Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Jun 2017

Cara dapatkan pahala Qiam sepanjang malam

Posted by epondok di Jun 19, 2017

Mohd. Radzi Mohd. Zin

 

ANTARA keistimewaan yang hanya ada dalam bulan Ramadan adalah solat sunat tarawih. Tarawih er­tinya beristirehat. Maka solat ini dilaksanakan berselang-seli dengan ‘berehat seketika’.

Tujuan berhenti rehat sekejap adalah bagi memperoleh keikhlasan dan memberi ketenangan kepada mereka yang bersolat, khususnya kepada warga emas di samping mengelakkan ketegangan badan selepas berbuka puasa.

Solat tarawih adalah ibadat tambahan yang dilakukan dalam keadaan tenang dan tidak tergopoh-gapah. Ia satu cara untuk menunjukkan keikhlasan, kebaktian dan ke­taatan kepada Allah SWT. Solat ini boleh dilakukan secara sendirian atau lebih aula (utama) lagi secara berjemaah di masjid atau surau.

Mengenai menghidupkan malam-malam di dalam Ramadan, Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya: “Barang siapa yang solat malam pada bulan Ra­madan kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan gan­jaran yang baik daripada-Nya, akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini secara langsung memberi motivasi kepada se­tiap umat Islam yang mencari keredaan dan ganjaran pahala berganda untuk mengerjakan solat tarawih sama ada 20 ataupun lapan rakaat.

Sesuai dengan keutamaan solat berjemaah, baginda SAW mengingatkan kita tentang pa­kej hebat kepada sesiapa yang mendirikan solat tersebut secara berjemaah.

Ini dijelaskan menerusi sab­da Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang solat malam (tarawih) bersama imam sehingga dia bersurai (selesai solat), akan tertulis untuknya pahala qiam (bersolat) sepanjang satu malam.” (Riwayat Abu Daud)

Realitinya, ramai dalam kalangan masyarakat kita yang hanya solat tarawih sekerat, walaupun rata-rata solat tarawih di negara kita hanya sekitar 40 minit ke satu jam. Daripada 20 rakaat pula ramai yang pilih menunaikannya lapan rakaat. Selepas itu terus balik atau ada yang berbual-bual kosong di beranda masjid.

Mereka tidak menunaikan solat witir bersama imam. Walhal masa tunaikan solat witir tiga rakaat itu tidak sampai 10 minit. Amat rugilah bagi mereka yang melepaskan peluang ini. Ulama menyimpulkan, maksud hingga selesai solat adalah termasuk solat witir.

Hal ini adalah antara perkara yang perlu dibetulkan. Jangan kita jadikan solat tarawih sebagai ritual. Jangan kita jadikan solat tarawih itu sebagai budaya dalam bulan puasa. Sebaliknya, ia adalah antara amalan sunat yang dijanjikan ganjaran pahala yang besar.

Bukan semua kita mampu untuk bangun malam mendirikan qiamullail dengan solat tahajud, taubat, tasbih, hajat dan sebagainya. Oleh itu, ambillah peluang yang disediakan oleh Allah dalam bulan Ramadan ini untuk melipat-gandakan ibadat agar kita menjadi orang yang mendapat pengampunan Allah selepas bulan yang mulia ini.

Bagi yang ingin solat tahajud pada sepertiga malam, tidak ada masalah walaupun sudah melaksanakan solat witir dengan imam. Teruskan solat-solat sunat anda dan tidak perlu lagi mengulang solat witir. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak ada dua witir dalam satu malam.” (Riwayat Ahmad)

Mudah-mudahan kita tidak termasuk dalam kata-kata Jibril Alaihissalam yang mendoakan kerugian besar bagi beberapa golongan, antaranya sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Rugi besar bagi seseorang yang sempat mema­suki bulan Ramadan, kemudian keluar daripadanya tetapi tidak terampun dosa-dosanya.” (Riwayat at-Tirmidzi)

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Berusaha mencari malam al-qadar

Posted by epondok di Jun 18, 2017

Mohd. Radzi Mohd. Zin

 

RAMADAN begitu pantas meninggalkan kita. Hari ini kita sudah berada pada 21 Ramadan. Bermakna kita sudah memasuki fasa paling ditunggu-tunggu oleh orang yang beriman. Hal ini kerana, di dalamnya terkan­dung malam al-qadar iaitu kemuncak ibadat yang menjanjikan ganjaran pahala lebih 1,000 bulan atau kira-kira 83 tahun.

Saban tahun kita diingatkan tentang kelebihan ­lailatulqadar. Macam biasa, ada yang memberi perhatian dan ramai juga yang buat-buat tidak tahu. Pendek kata, hanya mereka yang beriman menyakini ganjaran pahala berlipat-ganda yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Kita doakan mereka yang masih alpa dan mensia-siakan peluang hidup dalam 10 terakhir Ramadan agar mendapat hidayah Allah SWT dan berubah.

Untuk kita, mari contohi Rasulullah SAW dalam beribadat untuk mencari malam al-qadar. Nabi SAW menasihatkan umatnya untuk mencari lailatulqadar pada penghujung 10 malam Ramadan berdasarkan sabda baginda yang bermaksud: “Carilah lailatulqadar pada 10 terakhir Ramadan.” (Muttafaq ‘alaih).

Daripada 10 malam terakhir itu, baginda memperinci lagi kepada malam-malam ganjil. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Carilah lailatulqadar pada malam ganjil di 10 hari terakhir Ramadan.” (Riwayat Bukhari)

Kalau kita perhatikan, dalam kedua-dua hadis di atas, dimulakan dengan perkataan carilah. Maksudnya kita kena berusaha dan melakukan pelbagai ibadat, bukannya berpeluk tubuh membiarkan malam yang penuh keberkatan itu berlalu begitu sahaja.

Paling minimum, hendaklah kita solat Isyak dan Su­buh berjemaah pada 10 malam terakhir Ramadan. Yang lebih baik adalah melakukan pelbagai ibadat lain ­seperti membaca al-Quran, banyakkan bersedekah, solat tahajud, solat taubat dan solat sunat lain serta berzikir memuji Allah dan memohon keampunan Ilahi.

