Firman Allah SWT: “Hai orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,” (al- Baqarah: 183). Wajib bermakna melakukannya mendapat pahala dan berdosa jika tidak berpuasa tanpa alasan dibenarkan syarak.

Banyak hikmah puasa disebutkan dalam berbagai program dan melalui penulisan dan kita sering mendengar hadis ini, “Demi Zat yang diriku ada pada tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi. Dia tidak makan, tidak minum, dan tidak berhubungan dengan isterinya kerana-Ku. Tiap-tiap amal bani Adam baginya, kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan memberinya pahala,” – Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a., Al-Lu’lu wal Marjan, hal.706).

Sabda Baginda lagi: “Sesiapa menegakkan Ramadan kerana iman dan mengharap pahala, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu,” – Riwayat Bukhari dan Muslim).

PELBAGAI DIMENSI KELEBIHAN PUASA

Jelas sekali, puasa itu adalah ibadah yang membawa kesan besar kepada keimanan dan ketakwaan seseorang. Ia suatu kewajipan yang mesti dilaksanakan. Ia menghapus dosa dan dilakukan kerana Allah semata-mata sebagai tanda ketaatan kepada-Nya.

  • Perisai daripada api neraka seperti dalam sebuah hadis yang bermaksud:
  • “Puasa adalah perisai daripada api neraka, seperti perisainya kalian dalam peperangan,” – Riwayat Ahmad, Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Hiban dan Ibnu Khuzaimah daripada Utsman bin Abil Ash, Sahih Al-Jami’ Ash-Shaghir 3879)
  • Perisai untuk tidak melakukan maksiat dan zina. Dalam sebuah hadis disebut dengan jelas iaitu “Wahai para pemuda! Siapa yang sudah memiliki kemampuan (zahir atau batin), maka (bersegeralah) menikah. Kerana hal itu dapat menahan pandangan dan menjaga kemaluan. Sedangkan bagi yang belum mampu (menikah), hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu (menjadi) benteng baginya,” 
– Riwayat Bukhari.
  • Menjadikan lebih sihat. Sistem penghadaman makanan manusia direhatkan ketika berpuasa dan ini memastikannya boleh berfungsi dengan lebih baik. Hadis ada penyebut, “Berpuasalah kalian, nescaya kalian akan sihat,” – Riwayat Thabrani. Hadis yang lain, “Setiap sesuatu itu ada zakatnya dan zakat tubuh adalah berpuasa,” – Riwayat Ibnu Majah.

PERLUKAN DISIPLIN, KOMITMEN TINGGI

Puasa bukan sekadar berlapar tetapi memerlukan disiplin tinggi untuk mengawal hawa nafsu. Kita sering diingatkan supaya menjaga mata dan telinga pada Ramadan, jika tidak ‘kuruslah’ puasa.

Ia menunjukkan bahawa puasa itu bukan sekadar lapar dahaga tetapi sebenarnya satu proses menyucikan diri.

Kita bersihkan sistem penghadaman, bersihkan hati daripada dengki, hasad dan nafsu. Kita bersihkan mata daripada melihat yang buruk, maksiat dan perkara-perkara yang membawa dosa.

Telinga juga kita jaga supaya tidak mendengar fitnah dan menjaga mulut supaya tidak menokok menambah sehingga menimbulkan fitnah yang lebih buruk lagi.

Puasa penting kepada pembinaan keluarga mithali yang mawaddah warrahmah kerana puasa mengeratkan hubungan kekeluargaan. Melalui puasa, akhlak anak-anak terdidik.

Ibu bapa memahami tanggungjawab mereka untuk mendidik anak mengenai puasa dan mengikat diri untuk bertakwa kepada Allah SWT.

Bukan mudah untuk ibu bapa melatih anak pada usia lima tahun mula berpuasa dan memahami konsep puasa. Ibu bapa juga perlu mengawal diri ketika berbuka supaya anak-anak juga dapat menikmati nikmat puasa sebenar.

Ibu bapa kita dahulu memberi ganjaran upah duit raya kepada anak-anak yang boleh berpuasa penuh terutama semasa berusia lima ke enam tahun.

Namun ada juga keluarga yang tidak mampu memberi upah tetapi sekadar memberi kefahaman bahawa puasa itu satu ibadah untuk Allah SWT.

Apa yang penting diterapkan dalam keluarga pada Ramadan bukanlah makanan yang mewah semasa berbuka, tetapi nilai berkongsi makanan bersama ahli keluarga yang besar dan jiran tetangga.

Dahulu, kita sering mendapat makanan dari rumah jiran dan kita juga sering berbuka beramai-ramai.

Namun hari ini kerana kekangan kerja dan masa, berbuka puasa tidak lagi semeriah dahulu.

Ramai yang berkemampuan memilih berbuka di hotel sedangkan yang paling seronok ialah berbuka dengan makan beramai-ramai. Nampak seperti berebut-rebut tetapi itulah yang akan menjadi kenangan sampai bila-bila.

Selepas itu, kita bersolat maghrib, isyak dan tarawih bersama-sama.

Kini berbuka di masjid bukannya menggunakan sistem potluck seperti dahulu – bawa makan serba sedikit dari rumah masing-masing – tetapi kini disediakan oleh caterer.

Puasa membina ukhuwah kekeluargaan dan jiran tetangga. Puasa bukan sekadar berlapar dahaga tetapi membina manusia untuk menjadi insan yang bertakwa dan mulia.