Di samping itu, bulan ini menjadi lebih istimewa dengan keagungan al-Quran yang diturunkan padanya, sekali gus menjadi sumber kekuatan dan panduan sepanjang zaman kepada manusia.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 185: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”

Sebagai menyatakan rasa syukur dan kegembiraan menyambut Ramadan, seharusnya kita menyiapkan diri dari sudut mental dan fizikal.

Sebaliknya, jika kita tidak bersiap sedia, Ramadan kali ini akan datang dan pergi begitu sahaja. Alangkah ruginya kerana melepaskan dan mensia-siakan peluang yang Allah SWT tawarkan dengan pelbagai kelebihan berganda.

Dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a.: “Rasulullah SAW bersabda: Allah SWT berfirman: Setiap amalan anak Adam itu adalah untuk dirinya sendiri kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk aku (Allah) dan akulah yang memberi ganjarannya.”

CARA MENGHAYATI RAMADAN

1. Pasang tekad dan keazaman untuk memenuhi Ramadan dengan ibadah lantaran terbukanya pintu-pintu syurga. Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila tibanya Ramadan, dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu syaitan-syaitan.”

2.Bersungguh-sungguh melakukan taubat dan menyucikan hati dengan mengharapkan keampunan serta rahmat daripada Allah SWT.

3.Ambil peluang mempertingkat ilmu dan kefahaman yang jelas tentang Ramadan.

4.Berusaha menjauhkan diri daripada perkara yang sia-sia, melalaikan dan tidak memberi manfaat.

5.Mengurangkan aktiviti yang tidak perlu dan membebankan pelaksanaan puasa di samping berdoa agar dipertemu dengan Ramadan akan datang.

6. Tarbiah Ramadan setiap tahun hendaklah dijadikan agenda terpenting dalam kalendar umat Islam. Usahlah kita alpa sehingga tergamak meninggalkan kefarduan ini tanpa keuzuran yang dibenarkan syarak. Sesungguhnya perbuatan ini amat dibenci oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi: “Sesiapa yang berbuka puasa sehari daripada bulan Ramadan tanpa rukhsah dan sakit yang diizinkan Allah, tidak memadai sekalipun ia qada puasa tersebut selama-lamanya.”

Tuntasnya, Islam memandang serius berhubung pelaksanaan ibadah puasa Ramadan. Bahkan, ia adalah antara paksi dan Rukun Islam yang mesti ditegakkan dalam kehidupan seharian umat Islam.

Meninggalkan puasa Ramadan tanpa alasan atau tanpa uzur syarie merupakan dosa besar yang tidak mungkin dapat digantikan dengan qada puasa dari sudut nilainya.

Umat Islam perlu merenung kembali sejauh manakah Ramadan kali ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Ingatlah, teras kecemerlangan umat Islam bergantung kepada ketakwaan yang mendatangkan kebaikan kepada masyarakat dan negara.

Tarbiah Ramadan bakal memandu kita meningkatkan takwa melalui amalan fardu atau sunat, membudayakan diri ke masjid, membaca dan memahami ayat-ayat al-Quran, bertaubat, berdoa dan berzikir.

Mudah-mudahan kehidupan kita akan dinaungi takwa, sekali gus cemerlang di dunia serta akhirat.