Adapun doa yang sangat dianjurkan kita membacanya adalah sebagai mana hadis yang diriwayatkan daripada Aishah r.a.: “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW bagaimana kiranya saya mengetahui malam lai­latulqadar dengan tepat. Apa yang saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa yang berikut yang maksudnya: “Ya Allah ya Tuhanku sesungguhnya engkau sentiasa memaafkan salah silap hamba lagi suka memaafkan, oleh itu maafkanlah salah silapku.”(Riwayat Tirmidzi)

Sepatutnya selepas 20 hari melalui fasa Ramadan, tubuh badan kita sudah mulai serasi dengan pelbagai ibadat. Yang utamanya, membaca al-Quran sementelahan Ramadan adalah bulan diturunkan kitab suci itu. Pada malam­nya pula, tubuh kita sudah biasa dengan solat tarawih dan witir. Maka ia dapat membantu untuk kita bangun malam menunaikan pelbagai solat sunat atau ibadat yang lain.

Jika kita mampu bertahan atau istiqamah dalam beribadat pada 10 malam terakhir insya-Allah kita termasuk dalam golongan orang yang mendapat keampun­an daripada Allah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Barang siapa menghayati lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang (dan pelbagai jenis ibadat lain) sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah, nescaya ia diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. (Riwayat Bukhari)

Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang amat besar. Diriwayatkan daripada Mujahid dikatakan sebab turun ayat tersebut (surah al-Qadr) ialah Nabi SAW telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat tersebut.

Dalam riwayat daripada Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah menyebut empat orang Bani Israel yang beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak menderhakai Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberi­tahu Rasulullah bahawa Allah menurunkan yang lebih baik daripada amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadr dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Nabi SAW dan para sahabat amat gembira.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Teknostres Dan Cabarannya

Posted by epondok di Jun 17, 2017

Ismail Ibrahim

DALAM bulan Ramadan ini, amat banyak tazkirah, syarahan dan ceramah agama diberikan di sana sini, terutamanya tentang kelebihan ibadat puasa, fardu dan sunat, ibadat sembahyang dan bacaan al-Quran, termasuk iktikaf dan solat di masjid.

Hal ini amat baik untuk per­ingatan dan penghayatan tentang hikmah berpuasa, terutamanya untuk menjadi satu latihan kepada umat Islam bagi membersihkan jiwa dan menguruskan amalannya supaya diterima oleh Allah dan diberikan ganjaran amat besar seperti yang dijelaskan di dalam al-Quran dan sunah Nabi Muhammad SAW.

Namun begitu, kita yang saban tahun berpuasa dan melatih diri dengan segala kebaikan yang terkandung dalam ibadat ini haruslah sedar bahawa semakin hari semakin banyak penyeleweng­an moral dan akhlak berlaku dalam kalangan umat Islam.

Pada masa ini terdapat banyak gajet dan saluran yang mengimport budaya Barat dan Timur yang mencabar nilai-nilai moral dan akhlak generasi baharu, termasuk kanak-kanak sekolah. Kalau dulu saluran itu hanya melalui televisyen, tetapi sekarang banyak peralatan teknologi lain yang amat mudah digunakan untuk tujuan itu.

Rokok, dadah dan minuman keras amat banyak sekali berada dalam pasaran kini yang merupakan bahan “orang-orang dewasa” yang menarik minat anak-anak kita untuk mencubanya. Daya imaginasi kanak-kanak dan remaja kini berkembang amat pantas daripada yang dapat dibayangkan oleh orang dewasa, termasuk ibu bapa sendiri. Oleh itu gaya hidup para watak dewasa dan cara hidup mewah lainnya yang mereka idam-idamkan melalui tontonan mereka, akan segera mempengaruhi minda dan pemikiran mereka, yang kemudiannya menjadi ikutan yang amat cepat.

Satu laporan akhbar mendedahkan bahawa di ibu kota pada Jumaat 9 Jun lalu, 12 orang pelajar sekolah menengah telah terlibat dalam satu pesta dadah. Pihak polis menyatakan bahawa pesta itu berlangsung pada pukul 9 pagi.

Berita seperti ini sebenarnya banyak sekali dilaporkan di negara kita, di samping peristiwa penyelewengan akhlak lain yang berlaku di sana sini, sehingga berlaku kes pukul dan bunuh juga.

Pengkaji sosial dan pakar ilmu jiwa Australia, Antony Kidman, menamakan gejala ini sebagai “teknostres”, kerana hal ini amat menimbulkan kegelisahan jiwa atau stres dalam masyarakat, khususnya ibu bapa, iaitu gejala penyelewengan jiwa dan tingkah laku generasi muda akibat cara hidup dan peri laku manusia moden yang ditonjolkan di dalam media teknologi baharu atau teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada masa kini.

Para ulama mungkin tidak berminat untuk membicarakan isu ini dalam tazkirah Ramadan, kerana segala syarahan dan ce­ramah pada umumnya berkisar di sekitar ritual, dosa pahala bulan ibadat ini, yang juga menjadi pengisian kerohanian yang amat sesuai dengan para pendengar dewasa, walaupun hal ini sering diulang-ulang sejak begitu lama.

Memang kita akui akan kepentingan ritual, solat, doa, zikir dan ibadat lain seperti puasa yang sedang kita lakukan dalam membangunkan watak dan peri­badi serta tingkah laku anak-anak kita. Namun kita juga seharusnya mengkaji beberapa unsur penting dalam pembangunan insan yang bernama manusia ini, termasuk keberkesanan didikan ibu bapa dan para pendidik yang seharus­nya memahami psikologi dan bisikan hati nurani generasi baharu dan kanak-kanak, akal dan roh, fizikal dan spiritual mereka yang sentiasa dahagakan kepada penawar.

Maka apakah pengisian penawar dan ubat-ubatan jiwa dan rohani serta jasmani, minda dan hati mereka yang seharusnya kita bicarakan dalam ceramah dan tazkirah yang banyak kita hamburkan itu. Apakah dengan hanya membicarakan dosa pahala dan ritual serta fardu ain itu sudah cukup bagi kita untuk membina akhlak dan moral anak-anak muda kita pada hari ini, sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab terhadap diri dan masyarakatnya.

Zaman ini berubah dengan begitu cepat, jadi apakah kerangka dakwah dan pengolahannya yang telah dilakukan dua tiga dekad yang lalu masih relevan dan berkesan pada masa ini, ketika jiwa dan minda anak-anak sekarang telah berubah dengan mendadak sekali?

Kita boleh mempelajari kaedah dan pendekatan menyampaikan ilmu yang dilakukan oleh para rasul dari awal sehingga ke zaman Nabi Besar kita Muhammad SAW. Nabi Nuh berdakwah selama 950 tahun bagi manusia zamannya, itu pun amat sukar, sehingga ­Allah menurunkan bala bencana menghancurkan pengikutnya yang degil.

Namun Nabi kita Muhammad SAW hanya menyampaikan ajaran Allah SWT secara aktif ketika baginda menerima wahyu pada umurnya 40 tahun sehingga baginda wafat pada umur 63 tahun, dengan penuh bijaksana, contoh teladan, hikmah dan perwatakan serta peribadi yang menawan jasmani dan rohani, akal dan roh pengikutnya seperti yang di­amanahkan kepada baginda melalu kitab suci al-Quran, maka umat Muhammad mendapat kesan yang baik.

Doa Nabi Ibrahim supaya ­Allah mengutuskan seorang Rasul kepada umat Arab jahiliah dalam kalangan bangsa mereka sendiri, yang dapat membaca dan menerangkan ayat-ayat kebesaran Allah, mengajar kandungan dan rahsia al-Quran dan akhlak serta berhikmat, dan membersihkan hati nurani dalaman mereka, telah dimakbulkan Allah dengan mengutus Nabi Muhammad SAW berbekalkan ajaran lengkap daripada al-Quran.

Ternyata di sini bahawa perkembangan akal dan roh manusia menjadi semakin matang dan maju dengan peredaran zaman dan perubahan masa, maka kaedah dakwah para rasul dan nabi sebelum Nabi Muhammad SAW adalah berbeza dengan manusia umat Muhammad.

Oleh itu usaha bersepadu dalam menangani krisis akhlak dan kegawatan peri laku serta hati nurani generasi sekarang haruslah diorientasikan semula terutamanya dalam membawa mereka kembali kepada latihan dan ajaran agama kita sendiri, lebih-lebih lagi dalam merawat masalah teknostres ini yang melibatkan para ahli psikologi, antropologi, kesihatan dan para pendakwah serta pendidik umum­nya

 

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Hargai ‘Temujanji’ dengan Allah

Posted by epondok di Jun 16, 2017

Susunan Mohd. Shah 
Che Ahmad

 

JIKA diberi peluang menghadap raja atau individu berpengaruh untuk menyatakan segala hajat dan aduan, pastinya masa singkat itu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memohon 1,001 permintaan.

Begitulah bagi menggambarkan realiti kehidupan manusia termasuk umat Islam jika diberi peluang mendapatkan sesuatu kelebihan dalam bentuk fizikal.

Namun, pendakwah antarabangsa itu berkata, malangnya perkara itu membuatkan manusia terlupa hakikatnya bukan makhluk yang menyempurnakan segala hajat sebaliknya terdapat kuasa lebih besar mengizinkan sesuatu perkara itu sama ada tercapai atau tidak iaitu Allah SWT.

“Bayangkan jika kita dipanggil dan sedang berada di hadapan Perdana Menteri untuk mengadu kesusahan, adakah kita akan sibuk melakukan perkara lain seperti melihat persekitaran atau leka dengan apa yang berlaku di sekeliling?

“Pastinya tidak. Tetapi kita sebolehnya akan memberi sepenuh tumpuan sepanjang berhadapan pemimpin tersebut tanpa menghiraukan perkara lain. Ini kerana, kita bimbang akan disenarai hitam dan mungkin tidak akan dipanggil lagi.

“Mengapa? Kerana kita adalah orang yang bodoh, diberi kesempatan tetapi tidak memanfaatkannya, malah sibuk dengan urusan lain,” katanya dalam satu ceramah umum yang diadakan.

Sebaliknya Omar berkata, cuba fikirkan kembali bagaimana ketika kita menghadap Allah dalam solat lima waktu.

“Saya percaya lebih 90 peratus umat Islam sering berkhayal ketika solat. Kita sering memikirkan pelbagai urusan dalam solat walaupun kurang dari lima minit melaksanakannya. Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang kita fikirkan.

“Namun, Dia masih mengurniakan kepada kita rezeki melimpah ruah, isteri, suami dan anak-anak sehingga menyibukkan kita dengan nikmat tersebut. Allah tidak pernah menyenaraihitamkan kita, sebaliknya sentiasa membuka peluang agar sentiasa berdoa memohon dan bertaubat kepada-Nya,” ujarnya.

Justeru, tambah beliau, umat Islam perlu cuba memperbaiki hubungan dan komunikasi ketika berhadapan Allah dengan berusaha mencari khusyuk ketika menunaikan solat.

Sebagaimana firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya berjaya (beruntunglah) orang-orang yang beriman. Iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya”. (al-Mukminun : 1-2)

“Untuk mencapai khusyuk kita perlu tahu di hadapan siapa kita berdiri, dengan siapa kita berbicara, apa yang kita ucapkan. Semua perasaan ini perlu datang daripada dalam diri kita, semakin banyak rasa ini hadir, maka semakin baik solat kita.

“Tetapi jika lemah perasaan ini, maka semakin lemah juga kualiti solat kita. Ramai dalam kalangan kita yang berkhayal ketika solat, malah tidak terfikir pun apa yang sepatutnya kita fikirkan sebaliknya memikirkan perkara yang tidak perlu difikirkan.

“Mengapa ini berlaku, kerana tiada keinginan untuk memberi sepenuh tumpuan, tiada konsentrasi dan tidak tahu bagaimana ingin mencari kekhusyukkan ini,” jelasnya.

Omar berkata, kesempatan bertemu dengan Allah dalam solat perlu dihayati sepenuhnya kerana tiada batasan antara orang yang melaksanakan ibadah tersebut dengan raja segala raja itu.

