWT itu dengan bersangka baik kepada-Nya dan pelajarilah hikmah daripada ujian tersebut supaya kita dapat menjadi sebaik-baik hamba.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Pasak kehendak, keinginan beribadah

Posted by epondok di Julai 22, 2017

Oleh Nik Hasnah Ismail

BERPESAN tingkat keimanan tuntutan setiap Mukmin.

DEMI masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar. (Surah Asr, 1 hingga 3)

Dalam hidup ini kita ada pelbagai kehendak dan keinginan, sementara setiap kehendak dan kemahuan itu hendaklah diiringi dengan tindakan. Sesuatu keinginan tanpa tindakan tidak akan mendatangkan hasil yang akan memberi faedah kepada kita.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan setiap Rabu, jam 10.30 pagi, Ustaz Mohd

Meeftah Anuar menekankan bahawa pentingnya bagi setiap umat Islam untuk menanam azam yang tinggi di dalam diri, supaya dengan adanya keinginan yang tinggi akan menghasilkan perbuatan dan tindakan yang akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Seseorang Mukmin yang memiliki azam yang tinggi akan lebih bersemangat dalam melaksanakan ibadah dan perbuatan yang akan menjurus kepada hubungan baik dengan Allah SWT.

Sebagai contoh sentiasa menanam azam untuk bangkit melaksanakan solat sunat pada malam hari, berazam melaksanakan solat sunat duha, membaca al-Quran, berpuasa dan sebagainya.

Kehendak dan keinginan dalam ibadah ini hendaklah sentiasa dipasak dalam diri kita agar dapat melahirkan tindakan dan amalan yang akan menjadikan kita insan soleh dan solehah.

Berpesan tingkat takwa

Orang soleh sering berpesan kepada manusia lain dan selalu mengajak kepada kebenaran supaya dapat bersama-sama menjadi insan yang diredai Allah SWT dunia dan akhirat.

Seperti yang dikongsikan melalui Surah Al-Asr, Allah SWT menjelaskan tentang manusia itu akan berada dalam kerugian jika tidak menggunakan kesempatan hidup atau usia yang dimiliki ini untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Bahkan sebagai manusia yang bertakwa kepada-Nya, manusia harus sentiasa saling ingat mengingati antara satu sama lain kerana itu adalah sebahagian daripada nilai keimanan seseorang manusia.

Menurut Meeftah, setiap kebaikan yang dilakukan juga hendaklah berbalas dengan penghargaan seperti ucapan terima kasih yang menjadi sebahagian daripada adab yang perlu diamalkan oleh setiap orang beriman.

Hakikatnya dalam kehidupan ini, sebagai manusia yang menjunjung ajaran agama Allah SWT dan mengikuti teladan yang ditunjukkan Nabi Muhammad SAW, kita disaran untuk saling menasihati dan mengingati antara satu sama lain.

Seperti yang dinukilkan oleh Baginda Rasulullah SAW kepada umat Islam yang bermaksud: “Jagalah Allah SWT, nescaya kau dapati Dia di hadapanmu. Jika engkau hendak meminta, mintalah kepada Allah SWT dan jika engkau hendak memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah SWT.”

Baginda mengajar kepada umatnya agar mengikuti segala perintah Allah SWT kerana orang yang taat kepada perintah Allah SWT pasti sentiasa dalam pemeliharaan-Nya.

Justeru, kita hendaklah sentiasa memelihara amal ibadah kepada Allah SWT agar mendapat keberkatan hidup dan akhirat.

Mereka yang memelihara ketaatan kepada Allah SWT akan mendapat ketenangan dan kelapangan hati selain diberikan kecukupan rezeki dunia dan kemudahan urusan di dunia ini.

Manusia yang sentiasa berusaha membaiki hubungannya dengan Allah SWT, akan mendapat kebaikan dalam hidupnya. Mereka yang sentiasa dalam ‘pandangan’ dan rahmat Allah SWT akan dikasihi oleh masyarakat, dikurniakan anak yang soleh dan solehah serta di kelilingi orang yang berkasih sayang.

Sentiasa perbaiki diri

Justeru, kita hendaklah sentiasa membuat pembetulan atau penilaian bagaimana hubungan kita dengan Allah SWT dari segi solat dan amal ibadah yang lain, serta amalan zikir yang menterjemahkan ketaatan dan kasih sayang dalam menghidupkan sunah Baginda Rasulullah SAW.

Sesungguhnya amat besar kurniaan Allah SWT terhadap hamba yang soleh dan cintakan agama-Nya. Hamba yang taat kepada Allah SWT dengan memelihara dan menjaga setiap suruhan dan meninggalkan larangan-Nya akan mendapat pemeliharaan Allah SWT di dunia dan mendapat ganjaran syurga di akhirat nanti.

Justeru, bagi meraih kasih sayang Allah SWT, kita hendaklah sentiasa memperbaiki diri dan hati dengan selalu beristighfar kepada Allah SWT supaya dengan melakukan amalan tersebut akan menyucikan hati dan akan mudah untuk menerima kebaikan.

Akhir sekali, kita semua hendaklah mencuba sedaya upaya untuk menyampaikan kebaikan walaupun dengan sepotong ayat kerana perkataan atau nasihat yang menyeru kepada kebaikan akan menghasilkan pahala yang berpanjangan.

Setiap keburukan dan kejahatan yang dilakukan sungguhpun dilihat kecil pada pandangan kita sebagai manusia, jika ia dimurkai Allah SWT, pasti akan mendapat sebesar-besar pembalasan yang akan menjauhi kita daripada mendapat ganjaran keredaan-Nya di dunia dan akhirat.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »