Saban tahun kita diingatkan tentang kelebihan ­lailatulqadar. Macam biasa, ada yang memberi perhatian dan ramai juga yang buat-buat tidak tahu. Pendek kata, hanya mereka yang beriman menyakini ganjaran pahala berlipat-ganda yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Kita doakan mereka yang masih alpa dan mensia-siakan peluang hidup dalam 10 terakhir Ramadan agar mendapat hidayah Allah SWT dan berubah.

Untuk kita, mari contohi Rasulullah SAW dalam beribadat untuk mencari malam al-qadar. Nabi SAW menasihatkan umatnya untuk mencari lailatulqadar pada penghujung 10 malam Ramadan berdasarkan sabda baginda yang bermaksud: “Carilah lailatulqadar pada 10 terakhir Ramadan.” (Muttafaq ‘alaih).

Daripada 10 malam terakhir itu, baginda memperinci lagi kepada malam-malam ganjil. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Carilah lailatulqadar pada malam ganjil di 10 hari terakhir Ramadan.” (Riwayat Bukhari)

Kalau kita perhatikan, dalam kedua-dua hadis di atas, dimulakan dengan perkataan carilah. Maksudnya kita kena berusaha dan melakukan pelbagai ibadat, bukannya berpeluk tubuh membiarkan malam yang penuh keberkatan itu berlalu begitu sahaja.

Paling minimum, hendaklah kita solat Isyak dan Su­buh berjemaah pada 10 malam terakhir Ramadan. Yang lebih baik adalah melakukan pelbagai ibadat lain ­seperti membaca al-Quran, banyakkan bersedekah, solat tahajud, solat taubat dan solat sunat lain serta berzikir memuji Allah dan memohon keampunan Ilahi.

Adapun doa yang sangat dianjurkan kita membacanya adalah sebagai mana hadis yang diriwayatkan daripada Aishah r.a.: “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW bagaimana kiranya saya mengetahui malam lai­latulqadar dengan tepat. Apa yang saya akan doakan pada saat itu. Baginda menjawab berdoalah dengan doa yang berikut yang maksudnya: “Ya Allah ya Tuhanku sesungguhnya engkau sentiasa memaafkan salah silap hamba lagi suka memaafkan, oleh itu maafkanlah salah silapku.”(Riwayat Tirmidzi)

Sepatutnya selepas 20 hari melalui fasa Ramadan, tubuh badan kita sudah mulai serasi dengan pelbagai ibadat. Yang utamanya, membaca al-Quran sementelahan Ramadan adalah bulan diturunkan kitab suci itu. Pada malam­nya pula, tubuh kita sudah biasa dengan solat tarawih dan witir. Maka ia dapat membantu untuk kita bangun malam menunaikan pelbagai solat sunat atau ibadat yang lain.

Jika kita mampu bertahan atau istiqamah dalam beribadat pada 10 malam terakhir insya-Allah kita termasuk dalam golongan orang yang mendapat keampun­an daripada Allah sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Barang siapa menghayati lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang (dan pelbagai jenis ibadat lain) sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah, nescaya ia diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. (Riwayat Bukhari)

Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang amat besar. Diriwayatkan daripada Mujahid dikatakan sebab turun ayat tersebut (surah al-Qadr) ialah Nabi SAW telah menyebut tentang seorang lelaki daripada Bani Israel yang menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan Allah maka orang Islam pun kagum atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan ayat tersebut.

Dalam riwayat daripada Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah menyebut empat orang Bani Israel yang beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak menderhakai Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberi­tahu Rasulullah bahawa Allah menurunkan yang lebih baik daripada amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadr dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Nabi SAW dan para sahabat amat gembira.