“Sedarlah, Allah tidak memerlukan kita, sebaliknya kita yang memerlukan-Nya. Dia tidak perlu kepada ibadah kita, tidak perlu khusyuk dan Allah tidak menunggu ibadah kita. Kerajaan dan kekuasaan Allah tidak pernah berkurangan atau bertambah sedikit pun dengan zikir atau ibadah yang kita lakukan.

“Sebaliknya kita memerlukan Allah dalam setiap ketika. Sepatutnya kita berbangga kerana Allah memberi kita kesempatan untuk berkomunikasi dengan-Nya. Ini mengapa ulama berkata, sesiapa yang ingin berbicara dengan Allah, maka bersolatlah,” ujarnya

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Persiapan Memburu Lailatul Qadar

Posted by epondok di Jun 15, 2017

KETERUJAAN para Mukminin untuk memburu lailatulqadar sudah sam­pai ke kemuncak­nya. Menjelang 10 malam ter­akhir Ramadan terdapat satu malam yang ganjaran beribadah lebih baik daripada 1000 bulan ataupun menyamai kira-kira 83 tahun umur manusia.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar lebih baik daripada 1000.

Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Terjemahan al-Qadr:1-5).

Sehubungan itu setiap Muslim diajak membuat persiapan menyambut ketibaan malam penuh kemuliaan tersebut dengan kesyukuran sambil berharap dianugerahkan segala ganjaran dan kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Untuk itu juga beberapa perkara boleh dilakukan untuk pedoman bersama.

* Sucikan jiwa dan raga 
daripada dosa

Untuk meraih ganjaran malam al-Qadr seseorang selayaknya mengikhlaskan niat beribadah kerana Allah SWT, menyucikan jiwa daripada sifat mazmumah dan menghindari berbuat dosa dan nista.

Para Muslimin diajak bersungguh-sungguh menyempurnakan kewajipan puasa pada siang hari selain menjaga seluruh anggota dan pancaindera daripada maksiat. Apa yang menjadi makanan seharian juga penting untuk dititikberatkan terutama yang berunsur syubhat apatah lagi yang haram.

Ini kerana tanpa mujahadah dan komitmen bagaimana mungkin seseorang terpilih beribadah di malam lailatulqadar yang penuh dengan segala keajaiban.

* Banyak berdoa dan beristighfar

Muslimin yang mendambakan lailatulqadar turut diajak bermunajat memohon kepada Ilahi agar diberi kesempatan beribadah pada malam tersebut. Tanpa bantuan dan pertolongan-Nya kemungkinan tertidur, ditimpa sakit atau musibah. Malah tanpa bantuan dan inayah-Nya manusia yang lemah, leka dan cenderung melakukan dosa kemungkinan juga diselubungi sifat malas dan lebih rela tidur sepanjang malam.

Selain itu banyakkan beristighfar memohon keampunan dan keredaan Allah sehingga menimbulkan keinsafan dalam diri seraya membangkitkan motivasi untuk bersungguh-sungguh beramal demi mengingatkan masih sedikit ibadah yang telah dilakukan. Inilah juga kesempatan terbaik untuk setiap hamba memohon keampunan kepada Allah SWT daripada dosa silam yang membelenggu diri.

* Tetapkan ibadah tertentu untuk dikerjakan

Memandangkan tidak ada amalan khusus pada malam al-Qadr, setiap individu Muslim boleh merangka jadual ibadah sepanjang tempoh tersebut.

Lakukanlah apa sahaja yang termampu mengikut masa dan k­eadaan masing-masing. Boleh jadi seseorang menggunakan nikmat rezeki untuk berinfak selain iktikaf di masjid dengan melakukan solat sunat, bertadarus al-Quran, qiamullail dan lain-lain. Atau mungkin bagi yang sibuk bekerja syif malam bolehlah memperbanyakkan berdoa, berzikir dan beristighfar sambil berharap kurniaan dan pahala berlipat kali ganda.

* Senaraikan doa/hajat untuk dipohon

Supaya tidak terlepas peluang sekali seumur hidup seseorang digalakkan untuk menyediakan senarai doa dan hajat yang dipinta lalu dibaca pada malam-malam yang berkemungkinan besar terjadi lailatulqadar. Ini seperti saranan Nabi SAW supaya mencari lailatulqadar pada malam ganjil 10 yang akhir daripada Ramadan. Umat Islam juga sangat digalakkan memperbanyak berdoa.

Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan sangat bersungguh-sungguh menghidupkan malam tersebut sambil mengejutkan ahli keluarganya untuk sama-sama beribadah dan mengabdikan diri kepada Ilahi.

Terdapat juga amalan segelin­tir masyarakat yang beriktikaf di masjid sepanjang tempoh tersebut yang molek dicontohi.

Kesempatan berada di penghujung Ramadan adalah masa untuk bermuhasabah tentang ibadah puasa serta kebajikan lain yang telah dilakukan bimbang tidak diterima oleh Allah SWT.

Terdapat peringatan Nabi SAW tentang golongan yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripadanya kecuali rasa lapar dan dahaga sahaja.

Umat Islam juga diingatkan supaya tidak terkesima dengan persiapan menyambut hari raya dan kesibukan pulang ke kampung halaman. Dikhuatiri lailatulqadar yang hanya satu malam dalam setahun bahkan mungkin peluang sekali seumur hidup berlalu begitu sahaja.

Dari sudut pandang lain, Ramadan kini beransur melabuhkan tirainya. Ini bermakna segala kemuliaan dan fadilat Ramadan juga akan mula sirna menje­lang ketibaan Syawal yang mulia. Maka beruntunglah golongan yang benar-benar dapat memanfaatkan Ramadan dengan ke­sungguhan yang tidak berbelah-bahagi. Marilah sama-sama kita berdoa semoga segala amal bakti termasuk puasa kita diterima oleh Allah SWT dengan sempurna. Ambil jugalah peluang terakhir di penghujung Ramadan untuk bermunajat dan berdoa moga dipanjangkan umur dalam ibadah dan terpilih untuk bertemu Ra­madan lagi pada tahun-tahun mendatang.

Bagi yang belum menunaikan zakat fitrah, eloklah bersegera menunaikan kewajipan sebelum tamat tempoh ditetapkan. Ini ke­rana kedudukan zakat dan puasa sama dari segi kewajipan untuk melaksanakannya.

