Benar! Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa kerana terpilih untuk ‘dimasyhurkan’ sebagai bulan turunnya al-Quran.

Analogi mudah, sebelum 1957, tarikh 31 Ogos tiada nilai pada orang Melayu. Setelah tarikh itu dimasyhurkan sebagai hari kemerdekaan Tanah Melayu, ia terpahat erat dalam lipatan sejarah Malaysia.

Begitu juga dengan Ramadan. Sebelum al-Quran diturunkan, Ramadan hanya sebuah bulan biasa yang kadangkala cuacanya panas membara.

Setelah Allah melimpahkan rahmat-Nya ke bumi dengan sinaran al-Quran, nama Ramadan melonjak naik menumpang kemasyhuran al-Quran.

Oleh itu sangat malang jika ada manusia yang menjadi hamba Ramadan dan bukannya hamba Allah.

Bayangkan apa nasib jika al-Quran tidak diturunkan? Kita mungkin menjadi penganut pelbagai agama dunia. Alhamdulillah, kita mendapat hidayah dengan turunnya al-Quran.

Kesyukuran inilah yang diucapkan oleh ahli syurga: “Dan Kami cabut segala dendam dan hasad dengki daripada hati mereka, (dalam syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing, dan mereka pula bersyukur dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat) ini, padahal kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufik-Nya); sesungguhnya para rasul Tuhan kami datang membawa kebenaran”. Dan mereka diseru: “Itulah syurga yang diwariskan kepadamu dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan,” (al-A’raf [7:43]).

BERSYUKURKAH MANUSIA ATAS NIKMAT AL-QURAN?

Sewajibnya kita bersyukur atas penurunan al-Quran. Bagaimana? Ikrar cuti tahunan? Junjung julang al-Quran? Anjur pertandingan lagu atau hafazan al-Quran? Hantar anak ke sekolah tahfiz?

Tanpa nafi, semua itu termasuk dalam usaha bersyukur dengan penurunan al-Quran. Walaupun begitu, yang paling utama adalah memahami dan mengamalkan isi kandungannya.

Berbalik kepada soalan di atas, apa yang perlu diutamakan dalam Ramadan? Khatam baca atau tadabbur?

Saya jawab, kita perlu berinteraksi dengan al-Quran sepanjang usia dengan ‘kuantiti dan kualiti’. Kuantiti merujuk kepada usaha membaca huruf al-Quran sebanyak mungkin sehingga khatam, manakala kualiti pula merujuk kepada usaha tadabbur atau memahami al-Quran.

Kedua-duanya perlu menjadi aktiviti harian seumur hidup dan digandakan dalam Ramadan.

Aktiviti meningkatkan kuantiti baca al-Quran sehingga khatam bertepatan dengan sunah Rasulullah SAW kerana Baginda melakukan tadarus tahunan dengan Jibril a.s. sebagaimana diriwayatkan Abdullah bin ‘Abbas r.a.:

“Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah (melakukan kebaikan). Baginda jadi tambah pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril datang bertemu dengannya pada setiap malam. Jibril mengulang kaji al-Quran dengan nabi pada bulan Ramadan. Baginda benar-benar pemurah (pada bulan Ramadan) seperti angin yang bertiup kencang,” – Sahih Bukhari.

Bonus membaca al-Quran dikira pada kuantiti hurufnya. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitab Allah, maka baginya satu kebajikan dan setiap kebajikan itu digandakan 10. Aku tidak kata alif-lam-mim itu satu huruf, sebaliknya alif itu (dikira) satu huruf, lam (dikira) satu huruf dan mim (dikira) satu huruf,” – Sunan Tirmizi.

Darjat syurga para pembaca al-Quran diangkat berdasarkan kuantiti huruf yang dibacanya.

“Dikatakan kepada ahli al-Quran (orang yang membaca, menghafaz dan mengamalkan isi kandungannya ketika mereka masuk ke dalam syurga), bacalah (dalam syurga), dan naiklah darjat (syurgamu) dan bacalah sebagaimana kamu pernah membacanya semasa di dunia. Sesungguhnya kedudukan (darjat) kamu dinilai pada ayat terakhir yang kamu baca (semasa di dunia),” – Sunan Abu Daud dan Sunan Tirmizi.

Kuantiti huruf al-Quran yang berlari pada lidah pembacanya akan meninggalkan bekas pada jiwa jika ia dituruti pula oleh bacaan berkualiti atau tadabbur. Bahkan tadabbur al-Quran menjadi sebab utama penurunannya. Firman Allah:

“(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar,” (Sad[38:29]).

KESILAPAN LAZIM DALAM MASYARAKAT

Ramai yang silap berinteraksi dengan al-Quran apabila hanya mementingkan aspek huruf atau tajwidnya sahaja, sedangkan tilawah al-Quran yang sebenar merangkumi aspek kuantiti dan kualiti.

Ia dijelaskan Allah:

“Orang yang Kami berikan kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang yang rugi,” (al-Baqarah [2:121]).

Perkataan ‘Haqq al-Tilawah atau tilawah yang sebenar’ dalam ayat ini tidak seharusnya disempitkan hanya pada sudut tajwid, sebaliknya merangkumi perkara lain seperti benar-benar mengikuti isi kandungan al-Quran, menghalalkan yang halal, mengharamkan yang haram dan tidak mengubah isi kandungannya tanpa ilmu (Tafsir Ibn Kathir).

Al-Quran bukanlah kitab yang dibaca secara bermusim. Ia adalah makanan ruji orang beriman.

Jika fizikal kita memerlukan makanan secara harian untuk kekal hidup sihat, begitulah juga rohani kita. Ia perlu dijamu dengan makanan rohani setiap hari.

Pastinya makanan rohani terbaik untuk jiwa adalah al-Quran kerana ia mengandungi nutrisi terbaik.

Semoga kenangan Nuzul al-Quran akan menaikkan semangat untuk meningkatkan kadar kuantiti dan kualiti bersama al-Quran.

Tadabbur al-Quran tidak terikat hanya dalam Ramadan sahaja, ia adalah aktiviti seumur hidup bagaikan makanan ruji harian untuk jiwa. Pilihlah satu waktu setiap hari untuk tadabbur sejumlah kecil ayat al-Quran. Andai kata kita tadabbur lima ayat sehari, sebulan ia sudah jadi 150 ayat. Bagi meraikan Ramadan, kita tambah sedikit ayat untuk tadabbur menjadi 10 atau 15 ayat. Mudah-mudahan tambahan jumlah tadabbur ayat dalam Ramadan akan memuncakkan cinta kepada al-Quran.