Adalah tidak adil setelah ribuan ringgit dibelanjakan untuk membuat persiapan hari raya, golongan fakir miskin yang juga ingin bergembira di Aidilfitri dilupakan. Malah inilah antara kaedah yang diatur dalam Islam untuk merapatkan jurang miskin kaya sekali gus beribadah menggunakan nikmat rezeki kurniaan Ilahi.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Nuzul al-Quran: Kualiti atau kuantiti?

Posted by epondok di Jun 14, 2017

“USTAZ! Buntu saya, apa yang perlu dibuat semasa Ramadan, khatam al-Quran atau tadabbur ayatnya. Kedua-duanya mahu dikejar tapi masanya suntuk.”

Benar! Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa kerana terpilih untuk ‘dimasyhurkan’ sebagai bulan turunnya al-Quran.

Analogi mudah, sebelum 1957, tarikh 31 Ogos tiada nilai pada orang Melayu. Setelah tarikh itu dimasyhurkan sebagai hari kemerdekaan Tanah Melayu, ia terpahat erat dalam lipatan sejarah Malaysia.

Begitu juga dengan Ramadan. Sebelum al-Quran diturunkan, Ramadan hanya sebuah bulan biasa yang kadangkala cuacanya panas membara.

Setelah Allah melimpahkan rahmat-Nya ke bumi dengan sinaran al-Quran, nama Ramadan melonjak naik menumpang kemasyhuran al-Quran.

Oleh itu sangat malang jika ada manusia yang menjadi hamba Ramadan dan bukannya hamba Allah.

Bayangkan apa nasib jika al-Quran tidak diturunkan? Kita mungkin menjadi penganut pelbagai agama dunia. Alhamdulillah, kita mendapat hidayah dengan turunnya al-Quran.

Kesyukuran inilah yang diucapkan oleh ahli syurga: “Dan Kami cabut segala dendam dan hasad dengki daripada hati mereka, (dalam syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat) ini, padahal kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufik-Nya); sesungguhnya para rasul Tuhan kami datang membawa kebenaran”. Dan mereka diseru: “Itulah syurga yang diwariskan kepadamu dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan,” (al-A’raf [7:43]).

BERSYUKURKAH MANUSIA ATAS NIKMAT AL-QURAN?

Sewajibnya kita bersyukur atas penurunan al-Quran. Bagaimana? Ikrar cuti tahunan? Junjung julang al-Quran? Anjur pertandingan lagu atau hafazan al-Quran? Hantar anak ke sekolah tahfiz?

Tanpa nafi, semua itu termasuk dalam usaha bersyukur dengan penurunan al-Quran. Walaupun begitu, yang paling utama adalah memahami dan mengamalkan isi kandungannya.

Berbalik kepada soalan di atas, apa yang perlu diutamakan dalam Ramadan? Khatam baca atau tadabbur?

Saya jawab, kita perlu berinteraksi dengan al-Quran sepanjang usia dengan ‘kuantiti dan kualiti’. Kuantiti merujuk kepada usaha membaca huruf al-Quran sebanyak mungkin sehingga khatam, manakala kualiti pula merujuk kepada usaha tadabbur atau memahami al-Quran.

Kedua-duanya perlu menjadi aktiviti harian seumur hidup dan digandakan dalam Ramadan.

Aktiviti meningkatkan kuantiti baca al-Quran sehingga khatam bertepatan dengan sunah Rasulullah SAW kerana Baginda melakukan tadarus tahunan dengan Jibril a.s. sebagaimana diriwayatkan Abdullah bin ‘Abbas r.a.:

“Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah (melakukan kebaikan). Baginda jadi tambah pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril datang bertemu dengannya pada setiap malam. Jibril mengulang kaji al-Quran dengan nabi pada bulan Ramadan. Baginda benar-benar pemurah (pada bulan Ramadan) seperti angin yang bertiup kencang,” – Sahih Bukhari.

Bonus membaca al-Quran dikira pada kuantiti hurufnya. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah, maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan itu digandakan 10. Aku tidak kata alif-lam-mim itu satu huruf, sebaliknya alif itu (dikira) satu huruf, lam (dikira) satu huruf dan mim (dikira) satu huruf,” – Sunan Tirmizi.

Darjat syurga para pembaca al-Quran diangkat berdasarkan kuantiti huruf yang dibacanya.

“Dikatakan kepada ahli al-Quran (orang yang membaca, menghafaz dan mengamalkan isi kandungannya ketika mereka masuk ke dalam syurga), bacalah (dalam syurga), dan naiklah darjat (syurgamu) dan bacalah sebagaimana kamu pernah membacanya semasa di dunia. Sesungguhnya kedudukan (darjat) kamu dinilai pada ayat terakhir yang kamu baca (semasa di dunia),” – Sunan Abu Daud dan Sunan Tirmizi.

Kuantiti huruf al-Quran yang berlari pada lidah pembacanya akan meninggalkan bekas pada jiwa jika ia dituruti pula oleh bacaan berkualiti atau tadabbur. Bahkan tadabbur al-Quran menjadi sebab utama penurunannya. Firman Allah:

“(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar,” (Sad[38:29]).

KESILAPAN LAZIM DALAM MASYARAKAT

Ramai yang silap berinteraksi dengan al-Quran apabila hanya mementingkan aspek huruf atau tajwidnya sahaja, sedangkan tilawah al-Quran yang sebenar merangkumi aspek kuantiti dan kualiti.

Ia dijelaskan Allah:

“Orang yang Kami berikan kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang yang rugi,” (al-Baqarah [2:121]).

Perkataan ‘Haqq al-Tilawah atau tilawah yang sebenar’ dalam ayat ini tidak seharusnya disempitkan hanya pada sudut tajwid, sebaliknya merangkumi perkara lain seperti benar-benar mengikuti isi kandungan al-Quran, menghalalkan yang halal, mengharamkan yang haram dan tidak mengubah isi kandungannya tanpa ilmu (Tafsir Ibn Kathir).

Al-Quran bukanlah kitab yang dibaca secara bermusim. Ia adalah makanan ruji orang beriman.

Jika fizikal kita memerlukan makanan secara harian untuk kekal hidup sihat, begitulah juga rohani kita. Ia perlu dijamu dengan makanan rohani setiap hari.

Pastinya makanan rohani terbaik untuk jiwa adalah al-Quran kerana ia mengandungi nutrisi terbaik.

Semoga kenangan Nuzul al-Quran akan menaikkan semangat untuk meningkatkan kadar kuantiti dan kualiti bersama al-Quran.

Tadabbur al-Quran tidak terikat hanya dalam Ramadan sahaja, ia adalah aktiviti seumur hidup bagaikan makanan ruji harian untuk jiwa. Pilihlah satu waktu setiap hari untuk tadabbur sejumlah kecil ayat al-Quran. Andai kata kita tadabbur lima ayat sehari, sebulan ia sudah jadi 150 ayat. Bagi meraikan Ramadan, kita tambah sedikit ayat untuk tadabbur menjadi 10 atau 15 ayat. Mudah-mudahan tambahan jumlah tadabbur ayat dalam Ramadan akan memuncakkan cinta kepada al-Quran.

 

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Ramadan bukan sekadar puasa sahaja

Posted by epondok di Jun 12, 2017

RAMADAN adalah bulan yang amat dinantikan oleh setiap umat Islam. Kita sentiasa berdoa kepada Allah supaya dilanjutkan usia agar dapat menemui Ramadan akan datang. Puasa adalah ibadah yang wajib dilakukan oleh semua umat Islam dan hanya diberi kelonggaran kepada golongan tertentu sahaja tetapi perlu digantikan semula.

Firman Allah SWT: “Hai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,” (al- Baqarah: 183). Wajib bermakna melakukannya mendapat pahala dan berdosa jika tidak berpuasa tanpa alasan dibenarkan syarak.

Banyak hikmah puasa disebutkan dalam berbagai program dan melalui penulisan dan kita sering mendengar hadis ini, “Demi Zat yang diriku ada pada tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Dia tidak makan, tidak minum, dan tidak berhubungan dengan isterinya kerana-Ku. Tiap-tiap amal bani Adam baginya, kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan memberinya pahala,” – Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a., Al-Lu’lu wal Marjan, hal.706).

Sabda Baginda lagi: “Sesiapa menegakkan Ramadan kerana iman dan mengharap pahala, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu,” – Riwayat Bukhari dan Muslim).

PELBAGAI DIMENSI KELEBIHAN PUASA

Jelas sekali, puasa itu adalah ibadah yang membawa kesan besar kepada keimanan dan ketakwaan seseorang. Ia suatu kewajipan yang mesti dilaksanakan. Ia menghapus dosa dan dilakukan kerana Allah semata-mata sebagai tanda ketaatan kepada-Nya.

  • Perisai daripada api neraka seperti dalam sebuah hadis yang bermaksud:
  • “Puasa adalah perisai daripada api neraka, seperti perisainya kalian dalam peperangan,” – Riwayat Ahmad, Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Hiban dan Ibnu Khuzaimah daripada Utsman bin Abil Ash, Sahih Al-Jami’ Ash-Shaghir 3879)
  • Perisai untuk tidak melakukan maksiat dan zina. Dalam sebuah hadis disebut dengan jelas iaitu “Wahai para pemuda! Siapa yang sudah memiliki kemampuan (zahir atau batin), maka (bersegeralah) menikah. Kerana hal itu dapat menahan pandangan dan menjaga kemaluan. Sedangkan bagi yang belum mampu (menikah), hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu (menjadi) benteng baginya,” 
– Riwayat Bukhari.
  • Menjadikan lebih sihat. Sistem penghadaman makanan manusia direhatkan ketika berpuasa dan ini memastikannya boleh berfungsi dengan lebih baik. Hadis ada penyebut, “Berpuasalah kalian, nescaya kalian akan sihat,” – Riwayat Thabrani. Hadis yang lain, “Setiap sesuatu itu ada zakatnya dan zakat tubuh adalah berpuasa,” – Riwayat Ibnu Majah.

PERLUKAN DISIPLIN, KOMITMEN TINGGI

Puasa bukan sekadar berlapar tetapi memerlukan disiplin tinggi untuk mengawal hawa nafsu. Kita sering diingatkan supaya menjaga mata dan telinga pada Ramadan, jika tidak ‘kuruslah’ puasa.

Ia menunjukkan bahawa puasa itu bukan sekadar lapar dahaga tetapi sebenarnya satu proses menyucikan diri.

Kita bersihkan sistem penghadaman, bersihkan hati daripada dengki, hasad dan nafsu. Kita bersihkan mata daripada melihat yang buruk, maksiat dan perkara-perkara yang membawa dosa.

Telinga juga kita jaga supaya tidak mendengar fitnah dan menjaga mulut supaya tidak menokok menambah sehingga menimbulkan fitnah yang lebih buruk lagi.

Puasa penting kepada pembinaan keluarga mithali yang mawaddah warrahmah kerana puasa mengeratkan hubungan kekeluargaan. Melalui puasa, akhlak anak-anak terdidik.

Ibu bapa memahami tanggungjawab mereka untuk mendidik anak mengenai puasa dan mengikat diri untuk bertakwa kepada Allah SWT.

Bukan mudah untuk ibu bapa melatih anak pada usia lima tahun mula berpuasa dan memahami konsep puasa. Ibu bapa juga perlu mengawal diri ketika berbuka supaya anak-anak juga dapat menikmati nikmat puasa sebenar.

Ibu bapa kita dahulu memberi ganjaran upah duit raya kepada anak-anak yang boleh berpuasa penuh terutama semasa berusia lima ke enam tahun.

Namun ada juga keluarga yang tidak mampu memberi upah tetapi sekadar memberi kefahaman bahawa puasa itu satu ibadah untuk Allah SWT.

Apa yang penting diterapkan dalam keluarga pada Ramadan bukanlah makanan yang mewah semasa berbuka, tetapi nilai berkongsi makanan bersama ahli keluarga yang besar dan jiran tetangga.

Dahulu, kita sering mendapat makanan dari rumah jiran dan kita juga sering berbuka beramai-ramai.

Namun hari ini kerana kekangan kerja dan masa, berbuka puasa tidak lagi semeriah dahulu.

Ramai yang berkemampuan memilih berbuka di hotel sedangkan yang paling seronok ialah berbuka dengan makan beramai-ramai. Nampak seperti berebut-rebut tetapi itulah yang akan menjadi kenangan sampai bila-bila.

Selepas itu, kita bersolat maghrib, isyak dan tarawih bersama-sama.

Kini berbuka di masjid bukannya menggunakan sistem potluck seperti dahulu – bawa makan serba sedikit dari rumah masing-masing – tetapi kini disediakan oleh caterer.

Puasa membina ukhuwah kekeluargaan dan jiran tetangga. Puasa bukan sekadar berlapar dahaga tetapi membina manusia untuk menjadi insan yang bertakwa dan mulia.

Posted in Amalan Pilihan, Artikel Ramadhan | 1 Comment »

Kawal percakapan elak amalan puasa sia-sia

Posted by epondok di Jun 11, 2017

DARIPADA Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah ia bercakap perkara-perkara yang kotor dan sia-sia, dilarang juga bertengkar dan memaki hamun. Apabila ia dimaki hamun oleh seseorang atau diajak bermusuhan, maka hendak ia berkata, sesungguhnya aku berpuasa hari ini.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berpuasa bukan hanya menahan diri daripada makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa tetapi setiap anggota badan juga perlu dijaga daripada berbuat dosa yang bakal menyebabkan hilang pahala berpuasa.

Jaga percakapan

Lidah adalah anggota badan utama yang perlu dijaga ketika kita berpuasa. Kita dilarang mengeluarkan kata-kata yang tidak elok, maki hamun, mengumpat dan bertengkar.

Jika dulu sebelum zaman teknologi maklumat, pertikaman lidah atau mengata dengan menggunakan lisan, tetapi kini dengan menggunakan hujung jari saja perbuatan yang sama boleh dilakukan. Mengumpat, mengata dan menghina orang dalam media sosial, walaupun tidak menggunakan lisan tetapi kesannya tetap sama.

Justeru, elakkan daripada terjebak dengan perkara yang akhirnya menyebabkan puasa menjadi kosong hanya lapar dan dahaga sahaja

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Jangan memilih melaksana Islam

Posted by epondok di Jun 10, 2017

ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

 

SERING kali ramai menyalahkan Islam apabila berlaku sesuatu perkara yang tidak baik. Mereka mendakwa Islam menindas dan menghalang pembangunan.

Ada juga yang mengaitkan Islam dengan terorisme dan keganasan. Malah ada mengatakan sekiranya kita mengamalkan Islam maka kita tidak akan maju dan menikmati kejayaan.

Hal ini menurut mereka terbukti apabila tiada satu pun negara Islam boleh dikategorikan sebagai negara maju.

Tanggapan sebegini sebenarnya hasil daripada mereka yang gagal melihat keindahan Islam kerana orang Islam yang tidak mengamalkan agama Islam sebagai sebuah tata kehidupan.

Model atau ikon yang mereka peroleh bukanlah daripada kalangan orang Islam. Sebahagian besar umat Islam serata dunia hanya mengamalkan Islam dari kompartmen tertentu sahaja dan meninggalkan yang lainnya.

Sebagai sebuah tatacara yang mengawal kehidupan seharian, Islam menggariskan panduan yang lengkap, sistematik dan tersusun supaya kehidupan manusia tidak tersasar dari matlamat mencari keredaan ALLAH serta ibadah kepada Pencipta.

Islam amat menekankan pembangunan modal insan yang berasaskan kepada ciri-ciri pembinaan sahsiah dan keperibadian Muslim.

Ini adalah kerana manusia adalah sebaik-baik ciptaan ALLAH dan merupakan khalifah yang diberi kelebihan dan kekuatan ilmu.

Keunggulan keperibadian manusia hendaklah disulami dengan akhlak yang mulia, ilmu pengetahuan yang berpaksikan kepada keesaan ALLAH dan ketakwaan kepada-Nya. Inilah sebabnya Islam mengambil berat peranan moral atau akhlak dalam pembentukan sahsiah diri.

Hatta dalam soal perbezaan pendapat pun Islam telah menggariskan adab-adab yang perlu diikuti.

Namun apa yang menyedihkan sekarang ini, kita melihat umat Islam tidak menjadi contoh kepada orang lain. Umat Islam tidak memiliki akhlak yang mulia ataupun menjadi idola kepada orang lain. Lebih dahsyat lagi umat Islam ketinggalan di pelbagai bidang kerana mereka meninggalkan agama dalam kehidupan mereka.

Apa sahaja yang dinasabkan kepada Islam dikatakan mundur, ketinggalan zaman dan tidak sesuai.

Natijahnya kesemua perkara dilihat dari lensa Barat sahaja dan mengetepikan panduan dan syariat yang telah digariskan oleh Islam. Bagi menjadi bangsa yang kuat, umat Islam perlu melengkapkan diri mereka dengan keperibadian yang unggul.

Islam bukan hanya menum-pukan kepada isu politik, tetapi termasuk juga ekonomi dan memantapkan pembangunan negara, bukan sekadar melaksanakan hukum-hakam jenayah tetapi juga mendidik diri berakhlak dan berbudi luhur.

Malah pelbagai isu lainnya juga seharusnya dilihat dari lensa syariat Islam bagi membangun negara Islam kelas pertama.

Melaksanakan Islam dalam aspek terpilih sahaja sebenarnya menjerumuskan kita ke dalam pemikiran sekular yang memisahkan agama daripada kehidupan seharian.

Sepatutnya dalam setiap suatu tindakan kita, neraca yang kita gunakan dalam menilai tindakan tersebut adalah sama ada tindakan itu menepati syariat ALLAH SWT atau tidak. Jika ia menepati syariat ALLAH ia boleh dilaksanakan tetapi tidak sebaliknya.

Melalui piawaian yang tersebut di atas kita dapat melaksanakan Islam secara sepenuhnya walaupun mungkin kita tidak menjenamakan ia sebagai tindakan Islamik. Apa sahaja yang diambil dari Barat ataupun nilai universal adalah baik, merupakan suatu mitos yang tidak sepatutnya kita terpedaya.

Terdapat pelbagai norma tempatan yang disulami antara adat dan nilai agama yang jauh lebih baik daripada norma asing dalam budaya kita.  Namun ia tidak dilihat baik kerana sebahagian daripada orang kita sendiri yang enggan membudayakannya, terpengaruh dengan budaya asing serta teruja dengan kemajuan material di Barat.

Hakikatnya Barat sendiri sedang tercari-cari formula kerohanian bagi membangunkan negara mereka. Ini terbukti apabila orang Barat sudah mula melihat Islam sebagai penyelesaian masalah mereka dan ramai yang memeluk Islam setelah memahami Islam yang sebenar.

Ironinya Barat mahu men-datangi Islam tetapi kita orang Timur pula mahu meninggalkan nilai-nilai Islam. Sempena bulan tarbiah – Ramadan ini marilah kita sama-sama menanam azam melaksanakan Islam dalam segenap tindakan kita. Sesuatu perkara atau tindakan itu hendaklah dinilai dari lensa agama Islam terlebih dahulu.

Namun ini tidak bermakna kita menolak nilai-nilai murni yang diamalkan di Barat selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran agama Islam.

Islam adalah sebuah tata kehidupan yang lengkap. Manualnya digariskan dalam al-Quran dan al-Sunnah. Garis panduannya pula disebut para ulama muktabar. Insya-ALLAH dengan melaksanakan Islam sepenuhnya kita akan menikmati kebahagiaan sebenarnya.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Puasa Ramadan bentuk integriti

Posted by epondok di Jun 9, 2017

Oleh Fairuz Noordin

RAMADAN mendidik manusia menjadi insan bertakwa dan membentuk nilai integriti dalam diri. Ibadah dilakukan Ramadan tidak mengenal darjat dan kedudukan. Justeru, manfaat peluang sepanjang Ramadan dengan meningkatkan ibadah.

Ikuti perkongsian bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau’izati di IKIMfm. Allah SWT mengurniakan Ramadan kepada umat Nabi Muhammad SAW kerana usia mereka tidak sepanjang umat terdahulu, malah usia nabi terdahulu mencecah ratusan tahun. Rasulullah SAW berkata, umur umat Baginda antara 60 hingga 70, tentunya dapat melakukan amalan sedikit sahaja.

Oleh itu, Allah SWT kurniakan satu malam pada Ramadan yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam al-Qadr yang menyamai 80 tahun manusia beribadah kepada Allah SWT. Peluang itu diberi sebanyak 10 kali sahaja sepanjang hidup manusia untuk mengecapi malam al-Qadr, iaitu seumpama 800 tahun mereka beribadah kepada Allah SWT.

Persiapan menghadapi Ramadan dilakukan dua bulan sebelumnya, iaitu pada Rejab dan Syaaban yang juga tempoh latihan bagi umat Nabi Muhammad SAW melakukan amal ibadat. Ramadan dikurniakan supaya mereka dapat memperbaiki kehidupan sentiasa berada di jalan lurus.

Manusia sering kali hanyut daripada mengingati Allah SWT, maka dengan berpuasa mereka akan menginsafi segala dosa serta menyedari mereka adalah hamba kepada Allah SWT.

Perkongsian bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau’izati di IKIMfm menjelaskan, umat manusia akan berasa sesal selepas kembali menghadap Allah SWT di Padang Mahsyar dan dikembalikan ke dunia untuk melakukan amal salih ditinggalkan dahulu. Sesalan juga dirasai apabila mereka dikunjungi malaikat Izrail untuk dicabut nyawa, ketika berada di alam kubur dan sewaktu disoal Malaikat Mungkar dan Nangkir. Namun, rasa sesal itu tidak lagi berguna, malah ditempelak oleh Allah SWT atas kelalaian mereka menjalani kehidupan di dunia.

Rahmat Ramadan

Rahmat Allah SWT ketika tiba Ramadan juga dikurniakan kepada mereka yang berada di alam barzakh. Manusia sering kali terpesong dalam tiga keadaan, antaranya tersesat dalam pegangan dan tidak yakin kepada agama Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang yang paling rugi amal perbuatannya? (Iaitu) orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.” (Surah al-Kahfi, ayat 103-104)

Tempoh berpuasa bermula pada waktu Subuh hingga Maghrib menuntut manusia meninggalkan makan dan minum serta perkara yang boleh membatalkan ibadah puasa dan membatalkan pahala puasa. Puasa mampu membentuk integriti manusia kerana sistem yang diatur oleh Allah SWT sepanjang menjalani ibadah itu, sehingga menimbulkan kesedaran supaya tidak mengkhianati tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Allah SWT juga ingin mendidik bahawa ibadah dilakukan pada Ramadan tidak mengenal darjat dan kedudukan manusia kerana semuanya hamba-Nya harus mengikuti jadual yang telah disusun oleh-Nya.

Jadi insan bertakwa

Situasi itu mewujudkan kesedaran sehebat manapun manusia perlu mengikut perintah Allah SWT. Sahur dilakukan menjaga waktu Subuh, manakala waktu berbuka selepas masuknya waktu Maghrib. Kegembiraan bagi orang berpuasa akan dirasai apabila tibanya saat berbuka. Pada Ramadan Allah SWT mendidik akhlak manusia yang sentiasa tercalar kerana kekasaran tutur kata yang menyinggung perasaan orang lain. Mulut manusia mudah dijaga begitu juga perkataan digunakan ketika berpuasa kerana kesilapan itu akan menjejaskan pahala puasa.

Selain itu, Ramadan mendorong manusia mencapai matlamat menjadi insan bertakwa kepada Allah SWT kerana bulan ini penuh keberkatan, terbukanya pintu syurga dan tertutupnya pintu neraka. Waktu ini juga peluang untuk membantu mereka yang telah meninggal dunia. Sebagai seorang anak, berdoalah untuk kedua ibu bapa yang telah meninggal dunia supaya dapat melepaskan mereka daripada azab kubur. Pada Ramadan diringankan azab penghuni alam barzakh bagi mereka yang didoakan oleh anak yang salih.

Selain itu, berinfaq dengan nama kedua ibu bapa yang telah meninggal dunia akan mengalirkan pahala berterusan kepada mereka. Hubungkan silaturahim dalam kalangan keluarga dan sahabat ibu bapa yang masih hidup untuk beroleh keberkatan Allah SWT.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »